Apr
24
By:
azianhasan, Filled under:
All, Comments:
0

Assalammualaikum dan salam ceria pembuka kata..chewah skema giler pulak hari ni. Almaklumlah sudah hampir empat ke lima hari saya tak boleh bukak blog ni dari rumah. Entah apa sebabnya saya pun tak tahu . Jenuh hosting company godek sana godek sini dan alkisahnya malam tadi barulah saya boleh bukak blog ni. Nak jadi cerita, bila dah boleh bukak dan tak boleh log in pulak. Aduhai apasal blog ni ha, ada mandrem ker?
Apapun minggu lepas rumah saya agak full-house. Tak sangka pulak tetiba kakak dan mak saya datang dari kampong kerana ada urusan sedikit.
Kebetulan hari Ahad tu harijadi saya. Mula-mulanya saya malas nak ambik kisah pun pasal birthday-birthday ni. Kita pun dah tua. Saya dah cakap pun dengan suami dan anak-anak, tak payahlah nak bersusah-payah nak celebrate birthday… “kalau ada rezeki kita pergi makan kat luar sama-sama, cukuplah,” saya memberi pandangan.
Namun entah macam mana pada pagi Sabtu tu mak saya tiba-tiba bertanya: ”Bukan esok harijadi kamu kan, Yan?
“Iya,” jawab saya sambil sambil lewa.
“Kalau cenggitu, esok aku nak pulut kuning dengan rendang ayam. Kamu masak!” tiba-tiba Mak memberi titah perintah.
“Aikks, sendiri punya birthday kita sendiri kena masak ke pulak!!!” getus hati saya terkejut, sambil suami yang ada berdekatan mengisyaratkan supaya saya ikutkan saja kemahuan emak.
“Okaylah, tapi ayam mahal la mak, dah naik harga, kita beli daging ajer ler ya,” saya pula memberi pandangan. Kelakar la pulak rasa saya sebab mak menggunakan alasan hari jadi nak suruh saya memasak masakan kesukaan dia.
Tak lama kemudian saya dan suami keluar ke kedai untuk membeli barangan keperluan termasuklah pulut dan daging. Dalam pada itu, suami dah start SMS menjemput anak-anak saudara untuk hadir sama.
Namun buila balik ke rumah, tetiba kakak saya berbisik: “Mak tak boleh makan pulut nanti kaki bengkak sebab mak ada gout.”
“Eh sejak bila pulak mak ada gout, mak cakap mak sakit lutut jer,” jawab saya kehairanan.
“Tu le kamu tertipu..tipah dah tertipu,” sambut kakak saya sambil ketawa.
Adoii! macamana nak cakap kat mak ni suruh tukar menu. Saya pun buat strategi suruh Aisyah anak saudara saya pujuk mak supaya tak payah masak pulut kuning.
“Opah! Dulu opah makan pulut, kaki sakit kan? Opah tak boleh makan pulut nanti sakit macam hari tu sebab opah gout,” pujuk Aisyah.
“Bila masa pulak aku ada gout, sakit kaki biasa aje,” jawab mak sambil menarik muka masam, meninggi suara. Kami dah gelak ketawa kat belakang…
Aduhai macamana ni, bukannya tak nak masakkan pulut untuk mak. Takut nanti kalau kaki bengkak, tak ada siapa nak jaga. Suruh tinggal di sini dia tak mahu, susah rumah bertangga, katanya.
Malam tu (bila mak pun dah cool sikit), saya suruh suami saya pulak memujuk agar mak setuju untuk menukar menu.
“Mak tak boleh makan pulut kuning ye, nanti sakit ? Boleh tak esok kita tukar pulut kuning dengan nasi kunyit, warna kuning jugak tu?” direct saja sang suami memujuk mak mentua.
“Iye jugak kan nanti mak sakit, susahkan kak kamu pulak,” terus mak berkata sambil ketawa. Chewah, sekelip mata boleh berubah hati?
Dan yang tukang pujuk ni pandai-pandai tukar menu jadi nasi kunyit, apa pulak ceritanya? Tahun bila pulak saya pandai masak nasi kunyit ?????? Ishhh….
Dipendekkan cerita, esok harinya maka berkumpullah semua geng Cheras (kakak ipar dan anak menantu serta cucu dia) serta seorang anak saudara mewakili keluarga abang dari Sungai Buloh (yang lain-lain ada hal tak dapat datang) yang datang berziarah berjumpa mak sambil bersuka ria menyambut hari lahir saya. Dan oleh kerana saya memang tak tahu masak nasi kunyit, menu hari jadi bertukar menjadi nasi minyak lengkap dengan lauk pauknya.
Alhamdulillah semua orang kenyang dan gembira. Seronok sungguh dapat berkumpul ramai-ramai sambil makan-makan dan sembang-sembang ni.
Hujung minggu ini pula saya tak ke mana-mana kecuali menghantar anak-anak ke rumah kawan-kawan – yang seorang untuk masak brownies untuk dijual di sekolah dan yang seorang lagi ke study groupnya. Apapun, hujung minggu ni rasa macam cepat berlalu. Sedar-sedar dah malam Isnin.
Namun malam tadi , saya dan suami masak hidangan ringan sahaja untuk makan malam. Ringan la sangat ya …. kerana akhirnya yang ada siap di meja makan adalah spaghetti bolognese, roti focaccia sayur-sayuran, pudding jagung berpisang dan air longan. Perfecto!

Seperti biasalah spaghetti tu memang suami saya yang masak. Entah mengapa anak-anak memang sukakan air tangan bapak mereka kalau masak spaghetti. Kebetulan saya memang tak berapa berkenan spaghetti ni – elok sangatlah ya. Puding pun suami yang buat, sedap…tak berapa manis dan elok-elok lembutnya.
Tapi yang roti focaccia tu memang saya yang buatlah. Resipi roti tu saya dapat dari buku resipi Chef Wan (Edisi lama ). Agak mudah membuatnya dan cepat pula. Intinya saya masukkan apa sahaja sayur-sayuran yang ada di dalam peti sejuk.
Roto Focaccia berinti sayur-sayuran
Bahan-bahan untuk inti
- Bawang putih untuk menumis
- Bawang, terung,cili benggala, kacang pis,epal hijau ( kesemua bahan-bahan didadukan)
- Tomato puri
- Garam dan lada sulah secukup rasa
- Cara membuatnya:
- Tumis bawang putih dan masukkan bawang, terung dan lain-lain bahan.
- Untuk membuat roti/doh
- 21/2 sudu teh ragi kering
- ½ cawan susu suam
- 1 ½ sudu besar minyak zaitun
- 2 sudu teh garam
- 1 cawan air
- 500 gram tepung gandum
Cara membuatnya
Campurkan ragi, susu, minyak dan garam
Uli menggunakan mixer
Masukkan tepung dan putar bersama bancuhan ragi dan air
Uli selama 5-10 minit
Rehatkan doh sehingga mengembang sekali ganda (Dalam 2 jam )
Tumbuk dan uli
Lenyekkan ke dalam tin pembakar dan letakkan inti ke atasnnya
Bakar selama 30 minit dengan suhu 200 darjah