free wordpress themes Premium Wordpress Themes
Entries RSS

By Category :

Live Traffic

Jumlah Pengunjung

free counters
Sep 30

Kek Pisang Dengan Chocolate Chip

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Kek Pisang Dengan Chocolate Chip –  Alangkah bagusnya kalau dapat mulakan hari ini dengan kek ini. Definitely a great way to start the day!Taburan chocolate chip di atas kek memang ‘adorable’, menepati ciri-ciri kek yang saya suka …

1. Kek yang lembab (moist)—-errr, saya tak suka kek pisang yang ‘dry’

2. Ada banyak rasa coklat—-Banyak dan banyak chocolate chip dan kombinasi antara pisang dan chocolate chip memang terbaik

3. Tak ada kacang—Yang ini memang syarat utama untuk anak-anak saya, no nuts!

4.Penuh dengan rasa pisang—Tak gunakan esen dan kuantiti pisang yang secukupnya

Bila anda mula makan kek ni  akan terasa kegaringan di bahagian luar kek dan kumudian anda akan terasa gigitan coklat dan kemudian akan terasa lembutnya kek dengan rasa pisang yang sebenar. Memang kek pisang yang paling sedap saya pernah makan.

.

.OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Kek Pisang Dengan Chocolate Chip

.

Bahan-bahannya:

3/4 cawan mentega ( at room temperature)

1 1/2 cawan gula castor

2 biji telur

2 cawan tepung gandum

4 sudu besar susu segar

4 biji pisang dilenyek

1 susu kecil baking soda

1 cawan chocolate chips plus extra ( saya tambah lagi untuk tabur di atasnya)

.

Cara membuatnya:

Panaskan oven

Pukul mentega dengan gula sehingga bertukar warna sedikit pucat

Masukkan telur satu per satu dan pukul lagi

Masukkan susu dan pisang dan pukul lebih kurang 30 saat

Satukan tepung bersama baking soda dan kemudian masukkan ke dalam adunan

Masukkan chocolate chip dan gaul menggunakan spatula/senduk kayu

Taburkan chocolate chips diatas kek dan bakar pada suhu 160 C selama 20-25 minit

###

Teknik membuat kek ini seperti membuat kek mentega. Dalam satu adunan , kita boleh dapat 2 loaf kek. Semasa peringkat memasukkan tepung ke dalam adunan saya lebih suka menggunakan spatula dan menggunakan teknik  kaup-balik. Namun begitu menggunakan mixer pun tidak mengapa asalkan pada akhir prosenya, anda menggunakan spatula atau senduk kayu . Kepanasan oven bergantung kepada ketuhar masing-masing. Kek ini senang untuk menjadi warna perang disebabkan taburan coklat chip. Kalau boleh gaul dulu coklat chip bersama tepung sebelum dimasukkan ke dalam adunan. Ini untuk mengelakkan chocolate chip terkumpul dibahagian bawah kek. Emmm..dan satu lagi taburlah banyak-banyak chocolate chip diatas kek. Ini menjadikan kek cantik dan akan menarik selera anak-anak anda. Selamat mencuba!

.

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Sep 27

Taucu Daging

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Kebanyaan memori dan kehidupan saya dari kecil memang banyak berkisar dengan makanan. Semenjak dari kecil dan setahu saya sebelum saya dilahirkan, rumah saya sering didatangi tetamu tak kiralah pagi,petang ,malam ataupun tengah malam. Ada saja yang datang bertamu dan itu tidak kira lagi yang tinggal bersama-sama dengan kami. My parents memang sukakan ramai orang dirumah dan atas sebab itulah mereka beria-ira menyambut dan melayan tetamu yang datang. Seingat saya jarang sekali rumah kami sunyi dari riuh rendah gelak ketawa.

Rumah kami memang menjadikan dapur sebagai ‘heart of the house’ kerana disitulah biasanya kami berkumpul dan bersembang. Kadang-kadang tetamu yang datang pun turut sama masak didapur bersama-sama kami . Pantang ibu-bapa saya jika tetamu yang datang tidak dijamu dengan makanan yang banyak. Jarang sekali tetamu dijamu dengan minuman saja. Paling terukpun  mesti ada cucur bawang ataupun tepek pisang. Arwah ibu bapa saya mesti pastikan ada bekalan makanan yang asas seperti beras, telur, ikan sardin ,gula dan teh dirumah. Takut nanti kalau ada tetamu datang waktu tengah malam dan lapar, adalah bahan yang hendak dimasak. Dari situlah saya mula belajar menu-menu masakan yang simple-simple dan sedap. Dan dari situ jugaklah saya mula minat dan belajar memasak.

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Masak taucu memang senang dan cepat. Kata orang kalau emergency tu tauculah pilihannya. Cuma kalau masak taucu daging kena ambik masa sikit untuk merebus daging tersebut. Tetapi bergantung jugak dengan jenis dagingnya. Kalau batang pinang tak payah lah bersusah payah merebusnya.

Saya dah banyak kali masak lauk taucu dan selalunya menggunakan ikan. Sejujurnya setiap kali saya masak, saya tidak berpuas hati dengan hasil masakan saya. Bila saya makan orang lain masak taucu saya rasa banyak betul kekurangan  masakan saya, sedap betul kalau orang lain yang masak. Memang tak boleh jadi kalau macam ni..membara rasanya nak tahu apa rahsianya. Hinggalah pada satu hari saya berjumpa dengan jiran lama saya dan saya bersembang pasal masak taucu ni. Kata beliau kalau nak sedap masak taucu kena guna air panas, taucu kena masak sampai garing, kena pakai jenis taucu yang sedap, air asam jawa kena cukup dan bubuh gula sikit aje. Itulah rahsianya kalau nak masak taucu yang meletop. Dalam resepi ni saya tambah sedikit halba campur untuk memberi bau wangi halba sesuai dengan taucu daging, kalau ikan saya tak masukkan halba.

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Taucu Daging

Bahan-bahannya:

1/2 kilo daging ( Kalau daging mahai tak payah rebus)dihiris nipis

2 labu bawang besar dibelah 4/6

5/6 ulas bawang putih dihiris halus

2 inci halia dipotong memanjang

5/6 biji cili hijau

3/4 sudu pes taucu ( taucu opah..sedap)

Air panas

Air asam jawa

1 sudu kecil halba campur

Sedikit gula

Minyak untuk menumis

Tak perlu tambah garam sebab taucu tu dah masin

Cara membuatnya:

Panaskan minyak

Tumis halia, bawang merah,bawang putih sehingga wangi

Masukkan taucu dan kacau sehingga garing

Masukkan air panas

Bila menggelegak masukkan daging dan masak sehingga daging lembut

Masukkan air asam jawa, cili hijau dan gula

Perasakan kuahnya dan bila dah ok, tutuplah api

( Boleh juga masukkan buah tomato)

Sep 26

Kuih Lapis

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Lama sungguh saya tidak membuat kuih lapis. Masa sebelum kahwin dulu  selalu jugak saya buat kuih ini. Saya belajar buat kuih ni dengan sepupu saya Kak Encik. Sepupu saya tu memang pakar buat kuih-muih yang manis-manis ni tapi masa  saya belajar dulu, semuanya  main agak-agak aje sukatannya dan bahan-bahannya pun main pakai ingat aje.  Dulu belajar secara hands-on,cikgunya ada kat sebelah mengajar. Mengikut Kak Encik kalau nak ukur kelikatan (c0nsistency) adunan, kena celup gelas  kaca dan tengok jika adunan tu melekat kat gelas jadi oklah likatnya. Sekarang ni mana saya ingat semua kaedah dan sukatannya. Tu la dulu tak nak tulis dan simpan resepi jadi sekarang ni barulah terkial-kial nak membuatnya.

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Tapi kan disebabkan teringin sangat nnak buat kuih lapis , saya gunakan resepi kuih lapis dari buku resepi yang ada dirumah saya. Nama bukunya adalah “Kuih Muih Utara” dari Zakiah Hanum. Saya rasa banyak resepi kuih-muih utara yang saya tak pernah jumpa ada kat dalam buku resepi tu seperti kuih peria, pulut dakap, separa dan banyak lagi. Lepas ni rasanya nak mencuba buat kuih-muih tersebut.

Kebetulan semalam semasa saya membuat kuih lapis ni cuacanya panas sungguh . Maka bermandi peluhlah saya membuat kuih ini. Tapi berbaloikan …bila tengok gambar pun tau yang kuih tu sedap. Kalau dulu kuih lapis hanya menggunakan dua warna sahaja iaitu putih dan merah. Tapi sekarang kuih lapis dah diubah menjadi bermacam-macam warna. Modenlah katakan….

Buat kuih lapis ni kena sabar sebab dah lah panas duduk sebelah dapur, kena wap kukus lagi. Kena buat lapis demi lapis. Setiap lapisan kena nipis dan kena pastikan lapisan itu sudah masak barulah dituang lapisan yang satu lagi. Itulah sebab orang yang rajin buat kuih lapis ni penyabar orangnya..setuju?

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Kuih Lapis

(Sumber: Kuih Muih Utara-Zakiah Hanum)

Bahan-bahannya:

450 gram gula pasir

600 gram tepung beras

4 camca besar tepung sagu/ubi

2 biji kelapa ( 4 cawan santan)

2 helai daun pandan

2 cawan air

Garam secukup rasa

Sedikit minyak

1 camca teh pewarna

Cara membuatnya:

Masak gula bersama air dan daun pandan

Apabila gula telah larut, angkat dan sejukkan

Satukan tepung beras, tepung sagu dan garam

Masukkan santan bersama air gula tadi

Kacau sebati dan tapis adunan

Sapukan loyang dengan sedikit minyak dan biarkan didalam pengukus selama 5 minit

Bahagikan adunan mengikut bilangan warna

Masukkan pewarna

Ambil sesenduk adunan dan tuangkan ke dalam loyang

Biarkan adunan keras dan tuang pula adunan yang lain

kukus bahagian ini sehingga keras dan ulang cara ini sehingga kesemua adunan habis

Apabila masak, angkat dan sejukkan sebelum dipotong

Sep 24

Kek Chiffon Pandan

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Sekarang ni kek pun ikut trend jugak sama macam benda-benda yang lain dan kek chiffon ni  memang  hugely popular pada satu masa dahulu. Kek Chiffon memang kek yang ringan lembut dan gebu penuh dengan gelembung udara. Makan kek ni tak muak dan sedap dimakan bersama teh ‘o’. Ada juga orang yang tak berapa suka makan kek yang mempunyai  tektur seperti kek chiffon ini kerana kata mereka rasa macam tak puas makan kek. Macam-macamla….

Sebenarnya kek chiffon ini  diadun dengan telur dan minyak. Kedua bahan ini menjadikan kek ini lembut, mulus dan gebu. Saya tambahkan sedikit santan untuk memberi sedikit rasa lemak dan untuk menaikkan lagi bau pandannya.  Selera saya  lebih kepada  kek chiffon yang agak lembab sedikit berbanding dengan kek chiffon yang terlalu ringan dan spongy. Jadi saya menggantikan minyak dengan mentega yang dicairkan. Namum begitu jika anda hendak menggunakan minyak pun tak ada masalah . Kek chiffon ni boleh disesuaikan dengan pelbagai rasa seperti oren, vanilla, coklat dan lain-lain lagi dan boleh dihias dengan pelbagai buah-buahan.

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Proses memukul putih telur secara berasingan adalah salah satu teknik untuk menjadikan adunan kek lebih ringan. Didalam resepi ini saya tidak menggunakan ovelette kerana sebenarnya jika telur putih dipukul dengan betul penggunaan ovelette tidak diperlukan. Bagi kek yang bertekstur sebegini ovelette digunakan untuk memberikan tekstur yang halus pada kek.  Begitu juga jika kita membuat kek mentega, jika mentega dan gula dipukul dengan betul, tak perlu gunakan ovelette. Tapi ianya adalah optional, kalau digunakan pun tak apa.

Membuat kek chiffon ini walaupun senang tetapi mengundang panik jugak sebab kalau tersilap caranya kek tak akan naik. Jadi kalau buat sekali tu tak menjadi cubalah banyak-banyak kali. Bak kata orang putih ni..

“When baking, follow directions.  When cooking, go by your own taste.”

~ Laiko Bahrs

Kek Chiffon Pandan

Bahan-bahannya:

6 biji telur bersaiz A

135 gram gula castor

100 gram santan

1 sudu besar pes pandan

2 sudu besar minyak jagung/ butter yang dicairkan

150 gram tepung naik sendiri

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Langkah 1 – Asingkan putih dan kuning telur. Telur lebih mudah diasingkan bila ianya sejuk, jadi cepat-cepat asingkan telur sejurus dikeluarkan dari peti sejuk.  Bagi anda yang tak berapa mahir mengasingkan telur, pecahkan telur ke dalam mangkok yang kecil dahulu satu persatu dan kemudian barulah disatukan ke dalam mangkok yang lebih besar. Gunakan telur yang bersaiz A (besar) sahaja. Biarkan putih telur berada didalam suhu bilik sebelum dipukul. Kebiasaannya dalam masa 30 minit dan tidak boleh lebih dari itu.

Langkah  2 –  Panaskan oven sekurang-kurangnya selama 10 minit sebelum kek dimasukkan ke dalam oven.

Langkah  3-   Satukan bahan-bahan kering. Campurkan tepung, gula dan gaul rata. Buatkan lubang ditengah-tengahnya

Langkah  4-  Masukkan bahan-bahan basah seperti minyak, kuning telur dan pes pandan  ke dalam lubang yang disediakan pada langkah ke 3. Masukkan minyak dahulu sebelum mencampurkan bahan-bahan yang lain.  Ini untuk mengelakkan tepung akan bergentel bila dicampaurkan nanti .Pukul  adunan sehingga sebati dan kalau boleh gunakan pemutar kek ye…

Langkah  5- Pukul putih telur. Sebelum mulakan proses ini, pastikan bekas yang digunakan tidak berminyak. Pukul dengan kelajuan yang tinggi sehingga aduanan tidak jatuh dan kental. Semasa proses ini boleh masukkan cream of tar-tar ataupun sedikit jus lemon (jika suka) . Saya hanya memukul putih telur sahaja…

Langkah  6 - Masukkan adunan tepung tadi ke dalam putih telur. Kaup dan balik-balikkan aduan dengan menggunakan spatula ataupun senduk kayu.  Kaup adunan sehingga ke bawah mangkuk dan kembali ke atas. Buat beberapa pusingan sehingga putih telur betul-betul sebati dengan adunan. Proses ini akan memasukkan udara ke dalam adunan. Be careful not to overmix at this stage, nanti kek akan menjadi keras.

Langkah  7 – Tuang adunan ke dalam bekas kek chiffon bersaiz 10 inci. Tidak perlu digliskan.Bakar kek pada suhu  175C  selama lebih kurang 1 jam. Test dulu ye dengan menggunakan lidi atau apa-apa saja lah.

Langkah  8 – Telangkupkan bekas kek ke atas dulang selepas dikeluarkan dari oven dan biarkan sehingga ianya sejuk. Kikis bahagian tepinya sehingga kek keluar.

“Selamat Mencuba”

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Sep 20

Spiral Alfredo Bersama Ayam, Cendawan Dan Bayam

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Bila melihat resepi sebegini apa yang selalu difikirkan adalah ‘mahal’. Memanglah mahal kalau kita makan dikedai. Kena pulak kedai-kedai yang ada kelas gitu, kan. Sebenarnya memasak juadah sebegini lebih kurang sama saja  modalnya dengan menggoreng mee ataupun mee-hoon. Itulah sebabnya saya cuba mengolah pelbagai resepi supaya ianya lebih mudah untuk dimasak dan tidak memerlukan modal yang besar untuk memasaknya. Saya harap dengan resepi ini kita sebagai emak/isteri dapat memasaknya dan  sedikit sebanyak dapat menggembirakan keluarga kita. Boleh masak sendiri dirumah dan tak perlu menunggu suami keluarkan duit barulah boleh makan juadah sebegini. Makan dirumah lebih puas dan sedap.

Spiral ini adalah sejenis pasta sama seperti penne, shell, macaroni dan banyak lagi. Sepatutnya saya hendak menggunakan penne tetapi kebetulan tidak ada dijual, so rembat ajelah spiral ni. Bentuknya cantik macam rupa rambut yang didandan cuma spiral yang saya gunakan agak pendek saiznya jadi spiralnya tak begitu nampak sangat.

Saya suka pasta yang menggunakan cendawan. Bila ditumis ia akan menghasilkan bau yang menyelerakan. Kena pulak bila digabungkan dengan ayam… memang best. Cendawan sebegini perlu ditumis terlebih dahulu secara berasingan sebelum dimasak. Jangan terus campak aje ke dalam kuali bersama bahan-bahan yang lain nanti akan menghasilkan bau yang tak sedap.

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Spiral Alfredo Bersama Ayam, Cendawan Dan Bayam

Bahan-bahannya:

2 /3 ketul isi ayam dipotong dadu

1 bungkus spiral

1 cekak baby bayam

7/8 cendawan shitake

3 ulas bawang putih dicincang halus

2 sudu butter

2 cawan susu segar

2/3 sudu besar tepung gandum

Minyak zaitun/minyak jagung/minyak biasa

Sedikit serbuk lada sulah dan lada hitam

Garam

Cara membuatnya

Didihkan air dan masukkan sedikit garam

Masukkan spiral dan rebus sehingga ianya lembut – ketepikan

Gaul isi ayam dengan garam, serbuk lada sulah dan serbuk lada hitam

Hiris halus cendawan

Panaskan sedikit minyak dan tumis bawang putih dan kemudian masukkan isi ayam

Masak  sehingga isi ayam  masak, angkat dan ketepikan

Menggunakan minyak yang sama, masak cendawan sehingga ianya lembut, angkat dan ketepikan

Panaskan kuali dan masukkan butter

Apabila butter sudah cair masukkan tepung gandum dan kacau dengan lajunya

Masukkan susu sedikit demi sedikit setakat mana banyak kuah yang anda suka

Kacau sehingga ianya agak pekat dan masukkan garam, serbuk lada sulah dan lada hitam

Masukkan bayam, spiral, isi ayam dan cendawan

Gaul rata dan rasa

Anda boleh tambah sedikit air jika kuahnya agak kering

Taburkan chilli flakes jika suka

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Sep 19

Rendang Daging

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

 

Memasak ini bukan sekadar untuk menyedikaan juadah makanan tetapi ianya boleh memberi maksud lebih dari itu. Saya percaya setiap dari kita mesti mempunyai kenangan tentang satu-satu makanan ..tak kisahlah kalau ianya mengaitkan dengan seseorang ataupun sesuatu tempat. Kenangan yang tak boleh di padam dari kotak pemikiran kita. Rendang  pasti menginggatkan saya  dengan arwah mak dan arwah mak yong. Mereka berdua ini memang ‘very particular’ kalau nak masak rendang. Kesemua bahan mesti dihiris halus , tak boleh main kisar aje dan kerisik pulak mesti buat sendiri, barulah wangi baunya, kata merekalah.

Kalau time nak masak rendang ,seluruh isi rumah akan dikerah bekerja bersama-sama. Masing-masing ada tugas yang tersendiri. Waktu saya kecil dulu tugas saya adalah pergi mintak serai dan daun kunyit kat rumah jiran. Punyalah saya tak suka sebab nanti jiran akan tanya, nak masak apa tuuuu? , maka saya akan menjawab, mak nak masak rendang dan jawabnya nanti saya jugaklah yang akan menghantar sepinggan rendang ke rumah beliau. Bila saya semakin dewasa maka tugas -tugas saya sudah beralih kepada task yang lebih susah seperti mengupas bawang dan menghiris itu dan ini. Yes, itulah caranya mereka mengajar saya memasak didapur….

Waktu memasak rendang memang seronok kerana masa tulah kami akan bersembang dan bergelak ketawa(bonding time). Almaklumlah  memasak rendang ini memerlukan banyak kerja hiris menghiris . Memasak rendang stail dulu memang tak sama dengan stail sekarang. Sungguh renyah dan susah. Bila nak masak rendang tu maka kami akan bentangkan  tikar dan letakkan kuali ditengah-tengah hala dan kesemua bahan-bahan diatas tikar. Maka bermulalah aktiviti membuat rendang, ada yang kerjanya menghiris bawang, halia dan bahan-bahan lain, ada yang mengisar cili. ada yang membuat kerisik, memotong daging dan yang paling kuat tenaganya akan memerah nyor (kelapa). Kerja ni memang susah sebab kelapa akan diperah menggunakan kain dan akan diasingkan  mengikut kepekatannya. Yang paling pekat dipanggil pati santan dan yang kurang pekat dipanggil pemanco.

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

 

Iyelah dah susah macam tu tak kan lah nak masak sekilo atau dua kilo daging aje. Kebiasaannya bila kami merendang sekurang-kurangnya lima kilo daging dan waktu tu rendang dimasak untuk hari-hari istimewa aje seperti ada kenduri dan hari raya. Itu yang syoknya, time-time macam tu ajelah yang boleh jumpa rendang.

Berbalik kepada cerita tadi….bila semua bahan-bahan sudah  disediakan, barulah dimasukkan ke dalam kuali bersama dagingnya sekali. Waktu awal memasak kami hanya menggunakan pemanco santan aje dan bila ramuan rendang sudah naik minyaknya barulah dimasukkan pati santan. Kerisik akan dimasukkan akhir sekali kerana takut nanti rendang akan cepat hangit dan berkerak kat bawahnya. Jadi proses membuat rendang ni memang ambil masa yang lama sebab kerjanya dibuat satu persatu.

Sekarang ni saya membuat rendang at least dua minggu sekali sebab keluarga saya memang sukakan rendang. Tak kisahlah rendang apa pun, asalkan namanya rendang. Tetapi saya tidaklah menggunakan keseluruhan cara memasak macam dulu-dulu tu. Ada lah saya copy dan paste disini sana. Kerjanya semakin mudah dan hasilnya takkanlah sama dengan rendang yang dimasak dulu-dulu. Selalunya saya akan kisar separuh dari bahan-bahan rendang dan separuh lagi akan saya hiris halus. Kerisik dan santan tentulah saya beli tapi janganlah gunakan cili boh ye….Bawang pun saya gunakan bawang merah yang besar sebab tak kuasa nak mengupas bawang merah yang kecil-kecil tu walaupun saya tahu menggunakan bawang merah yang kecil-kecil tu jauh lebih sedap dari bawang merah yang bersaiz besar. Apa nak buat sekarang ni kan ke zaman tak cukup masa.

Kalau anda nak cuba memasak rendang daging saya bolehlah cuba……

Rendang Daging

Bahan-bahannya:

1 kilo daging

1 kilo santan

1 senduk cili kisar (boleh ditambah dan dikurangkan sedikit)

6 batang serai

2 helai daun kunyit

2 inci halia

3 sudu kerisik

2 keping asam jawa/asam keping

7/8 biji bawang merah besar

Garam dan gula secukup rasa

Cara membuatnya:

Ambil separuh dari bawang besar,halia, serai dan kisarkan

Separuh lagi di hiris halus-halus

Hiris daun kunyit

 Potong daging mengikut saiz yang disukai

Satukan kesemua bahan (kecuali kerisik , daun kunyit dan santan) dan masukkan ke dalam kuali

Masak sehingga daging kecut dan kemudian masukkan santan

Masak sehingga daging lembut dan masukkan daun kunyit dan garam

Akhir sekali masukkan kerisik dan kacau sehingga ianya agak kering

#Kalau nak sedap masak rendang, bahan-bahan dan santan kena banyak dan kena masak lama iaitu sehingga cilinya betul-betul  garing

# Kalau nak lebih cepat memasak, tumis bahan-bahan kisar  dan cili kering dengan sedikit minyak . Apabila cili sudah garing barulah disambung denga proses yang seterusnya.

# Masak rendang daging guna pressure cooker lagi senang dan cepat..

Bestnya makan rendang……….!!!

 

 

Sep 17

Poached Pears With Chocolate Sauce

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Saya selalu tengok resepi ini dimasak dalam banyak rancangan masakan di TV. Adalah dua atau tiga kali saya lihat peserta-peserta Masterchef Australia membuatnya. Teringin dan tertarik saya untuk mencubanya. It looks simple yet elegant.  Ianya boleh dijadikan pilihan manisan yang tepat untuk disajikan kepada tetamu yang datang bertandang untuk makan malam. Anda boleh membuat manisan ini terlebih dahulu and it will look like magic when they appear.

Juadah pencuci mulut ini boleh diolah menggunakan bahan-bahan yang berlainan. Anda boleh menambah rempah-rempah yang lain namun teknik membuatnya adalah sama. Buah pir perlu direbus sehingga lembut dan dimasukkan ke dalam ketulan ais.

Dari segi kesehatan, buah pir merupakan sumber serat dan vitamin C yang baik.. Ianya dapat membantu proses pencernaan kerana ia mengandungi kandungan serat dan air yang tinggi. Kalau sesiapa yang hendak berdiet, eloklah memilih buah pir kerana kandungan peptin yang terdapat didalam buah pir dapat  menurunkan kadar kolesterol. Saya suka makan buah pir yang lembik-lembik tu. Senang nak makan sebab ianya lembut dan airnya lagi banyak.

Kali ni saya nak berkongsi juadah manisan yang sesuai dijadikan pencuci mulut yang berasal dari Perancis. Jom cuba!

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Poached Pear With Chocolate Sauce

Bahan-bahannya:

2 biji buah pir

125 gram gula castor

Parutan kulit lemon ( 1 biji )

Jus lemon dari 1/2 biji lemon

2 kuntum bunga lawang dan kulit kayu manis

Sedikit rosemary

Cara membuatnya:

Buang keseluruhan kulit buah pir ( tinggalkan tangkainya) dan buang bahagian yang keras di bawah sekali

Penuhkan air didalam periuk dan masukkan kesemua bahan kecuali buah pir

Didihkan kesemua bahan dan selepas itu perlahankan sedikit api

Masukkan buah pir , tutup periuk dan masak selama lebih kurang 20 minit

Periksa buah pir  samada ianya sudah masak dengan menggunakan pisau yang tajam

Angkat dan ketepikan sebentar

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Untuk membuat sosnya , bahan-bahan yang diperlukan adalah:

75 gram coklat masakan yang dipotong kecil

142 ml krim

75 gram mentega

Cara membuatnya:

Masukkan kesemua bahan ke dalam periuk

Gunakan kaedah double-boiler atau anda  boleh masak menggunakan api yang perlahan

Apabila sos sudah cair, sejukkan sebentar sebelum dituangkan ke atas buah pir