free wordpress themes Premium Wordpress Themes
Entries RSS

By Category :

Live Traffic

Jumlah Pengunjung

free counters
Aug 27

Laksa Mee

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Laksa ni dah jadi ‘favourite’ kami sekeluarga. Kisahnya bermula pada tiga raya yang lepas bila kami sekeluarga menziarahi emak saudara saya di Bukit Pekan, Kampar. Sepupu saya Kak Nor menjamu kami dengan laksa mee ni. Sedap betul sampai tak sedar habis semangkuk besar laksa mee kami makan sekeluarga. Apa lagi kalau hati tu dah suka, tak sedar aje mulut ni bertanyakan  resepi . Memang Kak Nor tak lokek langsong , diajarnya satu persatu dengan detail pulak tu..maka senyum meleretla orang yang bertanya itu….

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Resepinya bermula dengan laksa mee itu sendiri. Rupanya macam kat atas tu. Nak kata mee pun bukan dan nak kata spaghetti pun bukan. Tapi rasanya lembut dan sedang elok aje. Nak masaknya pun senang , celur sekejap aje dah siap. Tapi yang menyedihkan ialah bab nak dapatkan laksa mee ni memang agak susah. Setahu saya hanya dijual di Lumut , Pulau Pangkor atau mungkin ada  di Pantai Remis, Perak. Yang ini pun saya beli semasa saya pergi ke Lumut minggu lepas. Dah habis pulak kesemua stok  saya masak dan sekarang terkebil-kebil nak makan laksa mee lagi..macamana? Tapi saya ada dengar orang cakap kalau tak dapat laksa mee, guna mee sanggul pun boleh. Mungkin lepas ni boleh cuba kut!

Nak buat kuahnya punyalah senang sambil-sambil membasuh pinggan dah boleh siapkan kuahnya seperiuk. Bahan-bahan yang digunakan hanyalah ikan, kiub ikan bilis, sedikit garam, sedikit daun sop dan daun bawang serta bawang putih. Laksa mee ini dimakan bersama tumisan sayur kacang panjang bersama lobak masin dan digandingkan dengan sambal. Barulah cukup  korumnya.

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Keseluruhan resepi laksa mee ini memang agak berbeza dengan juadah laksa utara,  laksa johor ataupun laksam. Kuahnya boleh di katakan seperti sop ikan. Resepi ini diolah supaya rasa hanyir ikan tersebut hilang bersama  tumisan kacang panjang dan sambalnya. Memakannya terasa sungguh segar terutamanya bila dimakan panas-panas. Laksa mee ini memang berasal dan terkenal dikawasan nelayan di Pangkor dan Pantai Remis Perak. Itulah sebabnya laksa mee ini juga dikenali sebagai mee pangkor. Kadang-kadang mereka menggunakan ketam menggantikan ikan, bergantung kepada hasil tangkapan mereka pada masa itu. Kalau gunakan ketam lagilah meletop sedapnya.

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Inilak dia laksa mee ataupun mee pangkor. Sedap weh..kalau nak cuba mari ikut macamana saya masak. Mula-mula……….

1. Rebus air sehingga mendidih dan masukkan laksa mee sehingga ianya lembut. Toskan

2. Bersihkan ikan kembong atau ikan yang sama rupa dengannya (dalam 3/4 ekor) sehingga ikan masak. Asingkan isi ikan ( carik-carik aje isi ikan tu) dan ketepikan.

3. Didihkan air didalam periuk dan masukkan 3 ketul kiub ikan bilis dan kemudian masukkan isi ikan tadi. Masukkan sedikit garam dan sedikit daun sop dan bawang.

4. Untuk membuat sambalnya, rebus cili kering yang sudah dikisar bersama air asam jawa. Biar sehingga cili itu bertukar warna.

5. Panaskan sedikit minyak didalam kuali dan tumis bawang putih yang diketuk-ketuk hancur ( 1 labu)

6. Tuangkan separuh dari tumisan bawang putih tadi ke dalam sop dan separuh lagi ke dalam sambal. Dah siap sop dan sambalnya

7. Tumis bawang putih dan sedikit bawang dan masukkan lobak masin. Goreng sampai masak dan kemudian masukkan kacang panjang yang telah dihiris halus dan tuang sedikit kicap. Biarkan kacang panjang itu ‘crunchy’.

8. Letakkan laksa mee dan tuang kuah sop, letakkan tumisan kacang panjang dan sambal diatasnya…..sedap!

Aug 23

Isi Ayam Bersos Lemon

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

 

Apa lagi yang anda boleh katakan jika anda boleh memasak juadah yang simple, murah, senang dan sedap? Tengok aje gambar kat atas tu, dalam satu kuali tu anda boleh hidangkan untuk  6 orang makan dan memasaknya tak perlukan sebijik bawang pun. Bukankah senang namanya( teringat pulak tagline Chef Aniz Nabillah kat rancangan icip-icip, kalau rancangan tu nak habis, dia akan cakap..bukankah memasak itu mudah, bukan).

Saya hanya memerlukan 3 ketul isi ayam yang besar, sebiji lemon, 3/4 sudu mentega,sedikit tepung gandum, lada sulah dan garam untuk memasak ayam bersos lemon ini. Yang penting anda perlu tahu teknik rahsia dan cara menghidang yang betul . Isi ayam yang telah dibasuh perlu dipotong menyerong dan memanjang dan kemudian anda perlu meleperkannya dengan menggunakan apa-apa benda yang berat. Sebaiknya isi ayam dialas dengan ‘plastic wrap’ dan diketuk sedikit supaya ianya nipis dan kemudian barulah diperap dengan garam dan lada sulah. Hasilnya isi ayam itu akan jadi lebih besar dan nampak banyak dan apabila ianya digoreng dengan mentega ianya lebih rangup.

 

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Beginilah cara menghidang nasi bersama isi ayam bersos lemon. Letakkan nasi dibawah dan tuangkan saja ayam dari kuali tadi ke atasnya. Anda boleh menghiasnya ikut apa yang ada kat dalam dapur anda. Macam kat atas tu , saya taburkan sedikit serbuk cili dan hirisan daun bawang bagi buat penyeri. Bile dihidangkan sebegini, lauk akan lebih mesra dengan nasi dan  lebih sedap.

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Isi Ayam Bersos Lemon

Bahan-bahannya:

3 ketul isi ayam

1/2 cawan tepung gandum

1 biji lemon

Sedikit serbuk lada sulah dan garam

3/4 sudu besar mentega (boleh ditambah ikut suka)

Cara membuatnya:

Bersihkan isi ayam dan kemudian potong menerong dan memanjang

Ketuk-ketuk sikit supaya ianya leper

Gaulkan dengan sedikit garam dan lada sulah dan perap sebentar

Gaulkan tepung gandun dengan garam dan lada sulah

Panaskan kuali dan cairkan mentega

Gaulkan isi ayam dengan tepung tadi dan goreng sehingga ianya kuning keemasan

Angkat dan letak disebelah

Menggunakan lebihan mentega tadi(kalau ianya dah terlalu hitam, tukar mentega yang baru)perah lemon dan kemudian masukkan semula isi ayam tadi

Biarkan ianya didalam kuali sehingga kuahnya pekat dan masukkan hirisan lemon

Angkat dan boleh dihidangkan

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Yang ini pulak adalah salsa sempoi. Tak lengkap pulak hidangan jika tak ada sayur, rasa macam pelik je. Saya hanya menggunakan zuccini, buah epal dan buah cherry tomato. Hanya dadukan zuccini dan epal dan gaul bersama tomato,garam, gula dan sedikit cuka.

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Gandingan sejoli, lepas makan boleh lentok punya!

Aug 20

Popia Ayam

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

 

Setelah lebih seminggu berhari raya dikampung, bagi yang tinggal dibandar akan meneruskan sambutan hari raya dibandar pula. Kalau dikampung kita berhariraya dengan menziarahi sanak saudara dan kawan-kawan. Segala makanan dibedal dan yang dah turun berat badan berkilo-kilogram dibulan puasa boleh dengan sekelip mata naik lebih lagi berat badan dari yang sebelumnya. Itulah uniknya raya di Malaysia ni. Bila jumpa beramai-ramai mesti makan…sambil mulut tu tak henti-henti bersembang, sambil tu jugaklah makanan masuk ke dalam mulut. Tapi tak boleh katalahkan sebab semua ni kena kat batang hidung sendiri. Hai bila lagi nak makan masakan orang lain yang masak, sedap-sedap pulak tu…hanya dihari raya!

Bagi yang masih ingin meneruskan legasi hari raya dibandar pulak, apa lagi rumah terbukalah. Tak kiralah samada yang nak jadi host rumah terbuka atau yang pergi ke rumah terbuka orang lain sama sibuknya time-time macam ni. Tengok ajelah hujung minggu nanti kalau tak jem Federal Highway tak sah la nanti….hanya dihari raya!

Bagi yang ingin menunjukkan kepakaran memasak dan membuat rumah terbuka, syabas saya ucapkan. Masa nilah nak ajak ramai orang berkunjung ke rumah.Seronok tau sebenarnya bila kita meraikan tetamu dengan memasak sendiri. Lain rasanya sebab kalau sedap kita dapat pujian dan kalau tak sedap pun pasti tetamu kita makan jugak sebab nak ambik hati tuan rumah.Cuma kena bijaklah memilih menu makanan yang hendak dihidangkan. Kena sesuai ikut masa majlis diadakan dan yang penting sekali tema majlis tersebut. Janganlah kesemua tema ada dalam satu hidangan. Anda juga perlu memilih makanan yang pelbagai variasi, ada makanan yang berat dan yang boleh dimakan kudap-kudap kerana tak semua tetamu yang datang tu lapar. Mungkin ada tetamu yang datang kerumah anda sebagai rumah yang ke sepuluh…hanya dihari raya!

Janganlah pilih menu yang memerlukan anda duduk didapur menghadap kuali dan periuk all the time. Langsong tak boleh melayan tetamu. Sebaiknya anda memilih satu atau dua menu yang boleh disediakan awal dan boleh difrozenkan. Anda boleh memasak dendeng daging kerana ianya boleh dimasak seminggu awal. Begitu juga dengan popia ayam ini. Ianya boleh difrozenkan dan digoreng bila tibanya rumah terbuka nanti. Kerja-kerja membuat popia ini pula boleh dioutsourcekan kepada anak-anak atau suami, kurang sikit beban kerja nanti.

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Popia goreng ini memang menepati citarasa dan kehendak saya,rangup dan isinya yang padat bersama sayuran yang terasa segarnya. Saya tidak memasak dahulu intinya. Apa yang saya lakukan adalah menggaul kesemua bahan dan disumbatkan ke dalam popia. Bila popia ayam ini digoreng, segala sayuran didalammya tidak akan mengeluarkan air jadi kulit popia akan kekal rangup dan sayuran didalannya akan rangup dan ‘juicy’. Namun begitu popia ayam ini perlu digoreng terendam untuk memastikan isi ayam didalam inti tersebut betul-betul masak.

Anda boleh menambah apa saja jenis sayuran lain seperti kacang panjang, kacang pis, brocolli atau lain-lain.Kuantiti bahan-bahan boleh main agak-agak aje.

Popia Ayam

Bahan-bahannya:

1 bungkus isi ayam jenama Ramly (tak ingat berapa beratnya, 500 gram kot)
1 bungkus kulit popia
1/2 kobis dipotong halus
1 atau 2 biji karot
1 biji telur
Sedikit lada sulah dan sos tiram
Sedikit garam
Sedikit tepung yang dicampur dengan sedikit air untuk dijadikan gam
Minyak untuk menggoreng

Cara membuatnya:

Masukkan kesemua bahan ke dalam mangkok dan gaul
Letakkan inti ditengah kulit popia dan gulung kemas-kemas
Letakkan gam dihujung kulit popia dan gamkan macam letak stem
Goreng popia ayam didalam minyak yang sederhana panas

Aug 01

Kek Swiss Roll Pelangi

Kek ni tak ada kena mengena dengan persiapan raya ok. Bila dapat seruan nak membuat kek ni rasa nak buat kejap-kejap itu jugak. Perangai macam ni memang dah biasa . Kalau datang rajinnya tu tak sabar-sabar nak mencuba resepi itu dan ini tetapi kalau datang malas pulak, nak masak nasi dan goreng telur pun malas.

Saya tahu ramai yang suka kek yang banyak-banyak kaler ni kan. Berseri aje rupanya kena pulak bila dihidangkan dihari raya nanti. Boleh dijadikan buah tangan untuk dibawa balik ke kampung. Barulah cun!.

Saya dapat resepi kek ini di You-tube. Anda boleh klik disini jika hendak melihat cara membuatnya dengan lebih detail. Membuat kek ini lebih banyak melibatkan kaedah teknikalnya bermakna pembuatannya perlu lebih teliti dari segi sukatan, bahan-bahan yang digunakan dan pantang larangnya. Tak perlu menggukan ovalette asalkan tekniknya betul. Kalau tekniknya betul nak buat kek swiss roll atau kek span  ke pasti menjadi punya. Pertama kali saya membuat kek ini, teksturnya terlalu cair dan bila di jalur-jalurkan ianya meleleh dan kek menjadi terlalu nipis untuk digulung. Kemudian saya mencuba sekali  lagi tetapi menggunakan telur yang lebih kecil dan barulah kek boleh digulung dan rupanya seperti diatas tu. Mungkin bila buat kali ke-3, kek ini akan lebih cantik lagi kot!

Jika anda handak mencuba kek ini, saya sarankan anda melihat cara-cara membuatnya di link diatas. Gunakan telur yang bersaiz kecil dan segar. Saya hanya gunakan 5 warna sahaja dan saya gunakan whipping cream sebagai inti didalamnya.

Kek Swiss Roll Pelangi

Bahan-bahan A

5 biji kuning telur

1/3 cawan gula castor

Sedikit parutan lemon

1 sudu besar jus lemon

Bahan-bahan B

5 biji putih telur

1/3 cawan gula castor

Bahan-bahan C

2/3 cawan tepung kek

1 sudu teh soda bikarbonate

3 sudu besar mentega cair

Cara membuatnya

Panaskan oven 170-180C dan sediakan loyang 10×10 inci dan lapik loyang dengan kertas minyak yang telah diglis dengan sedikit mentega

Bahan A - Pukul kuning telur sehingga ianya bertukar warna sedikit pucat

Masukkan gula sedikit demi sedikit

Teruskan memutar dan akhir sekali masukkan jus lemon dan parutan kulit lemon

Ketepikan

Bahan B-Pukul putih telur sehingga kembang

Masukkan gula castor sedikit demi sedikit dan pukul lagi sehingga ianya kental

Ketepikan

Bahan C-Ayak kedua-dua bahan dan ketepikan

Ambil adunan dari bahan A dan masuk sedikit demi sedikit ke dalam bahan B. Kaup adunan

Tuangkan bahan c ke dalam adunan tadi

Kaup balik adunan sehingga ianya rata

Bahagikan adunan kepada 5-6 bahagian dan warnakan mengikut citarasa sendiri. Kacau adunan bersama pewarna dengan lemah lembut ye…..

Masukkan aduanan ke dalam piping beg.

Jalur-jalurkan aduan diatas loyang  dan kemudian bolehlah dibakarselama 10 minit.

Setelah masak keluarkan dari oven dan sejukkan

Setelah itu gulung kek dengan tuala dan terbalikkan kek untuk mengeluarkan alas bawahnya.

Sapu rata whipping krim (yang telah diputul sehingga ianya kental) dan gulung dengan kemas

Masukkan kek tadi ke dalam peti sejuk selama 1 hingga 2 jam dan kemudian bolehlah dipotong dan dihidangkan.