free wordpress themes Premium Wordpress Themes
Entries RSS

By Category :

Live Traffic

Jumlah Pengunjung

free counters
May 31

Remaja ADHD

Bila berkata tentang Attention deficit hyperactivity disorder (ADHD) ibubapa sering menggambarkan kanak-kanak hiperaktif iaitu mereka yang mudah terangsang, lasak atau tidak mendengar cakap. Kanak-kanak  pengidap ADHD sering digambarkan sebagai anak yang terlebih aktif dan impulsif daripada anak-anak seusia mereka. Bagi kanak-kanak selalunya kita boleh lihat dari segi perlakuan dan tingkahlaku mereka terutama bagi kanak-kanak lelaki.

Antara tanda-tanda ADHD adalah:

  • Kerap menggerak tangan atau kaki atau menggeliang-geliut di tempat duduk
  • Selalu meninggalkan tempat duduk ketika di kelas
  • Tak boleh duduk diam, berlari ke sana ke mari atau suka memanjat
  • Kerap menghadapi masalah untuk bermain atau melakukan aktiviti riadah secara senyap
  • Banyak bercakap dan bergerak cergas seperti mesin
  • Suka mengelamun
  • Sering gagal memberi tumpuan yang teliti kepada butir-butir terperinci atau cuai serta membuat kesilapan semasa membuat kerja sekolah atau aktiviti-aktiviti lain
  • Selalu tidak mematuhi arahan dan gagal menyiapkan kerja sekolah, kerja harian atau tugas
  • Kerap mengalami masalah untuk mengatur tugas dan aktiviti-aktiviti
  • Kerap mengelak, tidak suka atau keberatan hendak melakukan sesuatu tugas yang memerlukan tumpuan yang lama (seperti kerja sekolah atau kerja rumah)
  • Selalu kehilangan barang (misalnya pensil, pemadam, buku atau tugasan sekolah, mainan dan sebagainya)
  • Tidak fokus dalam apa jua hal di mana tumpuan mudah bertukar dari satu aktiviti ke satu aktiviti lainPelupa walaupun tidak sepaatutnya jika mengikut usia dan keupayaan
  • Selalu memberi jawapan sebelum soalan lengkap diajukan
  • Kurang sabar dan terutama dalam hal-hal menunggu giliran
  • Sering mengganggu atau mencelah perbualan atau aktiviti orang lain
  • Sering membuat pertimbangan yang salah dan mudah mengalami kemalangan

Namun begitu perlu ditekankan bahawa ADHD bukan sahaja boleh berlaku kepada kanak-kanak.. Anggaran 30% – 70% kanak-kanak yang mengalami ADHD akan berterusan mengalami gejala-gejala ADHD sehinggalah mereka remaja.   ADHD berlaku apabila tiada keseimbangan di antara aktiviti kegitaan  neurotransmiter alam bahagian otak yang mengawal  mekanisma kawalan perhatian.(control attention).

Bagi remaja yang mengalami ADHD, perancangan kerjaya bukanlah perkara yang mudah untuk dilakukan. Ia memerlukan penelitian kerana remaja yang mengalami ADHD ini selalunya mempunyai  banyak idea dan aktiviti yang hendak dilakukan, tetapi segalanya dilakukan separuh jalan sahaja kerana mereka cepat bosan dan boleh hilang minat dalam sekelip mata sahaja.

Antara tanda-tanda ADHD Remaja :

  • Sukar untuk memberi tumpuan – Mereka mungkin selalu lambat hadir ke temu janji atau acara-acara  penting, tidak teratur, gelisah, dan sukar untuk bersosial.   Sering mengalami masalah dalam memilih tugas, pekerjaan dan mengikut ketepatan waktu serta sukar memberi tumpuan dalam pembacaan mereka.
  • Rasa Yang Tidak Puas - Secara keseluruhan, mereka mengalami  perasaan ketidakpuasan yang mengganggu mereka dimana mereka sering merasakan bahawa mereka tidak mencapai potensi mereka.
  • Sukar Untuk Kekal Dalam Pekerjaan Menurut kajian, hanya separuh orang dewasa dengan ADHD mampu mempertahankan pekerjaan. Ini adalah kerana minat mereka yang mudah hilang secara tiba-tiba.
  • Masalah emosi – Perubahan suasana hati, rendah diri, dan pengendalian emosi yang buruk. Remaja ADHD  mudah kehilangan emosi mereka atau terlibat dalam tindakan drastik. Selain berpotensi merosakkan karier, hal tersebut juga dapat merugikan hubungan perkawinan dan hubungan sosial .
  • KomplikasiRemaja  ADHD mudah mendapat depresi, mudah cemas atau gangguan obsesif kompulsif. Mereka juga lebih cenderung terjerumus pada kecanduan merokok atau narkotik.

Ibu bapa boleh membantu anak mereka dengan memainkan 2 peranan iaitu sebagai –

Bersikap sebagai Pendorong– Ibubapa perlu memerhatikan dan mengenalpasti apakah bakat dan minat  anak remaja anda dan kenalpasti bidang tersebut. Di peringkat ini, komunikasi amatlah penting dimana anda perlu berbincang tentang kekuatan dan kemahiran anak anda. Dahulukan kehendak dan kemampuan mereka dan terangkan kesesuaian dengan sikap dan personaliti mereka. Spesifikkan kelebihan dan kekurangan anak anda dan sering memberi kata-kata dorongan supaya mereka tidak rasa rendah diri. Berilah puji-pujian seperti Eh! Tak ramai orang yang tahu nak buat macam ni…ini dah bagus dah!

Bersikap sebagai pemudah – Ibu bapa boleh membantu dengan memudahkan kehidupan anak remaja ADHD dengan sering membantu memudahkan “kesulitan” mereka seperti menghantar mereka menghadiri kelas-kelas tambahan ataupun kem-kem sesuai minat mereka. Perhatikan apa yang anak remaja ADHD anda minati dan pupuk minat mereka. Mana tahu minat-minat sebegini dapat membantu anak di dalam pemilihan karfier di masa depan. Ibubapa juga perlu memudahkan hidup anak ADHD mereka dengan menyusun jadual waktu sesuai dan mudah diikuti agar perjalanan hidup anak-anak ADHD berada di landasan yang betul.


May 25

Blog Saya – Part 1

Salam Ceria semua,

Minggu lepas saya didatangi oleh seorang sahabat merangkap seorang sifu yang dah lama saya kenal. Kak Joy atau nama sebenarnya Joiriah adalah orang yang tak asing lagi dalam dunia masak-memasak. Saya belajar membuat kek dan biskut dari beliau. Kak Joy memang seorang yang tak lokek dengan ilmu dan suka bersedekah. Happy Go Lucky dan yang pentingnya dia memang cun la dengan saya.

Kali ni Kak Joy datang bukannya nak mengajar saya memasak atau membuat kek tetapi nak belajar berblogging dengan saya. Wah! Besar betul expectation Kak Joy tentang pengalaman saya dalam berblog sedangkan saya pun masih terkedek-kedek dalam dunia berblog ini. Namun untuk tidak menghampakan harapan beliau saya pun bersetuju walaupun dalam hati rasa sangsi dengan kemampuan sendiri.

Dipendekkan cerita , Kak Joy sudahpun mempunyai blog, dah ada domain name sendiri lagi yang guna WordPress platform. Malangnya beliau tak tahu bagaimana untuk menggunakannya khususnya dalam bab teknikal. Sesuatu yang menyedihkan saya adalah bila beliau memberitahu yang beliau sudahpun menghadiri kelas yang tak kurang mahal jugaklah harganya.

Saya dulu-dulu pun buat blog sebab dipaksa oleh suami saya. Waktu tu saya pakai blogspot ajer. Punyalah kelakar sebab waktu mula-mula nak set-up blog saya asyik terlupakan username dan password.Memang lupa tahap gaban betul sampaikan kalau tak silap 3 blogspot yang saya buat. Rimas jugak pada mulanya sebab rasa macam beban sebab nak fikir nak tulis apa, pastu kena letak gambar le pulak. Hei, tak berkenan la saya, lagipun apela faedahnya kan?

Kalau tulis blog nanti boleh dapat ramai kawan, boleh share resipi dengan orang, kata suami saya. Apa kaedahnya nak share resipi dengan ramai orang sedangkan buku resipi saya yang dah rupa belacan tu saya sorok bila ada ramai orang datang rumah. (ini akibat penyakit kedekut ilmu).

Pada mulanya memang rasa kekok tetapi..tetapi..i tell u,  bila ada orang comment kat blog, aduh! seronoknya, kena pulak comment yang ala puji-pujian. Hmm, itulah pengalaman saya berblog ¾ tahun yang lepas dan blog saya memang tak boleh lari dari hal-hal mengenai makanan dan dekorasi. Klik disini untuk lihat blog rumah tinggal saya.

Sekarang blog saya guna hosting dah maju ke hadapan dah….azianhasan.com. Memang impian saya nak menghasilkan blog yang ala-ala Donna Hay dan Martha Stewart. Manalah tahu ia akan menjadi kenyataan. Bila saya mula-mula berblog dulu, saya hanya suka-suka sahaja. Masa tu saya tak ada lagi Facebook dan Twitter. Jadi blog digunakan untuk up-date kisah hidup seharian.

Lama-kelamaan saya sedar bahawa blog memang mampu menjadi satu alat untuk menjana duit secara online. Maka saya pun mencarilah apa sahaja peluang untuk saya pelajari bagaimana saya boleh buat duit dengan berblog ni. Dari satu seminar ke satu seminar saya pergi. Beli segala buku dan e-book. Saya cuba itu dan ini. Duduk menghadap laptop seperti lagak orang yang dah berjaya tetapi saya rasa hampa. Rupa-rupanya bukanlah semudah yang disangka. Mendapat duit dari blog perlukan satu panduan dan teknik yang dapat membantu kita untuk buat duit online.

Jika anda seorang blogger. Samada yang baru ataupun yang dah lama dan anda ingin menghasilkan pendapatan dengan blog anda tetapi masih tidak tahu cara yang sebenarnya untuk berbuat demikian, anda tak perlu buang masa lagi…saya betul-betul cadangkan anda  memilik panduan saya cadangkan ini

Sekarang anda dah pun berada di waktu yang betul, tempat yang tepat untuk mula mengetahui rahsia menjana wang online dari blog anda melalui BLOG. Ebook ini adalah satu himpunan padat dengan teknik-teknik dan rahsia untuk menjana duit dari BLOG.

Insya-Allah,nanti kita akan berkongsi perkara-perkara yang lain pula dalam perjalanan kita meneroka dunia blogging ini.Teruskan bersama dan menyokong blog saya.

May 22

Weekend Yang Prolific

Entah mengapa saya rasakan weekend kali ini begitu cepat berlalu. Sekarang dah malam Isnin dan besok mulalah routine biasa kembali… anak-anak ke sekolah, suami ke office dan saya di rumah mengadap kerja rumah dan kerja Internet Marketing saya yang tek berkesudahan. Biasalah tu ya.

Apapun semalam saya bangun agak lewat, maklumlah dapat cuti solat. Tetapi bila saya terjaga dari tidur, saya dan suami bersiap-siap sebelum menuju ke Shah Alam… ke kedai barangan kek Bagus di Seksyen 13. Sudah agak lama saya tak ke sina, sudah expand satu lot kedai lagi rupanya. Selalunya saya ke USJ 8 sahaja kerana kat situ pun ada kedai barangan kek. Tetapi Bagus ni lebih besar dan banyak la jugak pilihan.

Setelah itu kami ke kedai borong SSW di Seksyen 27 Shah Alam. Kadang-adang kalau tak ke Mydin, kami akan ke sina untuk beli barangan dapur sebab kat sina murah dan menarik harganya terutama di zaman-zaman harga mahal sekarang ini.

Kemudian kami balik dan sampai di rumah sudah pun 2 petang. Penatlah jugak rasanya. Lepas mandi-manda saya mengadap komputer sekejap sementara suami (gigih pulak dia weekend ni) dan dua anak dara saya ke Subang Parade nak mencari buku di MPH. Ini routine bulanan mereka, itu sebab rumah saya penuh dengan buku. Itu pun dah banyak kami jual second hand. Lepas jual, depa beli lagik…begitulah kitarannya.

Selepas Maghrib, saya dan suami ke rumah abang saya di Cheras pulak (anak-anak tak ikut sebab mereka sibuk nak exam) kerana nak melawat cucu terbarunya. Anak keduanya Affan dan isteri Ila baru menerima kehadiran anak kedua mereka hari Khamis lalu… Noraeen Azzara nama diberi. Alhamdulillah.

Itu hari Sabtu semalam. Hari ini pulak tak kurang sibuknya… mengalahkan ketua biro wanita sahaja. Pagi-pagi lagi saya dan suami (maklumlah best friend saya… ke sana ke mari asyik berdua)  ke Taipan  untuk membeli stok ikan dan ayam seminggu di Pasar Pagi Ahad…. Yang memang kami lakukan every week. Kat sini best sikit nak membeli sebab harga pun boleh tahan dan yang penting oleh beli ikan fresh lagi segar. Oh ayat redundant sangat tu. Apapun yang kelakarnya bila saya turun saja kereta di sana pagi tadi, baru saya tersedar yang saya  pakai seluar terbalik. Alamak malunya. Saya dah macam nak ajak suami balik rumah dulu nak tukar balik tetapi suami saya kata tak de sapa perasan. Nasib baik saya pakai blouse panjang… tak ada lah ketara sangat. Tetapi tiba-tiba suami boleh tanya,” Eh macam mana pakai zip seluar tadi? Tak kan tak perasan?”. “Ceh!!!!”

Selepas tu kami pun melencong ke Taj Curry House di SS 12 Subang Jaya (area dekat SJMC) sebab nak breakfast. Memang tersangat melencong  tapi  kerana tosei dia agaklah sedap, maka kami pun ke sana lah jugak.

Lepas tu kami balik terus ke rumah nak pergi mana la lagi .. dengan ikan bagai nak rak kat dalam bonet kereta. Sampai di rumah, saya tengok rancangan favourite saya NCIS dan Criminal Minds…. Sambil-sambil tu saya tolong  kemaskan barang-barang mak mertua saya dan berbual-bual. Multi-tasking sungguh.

Selepas memasak dan membasuh baju, kakak ipar saya Kak Zai singgah bersama anak dia Fudel menghantar kan barang-barang hantaran Fudel… dia nak kahwin June nanti. Saya tak ada lah terror mana pun  tapi sekali sekala saya ada lah juga tolong-tolong buatkan hantaran mana-mana anak saudara yang meminta tolong. Minat pun ada.

Apapun selepas mereka pulang, semangat pun tengah berkobar-kobar, saya pun mengajak suami untuk ke SSF di Puchong (tempat barangan hiasan favourite tu) umtuk membeli barangan bagi mencantikkan hantaran nanti. Nasib baik suami saya okay. Lepas tu saya diiring Alia dan Asma pun ke sana lah pulak.

Bukanlah nak cakap apa, tapi saya memang suka hiasan dalaman dan yang sewaktu dengannya maka berada di SSF ibarat berada di sebuah taman indah. Memang indah pun. Ke sana ke mari kami berempat berangan nak beli semua barang yang ada.

Lepas tu kami naik ke tingkat atas ke bahagian perkahwinan… lagilah rambang mata. Riuh rendah jugaklah kami berempat mencari segala hiasan yang diperlukan sampai suami saya pun cramp kaki. Hehehe.

Memanglah memenatkan tapi puas hati sangat.

Itulah dia weekend saya… kini saya dan Asma sedang bereksperimen dengan bunga-bunga hantaran. Nanti saya cerita lagi tentang minat saya yang ini ya…

May 19

Berniaga Agar-Agar

Pasti anda terkejut dengan tajuk artikel saya kali ini.,berniaga agar-agar. Tapi ianya tidak mustahil,kan?  Bila anda pergi ke pasaraya, cubalah  lihat siapakah yang mempelopori perniagaan agar-agar,..eh..tahukan.  Kalaulah orang bertanya kepada saya..sekarang bisnes apa? dan saya menjawap bisnes agar-agar pasti mereka ketawa berdekeh-dekeh, ha,ha bisnes agar-agar  manalah nak dapat untung,  asyik kira duit syiling ajelah… betul tapi kalau tak ada duit syiling mana nak datangnya duit ringgit. Tapi tak boleh nak letakkan kesalahan kepada pengkritik tersebut jugak sebab kalau jual agar-agar dalam satu lengat sehari berapalah untungnya.

OK , disini saya bukanlah nak menceritakan tentang bagaimana nak berniaga agar-agar cuma saya nak memberi  tamsilan tentang perniagaan dan agar-agar. Pernah tengok agar-agar? Di kampong saya dipanggil lengkong atau kalau glamour sikit dipanggil jelly. Sedapkan kalau dimakan di hari panas tetapi kenalah cukup manis,lembut dan cantiknya. Saya mengaku mampu membuat kek bertingkat-tingkat tetapi tak pandai membuat agar-agar yang cukup manisnya , cukup lembutnya cantik pulak tu sehinggakan bila ia dimasukkan ke dalam mulut ,..melt in the mouth..macam makan aiskrim.

Begitu jugalah dengan perniagaan. Bermula dan berakhir biarlah betul supaya ianya seumpama agar-agar yang manis, lembut dan cantik, tapi bagaimana? Mungkin sesetengah orang boleh bermula dengan betul hanya pada peringkat akhirnya . Ada juga pada peringkat awal ataupun di peringkat pertengahan. Bagi saya yang penting adalah di peringkat akhirnya tetapi alangkah indahnya jika di setiap peringkat itu kita boleh buat dengan betul supaya akhirnya cukup manis, lembut dan cantik pula.

Berfikirlah secara positif . Bila kita memulakan perniagaan, berfikirlah secara positif agar baik dan  untung kesudahannya nanti. Walaupun di peringkat awal agak sukar dan terpaksa menempuhi bermacam halangan tetapi bila kita fikirkan kejayaan kita di peringkat akhir, kita akan rasa gembira walaupun kejayaan belum lagi kita kecapi. Kalau ada kekecewaan sekalipun, tenaga-tenaga positif tersebut akan menarik kita kembali ke garisan supaya kita boleh sampai ke garisan penamat dengan jayanya.  Jujur dengan diri anda!

Carilah seberapa banyak ilmu supaya kita dapat menghadapi  segala masalah dan kerenah perniagaan dengan ilmu yang penuh di dada. Bagi saya menjalankan perniagaan membenarkan saya mempraktikkan apa yang dipelajari kedunia realiti perniagaan. Dan jangan lupa rajin-rajinkan diri untuk membaca apa juga buku, surat khabar dan sebagainya.

Kalau kurang ilmu di dada maka nanti anda akan mudah  rasa kesal,kecewa,malas dan sebagainya. Carilah ilmu dari mana-mana dan sesiapa jua. Jangan salah menilai ilmu anda kadangkala orang Indon dan Bangla lebih banyak ilmu dari pakar keusahawanan yang memberi seminar dengan meletakkan harga berani mati.  Jangan pulak salah sangka..pandai-pandailah timbang yang mana bagus untuk anda.

Pakailah baju kalis peluru. Betul! Bila dah memulakan perniagaan banyak betul dugaannya lebih-lebih lagi orang seperti saya yang berasal dari keluarga yang tidak suka berniaga dan tidak mempunyai latar berniaga langsung-langsung. Bila saya memulakan perniagaan dahulu, pelbagai umpatan dan hinaan serta tak kurang juga kata-kata pelemah jiwa yang terpaksa diterima.  Nasihat saya, lari jauh-jauh dari mereka ini kerana tanpa anda sedari ianya akan menjatuhkan semangat anda apatah lagi yang ayatnya seperti memberi amaran atau sindiran yang tajam. Lagipun banyak benda yang perlu kita tumpukan di dalam hidup ini. Kadang-kadang kalau ikutkan perasaan nak putus sedara atau kawan rasanya.

Berniagalah dari hati. Bunyi macam senang tapi sukar untuk di paparkan. Bila saya bertanya kepada suami saya begaimana untuk menulis artikel perniagaan yang baik, beliau menjawap, tulislah dari hati. Jika berniaga semata-mata untuk membalas dendam, hendak membanggakan diri dan sebagainya, hentikan. Uruskan fikiran tentang persepsi berniaga yang betul, pujuklah hati anda supaya membenarkan hati anda cantik, lembut dan manis seperti agar-agar tadi. Saya pernah membaca tentang  Barbara Miller, pemilik Miller Paper Company  yang memulakan perniagaan  didalam usia 60  tahun. Bagi beliau usia bukan penghalang  baginya beliau berniaga dari hati, itu yang penting.

Berniaga dari hati yang sesedap agar-agar tadi pasti akan diberkati, diredhai, percayalah. Selamat Berniaga!

May 16

Resipi Kek Pisang Dengan American Frosting

Saya terbangun dari tidur pukul 4 pagi. Alang-alang dah terjaga, saya tunaikan solat malam dan selepas itu saya mengadap komputer menyambung tugasan. Agak-agak nak masuk subuh, saya iron baju-baju pulak sekejap. Selepas subuh dan bangunkan anak-anak untuk pergi sekolah, saya turun ke bawah menyediakan sarapan. Kalau hari sekolah selalunya anak-anak nak makan yang ringan-ringan aje – so saya buat cheese sandwiches sahaja. Mak mertua saya pulak kata dia nak makan lebihan laksa semalam. Selamat. Lepas anak-anak dan suami ke sekolah dan pejabat, saya selesaikan hal-hal di washing machine dan kemas-kemas rumah sikit. Lepas tu saya naik ke atas menyambung projek Internet saya (nanti dah ready saya akan kongsikan di sini ya).

Tapi dalam pada tu saya terasa-rasa ada benda yang saya tak siapkan lagi. Tapi tak ingat la pulak apa bendanya. Dalam dua jam kemudian baru saya teringat – laaaa kek pisang yang dibakar semalam tak settle lagi… alahai macam mana boleh lupa ni.

Saya bercadang nak letak frosting kat kek pisang tu dan memang bercadang hendak mencuba American Frosting pulak kali ni. Minggu lepas saya tengok kawan saya Rachel Allen (berangan kan!) buat Kek Almond dengan American frosting, rasa teruja pulak nak mencuba. Bahan-bahan untuk frosting tidaklah mahal sangat tetapi teknik yang digunakan perlulah teliti dan yang pasti mesti jauh dari suara riuk-pikuk anak-anak yang tak henti-henti bersembang. Jadi saya pastikan saya buat sebelum mereka balik sekolah.

Resipi American Frosting yang saya guna boleh didapati di http://www.lifestylefood.com.au/recipes/8946/american-frosting

Memandangkan ini percubaan yang pertama, saya terasa amat kekok. Entah berapa kali saya baca arahan membuatnya sampaikan kertas tu dah naik lunyai. Disebabkan gula yang dimasak tak cukup likat, frostingnya tak berapa gebu. Saya yang rasa sedikit ‘frust’ terus naik ke bilik dan letakkan ajer kek di dapur, sapa nak makan  kek ni makan ler, saya bercakap dalam hati.

Tak lama kemudian anak-anak pun balik dari sekolah. Tiba-tiba Alia naik bawak dua hirisan kek dan menjerit, “Mak! Kek ni sedap la , rasa macam kek pisang.”

Saya yang selalunya blurrrr..bertanya balik, “Eh! Ini bukan kek pisang ke?”

“ La! Alia ingatkan kek carrot. ..emmm,” dia menjawab teruja.

Heh, berjaya jugak rupanya attempt saya nak buat frosting ya walaupun tak berapa gebu. Saya suka frosting, walaupun rasanya agak manis tetapi ianya nampak begitu elegant. Kalau anda tak berapa gemarkan pisang boleh saja tukar kepada kek butter ataupun kek badam.

Apapun ini resipi yang saya gunakan untuk kek pisang.

Kek Pisang

Bahan-bahannya

250 gram butter

250 gram gula castor

250 gram telur ( ditimbang dengan kulitnya sekali)

250 gram tepung

¾ sudu the baking powder

2 biji pisang dilenyek

50 gram susu/youghurt

Cara Membuatnya

Pukul butter bersama gula sehingga bertukar warna

Masukkan telur sebiji demi sedikit

Campurkan tepung bersama baking powder

Masukkan pisang

Masukkan adunan tepung ke dalam bancuhan diselangselikan dengan susu/youghurt

Gunakan spatula untuk mengaup kek

Masukkan ke dalam acuan yang telah diglis dan bakar 180 darjah selama 30/40 minit


May 15

Nasi Goreng Dan Laksa

Entah pukul berapa saya tidur semalam tak tahulah. Sedar-sedar pagi tadi saya menjerit memanggil suami kerana hari dah pun pukul 6.40 pagi. “Bang! Macamana ni dah 6.40, baju pun tak seterika lagi! Budak-budak tu semua tidur lagiiiiiii.” Saya panik tak hengat!

“Apa hal la pulak ni, kan ker hari ni hari Ahad.’ jawab sang suami selamba.

“Ha, hari Ahad?? Ingatkan hari Isnin,” sambung saya sambil mengurut dada. Tak pasal-pasal jantung berdenyut lebih kapasiti.

Lepas solat Subuh saya terus menyambung kerja saya di Internet. Tapi tak lama, lepas tu baik punya lentok, boleh sambung tido balik.  Mana tidaknya, tengok orang sebelah berdengkor balik lepas subuh, tak ker jealous jadinya. So saya pun landing semula.

Sedar-sedar balik, sekali lagi  saya menjerit bila tengok-tengok jam dah pukul 10.15 pagi. Janjinya pagi ni nak ke pasar membeli ikan untuk stock-up seminggu.  Terus saya ke dapur nak buat sarapan. Alamak mak mertua pun tak breakfast lagi… mesti dia lapar. Semalam plan nak buat tepek/lempeng tepung makan dengan ikan sardine tetapi alkisahnya dah terrrlambat, tengok pulak  nasi semalam banyak lagi maka taram ajerlah buat nasi goreng.

Hari ni saya buat nasi goreng ala-mak saya. Memang ini kegemaran anak-anak. Tiap kali opah deme datang, mesti deme suruh buatkan nasi goreng. Tapi itu dulu lah. Kini memandangkan opah dah tak berapa nampak dan nak jalanpun kena pakai wheelcha, sahlah saya yang kena take-over.

Nasi goreng ala-mak saya ni sebenarnya menggunakan lebihan sambal belacan. Lebihan sambal belacan tu digaul dengan nasi dan dicampur dengan garam dan sedikit kicap. Kemudian panaskan minyak dan goreng bawang merah ( lagi banyak lagi best ) sehingga terbit baunya. Lepas tu masukkan ajer nasi tadi dan goreng sampai nasi itu garing. Dah pun siap! Cubalah, memang sedap…

Akibat lambat ke pasar, ikan yang segar bugar pun dah habis. Yang tinggal hanyalah ikan-ikan yang dah lembik.  Adoi! Ini manyak susahla…. Suami saya cakap hari ni tak payah masak nasilah, nasi goreng tadi pun menambun banyaknya. Kalau macam tu kita masak laksa ajerla, kena betulla dengan ikan yang lembik tu..hehhe!

Maka laksalah untuk lunch dan buat pengetahuan semua, bila saya balik dari pasar, nasi gorengpun dah tinggal 2,3 jemput ajer dah. Sementara saya masak laksa, sempat lagi saya masak 2 paket sosej untuk anak-anak yang dah kelaparan. Sorry..hari ni jam tak menyebelahi mak, ok…


Lewat malam anak-anak mintak belikan tosei untuk dinner. Saya dan suami pun keluar mencari tosei kegemaran anak-anak di Taj Restoran di SS 12 Subang Jaya. Sedap oooo.

Kemudian dek kerana terlebih rajin  lepas ajer makan malam saya buat pulak kek pisang . Kek dah siap dan nampak sedap dan saya bercadang hendak buat American Frosting untuk menyalut kek besok pagi….. takkan nak makan kek memalam buta ni kan???

May 14

Gejala Buli Terkini

Tadi malam anak bongsu saya  Arissa tiba-tiba menyuruh saya menonton video perihal kisah buli di sebuah sekolah di Kuala Lumpur yang kini hangat diperkatakan. Saya dan suami adalah juga terbaca kisah tersebut di Internet tetapi tak adalah pulak nak ambik kisah sangat sebab dah terlalu banyak kisah-kisah negatif dipaparkan pada waktu ini.

Tetapi apabila saya menonton video tersebut di mana seorang anak perempuan berusia 13 tahun dipukul, dicekik, diherdik, diketawakan dan dipotong rambutnya oleh rakan-rakan sekelas nya, saya jadi terkedu. Tergamam. Marah dan geram pada sipembuli. Kasihan amat pada simangsa. Hilang mood satu hari selepas itu.

Sehingga kini, perlakuan tersebut masih terbayang-bayang di mata saya. Dan saya juga mula Google kisah tersebut untuk mengetahui update terkini. Penuh dan meriah dengan pelbagai komen yang rata-rata mengutuk perbuatan ini. Dan dalam banyak-banyak komen itu, timbul juga cerita dari kebanyakan ibu-bapa yang bercerita kes buli bukanlah kes yang isolated – ramai anak-anak yang menjadi mangsa – cumanya tidak mendapat publisiti sewajarnya.

Sebagai bu, saya memang ngeri dengan keadaan dunia sekarang ini. Dan adalah amat memeranjatkan jugalah apabila saya dapati bahawa keempat-empat pembuli yang terlibat dalam kes video ini hanya diberi amaran dan digantung persekolahan selama 2 minggu. Dan mereka juga dikatakan telah bertemu dengan mangsa bagi memohon maaf secara terus. Pihak ibu bapa pembuli juga telah memohon maaf kepada keluarga mangsa. Semua ini adalah hasil usaha sang Timbalan Menteri kementerian terbabit.

Apapun, saya juga terbaca bahawa para pembuli bergelak ketawa sewaktu memohon maaf – tiada rasa kesal langsung, menurut laporan tersebut.

Membacanya sahaja sudah membuatkan saya naik angin. Saya percaya anda juga begitu (kalau tak marah, sila tonton video tersebut dan bayangkan itu adalah anak atau adik anda). Apa taknya, hukuman digantung sekolah hanyalah 2 minggu (paling berat yang boleh dilakukan kementerian katanya). Kalau saya jadi budak-budak tu, saya juga pasti bergembira dengan hukuman sedemikian rupa… bodoh-bodoh jer dapat cuti, babe!

Dan bagi menambah perisa, simangsa kini dikatakan akan ditukarkan ke sekolah lain. Aikkks!!!Naik darah tak? Dia yang mangsa, dia pulak kena tukar sekolah. Bukan patut keempat-empat pembuli tu ke yang patut ditukarkan ke empat buat sekolah yang berlainan??????

Sang Timbalan Menteri memberi alasan hukuman yang diberi adalah setimpal dan lagipun keempat-empat budak perempuan pembuli ini masih muda dan tak sepatutnya kita menghukum lebih-lebih sangat ditakuti akan merosakkan masa depan mereka. Habis masa depan simangsa bagaimana pulak? Kalau saya yang jadi mangsa dalam video tu, rasanya sampai sekarang saya trauma.

Bukanlah pulak saya menganjurkan seberat-berat hukuman kepada budak-budak tu, tetapi biarlah berpada dan setimpal dengan kesalahan yang dilakukan. Hukuman yang perlu ialah yang dapat memberi kesedaran dan menimbulkan rasa kesal di hati mereka. Bukan bagi cuti!!!!!! Paling kurangpun, suruh mereka buat public apology pada waktu perhimpunan sekolah dan lakukan kerja-kerja kemasyarakatan (community service).

Pada zaman saya sekolah dulu, sekali sekala pada waktu school assembly, akan ada public caning untuk murid-murid yang melanggar undang-undang sekolah. Dan kalau difikir-fikirkan balik, pada zaman itu, hukuman sebegitu dilakukan kepada murid yang ponteng sekolah ataupun ditangkap merokok. Itu kira habis “jahat” lah dah. Sekarang, menurut anak-anak saya, kesalahan sebegitu kira dah tak ada benda…. bayangkan lah!!!!

Sekarang ini, atas alasan zaman dah berubah, ramai ibu bapa sudah tak mampu, tak pandai (dan ada juga yang takut) untuk menghukum anak-anak kalau mereka membuat salah. Dan lebih teruk lagi ada yang dibiarkan berterusan membuat perangai buruk tersebut. Kalau begitu didikan dari rumah, tak heranlah kalau perangai tersebut terbawa-bawa ke sekolah. Dan bila ditegur oleh cikgu, bukan setakat budak-budak tu yang “mengamuk”, tak sikit mak bapak yang turut sama tersinggung. Entahlah.