free wordpress themes Premium Wordpress Themes
Entries RSS

By Category :

Live Traffic

Jumlah Pengunjung

free counters
Feb 28

Santai Sunday – Wedding Dan Wedding Lagi

Dah lama Santai Sunday ni tak timbul. Hajat dihati nak kekal update Santai Sunday tiap-tiap minggu tapi apakan daya kerana sibuk dan menyibukkan diri kat kenduri kahwin sedara mara makanya  kita combine ajelah semuanya dalam satu entry ni.

Tahun ni banyak pulak kenduri kahwin sedara mara. Paling seronok bila pergi kenduri kendara ni ialah bila berjumpa sedara mara yang dah berabad tak berjumpa. Macam-macam benda yang nak disembangkan. Kadang-kadang tu dalam satu masa semuanya nak bercakap, havoc, haru semua ada.

Kena pulak semua kenduri tu dari keluarga rapat sebelah saya dan suami. Ada yang dekat dan ada yang jauh tapi Alhamdulillah tercapai jugak hajat saya nak menghadirkan diri di  semua majlis tersebut.

Bermula dengan majlis perkahwinan Ain dan Amin di Gombak. Ain ni anak perempuan kepada bapak sedara suami saya. Kiranya Ain ini sepupu suami sayalah. Dua hari sebelum majlis perkahwinan, kami anak beranak meredah jam jugaklah nak sampai ke Gombak. Menolong sana sini mana yang patut dan dalam pada itu sempat jugak saya buatkan muffin durian atas permintaan mak-mak dan bapak-bapak sedara yang pengidap kencing manis.  Kalau dah berkumpul ramai-ramai ini la masa nak taram segala makanan yang kena pantang. Dah tak ingat dengan pantang larang dah. Semua di makan.

Upacara perkahwinan Ain dimulai dengan majlis akad nikah di Masjid. Segalanya berjalan lancar ..on time. Ini kami suami isteri bersama Wanchik dan Wan Chu, mak-mak sedara suami saya yang cool!

Deco di dalam khemah. Kemas dan terasa seperti di dalam dewan.

Keluarga saya bersama Ain dan Amin.


Sekarang kita tinjau pulak majlis kedua ….


Kenduri kahwin yang kedua ni telah berlangsung di Air Hitam Labu, Kampar, Perak.  Dulu saya bersekolah rendah di sana kerana bapa saya mengajar disana. Kalau bapa saya ada urusan  sekolah di Ipoh, saya   dihantar ke rumah abang bapak saya (arwah Pak Lodin) berdekatan sekolah – jadinya kira port melepak saya lah.  Kalau petang-petang, saya selalu bermain kejar-kejar dengan sepupu saya Pilus dan kawan-kawan sekolah saya.

Namun semasa majlis tempoh hari,  saya sampai agak lewat sedikit sebab jalan jam (kerana Tahun Baru Cina), tak ada rezeki nak berjumpa dengan kawan-kawan lama.

Oh ya, lupa pulak nak cerita – pengantin perempuan adalah anak sulong sepupu saya yang pakai baju coklat tu, Kak Nong. Beliau adalah antara sepupu yang rapat dengan saya. Kena pulak Kak Nong berkahwin dengan Abang Man iaitu dua pupu sebelah mak saya pulak. Maka makin rapat lah kami.

Saya dan suami bersama Kak Nong dan Abang Man

Kak Piah dan Wan Edah . Growing up, I have fond memories with them….


Okay kini tiba pula update majlis ketiga…


Kenduri kahwin antara Faisal dan Safiyah   ini berlangsung pada minggu yang lepas di Pengkalan Pegoh, Ipoh, Perak. Faisal adalah anak lelaki kepada mak sedara suami saya yang kami panggil Mak Kecik.  Ini seperti majlis menyambut menantu lah. Tahniah Mak Kecik dan Pak Kecik dapat menantu yang kedua.

Seperti biasa makan, lepas tu bersembang dan tak tau nak balik cepat. Sampai semua tetamu dah balik barulah kami mengundur diri.


Gambar beramai-ramai bersama kedua mempelai. Nak ambik gambar pun masih nak bercakap. Dua orang bapa saudara didepan yang duduk tu adalah Ayah Anjang (bersongkok hitam) dan Ayah Chik (berkopiah putih). Yang lain-lain tu adalah sepupu sepapat dan seorang anak saudara Sabrina ( sebelah Alia)

Feb 26

Sup Tortilla / Tortilla Soup

Daripada wrap ke taco dan bermacam-macam lagi resepi yang boleh menggunkan tortilla, saya semakin menggemari  makanan kegemaran orang Mexico ini.  Ianya sungguh ‘versatile’ kerana tortilla boleh diolah menjadi resepi untuk sarapan, makan tengahari, makan malam ataupun makanan ringan. Pelbagai resepi yang menarik dan sedap boleh dihasilkan dari tortilla. Nanti akan saya ‘share’ bersama anda semua .ok!

Saya  terpanggil untuk mencuba resepi sup tortilla ini kerana ia menggunakan avacado. Teringin pulak nak merasa sup yang menggunakan kombinasi rasa lemak avocado, tortilla, daun ketumbar dan cili.


Sup tortilla ini dimakan bersama tortilla yang di potong memanjang dan digoreng  dengan minyak zaitun  dan ditaburkan garam. Supnya dimasak menggunakan ayam , tomato, avocado , cili dan bahan-bahan lain.   Tortilla yang telah digoreng tadi  ditabur bersama hirisan avocado , daun ketumbar di atas sup. Nampak begitu menarik dengan pelbagai warna dan yang penting ianya begitu berkhasiat.

Memandangkan anak-anak saya terkial-kial  semasa makan sup ni. Almakhlumlah  bila bahan-bahan tu nampak dek mata kasar, adalah yang memilih nak makan yang itu dan tak nak makan yang ini. Maka saya pun ambil semua sup tu dan saya kisarkan . Puas hati. Siap dengan tortilla yang ditabur diatas sup, saya kisar sekali. Bila makan kesemua bahan ada sekali .

Maka inilah jadinya sup tortilla saya yang sudah di olah menjadi sup tortilla bercream pulak. Boleh tahan pulak rasanya kerana bau wangi tortilla dan rasa bahan-bahan lain sungguh serasi bila disatukan.

Sup Tortilla

2 biji bawang holland (dipotong dadu)

2 biji bbawang putih (dicincang halus)

2 biji cili merah (dihiris)

4 biji tomato(dipotong empat)

1 liter stok ayam

2 keping tortilla

250 gram isi ayam

2 biji avocado ( dikupas dan dipotong)

Secekak daun ketumbar

1 biji lemon

Sedikit minyak zaitun

Garam secukup rasa

Cara membuatnya:

Rebus isi ayam sebentar dan potong mendadu, ketepikan

Panaskan minyak zaitun dan tumis bawang holland, bawang putih dan cili merah

Masak selama 5 minit

Masukkan tomato dan masak lagi selama 10 minit

Tambahkan stok ayam dan isi ayam dan reneh sup selama 20 minit lagi.

Masukkan garam dan rasa sup.

Masukkan separuh dari avocado ke dalam sup dan padamkan api

Sementara itu panaskan sedikit minyak zaitun dan goreng tortilla sehingga garing.

Angkat dan toskan dan kemudian taburkan garam diatasnya

Ambil sup yang masih panas, masukkan kedalam mangkuk dan taburkan tortilla tadi bersama hirisan avocado dan daun ketumbar.

Akhir sekali perahkan lemon ke atas sup.

Feb 22

Banana Split Cupcakes

Craving for something sweet? Anggaplah cupcake ini boleh menjadi pengubat kepada anda yang mengidam nak makan manis. Selalu bila  banana split tu , apa yang terfikir adalah banana split ice-cream kan. Tapi yang ini telah diolah menjadi cupcakedengan menggunakan rupa yang seakan sama tapi rasanya agak berlainan la sikit. Lebih praktikal untuk dihidangkan kepada tetamu ataupun sebagai juadah untuk majlis harijadi anak-anak.

Saya memang dah lama nak share resipi ni dengan anda semua. Ideanya datang bila saya tengok cupcakes ni di televisyen. Maka saya terfikir untuk mengolah resepi Butter Cake untuk dijadikan cupcakes untuk banana split ini. Resipi butter cake tersebut saya masukkan pisang yang dihiris memanjang. Jangan hancurkan pisang tersebut, biar bila kita makan cupcake ini nanti kita seperti terasa makan pisang  segar seperti yang selalu diletak diatas banana split. Jadi anda boleh gunakan resepi Butter Cake tersebut dan masukkan adunan ke dalam acuan cupcakes.

Untuk membuat frostingnya ,saya gunakan  buttercream. Lebih sedap kalau menggunakan whipped cream tetapi kebetulan tak ada cream didalam peti sejuk saya ,maka saya menggunakan buttercream frosting sahaja. Lain kali saya akan menggunakan whipped cream kerana kombinasi cream, pisang dan coklat  akan memberi rasa ‘sundae’ yang sebenarnya. Tetapi menggunakan butter cream frosting akan memudahkan anda menghidangkan cupcakes ini.  Sebabnya  ia tidak akan cepat meleleh dan saya rasa anak-anak lebih sukakan rasanya yang agak manis sedikit.  Terpulang kepada citarasa dan kesesuaian sendiri.

Untuk menghias kek ini anda boleh menggunakan chocolate rice ataupun segala benda yang boleh ditabur menggantikan kacang. Cherry boleh diganti dengan strawberry ataupun buah cherry yang ada tangkai kat atas tu. Dah lupa pulak namanya. Apapun bagi saya banana split cupcake ni bukan sahaja cantik tetapi sedap dimakan.

I hope you love this  banana split dessert recipe as much as I do. I know I’ll be making it again and again.

Banana Split Cupcakes

Resepi cupcakes, gunakan resepi Butter Cake ini dan tambahkan 4 biji pisang emas atau berangan ataupun apa-apa jenis pisang yang sesuai. Masukkan pisang semasa peringkat yang akhir sekali supaya pisang tersebut tidak hancur.

Buttercream frosting

250 gram butter

250 gram gula icing

2/3 sudu besar susu segar

Cara membuatnya:

Pukul kesemua bahan sehingga sebati. Rasa dan tahap kelikatan (consistency) adunan boleh ikut suka hati sendiri. Kalau nak kurangkan manis boleh kurangkan sedikit gula icing. Kalau nak cair sikit , boleh tambahkan sedikit lagi susu.

Untuk membuat chocolate ganache, boleh Klik Disini.


Feb 20

Ikan Sardin Bersama Cendawan Dan Lada Benggala

Sebenarnya saya tak tau nak bagi nama apa dekat resepi ini. Nak bagi nama ikut nama artis nanti marah pulak artis tu. Nak bagi nama yang ada unsur-unsur politik, nanti ada pulak tanggapan negatif kan.

Tetapi the truth is that  ikan sardin ni terutamanya yang kat dalam tin tu dianggap lauk penyelamat. Kalau ada ‘emergency’ ataupun pada hujung bulan ikan sardin dalam tinlah yang  menjadi pilihan. Yang tak tahan tu ada pulak perumpamaan ‘muka macam sardin’. Hai kesian ikan sardin…tapi sekarang harga ikan sardin pun dah mahal, jangan tak tau.

Kebetulan semasa ke Pasar Chow Kit tak berapa lama dulu, saya terbeli ikan sardin yang agak kecil saiznya. Nak dibuat laksa, kurang isinya. Nak digoreng, nanti kalau tergaring jadi keras pulak. Maka terciptalah resepi ini yang main campak-campak aje.

Ikan sardin yang dibakar (ya kawan-kawan, saya bakar ikan sardin ni) bersama lada benggala memang sedap dimakan dengan nasi putih ataupun diratah aje. Picit-picit sikit cili padi bersama ikan tersebut ataupun boleh perah air limau dan budu. Tak perlu lauk lain.

Sekali sekala membakar ikan dengan cara sebegini boleh memberi kelainan kepada hidangan anda dirumah. Anak-anak mungkin akan  lebih tertarik nak makan ikan. Tak adalah asyik  makan ayam sahaja kan.

Ikan Sardin Bersama Cendawan Dan Lada Benggala

1 biji lada benggala merah

1/2 kilo ikan sardin

5/6 keping cendawan (boleh guna apa-apa cendawan)

10 biji cherry tomato

1 labu bawang besar

1 biji lemon

3 ulas bawang putih dicincang halus

Sedikit minyak zaitun

Sedikit lada sulah, serbuk lada hitam, thymes

2 sudu teh Lea & Perrins

Garam secukup rasa


Cara membuatnya:

Lumurkan lada benggala dengan sedikit minyak zaitun dan bakar di dalam oven ataupun menggunakan dapur biasa sehingga ianya menjadi hitam.

Bersihkan ikan dan potong dibahagian tepinya sehingga ke bahagian bawah dan tekan sedikit dengan tapak tangan supaya ia menjadi kembang

Lumurkan ikan dengan garam, lea and perrins dan lada sulah



Taburkan sedikit minyak zaitun dan bakar ikan didalam ketuhar sehingga ikan berwarna   kuning-kekuningan

Buang kulit lada benggala yang berwarna hitam, ambil yang bahagian dalamnya sahaja dan potong dadu

Panaskan minyak zaitun dan tumis bawang putih sehingga wangi

Potong dadu cendawan dan masukkan ke dalam kuali

Masukkan cherry tomato dan lada benggala

Masukkan lada sulah, serbuk lada hitam, lea and perrins dan garam

Akhir sekali masukkan bawang merah dan thyme

Alihkan ikan ke dalam mangkuk dan curahkan kuah cendawan  diatas ke atas ikan tersebut

Perah lemon dan hias dengan hirisan lemon dan taburkan dengan thyme.





Feb 19

Butter Cake – Simple and Delicious

Saya masih ingat sewaktu saya mula-mula belajar buat kek, terus belajar buat kek coklat. Bila dah pandai buat kek coklat terasa diri sendiri mengalahkan ‘chef’.  Kena pulak orang selalu puji  mengatakan yang saya ni pandai buat kek coklat.  Meleret-leretla senyum membanggakan diri sendiri.  Tapi sebenarnya itu ajelah kek yang saya tahu buat.  Nak buat lain sikit daripada itu pun tak tau. Inikan lagi nak buat butter kek.

Tapi sebenarnya la kan, kebanyakan dari kita ni tak pandang dengan butter cake tau. Ala-ala macam tak glamour.  Ingat tak orang dulu-dulu, kalau raya pun habis koman buat kek belang yang macam kuda belang tu. Yang habis glamour tu buat kek pelangi la..ingat lagi tak? Yang banyak masuk dalam perut bukan butternya tapi pewarnanya aje. Kalau hidangkan butter cake semasa raya ke, harijadi ke..mesti orang tanya, beli ke kek ni?”. Sebab kek macam tu berlambak jual kat kedai runcit,kan.

Well,  butter cake memang kesukaan suami saya . Plain old simple butter cake – memang menjadi pujaan hatinya..selain saya la. Dan bagi saya pulak membuat butter cake lebih senang kerana selalunya semua bahan-bahan yang digunakan ada didalam kabinat atau pun peti sejuk saya dan yang paling penting it’s always fits my bill in terms of convenience.


Untuk membuat butter cake yang sedap dan agak ‘moist’,  selain dari resepi yang baik, bahan-bahan yang digunakan mestilah yang berkualiti. Kena keluar belanja lebih sedikit untuk membeli butter dan esen vanilla yang bagus. Janganlah gunakan margarine, nanti rosak kek jadinya. Saya gunakan sour cream ataupun yoghurt untuk menjadikan  kek lebih lemak.

Butter Cake (Kek Mentega)

250 gram butter

250 gram gula castor

250 gram telur (4 biji saiz B)

250 gram tepung serbaguna

3/4 sudu teh baking powder

2 sudu besar (50 ml) sour cream/youghurt

Sedikit esen vanilla

Cara memuatnya:

Panaskan oven dahulu

Pukul mentega dengan gula sehingga kembang

Masukkan telur satu per satu dan pukul lagi

Campurkan tepung dengan baking powder

Masukkan campuran tepung ke dalam adunan di selang selikan dengan sour cream/youghurt (perlahankan kelajuan mixer)

Pastikan yang terakhir sekali adalah tepung

Akhir sekali ( step yang penting) kaup adunan menggunakan spatula. Kaup ke arah dalam dan keluar.

Proses ini penting untuk  memasukkan udara ke dalam adunan

Masukkan aduan ke dalam bekas yang telah di glis dan hentak sedikit untuk setarakan gelembung udara di dalam kek

Bakar pada suhu 180 C selama 40/45 minit.

Selamat Mencuba!

Feb 16

Ikan Keli Goreng Masak Cabai Dan Gulai Masam Batang Keladi

Macam-macam  nama panggilan bagi masakan  ikan keli dan batang keladi. Ada yang panggil ikan  keli goreng berlada, ikan keli sambal, asam rebus batang keladi, asam tumis batang keladi dan bermacam-macam lagi.  Orang perak memang  selalu memanggil ikan keli goreng masak cabai dan kalau batang keladi dipanggil gulai masam batang keladi.  Jadi itulah yang saya dan keluarga faham. Kadang-kadang bila ke kedai lain pulak namanya tetapi rupanya  benda yang sama.

Ikan keli goreng masak cabai ni memang dah jadi kemestian bagi kami sekeluarga. Kalau dalam sebulan 2 atau 3 kali mesti masak ikan keli. Sekali masak kalau sekilo tu tak cukup. Kan sedap kalau meratah ikan keli kena pulak kalau ikan keli tu digoreng garing.  Saya tahu ramai orang malas nak masak ikan keli sebab sengsaranya semasa nak menggoreng ikan keli. Meletop-letop. Itu memang dah pasti . Kadang-kadang ikan keli ni ada juga yang kurang meletopnya. Tak tahulah pulak macamana nak dikenal pasti.

Biasanya selepas saya melumur ikan keli dengan  garam dan kunyit , saya lumurkan pulak dengan tepung. Semasa menggoreng tu, tutuplah kuali tu takut nanti jadi mangsa minyak panas pulak. Ikan keli ni kena goreng garing-garing barulah best. Kalau anda rajin, anda boleh tumbuk cili padi dan cili merah tetapi bagi saya yang malas dan yang selalu nak cepat ni, cili tersebut saya kisar dan kemudian saya tapis. Buang semua air cabai. Jadi bila kita tumis cabai itu nanti, barulah ianya garing dan nampak cantik. Saya tidak menggunakan belacan kerana kami sekeluarga tak tahan belacan, resdung. Lagipun jika bubuh belacan, warna cabai akan nampak gelap. Saya hanya menggunakan cuka menggantikan asam jawa untuk  menampakkan kecantikan ikan keli. Dah warna ikan keli tu gelap sedikit, janganlah gelapkan lagi dengan warna cabai yang agak lebam.

Gulai masam batang keladi ni memang sah-sah habuan saya dan suami aje. Anak-anak tak sentuh pun. Pelik kata mereka tetapi kalau masak gulai masam ikan suka pulak. Itu yang peliknya. Kalau dulu-dulu gulai masam batang keladi ni selalu dijadikan lauk untuk kenduri. Gulai masam batang keladi, ikan bilis masak taucu dan ikan kayu (tongkol) masak rendang memang sinonim dengan lauk pauk kenduri. Sekarang mana nak dapat dah. Melelh air liur ajelah.

Ikan Keli Goreng Masak Cabai

1 1/2 kilo ikan keli (digoreng garing)

2/3 labu bawang merah

3 ulas bawang putih

3 biji cili merah

segengam cili padi

sedikit cuka

minyak untuk menumis

garam dan gula secukup rasa

Cara membuatnya:

Ketuk bawang putih

Hiris halus bawang merah

Kisar kesemua cili dan tapis, buang airnya

Panaskan minyak dan masukkan bawang putih

Kemudian masukkan bawang merah dan biarkan ia layu

Masukkan cabai dan kacau sehingga ianya garing

Masukkan gula, cuka dan garam

Gulai Masam Batang Keladi

1 ikat batang keladi

2 keping asam keping

gula dan garam secukup rasa

Segengam ikan bilis (ditumbuk kasar)

2 tangkai  daun kesom (optional)

2/3 cawan air

Bahan-bahan untuk dikisar

3 cili merah dan 5 biji cili padi

Sedikit belacan

1 inci kunyit hidup

1 labu besar bawang merah

3 ulas bawang putih

Cara membuatnya:

Siatkan kulit batang keladi( ambil sekali buahnya) ,potong dan bersihkan

Rebus batang keladi dan kemudian toskan airnya

Dalam periuk masukkan bahan-bahan kisar dan tambahkan air. Masak sehingga mendidih

Masukkan batang keladi, ikan bilis, asam keping, gula dan garam

Masukkan daun kesom dan tambah air secukupnya

Apabila mendidih, tutup api dan dah pun siap


Feb 13

Salmon Penne

Bukan selalu dapat peluang makan ikan salmon. Lebih-lebih lagi kalau makan di kedai. Harganya yang mahal membuatkan saya berfikir banyak kali kalau nak memesan ikan salmon. Selalunya suami saya paling sukakan salmon. Salmon yang digril dan dimakan dengan sayuran cukup sempurna bagi beliau.  Walaupun selepas itu beliau terkulat-kulat lapar semula tapi sebabkan suka sangat, telan aje lah.

Saya memasak salmon penne ni pada hari Sabtu yang lepas. Sudah lama  teringin memasak salmon penne ini setelah saya membedek-bedek resepi ini di majalah. Asalnya salmon penne ni menggunakan banyak bahan yang sukar dicari. Jadi saya rasa apa salahnya jika saya menggunakan bahan-bahan lain . Seperti contoh saya gantikan cream dengan susu dan asparagus dengan pak-choy. Tak sah pulak kalau tak ada cili didalam masakan saya. Jadi saya sediakan cili padi potong dan lemon untuk diperah diatasnya.

Kombinasi salmon dan penne begitu sesuai sekali. Kepingan-kepingan salmon yang telah digril terlebih dahulu  dapat menambat selera  orang yang memandangkan. Sungguh cantik dan nampak ‘delicious’.

Ikan Salmon ini banyak khasiatnya  . Kandungan Omega 3 dengan DHA dan EPA yang tinggi protein, vitamin B12 dan vitamin D.
Ia berfungsi menurunkan risiko penyakit jantung, strok, hipertensi dan mencegah penyakit Alzheimer. Selain itu, ikan ini juga berperanan menyihatkan kulit kepala.

Salmon Penne

1 keping ikan salmon

2 ulas bawang putih dicincang halus

Sedikit hirisan kulit lemon

2 sudu besar minyak zaitun untuk menulis

1 bungkus penne (direbus sehingga sedang lembut)

1/2 cekak pak-choy

1 senduk kacang pis (frozen)

3 sudu besar susu segar

Sedikit tepung gandum

garam dan lada sulah secukup rasa

Cara membuatnya:

Lumur Ikan Salmon dengan sedikit garam,lada sulah dan parutan kulit lemon

Panaskan minyak zaitun dan goreng ikan tersebut selama 5-10 minit. Angkat dan ketepikan

Dengan menggunakan lebihan minyak tadi, tumis bawang putih sehingga naik bau wanginya

Masukkan kacang pis dan masak sehingga kacang agak lembut

Masukkan tepung gandum dan kacau seketika dan kemudian masukkan susu segar

Masukkan penne yang telah direbus dan ditoskan

Asingkan isi ikan dari tulangnya

Masukkan isi Ikan Salmon, sayur pak-choy, garam dan sedikit lada sulah

Boleh tambah susu lagi jika kuahnya tidak mencukupi…atau

boleh kurangkan kacang pis kalau tak suka. Ni sapa yang tak makan kacang pis ni?