free wordpress themes Premium Wordpress Themes
Entries RSS

By Category :

Live Traffic

Jumlah Pengunjung

free counters
Jan 30

Pie Kentang Berinti Ayam

Ini adalah antara pie yang paling senang di buat. Hanya gunakan kentang kuning menggantikan pastri. Boleh juga menggunakan kentang  USA yang lembut dan gebu tu tapi memandangkan stok kentang tersebut  dah habis maka saya guna sajalah kentang  kuning. Not bad jugak rasanya.

Sebenarnya pie ini boleh menggantikan nasi. Makannya kenyang macam makan nasi jugak. Cuma pandai-pandailah menokok tambah intinya. Boleh ikut budget sendiri. Kalau ada budget lebih boleh tambahkan cheese. Resepi Shepherd Pie pun lebih kurang begini juga cuma ia menggunakan daging kisar sebagai inti. Kentangnya dilenyek halus dan dicampurkan dengan susu dan butter. Berbeza dengan pie kentang ini, saya potong-potong aje ubi kentang tu dan taburkan dengan garam dan lada sulah. Tak kuasa saya nak lama-lama duduk  di dapur hari ni. Cuaca kan panas.


Pie Kentang Berinti Ayam


Bahan-bahannya:

5/6 biji kentang kuning

4 sudu mentega

4/5 ketul isi ayam

4 cendawan shitake (dipotong halus)

2 batang leek

200 ml susu segar

2 sudu tepung gandum

sedikit Lea & Perins

2 helai daun bay

Sedikit lada sulah dan garam secukup rasa


Cara membuatnya:

Kupas kulit kentang dan rebus sehingga empuk

Di dalam kuali panas masukkan 1 sudu mentega dan masukkan isi ayam

Apabila isi ayam sudah berwarna perang, masukkan cendawan

Kemudian masukkan sayur leek , lea & perrins, daun bay,lada sulah dan garam

Masukkan tepung dan kacau rata

Akhir sekali masukkan susu dan kacau sehingga ianya pekat

Angkat dan letak disebelah

Apabila kentang sudah lembut, toskan

Potong memanjang, taburkan garam dan lada sulah

Letakkan inti ayam di dalam bekas dan tutupkan ia dengan hirisan kentang tadi

Sapukan mentega di atas kentang dan bakar pada suhu 180 c selama 30 minit.

Jan 27

Gulai Lemak Ayam Cili Padi Besama Pucuk Ubi Bersanggul

Gulai lemak ayam cili padi memang sinonim dengan masakan orang Negeri Sembilan. Pedas, lemak dan sedap. Pedasnya mestilah seimbang dengan masam dan lemak santannya. Selalunya kalau orang Negeri Sembilan, mereka  memang berkira dengan bahan-bahan yang digunakan  untuk memasak gulai lemak ini. Cabai yang digunakan mestilah yang jenis pedas dan tidak berasa payau. Saiz cabainya kecil tetapi pedasnya., berasap telinga eden. Kunyit yang digunakan mestilah kunyit hidup dan santan mestilah diasingkan antara santan pekat dan santan pemancar (cair).

Kita sekarang mana nak buat macam itu lagi. Santan pun beli yang dah siap diperah. Cili padi guna yang siam punya. Kunyit pulak , tuang yang serbuk aje. Mana kan sama dengan yang aslikan. Tak hairanlah rasa dan rupa gulai lemak orang Negeri Sembilan lain dari yang lain. Saya pernah makan gulai lemak ayam cili padi bersama nangka masakan orang Negeri Sembilan.  Di masak menggunakan kayu api pulak. I tell you…rasanya memang lain.

Yang ini adalah masakan kegemaran saya. Mungkin agak jarang menggunakan pucuk ubi yang dimasak sekali dengan ayam. Selalunya pucuk ubi dan ayam di masak berasingan. Samada gulai lemak ayam atau gulai lemak pucuk ubi. Jadi kali ini saya gabungkan pucuk ubi dan ayam didalam satu periuk.

Pucuk ubi mestilah direbus dahulu sehingga ianya lembut. Kemudian ianya mestilah di basuh supaya keluar rasa pahitnya. Selepas itu ambil 2/3 helai pucuk ubi tadi dan disimpul-simpulkan seperti ala-ala sanggul. Barulah cantik gulai itu nanti. Selalunya saya kisar sahaja  cili merah, cili padi , bawang merah, bawang putih, halia, kunyit hidup dan serai( kalau nak dititikkan pun tak apa).

Masak dulu bahan-bahan yang dikisar bersama asam keping sehingga ianya menggelegak (mendidih). Dengan cara ini, ia dapat mengelakkan rasa payau cili. Kemudian baru masukkan santan dan kacau sehingga ianya agak pekat. Masukkan ayam dan garam bersama sedikit gula. Biarkan kuah mendidih dan barulah dimasukkan pucuk ubi yang sudah disimpulkan lagi. Masak sehingga minyak dari santan naik dan melekat di ayam. Maknanya sehingga kuah pekat. Selepas itu bolehlah dihidangkan bersama nasi dan telur masin (telur asin). Ok dah tahu cara membuatnya, sekarang mari kita tengok bahan-bahanya pulak. Tetapi bahan-bahan ini tak semestinya kena tepat kerana setiap bahan tak serupa rasanya. Ala lagipun apa susahnya, ikut aje citarasa sendiri. Boleh kurang dan lebihkan sisi sana..no problem.

Gulai Lemak Ayam Cili Padi Besama Pucuk Ubi Bersanggul

1 ekor ayam dipotong 16 atau 18

1 cekak pucuk ubi

800 gram santan (1 kilo dikurangkan sedikit)

2 keping asam keping(asam gelugor)

gula dan garam secukup rasa

Bahan-bahan untuk dikisar

3/4 iji cili merah

20/25 biji cili padi

2 ulas bawang merah yang kecil

2 ulas bawang putih

1/2 inci halia

2 batang serai

2 inci kunyit hidup

( Bilangan cili bergantung pada pilihan sendiri. Kalau nak gunakan semua cili padi pun boleh. )

Jan 26

Spaghetti Black Pepper

Minggu ni cuti panjang lagi. Boleh la berlunjur kaki, merelaxkan diri atau boleh pergi jalan-jalan.  Bagi saya minggu ni saya bercadang untuk ke  pasar  membeli barang-barang basah. Selalunya saya membeli barang-barang basah setiap dua kali sebulan.  Senang dan menjimatkan.

Jadi semalam adalah hari mencuci peti sejuk.  Peti sejuk perlu di bersihkan. Mana-mana makanan atau barang-barang yang tidak boleh digunakan lagi mestilah di buang manakala barang-barang yang boleh diselamatkan lagi bolehlah dimasak. Cuci punya cuci maka terjumpalah bahan-bahan untuk memasak spaghetti. Ada la 5/6 ekor udang yang boleh dibuat rencah dan sedikit sayur-sayuran . Nampaknya resepi hari ni adalah spaghetti black pepper.

Resepi ni main ikut suka hati aje . Ikut apa barang yang ada dalam peti sejuk. Makanya resipi ini ikut rasa tekak sendirilah (anggarannya ikut suka lah ye). Memasak spaghetti black pepper ni , selain dari sedap mestilah wangi..semerbak bau lada hitamnya. Saya menggunakan biji lada hitam (fresh) saja. Yang dalam botol tu tak berapa ummph..kurang wangi dan sedapnya.

Mula-mula panaskan minyak dan tumis bawang putih. Selepas terbit bau wanginya, masukkan lada hitam yang telah ditumbuk tadi. Kemudian masukkan kicap dan bila dah wangi masukkan sedikit air. Hati-hati jangan sampai lada hitam itu hangit. Selepas itu bolehlah masukkan rencah, sos tiram, sayur-sayuran, cendawan dan apa-apa sajalah yang sesuai.  Masukkan spaghetti yang telah direbus, sedikit garam, daun bay dan akhir sekalu tuangkan sedikit minyak zaitun. Dah siap!

Jan 22

Pajeri Nenas

Ada juga orang yang memanggilnya paceri nenas. Apa yang membezakan antara pajeri nenas dan paceri nenas? Saya pun tak tahu… Tengok resipinya macam sama aje. Mungkin nama panggilannya aje yang tak sama kot. Pajeri ni sebenarnya adalah salah satu masakan yang begitu unik. Kalau  orang dulu-dulu, mereka memasak pelbagai jenis pajeri dari segala macam sayur-sayuran dan buah-buahan.  Ada pajeri macang, remenia, kuinin,jantung pisang, terung dan macam-macam lagi . Jadinya pajeri ni memang antara lauk-pauk yang ‘simple’ dan memang dipadankan dengan nasi putih.

Bagi saya pajeri dimakan dengan ikan goreng memang ‘meletop’. Tak perlu banyak lauk pauk kerana ianya sedap dimakan kering tanpa kuah yang banyak. Yang penting bila kita makan pajeri ,kita boleh rasa kesedapan kuahnya gandingan rempah kari, udang kering dan kerisik. Pajeri yang betul-betul sedap akan menghasilkan aroma yang wangi dan melekat kat tangan. Lepas basuh tangan pun baunya susah untuk hilang.

Tapi sekarang pajeri nenas salalu digandingkan dengan nasi minyak atau apa-apa jenis nasi orang kenduri kahwin. Macam tak ‘best’ pulak sebab rasa nasi minyak akan menghilangkan rasa pajeri itu sendiri. Terasa seperti satu yang tak kena . Tetapi mungkin sebab pajeri pun dah dikomersialkan, rasanya pun dah agak sedikit lari dari yang asalnya.

Warna pajeri memang agak gelap dan kuahnya tidak begitu banyak. Bak kata orang kuahnya ‘acap-acap ‘ aje. Tak jadi pajeri kalau tak ada udang kering dan kerisik. Kalau tak ada stok udang kering dan kerisik, tak payah le masak pajeri, ye… Sebenarnya masak pajeri ni macam masak kari je , cuma ditambah dengan udang kering, kerisik dan gula merah. Kena masak lama-lama sikit supaya minyak dari kari tersebut akan menggaringkan udang kering.  Selamat mancuba!

Pajeri Nenas

1 biji nenas saiz kecil (dikupas , dibuang matanya, dipotong serong dan dibuang empulurnya)

1 batang kulit kayu manis

2/3 kuntum bunga lawang

2 labu bawang merah, 1 1/2 inci halia,3 bawang putih(dimayang halus)

sedikit minyak untuk menumis

sedikit air panas

500 gram santan pekat

3/4 sudu besar rempah kari daging

2 sudu besar rempah cili

2 sudu besar gula merah

secubit asam jawa

segengam udang kering (ditumbuk halus)

2/3 sudu besar kerisik

Cara membuatnya:

Panaskan minyak

Masukkan kulit kayu manis dan bunga lawang

Masukkan bahan-bahan yang dimayang

Bila sudah wangi masukkan air panas yang menggelegak

Masukkan rempah kari , serbuk cili dan air asam jawa

Masak sehingga rempah kari terbit minyaknya

Masukkan udang kering dan biarkan dalam 5/6 minit

Masukkan nenas

Masukkan santan, gula merah dan kerisik

apabila nenas sudah lembut, masukkan garam.

( Air panas digunakan untuk memudahkan kerja. Dengan menggunakan air panas rempah kari lebih cepat garing dan minyak yang keluar akan lebih cantik. Gunakan teknik ni untuk memasak apa-apa lauk kari)

Jan 21

Santai Sunday – Pasar Seni (Central Market)

Weekend kali ni kami tak ke mana-mana. Lepak-lepak makan minum je kat rumah.Kira macam sessi mengembangkan badan sepenuh masa la. Apapun untuk ruangan Santai Sunday saya kali ni, saya nak bercerita perihal kisah kami ke Pasar Seni beberapa Ahad nan lalu.

Bercerita pasal Pasar Seni ni ataupun Central Market ni (CM), memang saya akui kami jarang-jarang sangat ke sini. Bukan apa, mungkin dek kerana lokasinya di tengah-tengah KL membuatkan kami jarang ke sini. Lainlah masa saya (dan juga suami saya) belajar di kolej dulu. Kalau turun kat bus stand klang yang sepelaung jer tu, saya akan meninjau-ninjau la jugak ke CM ni especially kalau banyak masa lagi sebelum berkejar ke Puduraya untuk naik bas balik ke Kampar.

Jadi entah apa mimpinya hari tu, lepas kami jalan-jalan ke Ikea (yang penuh dengan manusia dan macam dah kurang oomph la plak kat situ), suami mengajak kami check out CM. Saya ikutkan aje lagipun bukan saya yang memandu. Anak-anak pulak nampak macam tak teruja sebab dia orang macam tak tahu apa yang boleh dijangka (Saya pun tak ingat whether kami pernah bawak dia orang ke CM).

Dan CM memang lain dari yang lain, maklumlah dah lama tak ke situ. Anak-anak saya pula – terutama Alia dan Arissa yang memang gemarkan arts – terlebih excited melihatkan pelbagai barangan tradisional dan lukisan yang tersedia di situ. In fact, both of them sempat mencanteng batik sewaktu di situ. Dan anak saya yang seorang lagi Asma yang gila membaca pula habis hati bila terjumpa sebuah kedai second hand books. Everybody happy!!

Sewaktu anak-anak sibuk mencanteng batik kami berjalan-jalan di kawasan sekitar dan tanpa disangka-sangka, sempat membeli sebuah painting untuk living hall kami. Alahai.  Apapun it was realy a good trip. Very Malaysiana!

Jan 18

Pai Epal

Semerbak bau wangi satu rumah tatkala  saya membakar pai epal ni. Tak pernah saya mencuba membuat resepi ini disebabkan sebelum ini saya dan anak-anak tidak suka makan pai epal yang dibeli.  Hanya suami seorang aje yang sukakan pai epal.  Itulah kebaikannya bila kita memasak sendiri dirumah. Yang tak suka pun jadi suka . Kadang-kadang makan nasi dengan telur goreng ditabur kicap lebih sedap dari makan di luar.

Pai Epal yang saya buat ni bukanlah pai yang tradisional . Kulitnya (Pie Crust) saya beli yang dah siap . Kiranya ala-ala short-cut la. Tapi apa salahnya kan , pakai kulit yang instant pun sedap jugak. Selalunya sedapnya pai epal dinilai  dengan kulit dan intinya. Kulitnya mestilah rapuh dan berkeping-keping dan intinya mestilah ‘moist’.

Pada  abad yang ke 14 dahulu, kulit pai epal tidak mengandungi sedikit pun gula. Disebabkan susah sangat nak dapatkan gula dan terlalu mahal, kulitnya hanya sekadar tepung yang tawar dan tidak boleh dimakan. Makan intinya sahajalah. Lebih sedap lagi bila ianya dimakan bersama ais krim vanilla dan krim.

Sebenarnya resepi pai epal ni saya dapat dari resepi yang diberi oleh kawan karib saya semasa kami lepas habis SPM bertahun-tahun yang lampau. Orang dulu-dulu mana ada Internet. Nak tak nak kenalah menulis surat. Kena pergi pejabat pos untuk beli setem dan mengeposnya . Masa lepas SPM dulu, konon-kononnya nak mengasah bakat memasak, jadi kawan saya Doreen selalulah menghantar resepi. Dekat mana diciloknya resepi ni tak taula. Masa dulu saya mana pandai beli buku resepi. Kalau nak dapatkan resepi pun kena tanya sedara mara atau salin kat televisyen. Nak menambahkan cabaran, pada zaman tu, punyalah kedekut orang nak kongsi resepi. Macam nak bagi emas. Entah mengapa pulak kan??!

Kat bawah ni la resepi yang Doreen salin. Tengok tu, tulisannya pun lintang pukang. Tak cukup kertas agaknya. Doreen dengan saya ni satu kepala. Selain dari suka tiru meniru homework masing-masing, kami suka memasak. Kalau dulu orang lain sibuk menyalin lirik lagu kat belakang buku rampaian tapi kami ni salin resepi. Lepas tu kami akan buat eksperimen dan semestinyalah kat rumah saya. Selalunya saya kagumla dengan kehebatan Doreen buat pelbagai jenis biskut. Ingat lagi tak , Doreen?

Pai Epal

Kulitnya beli aje..kat Mydin berlambak

Intinya

5/6 biji epal hijau bersaiz sederhana

1.2 cawan gula

2 sudubesar tepung serbaguna

1/2 sudu kecil serbuk kulit kayu manis

2 sudu besar mentega

1 sudu besar gula untuk ditabur

Sedikit kismis dan perahan  dan parutan kulit lemon

Campurkan kesemua kecuali perahan lemon

Gaul hingga sebati dan masukkan perahan lemon

Letakkan inti diatas kulit pastri dan lipat

Tekan dihujung bucunya dengan garpu

Sapukan kuning telur dan taburkan gula

Bakar

Jan 16

Acar Telur

Acar telur memang pilihan lauk yang sesuai untuk apa jenis perayaan sekalipun . Boleh dihidangkan bersama nasi minyak, nasi lemak atau nasi putih. Boleh juga dimakan bersama roti dan diratah begitu sahaja. Resepi acar telur agak berlainan sedikit dengan sambal tumis telur kerana ianya menggunakan kismis dan cuka.   Cili kering kisar yang digunakan mestilah masak betul-betul dan garing. Oleh sebab itu , acar telur boleh disimpan untuk beberapa hari.

Saya mula menyukai  acar telur pada hari perkahwinan saya. Acar telur dihidangkan bersama lauk pauk pengantin. Siapa sangka dalam banyak-banyak lauk pauk pengantin, acar telurlah yang paling saya suka. Pada masa tu, sepupu suami saya Iza yang membuatnya. Memang sedap dan acar telur memang dah jadi trade mark dia lah. Tetapi sampai sekarang saya tak berkesempatan (malulah) nak bertanyakan resepi acar telur beliau. Iza…if you read this, share lah resipi yang sedap tu…

Acar telur juga adalah salah satu lauk kegemaran mak saya. Kalau boleh tiap-tiap hari beliau nak makan acar telur. Bila dimakan bersama nasi putih yang panas, anda tidak memerlukan lauk-pauk lain lagi. Kalau tiba-tiba tetamu datang dan anda tak tahu nak masak apa, cubalah masak acar telur ni. Mudah, murah dan pastinya sedap.

Bahan-bahan yang digunakan di dalam acar telur ini saya olah dari gabungan sambal telur dan acar buah-buahan. Kismis yang di kisar, gula dan cuka menjadikan sambalnya cantik dan sempurna rasanya.

Acar Telur

5 biji telur (direbus dan dikupas kulitnya)

2 sudu besar cuka

garam dan gula secukup rasa

Bahan-bahan untuk dikisar

10-15 tangkai  cili kering

1 sudu teh jintan manis

2 sudu besar kismis

2-3 biji buah keras

2 labu bawang merah

Bahan-bahan tumisan

1 kulit kayu manis

2 bunga lawang

2 ulas bawang putih

1 inci halia

1 labu bawang merah

(kesemua bawang dan halia dihiris halus)

Bahan-bahan untuk hiasan

kismis dan bawang putih

Cara membuatnya

Goreng telur sehingga warna keperangan

Tumis kesemua bahan-bahan tumisan

Apabila sudah wangi masukkan bahan-bahan yang telah di kisar

Masak sehingga warna cili bertukar menjadi warna yang lebih gelap

Masukkan gula dan cuka

Masukkan kismis dan bawang putih sebagai hiasan

Akhir sekali masukkan garam dan telur.

Gaul telur seketika supaya ianya mesra dengan kuahnya.