free wordpress themes Premium Wordpress Themes
Entries RSS

By Category :

Live Traffic

Jumlah Pengunjung

free counters
Mar 31

Nutella Mug Cake

Salah satu hobi saya ialah menonton rancangan memasak di kaca TV.  Rasanya sayalah orang paling gembira apabila saluran Asian Food Channel  703 mula-mula disiarkan dahulu.  Memang melekakan apabila menonton chef-chef terkemuka ini memasak – pelbagai gaya berbagai citarasa.

Antara yang menjadi favourite saya ialah rancangan diva dapur dari UK Nigella Lawson. Walaupun kadang-kadang resipi yang dipaparkan oleh beliau agak pelik, namun saya tetap mengikuti rancangan beliau. Sebabnya? Apa yang paling saya suka bila tengok rancangan Nigella adalah perkakasan memasak dan dapur beliau yang teramat cantik.  Ditambah pula kawasan belakang rumahnya yang cantik dan pantry beliau yang ‘meletop’.  Memang berangan la saya nak dapatkan dapur selengkap apa yang ada di rumah dia.

Tetapi apa yang paling menarik bagi saya tentang Nigella ialah tentang usaha beliau menjadikan memasak satu aktiviti yang mudah dan simple.

Bak kata Nigella sendiri : No one wants to slave over a hot stove for hours: so I am all for simplicity. The ideal is of lazy abundance.

Saya amat bersetuju dengan pandangan itu dan percaya memasak tidak perlu menjadi satu beban pula. Mana yang boleh kita mudahkan, apa salahnya betul tak?

Dan kalau memasak itu sudah simple, tak perlu lah pula kita berhabis belanja membeli makanan di luar, unless of course anda memang tidak punya masa atau memang pemalas (jangan marah… hahaha).

Apapun, dua tiga hari lalu sewaktu melayari laman Tumblr saya terjumpa satu resipi kek yang “giler simple”. Anda mesti mencubanya sebab bukan sahaja sangat mudah dapi cepat untuk dimasak. Dan oh ya, memang sedap! Bila saya mencubanya tempoh hari, macam tak boleh nak percaya pun ada…. anak dara saya pun sudah mencubanya.

Bahan-bahannya:

4 sudu besar Tepung Naik Sendiri

4 sudu besar Gula Castor

1 biji telur

3 sudu besar Serbuk Koko

3 sudu besar Susu/Youghurt

3 sudu besar Minyak Zaitun / Minyak Sayuran (saya guna minyak biasa)

3 sudu besar Nutella

Cara membuatnya:

Masukkan kesemua bahan ke dalam mug

‘Whisk’ dengan menggunakan garpu

Masukkan ke dalam microwave selama  2 – 3 minit

Lebih sedap jika di hias dengan whipped cream dan chocolate sauce ( saya tak bubuh pun)

Mar 28

Cetusan Dekorasi Meja Makan

Menghias meja makan kadangkala dianggap satu perkara yang remeh. Tambahan pula di dalam budaya orang Melayu. Selalunya, meja makan juadah hidangan orang kita memang simple aje – lauk-pauk dihidang ditengah-tengah meja dan pinggan nasi dilanggatkan sekali dengan gelas minuman.

Kena-kena pulak pada zaman sekarang ini bila duduk makan di meja bersama keluarga semakin jarang diamalkan dek kerana kesibukan masing-masing. Makan di rumah main belasah ajer, di hadapan tv sendiri-sendiri.  Makan pun dah tak dihidangkan, main ambik sendiri ajer. Saya pun kadang-kadang macam tu jugak tetapi saya tidak mahu ia dijadikan kebiasaan. Sekali sekali tak apalah.

Yang selalu kita lihat bila ada majlis perkahwinan, meja dihias secantik mungkin untuk tatapan tetamu.  Berpokok-pokok jambangan bunga di letakkan di meja makan a.ka meja makan utama.  Malangnya, selepas kahwin, nak lapik seprah di meja pun dah malas.

Bercakap mengenai dekorasi meja makan, bukanlah bermakna kita perlu tahu secara detail tentang susunan pingan-mangkok dan sebagainya. Cukuplah sekadar kita tahu mengenai kedudukan pinggan, sudu dan gelas serta jenis pinggan dan sudu yang sesuai untuk jenis-jenis majlis.

Kena pula cara kita menghidang lauk –pauk melayu amat berbeza dengan orang putih. Senang cerita nak menghias meja makan perlulah kena dengan makanan utamanya.

Apa yang saya nak ketengahkan disini tak salah kita ambil sedikit masa menghias meja makan agar suasana makan jadi lebih ceria dan kita sekeluarga bukan sahaja menjamu selera bahkan dapat berlama-lama sedikit berbual bermesra menambah ikatan kekeluargaan.

Dan kalau ada tetamu yang datang berziarah, lagi-lagi lah sesuai masa dan ketikanya untuk anda menunjukkan skill  dekorasi anda , tak begitu?

Apapun, sesungguhnya menghias meja makan tidak memerlukan kita meggunakan duit yang banyak. Serlahkan kreativiti anda dalam menghias dan kadangkala lebih ringkas , lebih cantik..

Saya menggunakan timbunan limau kasturi sebagai ‘centrepiece’. Saya letakkan ke dalam tray dan saya selitkan dengan bunga kecil yang berwarna putih. Kemudian saya taburkan kelopak bunga ros yang berwarna merah sesuai dengan majlis pernikahan.

Teaspread untuk majlis pertunangan. Disebabkan alatan pinggan mangkuk yang terhad, saya susun kuih-muih tradisional ke dalam dulang yang dilapik dengan daun pisang. Bagi menampakkan sedikit moden saya letakkan kuntuman bunga di  atas mini cup cake.


Antara tip-tip untuk menghias meja makan adalah:

1.  Anda boleh mencantikkan meja makan dengan membuat kad nama bagi setiap tempat duduk. Serlahkan kad tersebut mengikut tema majlis tetapi mesti sepadan dengan warna hiasan di tengah meja(centerpiece).

2. Tambahkan ‘elegan’ meja makan dengan meletak beberapa hiasan yang mempunyai tinggi yang berlainan. Sebagai contoh, anda boleh meletakkan hiasan di atas tingkatan buku-buku atau majalah ataupun di atas benda-benda lain yang sesuai.

3. Gunakan pengaruh lampu untuk menyerlahkan hiasan meja. Lampu yang agak kuning dan malap ataupun cahaya lilin boleh menimbulkan suasana romantik.

4. Gunakan warna yang bersesuaian untuk lapik meja dan pinggan mangkuk. Kalau boleh elakkan dari menggunakan lapik meja yang berwarna hitam atau yang sewaktu dengannya. Ia sudah dianggap curang bila diletakkan makanan di atasnya. Pilihlah warna yang agak lembut dan jika nak selamat gunakan lapik yang berwarna putih.

5. Namun begitu  warna pinggan-mangkuk juga perlu sepadan dengan warna lapik meja. Janganlah sama warnanya , ditakukuti tak nampak apakah juadah yang di hidangkan. Warna hijau  atau merah epal ataupun kuning lemon boleh di pertimbangkan.

6. Anda boleh gunakan bahan-bahan semulajadi untuk menghias meja. Jangan terperanjat jika di hotel-hotel besar mereka menggunakan pelbagai jenis buah-buahan  dan sayur-sayuran untuk menghias meja. Hasilnya memang mengkagumkan. Gunakan daya kreativiti anda untuk menghasilkan sesuatu yang unik seperti kulit kayu manisyang diikat dengan reben, lemon yang diletakkan di dalam balang kaca yang diisi air dan sebagainya.

Mar 23

Apa Pentingnya Inspirasi

Sebagai orang bisnes, anda perlu bijak menggunakan inspirasi dari sesuatu peristiwa atau keadaan bagi mengoptimakan hasil usaha anda. Lihat disekeliling anda siapakah yang boleh dijadikan inspirasi anda…..ibubapa, keluarga, mertua, kawan hatta musuh sekalipun tidak mengapa. Jadikan mereka sebagai pembakar semangat anda untuk berjaya. Tak kiralah samada mereka memang mahukan anda berjaya atau sebaliknya.

Namun begitu inspirasi yang terkuat ada didalam diri anda sendiri iaitu keupayaan anda untuk melihat potensi anda di masa hadapan. Apakah keupayaan atau visi yang boleh menggerakkan anda supaya maju ke hadapan, sentiasa bersemangat dan tidak mudah putus asa?

Kembali kepada matlamat anda ….sudahkah anda mendapatkannya , sudah mencukupikah usaha anda untuk mencapai matlamat tersebut. Anda tidak akan mudah menyerah kalah bukan? Tidak mahu dicerca orang bukan? Jadikan fakta ini sebagai inspirasi anda. Namun begitu di dalam bisnes, inspirasi akan lahir dari minat anda terhadap bisnes yang anda pilih.

Jika anda tidak mempunyai minat terhadap bisnes anda, motivasi diri akan berkurangan dan anda akan mudah jemu, bosan, tidak bersemangat, lemah dan akhirnya mudah menyerah kalah. Inspirasi merupakan penemuan momentum yang akan menghasilkan prestasi cemerlang di dalam bisnes dan diri anda khususnya.

Tanya kepada diri anda sendiri samada anda betul-betul minat terhadap bisnes yang anda ceburi. Jika anda seronok dan sentiasa teruja dengan bisnes dan tidak merasakan ianya suatu paksaan maka anda memang membuat pilihan yang bijak.

Mar 20

Kek Keladi Kak Yap

Bila diingatkan kenangan–kenangan lalu, semuanya banyak berkisar dengan memasak dan makanan. Kawan rapat, jiran semuanya banyak melibatkan pasal memasak. Kalau berjumpa dengan kawan-kawanpun, saya pasti memasak untuk mereka. Itulah sebabnya memang dari dulu lagi kawan-kawan saya suka melepak di rumah saya dan makan-makan. Tambahan lagi rumah saya memang mengamalkan dasar pintu terbuka kepada tetamu. Emak saya memang  pantang sekali kalau tetamu yang datang tak menjamu selera di rumah dan kini  memang dah terbawa-bawa ke dalam kehidupan saya pula.

Kalau dulu semasa saya bersekolah menengah, ramai kawan-kawan menulis lirik lagu di belakang buku latihan tetapi berbeza dengan saya dan kawan karib saya Doreen. Kami sentiasa bertukar-tukar resipi sehinggalah kami belajar di kolej. Antara saya dengan Doreen, kami lebih suka belajar memasak biskut dan kek. Saya teringin jugak nak belajar masakan cina dengan Doreen tapi dia tersengeh ajer.  “Ala Yan, you ni banyak ragam la,” kata dia mengelak kerana dia memang tak pandai masakan Cina kot..

Bila saya habis Tingkatan 5, Doreen pindah ke Ipoh. Kami jarang berjumpa tetapi yang pasti sebulan sekali kami akan berjalan-jalan ke bandar Ipoh untuk mencuba makanan di kedai-kedai yang baru. Kadang-kadang Doreen tidur di rumah saya . Ada satu ketika dulu Doreen masakkan saya biskut sambil memakai kain sarong. Kelakar bila diingatkan. Sekarang Doreen dah bermaustautin dan berkeluarga di Miri, dah lama betul tak jumpa tapi saya pasti Doreen dan  gelak ketawa dia masih seperti dulu. Cuma yang saya curiga, adakah Doreen masih memasak lagi?

Berlainan pula dengan jiran saya Kak Yap. Nama beliau Yap Chin Lean, saya ubah namanya menjadi Kak Yap supaya nampak lebih melayunya. Beliau yang tak berapa kisah dengan nama panggilan tersebut, begitu rapat dengan kami sekeluarga. Setiap hari lepas kerja , Kak Yap akan datang ke rumah kami memakai skirt pendek bersama bahan –bahan masakan . Beliau akan memasak bermacam-macam masakan kepada kami dan yang paling saya tertarik adalah bagaimana beliau begitu pandai memasak masakan Melayu seperti ikan pais, ikan sumbat dan lain-lain lagi. Kak Yap yang tahu kami sekeluarga lebih selesa jika beliau memasak di rumah kami,  berterusan memasak sehinggakan ke bulan puasa.

Paling tak boleh dilupakan apabila Kak Yap akan memasak hidangan lauk-pauk untuk kami berbuka puasa. Kak Yap akan tunggu selepas kami selesai sembahyang maghrib dan mengaji barulah beliau balik ke rumahnya. Sungguh hormat beliau ke atas kami yang menjalankan ibadah puasa. Saya yang sewaktu itu banyak menolong Kak Yap di dapur, tak begitu serius pulak nak menulis segala resipi beliau. Jadi sekarang saya dah tak berapa ingat kebanyakan resipi Kak Yap. Ini adalah salah satu resipi beliau yang waktu itu iaitu Kek Keladi. Banyak orang takut nak mencuba masakan ini dulu sebab kata mereka kuih Cina.

Kek Keladi

Bahan-bahannya:
Bahan A
1 biji keladi(saiz sederhana) -dipotong dadu
3 biji bawang merah -dimayang halus
2 sudu sos tiram
Sedikit minyak bijan
Sedikit garam
Minyak untuk menumis

BahanB
2 cawan tepung beras
3 cawan air

Bahan Hiasan

100gram udang kering (digoreng tanpa minyak dan di kisar)
1 bungkus bawang goreng
3 biji cili merah (dihiris)
Daun bawang dan daun sop(dihiris)

Cara membuatnya:

Bahan A

Panaskan minyak dan tumis bawang sehingga wangi

Masukkan keladi dan sedikit air

Masukkan sos tiram, garam dan minyak bijan

Biarkan di atas api sehingga separuh masak dan set aside

BahanB

Bancuh tepung beras dan air

Campurkan dengan bahan A

Kukus

Selepas 10 minit taburkan bahan hiasan ke atas kek keladi dan tekan menggunakan sudu. Selepas 2 minit tabur lagi bahan C dan lakukan semula selepas 2 minit untuk lapisan yang teratas.

Enak dimakan bersama sos cili. (Suami saya mesti nak makan dengan Sos Cili Lingam)

Mar 15

Tsunami Jiwa

Puas memerah otak untuk menulis tentang bencana tsunami di Jepun. Betapa ngerinya melihat gambar-gambar tentang bencana tsunami yang melanda Utara Jepun. Tak siapa yang tahu di sebalik biru dan cantiknya air laut, terkandung seribu rahsia di dalamnya. Begitu jugalah dengan kehidupan manusia tak siapa yang tahu samada hari ini, esok, satu minit dari sekarang atau bila-bila masa sahaja riang ketawa kita akan bertukar menjadi tangisan.

Ada yang mengatakan ini adalah bala atas kesalahan dan segala kemungkaran di bumi tersebut dan  ada juga yang menyalahkan pembangunan dan bermacam-macam lagi. Bagi saya, saya tolak perkara itu ke tepi dahulu. Saya tak nak komen sampai ke situ. Apa yang ada di dalam pemikiran saya adalah perkataan musibah dan ia  di datangkan bukannya disebabkan untuk menghukum.  Bukan semua musibah itu tujuannya untuk menghukum. Jika benar ianya adalah  hukuman kenapa Tsunami melanda Acheh  pada tahun 2004 dahulu sedangkan mereka yang terkorban rata-rata orang Islam dan tak ada pembangunan dan teknologi tinggi di sana pun.

Siapalah kita hendak menuding jari mengatakan negara itu penuh dengan kemaksiatan (lalu diturunkan bala sebegini rupa) sedangkan di belakang halaman rumah kita sendiri maksiat yang lebih kurang sama berleluasa juga.

Budaya hedonisme anak-anak muda kita juga tak kurang hebatnya, kes-kes social saban hari menghiasi dada-dada akhbar. Kalau ikutkan ukuran akal kita yang dangkal ini, kita pun sepatutnya sudah lama dihukum!

Sebagai seorang ibu, saya begitu terkesan dengan komentar-komentar yang dilontarkan di media sosial yang seakan-akan memadankan muka mereka yang sedang dilanda musibah ini. Sungguh tak berhati perut. Bagaimana mungkin kita sebagai orang Islam tidak ada punya rasa simpati terhadap musibah yang melanda kepada rakyat Jepun.

Saya ditanya oleh anak sulong saya, kenapa ramai orang menulis yang bukan-bukan di blog-blog dan komentar-komentar forum tentang tsunami seolah-olah tak ada kesian langsung pun. Saya menjawab, orang itu sudah Allah tarik rasa sensitif terhadap kekuasaan Allah. Yang ada hanyalah hidup nafsu-nafsi. Boleh pulak tu ada yang menulis tentang perihal dosa orang sana, mendabik dada ibarat mereka ini insan terpilih yang  tidak akan diberi ujian oleh Allah. Angkuh sungguh mereka dengan “kebaikan” diri sendiri!!!

Itu belum lagi orang yang menjadikan bencana ini sebagai bahan gurauan.(rujuk kes di Berita Harian). Entahlah, rasanya agama Islam tidak pernah sekalipun menganjurkan kita untuk mentertawakan dan berlawak bodoh tentang perkara-perkara sebegini apatah lagi mengutuk mereka yang menerima musibah walaupun bukan seagama.

Kekadang terfikir di benak hati saya , apa rasa kalau diri sendiri yang menerima musibah. Insaflah wahai kita semua.

Sesungguhnya saya amat bersetuju dengan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil dalam status Facebook beliau seperti berikut:

Tsunami kali ini amat besar. Namun ia tidak harus lebih besar dari iman dan persaudaraan kita. Pelbagai sentimen emosi buta keluar tatkala ini. Ada yang membela Jepun dengan menghina rakyat sendiri. Ada yang membangkitkan sejarah Jepun sebagai penjajah, ada yang maki Malaysia kerana tidak seelok Jepun. Ittaqullah. Doa, bantu, didik, kongsi, jangan beremosi dan jangan bagi komen bodoh’ .

Apapun jangan sampai kita jatuh riak kerana kita tidak didatangkan malapetaka seperti ini.  Patutnya kita ambil pengajaran dan lihat bagaiman orang Jepun begitu berdisiplin dan tenang menangani situasi  maha hebat ini. Baca disini http://azharazian.blogspot.com/2011/03/normal-0-i-was-never-really-fan-of.html

Sebenarnya pada saat-saat sebegini kita sebagai ibubapa boleh memainkan peranan untuk berkongsi rasa dan mendidik anak-anak terutama yang telah meningkat remaja tentang pengajaran-pengajaran yang boleh dipelajari dari peristiwa ini. Inilah masa untuk kita memupuk rasa empati dan simpati dalam diri anak-anak kita.

Kita harus sedar, mungkin ada ujian yang bakal hadir rentetan dari musibah tsunami ini. Bersedialah menghadapi ujian yang seterusnya. Semoga kita sentiasa redha atas ketentuan dan ujian Allah s.w.t. Itulah yang terbaik.

Mar 13

Rasa Mentega

Mentega memang menjadi teman setia bagi mereka yang sukakan rasa lemak berkrim.   Ianya sudah menjadi bahan terpenting yang dimasukkan ke dalam masakan. Bukan sahaja masakan manisan malah ianya juga menjadi bahan asas dalam masakan utama. Bau mentega yang harum bersama tumisan bawang putih dan herba memang menjadi kegemaran saya.

Fikirkan kelazatan mentega yang disapu di atas roti atau ban,  mentega di dalam kentang putar,biskut, kek dan macam-macam lagi.  Sedikit sahaja mentega yang dibubuh ke dalam penkek, sayuran,pastri  akan memberi kelainan kepada rasa masakan.

Mentega juga memainkan peranan dalam diet yang sihat. Ia mengandungi vitamin dan mineral, meningkatkan sistem imun ,membantu  pengeluaran hormon, memberi  sokongan terhadap kekutan tulang, organ dan yang paling penting sekali adalah otak kita. Mentega yang berkualiti tinggi juga dapat membantu dalam mengekalkan berat badan.

Jadi apa tunggu lagi, jom kita kenakan apron dan masak 2 jenis masakan  untuk minum petang  yang  penuh dengan rasa mentega. Jom!

Sandwich Victoria Cake

Resipi pertama untuk hari ini adalah Sandwich Victoria Cake.

Bahan-bahannya:

170 gram mentega

¾ cawan gula castor

12/3 cawan tepung naik sendiri

3 biji telur

Jem

Gula icing untuk di tabur

Cara membuatnya:

Pukul mentega bersama gula sehingga kembang. Masukkan telur dan pukul semula. Akhir sekali masukkan tepung naik sendiri. Bakar dengan suhu 190°C (375°F)   selama 20 minit

Bila kek sudah masak, sejukkan sebentar dan belah  kek kepada 2 bahagian serta sapukan jem. Tabur gula icing diatasnya.

# Saya letakkan sedikit butter cream sebelum saya letakkan jem. Rasa mentega akan lebih terserlah.

Shortbread

Bahan-bahannya:

250 gram mentega

½ cawan gula castor

1 sudu kecil vanilla

21/4 cawan tepung biasa

¼ cawan tepung beras

Cara membuatnya:

Pukul mentega dengan gula. Masukkan vanilla. Bila adunan sebati masukkan kedua-dua tepung. Kacau perlahan-lahan hanya sehingga adunan bergabung. Sediakan dulang atau apa sahaaj yang sudah dilapik dengan kertas minyak. Tepek adunan ke dalam dulang pembakar. Ketebalan dan bentuk biskut mengikut citaras sendiri. Cucuk-cucukkan permukaan adunan dengan garpu dan taburkan gula. Bakar sehingga kuning keperangan. Sejukkan sebentar dan kemudian potong mengikut bentuk yang digemari.

Mar 08

Bila Suami Memasak

Saya dan keluarga memang suka makan. Itu tidak dapat disangkal lagi lah. Namun lebih dari itu, saya juga rasa bertuah kerana keluarga saya  juga ringan ke dapur membantu saya memasak terutama di hujung minggu. Percayalah, tiada apa yang lebih membahagiakan sekiranya anda dapat bersama-sama menyediakan makanan di dapur.  Bak kata orang putih “its a quality time” buat saya, bila suami dan anak-anak turun padang membantu di dapur. Sambil memasak kami berbual bergurau. Seronok.

Tambahan pula sekarang ini anak-anak sudah meningkat remaja, akal pun sudah terlebih kreatif. Sering kali juga mereka dan suami saya bereksperimen dengan resipi-resipi baru. Seperti sewaktu menyambut hari lahir saya tahun lepas. Mereka kunun-kununya mahu buat kejutan untuk saya. Pada hari itu mereka “mengurung” saya di dalam bilik tatkala mereka menyediakan juadah hari jadi sepanjang hari. Hasilnya memang mengkagumkan. Dari ayam rendang, spaghetti bolognaise dan juga pelbagai finger foods telah berjaya disediakan oleh suami dan anak-anak dara saya. (Tetamu undangan nya juga surprise buat saya bilamana anak-anak saudara terdekat hadir sama pada petang itu bersama-sama menikmati juadah yang terhidang. )

Paling mengejutkan apabila suami saya menyediakan tortilla dan salsa pada petang itu. Menarik dan memang sedap tambahan pula tortilla dihidang bersama minced beef yang digoreng garing dicicah pula dengan salsa yang masam-masam manis. Amat berperisa.

Menurut suami, tak susah nak membuatnya…. resipi cari melalui Google, bahan-bahannya pula mudah didapati. Menurut suami, tortilla pula boleh dibeli siap dari Carrefour (saya percaya boleh didapati di banyak tempat lain juga), minced beef digoreng biasa dengan bawang putih dan minyak zaitun serta cili potong manakala salsa pula senang disediakan – potong dadu tomato dan bawang besar dicampur dengan daun ketumbar yang dihiris halus, minyak zaitun sedikit dan perahan limau serta garam. Mudah dan cepat untuk disediakan.