free wordpress themes Premium Wordpress Themes
Entries RSS

By Category :

Live Traffic

Jumlah Pengunjung

free counters
Mar 26

Agar-agar Laici

Sudah lama sungguh saya tak buat agar-agar laici ni.  Agar-agar sebegini boleh menghilangkan rasa haus kerana ia tidak menggunakan susu. Kena pulak bila hari panas, lega rasanya. Kalau dulu-dulu agar-agar merah yang dibubuh didalam gelas dan di terlangkupkan adalah sinonim dengan kedai mamak. Dua tiga gelas agar-agar merah kebiasaannya diletakkan di setiap meja makan dan jika ada pelanggan yang nak makan agar-agar tersebut, cuma ambil saja sudu yang disediakan dan makan agar-agar tersebut.

Entah kenapa saya selalu ingatkan agar-agar merah di kedai mamak. Mungkin warnanya yang merah membuatkan saya teringat-ingatkan agar-agar tu. Nak kata sedap sangat, tak lah jugak. Kadang-kadang makanan yang terpahat dengan memori agak sukar untuk  dihilangkan dari ingatan. Contohnya, kalau dulu dapat makan biskut lutut dan dicampur dengan kelapa dan gula rasa sedap sangat tapi bila buat balik sekarang rasa tak lah sesedap dulu.

Bagi saya makanan boleh membawa seribu kenangan sepanjang perjalanan hidup. Mana tahu apa yang kita masakkan untuk anak-anak sekarang akan menjadi kenangan yang baik-baik kepada anak-anak kita nanti.  Jangan menidakkan sesuatu yang boleh di sumbangkan kepada kebahagiaan keluarga. Janji ianya ikhlas. Jadi lepas ni  kena rajin-rajin masak lagi!

Agar-agar Laici

20 gram agar-agar ( dalam 2 packet)

100 gram gula

1200 ml air

3 biji putih telur

1 tin laici

Cara membuatnya:

Masukkan air ke dalam periuk bersama agar-agar

Rebus sehingga kesemua agar-agar larut dan masukkan kesemua gula

Masukkan air lychee dan biarkan ianya mendidih. Jika hendak manis lagi boleh tambahkan gula

Tuangkan buah laici ke dalam periuk dan biarkan mendidih semula

Ambil putih telur dan pukul sehingga berbuih

Tuangkan ke dalam periuk semasa agar-agar sedang mendidih

Tutup api dan boleh masukkan agar-agar ke dalam bekas yang anda suka

Sejukkan atau biarkan saja sehingga agar-agar keras

Mar 22

Donat Tradisional

Ini adalah donat orang putih dan lebih dikenali sebagai cake doughnouts. Memang berbeza sama sekali dengan donat yang biasa kita makan tu, yang gebu dan berwarna kuning-kekuningan tu. Donat sebegini selalunya dicicah bersama jem,coklat, cream cheese dan cream caremel.  Membuat donat ini tidak memerlukan yis. Hanya menggunakan baking powder dan baking soda.

Saya memilih untuk membuat caramel sebagai sos untuk dipadankan dengan donat ini. Sebenarnya donat ini mempunyai bentuk yang serupa seperti donat yang biasa kita makan tu. Bulat dan ada lubang di tengahnya. Cuma saiznya agak kecil kerana donat ini tidak akan naik gebu seperti donat yang biasa kita makan tu.  Oleh kerana teksturnya agak lembut dan melekit-lekit, agak sukar jugak nak membentuknya.  Itulah sebabnya saya bulat-bulatkan sahaja. Comel-comel gitu. Warnanya agak  gelap dan jika dilihat dari jauh tak ubah seperti cekodok pisang. Ianya agak sensitif dengan minyak yang panas. Jadi berhati-hati semasa menggoreng donat ini, takut nanti jadi donat rentung pulak. Walau apapun, seronok rasanya mencuba sesuatu yang baru dan dapat dihidangkan kepada keluarga.

Donat Orang Putih

2 cawan tepung gandum

1/4 cawan tepung jagung

1 sudu kecil garam

1 sudu kecil baking powder

1/4 sudu kecil baking soda

1 1/2 sudu teh serbuk kulit kayu manis (cinnamom)

1 sudu teh serbuk buah pala (nutmeg)

1 biji telur

3/4 cawan gula castor

1/2 cawan buttermilk

3 sudu besar minyak

Minyak untuk menggoreng

Gula perang untuk digaul dengan donat

Cara membuatnya:

Satukan tepung gandum, tepung jagung, baking powder, baking soda , serbuk buah pala dan serbuk kulit kayu manis

Pukul telur bersama gula sehingga gula hancur dan kemudian masukkan buttermilk dan  minyak

Masukkan campuran telur diatas ke dalam campuran tepung dan kacau sebati menggunakan garpu

Bulat-bulatkan dan terus goreng

Gaulkan dengan gula perang yang telah dicampurkan dengan serbuk kulit kayu manis

Sos caramel

1 cawan gula perang

1/2 cawan mentega

1/4 cawan susu segar/susu cair

Sedikit vanilla

Sedikit garam

Cara membuatnya:

Campurkan kesemua bahan dan kacau diatas api yang perlahan sehingga kesemua gula hancur dan teksturnya agak likat sedikit

Mar 17

Bibimbap

Hari Sabtu yang lepas buat pertama kalinya saya masak masakan Korea, Bibimbap namanya. Setelah merasa masakan ini saya fikir  saya perlu cuba memasaknya kerana harganya yang agak mahal jika hendak makan bibimbap ini diluar dan yang penting sekali anak-anak dan suami tersangat sukakan masakan ini.

Bibimbap bermakna nasi yang dicampur, nasi campur orang Korea la kaedahnya. Nasi putih dimakan bersama segala jenis sayuran, ada sosnya, lauknya samada daging atau ayam dan diletakkan telur mata diatasnya. Sepatutnya ia dimasak didalam mangkuk seperti mangkuk tanah dan dihidangkan panas. Mungkin kerana cuaca di Korea sejuk, mereka lebih gemar memakannya panas-panas. Bagi kita disini, meleleh-leleh la pulak peluh dan jenuh pulak nak meniupnya nanti. Bila dimakan, perlu menggaul kesemua bahan supaya rasanya sebati .


Pengalaman memasaknya agak berbeza sedikit. Agak renyah kerana perlu banyak menggunakan tenaga untuk memotong sayur-sayuran ( ini yang saya tak berapa suka). Jadi syarat pertama, perlu ada pisau yang tajam. Sayur-sayur yang sudah dihiris halus perlu pulak  dimasak satu persatu supaya ianya tidak terlalu keras dan sayuran tersebut mempunyai rasa yang sedap..


Kemudian  perlu membuat sosnya. Kalau diikutkan saya tidak mempunyai bahan-bahan yang betul untuk membuat sos tersebut tetapi saya reka menggunakan bahan-bahan yang ada di rumah. Lebih kurang aje rasanya malahan sedap lagi . Diatas sos tersebut akan diletak lauknya. Saya memilih untuk memasak daging bijan . Side -dishnya pulak saya masak stew kimchi. Barulah sepadan. Daging diletak diatas sos manakala sayur-sayuran disusun ditepinya (lupa pulak nak letak taugeh).


Bibimbap

Nasi putih dimasak seperti biasa

2 biji carrot

2 biji zuccini

Sedikit taugeh

1 biji sengkuang saiz sederhana

Cara membuatnya:

Potong/hiris memanjang carrot, zuccini dan sengkuang

Asingkan setiap satu

Panaskan pan dan letakkan 1 sudu teh minyak bijan dan masukkan sayur-sayuran secara berasingan

Taburkan sedikit garam dan angkat bila sayuran agak layu

Dididhkan air dan masukkan taugeh

Celur teugeh sebentar, angkat, toskan dan taburkan garam


Sos bibimbap

2/3 sudu cili kering yang telah dikisar

2 ulas bawang putih dicincang halus

2 sudu besar  sos miso

Sedikit gula dan garam

Sedikit minyak bijan

Sedikit minyak

Cara membuatnya:

Panaskan minyak dan tumis bawang putih

Masukkan cili kering dan kacau sehingga ianya garing

Masukkan sos miso,minyak bijan,gula dan garam

Daging masak Bijan

500 gram daging batang pinang

3 ulas bawang putih dicincang

Sedikit minyak bijan

Sedikit serbuk lada sulah, gula dan garam

Cara membuatnya:

Potong daging nipis-nipis dan gaul bersama kesemua bahan-bahan

Perap kesemua bahan sebentar

Panaskan minyak dan masukkan kesemua bahan

Masak selama 10/15 minit atau sehingga daging tersebut lembut

Boleh tambah sedikit air atau lada sulah .


Stew Bibimbap

Kimchi ( beli je kat kedai)

1 labu bawang holland dipotong 6/8

secekak daun bawang sedikit garam

Cara membuatnya:

Panaskan sedikit air dan masukkan kimchi

Masak sehingga ianya mendidih dan kemudian masukkan bawang holland  .

Akhir seklai masukkan daun bawang

Boleh tambahkan garam jika ianya tawar

# Bibimbap boleh juga dimakan dengan kimchi sahaja

# Letak nasi dan susun sayur-sayuran diatasnya. Letakkan sos, daging dan akhir sekali letakkan telur goreng mata

# Gunakan telur bersaiz kecil supaya ia tidak akan menutup nasi keseluruhannya ( macam kat atas tu tak cantikkan)

Selamat Mencuba!


Mar 13

Mee Goreng Mamak

Bila bercakap tentang mee goreng mamak apa yang terbayang kat kepala saya ialah ……

1. Mamak, 2. Kuali hitam besar dan sudip yang panjang, 3. Api yang kuat dan yang ke 4. Bunyi hiruk pikuk mamak menjerit-jerit bercampur dengan   kelengkung-kelengkang bunyi sudip. Itulah ciri-ciri mee mamak.

Mee mamak yang ‘authentic’ tidak memerlukan rencah. Hanya gunakan tauhu, cucur pasemboq, banyak telur dan yang paling pentingnya mee mamak menggunakan sosnya yang dibuat terlebih dahulu.  Cuba perhatikan kadang-kadang bila mamak menggoreng mee, pasti mereke akan senduk sedikit sos yang telah sedia ada. Cuba perhati.

Bahan-bahan lain yang digunakan sama saja dengan bahan-bahan yang digunakan untuk menggoreng mee biasa seperti kicap, sos tiram, cili sos dan lain-laian bahan lagi. Jadi specialnya mee mamak adalah pada sosnya. Jika sosnya sedap, maka meenya pun akan sedap.


Dulu di kampung halaman saya ada sebuah kedai yang biasa kami panggil kedai hijau. Mee mamaknya memang sedap. Kalau ada duit lebih, arwah bapak mesti belikan mee-goreng mamak dari kedai tersebut untuk mak saya. Kami menggelar mee  mamaknya ‘mee goreng mamak kedai hijau’.  Memang sedap meenya kena pulak mee tersebut dibungkus dengan daun pisang jika hendak dibawa balik.  Itu mee kegemaran mak saya. Mamak yang menggorengnya pun  pakai kain bergulung lagi. Sambil menggoreng mee, dia gulung-gulungkan kainnya sampai ke atas lutut, lepas tu hisap rokok pulak. Tu yang sedap tu kot.

Tak taulah kedai tu masih wujud ke tak lagi. Kalau ada pun mesti dah tak sesedap dulu kan. Pada masa tu kalau makan mee mamak dengan teh tarik dah terasa bahang macam orang kaya. hihihi…..

Inilah sos ataupun pes untuk membuat mee mamak. Inilah mandremnya ‘my mee mamak.’ Sos ni selalunya saya buat banyak-banyak dan simpan didalam peti sejuk. Tahan lama. Kalau letak kat freezer boleh tahan 4 ke 5 bulan.  Saya belajar buat sos mee mamak ni dengan sepupu kepada mak saya. Dulu dia kahwin dengan mamak , jadi diperturunkanlah ilmunya kat saya sedikit. So jom belajar buat sos ini. Oh ye, memandangkan saya mendapat pendidikan membuat sos ini secara tidak formal, maka sukatannya pakai agak-agak aje. Tak payah ikut sangat. Kalau rasa terkurang terlebih boleh ikut citarasa sendiri.

Sos Mee Goreng Mamak

Bahan-bahan untuk dikisar

100 gram/150 gram ( 2 gengam) cili kering

50 gram udang kering/udang geragau

3 labu bawang merah

3 ulas bawang putih

1/2 cawan  kacang tanah yang telah digoreng dan dikisar berasingan

Minyak untuk menumis

3 sudu besar gula merah

Sedikit gula putih

Air asam jawa

Garam secukup rasa

Cara membuatnya:

Panaskan minyak

Tumis semua bahan-bahan yang telah dikisar sehingga ianya wangi

Masukkan kacang tanah dan biarkan kacang tersebut betul-betul masak

Masukkan air asam jawa, gula merah, gula dan garam

#Lagi lama memasaknya lagi bagus


Mee Goreng Mamak

1 bungkus mee kuning

2/3 ulas bawang putih (diketuk sedikit)

3 biji telur

2 keping tauhu yang telah digoreng dan dipotong dadu

Cucur bawang dipotong dadu ( campuran tepung gandum,kucai, garam dan 1 biji telur)

Ubi kentang rebus di potong 4 (kalau tak ada pun tak apa- semasa buat ni terlupa nak rebus ubi kentang)

Sayur – boleh guna sawi atau kobis

2 sudu besar kicap cair

1 sudu besar kicap pekat

Sedikit kicap mee/ kicap biasa

Sedikit sos cili

Sedikit sos tiram

Cara membuatnya:

Panaskan minyak

Tumis bawang putih hingga kekuningan

Masukkan 2 sudu besar sos mee mamak ( kalau nak pedas boleh tambah lagi)

Masukkan sayur dan gaul rata

Masukkan mee kuning dan segala jenis kicap, sos cili dan sos tiram

Gaul sebati  dengan menggunakan api yang besar

Perlahankan api dan buat lubang ditengah-tengahnya

Pecahkan telur dan biarkan sebentar

Kuatkan semula api dan gaul sekali dengan mee dengan tauhu, cucur dan ubi

Jika tak cukup sos mee mamak, boleh tambah lagi

Jika nakkan mee tersebut agak basah, boleh tambahkan air sedikit

Angkat mee dan hias dengan hirisan cili merah, cili hijau, bawang goreng, daun bawang dan hirisan limau

Siap!

Mar 11

Burger Guacamole ( Burger With Guacamole)

Where did the weekend go? Sedar-sedar aje dah hari Isnin. Sungguh cepat masa berlalu. I guess time flies when you’re having fun?Betul kan!  Bagi saya asalkan boleh bersama keluarga, hujung minggu memang menyeronokkan. Hujung minggu ni saya masak simple aje untuk keluarga. Memandangkan kami tak kemana-mana dan badan pun macam tak berapa sihat jadi hari Sabtu adalah hari untuk makan burger. Kali ni saya buat patty sendiri dan saya memilih burger guacamole untuk saya eksperimenkan. Hari Ahad pulak saya masak masakan Korea iaitu Bibimbap ( akan saya kongsi resepinya nanti).

Guacamole adalah campuran avocado, tomato, daun ketumbar, bawang putih, bawang merah dan perahan lemon. Sungguh kena sekali kesemua bahan-bahan tersebut bila dimakan bersama keju dan daging burger (patty). Ianya dijadikan topping bagi burger ini. Guacamole ini boleh dihidangkan sejuk ataupun dihidangkan begitu saja.

Senang disediakan dan yang penting ianya berkhasiat dan berbeza sikit dengan burger-burger yang lain. Burger ala Mexican ini boleh menggunakan tortilla ataupun roti bun biasa. Saya memang sukakan burger ni dan rasanya malam ni nak buat lagi.

Have a great week everyone!

Burger Guacamole

5 keping tortilla

5 kepingan keju

Sos Cili

Guacamole

1 biji avocado yang sedang masak

1 biji buah tomato

1 biji bawang putih

1 labu bawang holland saiz sederhana

sedikit perahan lemon

Sedikit daun ketumbar

Sedikit garam

Cara membuatnya:

Hiris dadu tomato, bawang holland dan bawang putih

Hiris halus daun ketumbar

Belah avocado dan keluarkan isinya.

Lenyek isi avocado dan campurkan bersama  kesemua bahan tersebut

Perahkan limau dan masukkan garam

Ketepikan atau masukkan ke dalam peti sejuk (jika anda sukakan gacamalo yang sejuk)

Daging Burger (Patty)

1 sudu besar minyak

2 sudu kecil serbuk cili

1 biji bawang hollang bersaiz besar di hiris

500 gram daging cincang

1 sudu kecil serbuk jintan putih

1/2 sudu kecil garam

1 cawan hirisan daun bawang

1 sudu besar mayonis

Cara membuatnya:

Panaskan minyak dan goreng bwang sehingga wangi dan layu

Angkat dan toskan

Campurkan kesemua bahan termasuk bawang goreng tadi

Gaul sehingga sebati dan kepal-kepalkan mengikut saiz dan bentuk yang disukai

Panaskan kuali

Dengan menggunakan lebihan minyak tadi masak daging burger tersebut selama 3 atau 4 minit each side

Masak sekejap kulit tortilla diatas pan/ kuali  dan letakkan keju. Tutupkan api, lipat tortilla dan letakkan daging burger ,cili sos dan guacamole di atasnya. Boleh dihias menggunakan hirisan salad dan tomato. Ikut citarasa sendiri.

Mar 07

Kentang Bersos Yogurt

Ubi kentang selaunya dijadikan bahan sampingan bagi sesuatu masakan. Ubi kentang dimasak bersama kari daging atau kari ayam atau dimasak sambal bersama tempe .  Bila masakan dicampurkan dengan ubi kentang, ia akan manjadikan  lauk tersebut menjadi banyak, betul tak? Ubi kentang  juga boleh dijadikan sebagai bahan untuk mengurangkan masin sesuatu masakan. Kalau dah terlebih masin sesuatu masakan, masukkan ubi kentang ke dalamnya.

Saya selalu pastikan stok ubi kentang ada di dapur saya. Kalau ada ‘emergency’, banyak juadah yang boleh dihasilkan dengan ubi kentang. Kentang Bersos yogurt ni adalah salah satu daripadanya. Resepi ini sudah mencukupi untuk dimakan bersama nasi, roti ataupun capati. Kalau tak sempat nak beli sayur di kedai, resepi ini sudah memadai.

Kentang Bersos Yogurt


10 biji kentang biasa bersaiz sederhana ( dikupas kulit)

1 cawan yogurt

300 ml air

1/4 sudu teh serbuh kunyit

1 sudu kecil serbuk cili

1 sudu kecil serbuk  ketumbar

1/2 sudu teh serbuk jintan putih

1 sudu kecil garam

1 sudu kecil gula perang

2 sudu besar minyak

1 sudu kecil biji jintan putih

sedikit daun ketumbar

2 biji cili hijau

Cara membuatnya:

Potong ubi kentang kepada 4 bahagian dan rebus sehinnga empuk dan toskan

Campurkan yogurt, air,serbuk kunyit, serbuk cili, serbuk ketumbar, serbuk jintan putih, garam dan gula perang ke dalam mangkuk dan kacau sehingga menjadi sos.

Panaskan minyak dan masukkan biji ketumbar dan kemudian masukkan sos tadi.

Masukkan daun ketumbar dan cili hijau yang telah dipotong

Akhir sekali masukkan ubi kentang dan biarkan selama 5-7 minit

Boleh dihidangkan dan dihias dengan hirisan daun ketumbar dan kacang.

Dah siap, senang kan!

Mar 05

Ayam Penyet

Namanya saja sudah tahu dari mana asalnya resepi ayam penyet ini.  Kalau di Indonesia, ayam penyet bermaksud ayam goreng dan di penyetkan (smashed) sebelum dihidangkan. Jadi ayam tersebut akan nampak penyet atau penyek dalam perkataan kitalah.Kalau kita mungkin kita panggil ayam penyek kan.

Saya pernah mencuba ayam penyet dari beberapa restoran yang berlainan. Walaupun konsep makanannya sama tetapi rasanya agak berlainan. Ada yang sambalnya terlalu pedas, ada yang ayamnya sikit saja dan ada yang harganya terlalu mahal.

Restoran ayam penyet yang paling saya suka ..the best la setakat ini terletak di Subang Business Centre USJ 9. Sambalnya memang kaw-kaw dan ayamnya lembut dan garing kena pulak keredak ayamnya sungguh banyak dan sedap. Tetapi yang menyedihnya kedai tu dah tutup. Tak taula pulak kot-kot dah berpindah ke tempat lain tapi macamana saya nak cari sebab nama kedai nya pun saya dah lupa. Apa nak  di kata ….

Semalam buat kali pertamanya saya masak ayam penyet. Mungkinlah tak sesempurna mana tapi semua orang yang makan tu bertambahlah nasiknya. Saya hanya memadankan nasi putih sahaja dengan ayam penyet kerana rasa macam tak puas pulak makan sambalnya dengan nasi yang dimasak ala-ala nasi ayam. Kena pulak kena makan dengan tauhu, tempe dan sayur kangkung.

Ayam Penyet

1 ekor ayam di potong 8

Bahan-bahan untuk dikisar:

2 labu bawang merah

1 1/2 inci halia

1 sudu besar jintan manis

1/2 sudu besar jintan putih

1 inci kunyit hidup /serbuk kunyit

1 inci lengkuas

Sedikit garam

Sedikit tepung beras( untuk dilumurkan dengan ayam)


Cara membuatnya:

Kisar kesemua bahan dan perapkan bersama ayam . Lebih elok semalaman, paling tak elok setengah jam.

Rebus ayam bersama bahan perapan sebentar

Ambil ayam dan golek-golek dengan tepung beras dan goreng sehingga garing

Penyekkan ayam sedikit dengan apa-apa benda yang keras. Jangan dengan kepala sudahlah!

Sambal bagi nasi ayam penyet ni memang dah jadi trade-mark Alia. Dari sekolah rendah lagi Alia memang  dah terror buat sambal ni. Entah dari mana dia belajar pun tak taulah. Kalau dulu Alia selalu sorok-sorok tumbuk sambal . Selalunya bila semua orang dah makan barulah dibuatnya dan  disimpan didalam peti ais. Mana tidaknya kalau kami tahu ada sambal yang dibuatnya, maknanya sekali hadap aje sudah habis.

Sambal Ayam Penyet

5 biji cili merah

10 biji cili padi

Belacan

2 labu bawang merah

1 biji tomato/ limau nipis

garam dan gula secukup rasa

Minyak untuk menggoreng

Cara membuatnya:

Patah-patahkan cili merah

Hiris bawang merah

Goreng cili merah, cili padi dan bawang merah sehingga ianya meletop

Angkat dan toskan

Tumbuk kesemua bahan yang telah digoreng tadi bersama belacan, garam dan gula

Panaskan semula minyak lebihan tadi

Masukkan semula bahan-bahan yang telah digoreng ke dalam kuali dan goreng semula sehingga baunya terbit

Sup Ayam Penyet boleh dihasilkan dari lebihan air perapan ayam tadi . Panaskan semula air tadi, tambahkan sedikit air  dan bolehlah tambah garam dan sedikit rempah sop. Taburkan hirisan daun sop dan bawang goreng.

Sebagai ‘side dish’nya saya gorengkan tempe dan tauhu. Tempe dan tauhu saya lumurkan dengan sedikit dari bahan-bahan perapan ayam tadi dan saya golek-golekkan dengan tepung beras dan digoreng. Saya rebuskan sayur kangkung dan hirisan buah tomato sebagai ulam.

Untuk membuat keredak yang ditabur di atas ayam, saya menggunakan 1 biji telur dan dicampurkan dengan 2 sudu besar tepung beras dan 1 cawan air. Boleh tambahkan sedikit kunyit. Panaskan minyak dan titiskan adunan ke dalam minyak dan angkat bila ia sudah kekuningan. Boleh tambah air sedikit jika percubaan pertama tidak berapa menjadi.


Air selasih dijodohkan dengan nasi ayam penyet. Anak-anak saya tak seorang pun nak minum air ni. Kata mereka takut tercekik

I’m loving It!