Kalau ikutkan hati, ringan aje mulut ni nak menyusun ayat untuk membebel. Bila sekali suruh tak bergerak, dua kali suruh pun tak bergerak, kali yang ketiga bersambut, “ye,mak” tapi kerjanya tak berjalan-jalan lagi maknanya secara automatiknya memanglah mulut ni dah nak mula membebel.
Masa saya muda remaja dulu, dua perkara yang saya paling tak suka iaitu kene bebel dan kena banding. Huh rasa macam nak siap baju masuk beg nak lari dari rumah aje. Kalau dulu-dulu, sikit-sikit merajuk nak lari dari rumah tapi tak pernah laripun sebab saja nak tunjuk ‘action’ aje. Sekarang ni bila saya dah jadi seorang ibu, perkara yang saya selalu ingatkan kepada diri saya ialah jangan buat perkara itu lagi kepada anak-anak saya. Saya tak nak anak-anak saya rasa apa yang saya rasa dulu. Tak nak hati anak saya terluka kerana kesannya bukan sedikit dan dan nak sembuh pun ambil masa yang lama.
Tetapi bila anak dah besar panjang, dalam sedar tak sedar saya membebel la jugak. Kadang-kadang tu tak sedar atau saya dah kehabisan idea macamana nak suruh anak-anak buat kerja rumah. Mana tidaknya bilik yang rupa tongkang pecah tak berkemas. Saya jugak yang kena kemas. Bila dah berkemas, elok pulak anak-anak melepak-lepak di bilik mereka. Suruh buang najis kucingpun , masing-masing menuding jari sesame sendiri. Orang ni kata kakaknya punya giliran, yang si adik pulak kata kakak punya giliran. Akhirnya yang terpaksa mencium bau busuk sapa lagi kalau tak saya.
Bila sama-sama tonton Masterchef Malaysia, masing-masing kemain bersemangat tapi nak angkat pinggan ke dapur pun susah.
Orang kata berleter ni tandanya sayang. Betulla sayang sebab kita berleter ni pun kat orang yang kita sayang. Tak derla pulak saja-saja nak berleter kat orang yang kutip sampah kat depan rumah kita. Silap haribulan dihumbannya kembali sampah tu kat kita.
Tetapi tahukah anda bila kita berleter kepada anak-anak, tak ada apa-apa kesan kebaikan kepada mereka dan juga kita. Remaja benci apabila dileter. Perasan tak kalau anak remaja kita kena leter dan mereka buat jugak kerja tu, macamana rupa muka mereka. ? Tentulah masam mencuka dan silap haribulan boleh buat kerja sambil menghempas-hempas barang lagi.
Adakah mereka akan buat kerja itu dengan sempurna atau mengulangi kerja yang sama nanti tanpa dileter? Jawapan yang sebenarnya adalah tidak. Kalaupun mereka ada lakukan mungkin kerana mereka takut, tak ikhlas dan yang paling ditakuti mereka mula membenci kita. Dan perkara ini akan berulang-ulang sehinggalah mereka dewasa.
Latihlah anak anda supaya menjadi seorang yang bertanggogjawab ke atas tugasan yang dilakukan. Yang penting kita sebagai ibubapa , termasuklah saya sendiri kena berhenti dari membebel.
Saya cadangkan supaya kita menulis tugasan anak membuat kerja rumah dan tegas terhadap tugasan tersebut. Kalau mereka gagal melaksanakan tugasan tersebut, berilah hukuman yang setimpal seperti tak boleh pergi rumah kawan atau sebagainya. Tulis perkataan ‘X’ besar-besar jika mereka tidak melaksanakan tugas mereka.
Tak perlu membebel sebab kalau kita mula membebel, secara tidak sedar anak tidak dapat memberitahu kepada diri mereka sendiri tentang kesalahan yang mereka telah lakukan. Apa tidaknya, kalau dah membebel tak henti-henti, kucingpun boleh pening kepala.
Bila anak-anak semakin besar dan mereka keluar bekerja nanti, tak ada siapa yang akan mengingatkan mereka pukul berapa nak bangun dan pergi kerja dan sebagainya. Mereka akan tahu sendiri dimana kalau lambat pergi kerja , boleh kena buang kerja. Jadi mereka tahu untuk menyesuaikan diri dengan peraturan dan dapat bekerja dengan ikhlas.
Apabila ibubapa ‘treat’ anak-anak sebagai orang dewasa seperti yang mereka mahukan, saya rasa mereka akan lebih cepat matang dan anda akan terkejut dengan kebolehan mereka nanti.
Tanpa bebelan dan jeritan, anak-anak akan lebih senang melaksanakan tanggungjawab mereka di kemudian hari.