free wordpress themes Premium Wordpress Themes
Entries RSS

By Category :

Live Traffic

Jumlah Pengunjung

free counters
Jul 31

Ramadhan – Rindu dan Cinta

Selamat Datang Ramadhan. Ramadhan datang lagi, menjenguk lagi dan menyentuh sanubari. Setiap kali Ramadhan datang rasa sebak dan sayu mengenangkan betapa sayangnya Allah meminjamkan detik-detik waktu dari Ramadhan lepas hinggalah berjumpa kembali di Ramadhan ini. Walaupun amal ibadat tidak seberapa namun Allah berikan peluang juga untuk diri ini supaya mengecapai Ramadhan demi Ramadhan.

Telah ada kisah yang mampu menggetarkan ketika Usthman bin Affan mampu mengkhatamkan Al- Quran dalam satu rakaatnya dalam shalat malam di bulan Ramadhan, atau kisah Imam Asy Syafi’e yang mampu mengkhatamkan Al-Quran sebanyak 60 kali dalam satu bulan Ramadhan.

Sungguh berbeza dengan keadaan diri ini….sering merungut jika Imam solat Tarawikh membaca surah yang panjang..sering melengah-lengah untuk membaca al-Quran…rasa berat untuk bersedekah.

Wahai diri jadikanlah Ramadhan sebagai platform untuk memperbaiki diri…ikhlas dan konsisten dalam beribadat…

Rasanya satu hadits ini cukup memberikan motivasi untuk menyambut Ramadhan, sebagai motivasi beramal di bulan Ramadhan :

Nabi Muhammad s.a.w naik ke atas mimbar kemudian berkata, “Amin, amin, amin”. Para sahabat bertanya. “Kenapa engkau berkata ‘Amin, amin, amin, Ya Rasulullah?” Nabi Muhammad s.a.w bersabda, “Telah datang malaikat Jibril dan ia berkata : ‘Hai Muhammad celaka seseorang yang jika disebut nama engkau namun dia tidak bersalawat kepadamu dan katakanlah amin!’ maka kukatakan, ‘Amin’, kemudian Jibril berkata lagi, ‘Celaka seseorang yang masuk bulan Ramadhan tetapi keluar dari bulan Ramadhan tidak diampuni dosanya oleh Allah dan katakanlah amin!’, maka aku berkata : ‘Amin’. Kemudian Nabi Muhammad s.a. berkata lagi. ‘Celaka seseorang yang mendapatkan kedua orang tuanya atau salah seorang dari keduanya masih hidup tetapi justru tidak memasukkan dia ke surga dan katakanlah amin!’ maka kukatakan, ‘Amin”.

Jul 27

Breakfast Casserole

Jika diberi pilihan antara sarapan pagi dan makan malam, semestinya saya memilih sarapan pagi. Tak boleh tidak, perut ini mesti diisi dahulu sebelum memulakan hari yang baru. Pedih ulu hati rasanya kalau perut berkeroncong. Kalau dulu sarapan pagi ,saya mesti pekena nescafee panas kaw-kaw satu mug besar tetapi entah kenapa sekarang dah tak boleh minum nescafee dah, perut nantinya meragam pulak.

Apapun menyediakan sarapan yang sedap dan berkhasiat untuk anak-anak sebelum mereka pergi ke sekolah perlu dititikberatkan. Anak-anak perlu duduk dan makan sarapan sebelum mereka ke sekolah. Sebenarnya, tabiat tidak bersarapan pagi lazimnya akan menjadikan seseorang itu mengambil makanan berlebihan ketika makan tengah hari dan pada waktu-waktu lain. Ini akan mengakibatkan penambahan kandungan kalori dan lemak dalam makanan seharian. Meninggalkan sarapan pagi juga dilihat tidak baik untuk kesihatan kerana selepas semalaman tanpa makanan, ia menyebabkan kandungan glukosa dalam darah menjadi rendah di sebelah pagi.

Kandungan glukosa dalam darah yang rendah boleh membawa kepada pelbagai masalah fisiologi dan fizikal seperti pening, pitam, lesu, lenguh, sakit-sakit badan, mudah marah dan sering dihantui perasaan bimbang.

Kajian ada menunjukkan bahawa

  1. Pelajar dan pekerja yang mengambil sarapan akan menjalankan tugas seharian dengan lebih baik.
  2. Mereka yang mengambil sarapan mempunyai kadar vitamin dan mineral yang tinggi serta rendah tahap kolesterol.
  3. Mengambil sarapan memberikan seseorang itu keceriaan untuk meneruskan hari mereka
  4. Dan dalam jangka panjang, mereka yang mengambil sarapan akan lebih berjaya mengawal berat badan sihat


Ramai yang beralasan tidak punya masa untuk bersarapan dek kerana mengejar waktu. Lama-lama sudah menjadi habit pula tidak makan pagi. Suami saya semasa bujang nya juga begitu dulu. Tetapi setelah mengetahui kepentingan bersarapan apa kata kita berusaha untuk mencuri masa makan pagi. Faedahnya besar ya.

Dan makan pagi ini juga boleh dipelbagaikan dengan resipi-resipi menarik, mudah lagi sihat. Sebagai contoh resipi yang ingin saya kongsikan di sini hari ini…..

Bahan-bahannya:

10 biji telur

3 cawan susu segar

1 sudukecil garam

Lada sulah dan lada hitam

Cheese

Roti

Bawang

1 paket sosej

Cara membuatnya

Carik-carikkan roti ke dalam bekas casserole

Taburkan lada sulah dan lada hitam

Taburkan sosej yang telah dihiris hecil

Taburkan bawang dan cheese

Pukul telur dan campurkan susu bersama garam dan tuangkan aduanan ini ke atas nya

Bakar sehingga warnanya kuning keemasan

Nota#

- Sepatutnya saya menggunakan bawang holland. rasanya akan lebih manis dan sedap

-Anda boleh menggunakan apa sahaja jenis  cheese yang anda sukai

-Sosej boleh diganti dengan daging cincang  ataupun lebihan lauk di rumah

-kesimpulannya, resipi ini boleh di tukar-tukar mengikut citarasa dan kreativiti sendiri….yang penting ianya dapat memberi kelainan menu sarapan.

Jul 25

Tempoyak Fan

Ini bukan fan club ye…saja ajer nak bercerita pasal tempoyak kali ni. Dah dekat nak puasa ni, kalau nak tibai tempoyak ke, durian ke… ini le masanya. Nanti dah puasa, panas badan di buatnya.

Kalau dah orang Perak, tempoyak dah tak boleh dipisahkan. Ibarat lagu dan irama.

Macam-macam cara nak masak tempoyak ni dan yang paling popular ialah gulai tempoyak ikan patin. Hari ni saya masak gulai tempoyak ikan patin dengan timun cina. Sedapnya..tetapi sayang sebab tak sempat nak ambik gambar. Photographer terlupa nak ambik gambar la pulak. Tetapi kalau nakkan resipinya, bolehlah klik disini.

Gulai tempoyak tak perlu gunakan bawang merah. Dulu arwah Opah sedara saya marah betul kalau masak guna bawang. Entah mengapa, katanya kalau masuk bawang , gulainya nanti akan rasa maung. Hilang rasa tempoyaknya. Entah betul, entah tidak tak tau ler. Mungkin jugak lah kot.

Tempoyak juga boleh dibuat sambal kacau dimana tempoyak bersama bahan-bahannya di masak dengan api yang perlahan dan di kacau sehingga ianya pekat. Tak boleh berhenti mengacaunya, takut nanti hangus. Itulah sebabnya dinamakan tempoyak kacau.

Kalau nak cuba bolehlah klik disini

Yang terbaru ni saya cuba pulak tempoyak kacau ‘stail’ orang Negeri Sembilan. Tu dia tempoyak dimasak bersama ulam-ulaman..pedas dan ditambah santan. Aduh…Sedapnya!!

Inilah ulam-ulaman yang saya gunakan. Pucuk ubi, pucuk gajus, pucuk hutan. Ini ajer ulam yang dapat saya cari kat pasar. Sebenarnya, sambal tempoyak kacau sebegini memang kena masukkan petai, barulah ummph!!

Makan sambal tempoyak ni tak boleh dengan banyak-banyak lauk. Nanti tak terasa kesedapan tempoyaknya … Jadi saya masak gulai taucu Ikan merah buat pelengkap hidangan. Apa lagi satu keluarga berkibas kekenyangan.

Jadi, inilah juadah makan tengahari kami sekeluarga pada Ahad lepas..

Jul 18

Definasi Kejayaan

Anda mempunyai impian dan cita-cita dan kemudian setelah berusaha keras anda berjaya mencapainya. Anda tentu gembira dan berpuas hati, bukan? Sudah tentulah begitu kerana segala susah payah dan segala rintangan yang dihadapi akhirnya membuahkan hasil. Apa yang pasti ialah anda kini dilabelkan sebagai seorang yang ‘berjaya’.

Apakah erti ‘berjaya’ bagi anda? Kebanyakan orang mengatakan berjaya apabila mereka berjaya dalam peperiksaan, berjaya memiliki harta yang banyak, berjaya dalam karier dan banyak lagi.

Yang pasti berjaya bagi anda dan orang di sekeliling anda pastinya berbeza.

Istilah ‘berjaya’ sebenarnya mempunyai pengertian yang amat luas. Ini adalah kerana istilah ‘berjaya’ pada diri seseorang banyak bergantung kepada minda separa sedar. Kepuasan ‘berjaya’ adalah berbeza di antara satu sama lain dan anda perlu menerimanya samada anda suka ataupun tidak.

Secara umumnya, ada 5 definasi kejayaan.

Anda berjaya apabila…

1. Anda berasa selesa. Kebiasaannya orang sebegini hanya mahu meneruskan kehidupan yang selesa dengan sebaik mungkin. Mereka tidak suka pada tekanan, cabaran, desakan ataupun konflik. Berjaya bagi mereka ini adalah mempunyai kehidupan yang  boleh dikawal dalam keadaan yang biasa sahaja. Mempunyai pendapatan yang mencukupi hanya sekadar untuk meneruskan kehidupan dan bergembira dengan kawan-kawan.

Mereka yang di dalam golongan ini adalah mampu bertahan pada satu-satu pekerjaan dalam kadar yang lama asalkan mereka tidak diberi tekanan. Mereka gembira meneruskan ‘routin’kehidupan yang sama tanpa jemu. Mereka akan begitu tertekan jika kehidupan mereka yang biasa itu menemui ujian atau dugaan walaupun sedikit.

2.  Anda disukai ramai- Orang yang sebegini inginkan diri mereka diterima oleh orang lain dan akan berusaha untuk mencapai matlamat tersebut. Mereka akan buat apa sahaja, tak kira jika ianya betul atau tidak asalkan mereka disukai ramai. Mereka yang mendefinasikan berjaya di dalam kategori ini tidak boleh dijadikan ketua didalam sesebuah organisasi kerana mereka lebih terdorong untuk menerima apa sahaja permintaan ataupun pandangan orang lain dengan matlamat untuk disukai ramai.

3. Anda rasa anda betul – Mereka yang sebegini puas bila mereka dilabelkan sebagai seorang yang betul 24 jam sehari. Kebiasaannya mereka adalah orang yang pakar di dalam sesuatu bidang seperti professor, peguam dan sebagainya. Kepuasan berjaya bagi mereka adalah apabila mereka sentiasa betul. Sudah tentulah mereka ini tidak boleh dikritik dan tidak boleh menerima idea atau pandangan baru dari orang lain. Elakkan bertengkar dengan mereka ini kerana akhirnya anda pasti perlu mengalah. Bunyi seperti seorang diktator kan? Namun begitu mereka adalah golongan yang akan berusaha bermati-matian dalam banyak hal seperti duit. karier atau membina perhubungan. Ini adalah kerana mereka mahu menunjukkan yang mereka sentiasa betul. Dalam lain perkataan berjaya bagi mereka adalah apabila mereka yang betul.

4. Anda berjaya dengan menang-. Mereka yang di dalam kategori ini adalah seorang yang tinggi daya pencapaiannya. Motivasi utama mereka adalah untuk menang dalam usaha dan matlamat mereka. Mereka tidak mudah mengalah, kuat bersaing, bersemangat tinggi dan akan buat apa sahaja untuk mencapai matlamat mereka. Mereka tidak peduli jika orang lain tidak suka kepada mereka dan mereka suka kepada cabaran dan dugaan kerana itu akan menjadikan merkea lebih puas bila mereka mengecapi kejayaan.

5. Anda berjaya bila anda kalah- Bunyinya seakan pelik, bukan. Mereka yang sebegini merasakan mereka berjaya hanya bila dilihat sebagai mangsa keadaan. Mereka menagih simpati dari semua orang. Apabila keadaan mula menampakkan kemajuan, mereka sering sabotaj diri sendiri dan merendah-rendahkan kebolehan mereka sendiri. Dengan cara itu mereka berasa mereka dapat mengawal keadaan dan seterusnya berasa sudah berjaya. Orang sebegini hidup penuh dengan alasan demi alasan.

Anda berada di dalam kelompok mana?

Jul 08

Menyemai Cinta Remaja

Cinta dan remaja memang tak dapat dipisahkan. Bagi kebanyakan remaja cinta bermaksud bercinta dengan jejaka atau gadis idaman hati sahaja. Bercinta dengan kekasih jiwa raga diibaratkan seperti makan tak kenyang dan mandi tak basah. Angaulah tu…

Tak boleh jugak menyalahkan mereka sepenuhnya , lebih-lebih lagi bila anak remaja disogok saban hari tentang hebatnya cinta yang kekal , abadi , bahagia dan macam-macam lagi. Hebatnya bercinta sehingga mengundang seribu kegembiraan kepada anak remaja dan yang menyedihkan apabila mereka melupakan keluarga terutama sekali ibubapa sendiri.

Wahai anak remaja ,

Cinta itu besar ruangnya dan indah pengertiannya. Cinta sepatutnya membawa kebahagiaan dan jatuh cinta itu bukannya sekali. Boleh dua, tiga atau beberapa kali sahaja. Cintalah apa-apa sekalipun asalkan cinta itu diredhai Allah, pastinya cinta itu nanti  lebih bersih dan menawan. Sebelum anda hendak bercinta dengan gadis atau jejaka lain, cintailah ibubapa anda dahulu. Berikan cinta itu kepada ibubapa dan keluarga dengan sebaik-baiknya kelak  cinta itulah yang akan membawa kebahagiaan kepada anda nanti.

Para ibu-bapa sekelian,

Anak-anak mendambakan cinta dan kasih sayang kita. Mereka mahu kita berada di dalam setiap urusan dan cerita kehidupan mereka. Mereka mahukan kepastian yang ibu-bapa membutuhkan cinta dan kasihsayang dari mereka.

Mari kita menyemai benih cinta, mengolah kelembutan hati, menyiram kasih sayang, menuai cinta dan memetik buah hati antara anda dan anak-anak anda.

Anda sudah bersedia?

Di dalam kehidupan keluarga tak semuanya berjalan dengan lancar sesuai seperti yang kita inginkan. Kadang-kadang masalah muncul dan memerlukann penyelesaian yang bijak dengan melibatkan sebahagian atau semua unsur di dalam keluarga. Masalah bukan untuk dihindari, tetapi untuk dihadapi dengan sikap yang arif.

Kadangkala kita sebagai ibubapa merasa seperti sudah mendidik anak-anak dengan sebaik-baiknya tetapi bila mereka sudah besar panjang, lain pula jadinya.

Saya banyak melihat remaja yang bermasalah datang dari keluarga yang baik dan bersopan santun. Ibubapa menjalankankan tugas mereka dengan sebaiknya dan tiba-tiba bila anak sudah remaja macam-macam hal yang dilakukan. Tak terfikir oleh akal yang waras ini bagaimana dan dari manakah puncanya

Saya juga pernah mendengar pengakuan dari seorang ustaz yang mengatakan kebanyakan remaja yang di tangkap berkhalwat adalah remaja perempuan yang memakai tudung dan remaja lelaki yang bersopan-santun. Takut kan? Kalau sudah sampai ke tahap  dimana kita sudah tidak ada kawalan lagi keatas mereka dimana bila dirumah pijak semut pun tak mati tetapi diluar rumah..Masyaallah!

Itulah pentingnya DOA. Kuasa doa dapat membantu kita dari menghadapi masalah keluarga. Minta dijauhkan  dari musibah begini.

(Dapatkan himpunan doa dan amalan didalam ebook:  Anda Busy Dan Anak Anda Crazy)

Kita sebagai ibubapa perlu menghidupkan diri anak-anak kita dengan nasihat dan selalu ingat mengingati tentang syurga dan neraka. Bukannya menegah dan mengawal tanpa memberitahu mereka apa yang tidak patut mereka lakukan.

Anak-anak yang dididik dengan didikan Islam sewaktu kecilnya juga tidak terkecuali dari menghadapi masaalah sebegini. Bukanlah saya mengatakan tentang kita perlu memberikan kelonggaran terhadap tuntutan Islam kepada anak-anak kita tetapi ia perlu berterusan terutamanya semasa anak-anak remaja sehinggalah mereka sudah berumah tangga dan menjadi seorang ibu atau ayah.

Cuma pendekatan yang berbeza diperlukan samada secara lansong atau tidak. Kalau anak buat salah bila dah berumahtangga perlu ditegur secara berhemah, bukan asyik nak salahkan menantu aje. Ditakuti nanti memberi kesan kepada masa depan cucu-cucu pula. Kita nak hidup bahagia dunia akhirat, kan?

Jiwa anak-anak juga perlu diperhatikan. Ini selalunya adalah kerja seorang ibu kerana naluri seorang ibu terhadap pergolakan jiwa anak memang wujud. Jiwa anak yang kering kontang akan membuatkan anak-anak lari dari kita sedikit demi sedikit. Balik rumah aje , berkurung dalam bilik sendirian. Bila ditanya tak hendak menjawab seperti semuanya tak kena. Itu tanda-tanda jiwa mereka kering ataupun mereka mempunyai kecelaruan jiwa mereka. Kena pulak bila anak remaja suka membanding “kekurangan” keluarga mereka dengan keluarga kawan-kawan sebaya.

Sudah masanya kita berubah demi keluarga. Pupuk cinta sesama sendiri.

Jul 01

Resipi Yorkshire Pudding

Pertama kali saya mendengar tentang Yorkshire pudding, saya ingatkan ia adalah juadah manisan. Tetapi rupa-rupanya ia adalah salah satu ‘side-dish’ yang dimakan bersama daging panggang (roast beef). Nampak macam pelik kan, macam tak boleh nak sekata dengan tekak ni.

Alkisahnya pada malam Ahad yang lepas, rumah saya dikunjungi oleh anak saudara saya yang baru berkahwin…pengantin baru! Memang menjadi kebiasaanlah bagi pengantin baru untuk bertandang ke rumah saudara-mara terdekat untuk memperkenalkan pasangan mereka. Jangan sampai bila dah beranak-pinak nantipun tak kenal dengan saudara-mara baru pulak.

Dipendekkan cerita saya bercadang nak masak Yorkshire pudding bersama’ roast beef’, tetapi memandangkan harga daging terlalu mahal, dah over budgetla pulak, saya pun masak roast chicken ajerlah.  Yorkshire pudding bersama ayam panggang(roast chicken) dan kuahnya(gravy) memang sedap..tak sangkala pulak. Jadi menu saya untuk malam tu ialah sop kacang pis dan roti+salsa sebagai appertizer, ayam panggang bersama kuah,Yorkshire pudding, kentang bakar beserta salad dan untuk pemanis mulut saya hidangkan vanilla aiskrim dan pisang caramel.

Sebenarnya Yorkshire pudding adalah makanan tradisi di Utara England. Bahan-bahan yang digunakan tidaklah banyak dan membuatnya begitu mudah. Adunannya sama saja seperti adunan pancake, cuma ianya tidak manis.

Untuk membuatnya anda perlu pastikan kesemua bahan berada didalam suhu bilik dan acuannya perlulah dipanaskan terlebih dahulu. Menikmati Yorkshire pudding bersama daging panggang dan kuahnya memang sedap. Sambil anda menggril daging, apa kata masak Yorkshire pudding untuk dimakan bersama daging dan kuahnya. Cubalah!

Cara membuat Yorkshire pudding

1 cawan Tepung Naik Sendiri dicampur dengan 1 cawan susu segar dan sebiji telur. Masukkan kesemua bahan ke dalam pengisar dan kisar sehingga bahan-bahan sebati. Sebelum itu panaskan acuan dan sapukan dengan minyak zaitun. Tuang adunan ke dalan acuan dan bakar sehingga warnaya kekuningan.