free wordpress themes Premium Wordpress Themes
Entries RSS

By Category :

Live Traffic

Jumlah Pengunjung

free counters
Oct 31

Skon Berkeju ( Melted Cheese Scone)

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Makan skon panas-panas bersama keju yang cair dan dicicah pulak dengan sedikit jam pepagi ni memang best. Makan pulak dengan teh-0 ataupun kopi-o, memang sesuai. Skon memang sesuai dimakan untuk sarapan ataupun untuk minum petang. Boleh buat banyak-banyak sekali dan disimpan di dalam peti sejuk. Bila nak makan boleh dilatakkan keju diatasnya dan panaskan guna microwave aje….kan senang.

Skon mesti dimakan panas-panas kalau dah sejuk, hilanglah ‘kick’nya….tak berapa sedap!.Resepi yang saya share ini adalah resepi asas membuat skon. Kalau nak jadikan dia manis, boleh ditambah sedikt gula lagi dan boleh dicampurkan dengan kismis ataupun buah-buahan kering. Anda boleh juga memuat savoury scone menggunakan resepi ini. Hanya tambah rempah ataupun apa-apa sayuran yang berwarna hijau dan dah pun jadi. Maknanya dengan resepi ini anda bolah buat bermacam-macam jenis skon…best kan!

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Tengoklah tu, skon panas-panas dengan keju dan marmalade jam.  Mesti ada yang dah teringin nak buat. I tell you…buatnya tak susah, hanya gunakan jari jemari aje. Tak perlu guna tenaga yang banyak sebab proses membuat skon ni kena lemah lembut sikit. Kalau main tekan kuat-kuat, alamatnya skonnya nanti keras macam batu. Mentega pula kena sejuk dan cara yang paling selamat, anda potonglah mentega yang digunakan kecil-kecil. Bila menggaul tepung bersama mentega, hanya gunakan hujung jari sahaja. 

Tekstur skon agak lembik bila kita nak menerapnya dengan acuan. Jangan panik kerana begitulah adanya….hanya taburkan sedikit tepung di permukaan pencanai dan teruskan menerap adunan skon tersebut. Anda juga boleh menggulung skon dan potong dan kemudian leper-leperkan dengan tangan. Tak susahkan..so marilah cuba!

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Skon Berkeju ( Melted Cheese Scone)

Bahan-bahannya:

3 cawan tepung naik sendiri 

1 cawan susu segar

1 sudu besar gula castor

2 sudu besar youghurt

125 gram mentega

1 bungkus kepingan keju

Glis:

1 biji kunig telur

Cara membuatnya:

Dadukan mentega yang masih sejuk

Gaul tepung bersama mentega sehingga tekturnya seperti serbuk roti

Buatkan lubang ditengah-tengahnya dan masukkan gula, susu dan youghurt

Gaul rata sehingga sebati dengan lemah lembut dan jangan risau sebab adunan akan melekit

Taburkan tepung di permukaan pencanai dan canai adunan mengikut ketebalan yang disukai dan terap dengan acuan.

Susun skon didalam dulang dan gliskan dengan kuning telur

Bakar pada suhu 200 C selama 20-25 minit (panaskan oven dulu)

Letakkan sekeping keju diatas skon yang masih panas dan boleh dimakan bersama jem atau cream

Oct 29

Hati Masak Kicap Berkerisik

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Hari ni saya nak bercerita sedikit perihal kakak sepupu kesayangan saya Aishah Mohd Ariffin atau yang saya panggil Kak Encik. Sedari kecil Kak Encik memang tinggal bersama kami… masa dulu-dulu rumah mak saya di kampong dipenuhi dengan sanak saudara yang sama-sama membesar. Kira macam extended family tinggal bersama-samalah ni. Tapi Kak Encik holds a special place in my heart… chewah. In my book, Kak Encik is one of the most generous persons around. Baik sangat. That’s why arwah mak jugak sangat-sangat sayangkan dia. It’s like Kak Encik ni is also a daughter to my mak. And satu lagi, Kak Encik ni amatlah kelakar orangnya…. Anak-anak saya happy giler kalau dapat jumpa Mak Encik… ada aje cerita yang nak diceritakannya…tak kering gusi dibuatnya. And Kak Encik jugak terror memasak…… haaa bakat yang ni pulak macam turun menurun dalam keluarga Kak Encik kot sebab arwah Mak Yong (mak kak encik aka mak sedara saya) adalah seorang yang amat hebat memasak. Malahan kakak-kakak Kak Encik, seperti Kak Enon, Kak Nin dan Kak La, jugak pandai memasak.

Okay, nak jadikan cerita, weekend baru ni pulak selepas majlis graduasi sekolah Alia dan Arissa di Taylor’s University Lake Side campus, kami bawak Arissa check doctor sebab dia selalu complain tak sihat. Check punya check rupanya anak dara bongsu kami ni mengidap low blood pressure. Adoi. Bahaya la jugak kan sebab sesiapa mengidap low blood pressure mudah black out. Maka saya dan suami pun kalut cari Google nak tengok the home remedies to increase blood pressure.

Dan the doctor pun advised supaya kami bagi Arissa makan banyak hati ayam or lembu to increase the blood pressure. Alamak, saya bukannya mahir nak masak benda-benda macam ni sebab saya sendiri tak berapa suka makan hati ni. Tu yang tetiba teringatkan Kak Encik sebab semasa Kak Encik datang ke rumah saya masa tolong menjaga arwah mak sakit tenat bulan May lalu, dia ada memasak hati lembu yang awesome. Punya lah sedap sampai kami-kami yang tak minat makan hati limpa bagai ni pun mulai menyukainya. Memang sedap. So, saya apa lagi lah, terus lah call Kak Encik di Sitiawan untuk bertanyakan resipi…. Dan inilah hasilnya…. Mari mencuba yaaa.

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Hati Masak Kicap Kerisik

Bahan-bahannya:

2 ulas bawang putih

2 inci halia

3 ulas bawang merah (saiz sederhana)

1 kilo hati lembu

15-20 tangkai cili kering

1 sudu besar jintan manis

1/2 sudu kecil jintan putih

2 sudu besar kerisik

1 sudu besar gula merah

Sedikit daun kari

2 sudu besar kicap biasa

Air asam jawa

1 kuntum bunga lawang

1 batang kulit kayu manis

Minyak untuk menumis

Garam dan sedikit serbuk kunyit

Cara membuatnya:

Kisar bawang putih + bawang merah + halia dan sebelahkan (bahan kisar1)

Goreng tanpa minyak cili kering bersama jintan manis dan jintan putih dan kemudian kisarkan dan set aside (bahan kisar 2)

Rebus sekejap hati, angkat dan toskan

Potong hati nipis dan gaulkan bersama garam  kunyit dan kemudian gorengkan- set aside

Panaskan minyak dan tumis bahan kisar 1

Setelah bawang garing masukkan bahan kisar 2 bersama daun kari

Tumis sehingga garing dan kemudian masukkan kicap dan kacau

Kemudian masukkan gula merah dan hati yang telah digoreng tadi

Gaul sebati dan masukkan kerisik

Masukkan garam, air asam jawa, kulit kayu manis dan bunga lawang

Apabila kuahnya sudah naik minyak tutup api , angkat dan hidangkan

Boleh dihias bersama bawang goreng dan hirisan cili merah

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Ada banyak tips dalam proses memasak juadah ini. Memasaknya kena berhati-hati dan jangan leka. Contohnya, hati hendaklah direbus sekadar untuk menghilangkan darah sahaja dan semasa menggoreng nya pun tidak perlu lama kerana kalau digoreng lama sangat nanti hati akan menjadi keras. Begitu juga semasa menggoreng cili kering, perlu berhati-hati dan jangan sampai cili kering menjadi hitam kerana nanti ianya akan memberi rasa pahit kepada masakan ini. Semasa saya masak resepi ini tempohari, saya terleka sedikit semasa menggoreng hati. Mana tidaknya, masa itulah nak menonton cerita P.Ramlee, Do-Re-Mi. Berlari ke dapur dan ke ruang tamu dan akhirnya hati yang digoreng menjadi sedikit keras.

Air asam jawa mesti diletakkan pada akhir proses memasak kerana jika diletakkan awal-awal ianya  akan mengeraskan hati yang dimasak. Petua ini  boleh juga dipakai apabila kita memasak daging . Asam jawa akan menjadikan daging lambat empuk jika diletakkan awal-awal. Kulit kayu manis dan bunga lawang tak perlu ditumis dan hendaklah dilatakkan akhir sekali. Sebabnya? saya tak tahu..lupa pulak nak tanya dekat Kak Encik hari itu.

Kesimpulannya, cubalah resepi ini sebab ianya sedap. Nak pakai apa jenis hati pun boleh…tak ada hal. Selamat Mencuba!

Oct 28

Nasi Bukhari

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Atas fakta yang saya masih lagi terasa-rasa sedapnya makan nasi arab di Cyberjaya semalam membuatkan saya teringin nak masak nasi bukhari ini pulak. Mungkin bukan hari ini atau esok tapi berkemungkinan besar hujung minggu ni ke, bulan depan ke…siapa tahu. Kalau ada rezeki dan kalau semangat nak memasak ni masih berkobar-kobar..Insya Allah, jadilah nanti . Resepi ini adalah resepi dari sifu serta kawan karib saya, Kak Joi. Kami masak nasi bukhari ni bersama-sama untuk meraikan majlis harijadi suami saya tahun lepas. Kami makan bersama-sama dan beliau kongsikan resepi nasi bukhari ni di blog beliau. Itulah first time saya masak nasi bukhari. Sebelum ini asyik masak nasi minyak dan nasi tomato aje.

Lain sungguh rupanya memasak nasi bukhari ni. Kak Joi sungguh cerewet dalam bab penyediaan rempah. Katanya kalau rempah tak sedap tak guna masak nasi ni. Jadi nak masak nasi ni perlulah mengharungi pelbagai proses iaitu dari proses membuat rempah, memasak rempah, membakar ayam dan memasak nasi. Berpeluh-peluh jugaklah  memasaknya dan oh sebelum terlupa …membuat nasi bukhari ni juga memerlukan banyak kerja potong-memotong  kerana perlu menyediakan salsa( kerja yang paling saya tak suka….err..still consider ke nak masak ni hujung minggu ni).

Namun begitu memasak nasi bukhari ini tidak memerlukan kita untuk memasak lauk-pauk sampingan. Semuanya sudah dimasukkan sekali ke dalam kuah ayamnya. Nak menghidangkannya pun lebih mudah, tak memerlukan pinggan yang banyak. Tetapi yang lebih utama adalah rasa nasi ni memang sedap dan unik. Rasanya dah 2 atau 3 kali jugaklah  saya masak nasi bukhari in selepas itu. Memang sedap!

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Inilah rupa nasi bukhari yang sedang dimasak. Pakai rempah dibuat sendiri, puasnya rasa hati dan baunya harum semerbak. Saya memang rekomen anda mencuba resepi nasi bukhari ini kerana resepi ini sudah lama disimpan oleh tuan punyanya. Entah kat mana-manalah beliau belajar dan dah banyak kali beliau cuba dan cuba sehinggalah beliau menghasilkan resepi sebegini..Thanks Kak Joi. Kalau anda hendak menjengok resepi-resepi canggih yang lain, boleh pergi ke blog beliau disini.

Untuk resepinya saya copy-paste aje dari blog njoycook.blogspot.com

Nasi Bukhari

Bahan Untuk Memasak Ayam
 
Rempah
 
1 sudu kecil serbuk jintan manis
2 sudu kecil serbuk jintan putih
2 sudu besar biji rempah yang dikisar
Campur ketiga-tiga bahan ini bersama sedikit air
Bahan tumisan:
Kulit kayu manis
Bunga lawang
5 ulas bawang putih
1 inci halia
5 ulas bawang merah
Sedikit daun ketumbar
1 mangkok bawang goreng yang sudah di kisar
1 ekor ayam dipotong 12
Sedikit minyak untuk menumis
 
 
Bahan-bahan Untuk Memasak Nasi
 
5 cawan beras basmathi
7 cawan air
1 cawan youghurt
sedikit lada hitam
Bahan untuk menumis
 
2 sudu besar ghee untuk menumis
5 ulas bawang putih
1 inci halia
5 ulas bawang merah
Bunga lawang
Kulit kayu manis
Buah pelaga
 
Bahan-bahan untuk Salsa
 
3 biji buah tomato dan 2 biji timun jepun dipotong dadu
perahan jus dari 1 biji lemon
Sedikit lada hitam
garam dan gula secukup rasa
Cara membuat rempahnya:
 
 
1. Panaskan minyak dan tumis bawang merah, bawang putih, halia, kulit kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih dan kesemua serbuk rempah sehingga wangi.
 
2. Masukkan ayam ke dalam kuali dan sedikit air, masak sehingga ayam separuh masak.
 
3. Masukkan bawang goreng yang telah dikisar dan daun ketumbar
 
4. Perlahankan api dan masukkan garam dan gula secukup rasa dan masak dalam lebih kurang 1 jam
Sementara itu…
 Cara memasak nasinya:
 
5. Basuh beras dan toskan
6. Panaskan minyak sapi dan masukkan kesemua bahan tumisan
7. Tumis sehingga berbau wangi
 
8. Masukkan air yang telah disukat bersama youghurt dan daun ketumbar
 
9. Masukkan garam, lada hitam dan separuh dari rempah ayam tadi.
 
10. Tunggu sehingga ianya mendidih dan masukkan beras tadi
 
11. Kecilkan api dan tutup periuk dan tunggu sehingga nasi masak
Separuh dari rempah tadi boleh dilumurkan dengan ayam, dibakar dan kemudian masukkan bersama nasi dan bolehlah dihidangkan.
OLYMPUS DIGITAL CAMERA
 
Sementara itu…boleh buat salsa
OLYMPUS DIGITAL CAMERA
12. Masukkan tomato dan timun jepun yang telah dipotong dadu
 
13. Campurkan garam, sedikit gula, perahan lemon dan ladi hitam
 
14. Gaul hingga rata dan masukkan ke dalam peti sejuk sebelum dihidangkan.
Oct 25

Kek Coklat Kukus

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Dah nak sampai hujung minggu..esok Sabtu kan. Cop! just nak bagi tahu yang kek coklat kukus diatas tu memang moist dan gebu. Sekali ‘ngap’ masuk ke dalam mulut…sebijik memang tak cukup. Saya pilih untuk tidak membuat topping sebab…pada masa tu saya malas. Kalau anda nak letakakan chocolate ganache dan hiaskan kek coklat kukus tu lagi bagus. Lagi cantik dan sedap.

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Anda boleh pilih untuk menggunakan bekas apa sahaja pun. Nak gunakan loyang bulat pun boleh, nak guna cup cake punya bekas pun boleh  dan nak isi dalam mangkuk pun boleh. Cumanya jika anda inginkan permukaan kek coklat kukus yang rata dan cantik, anda hanya perlu isikan 3/4 penuh sahaja. Yang diatas tu saya isi sepenuh-penuhnya supaya nanti akan nampak macam rupa apom yang terpecah ditengah-tengahnya.

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Sekarang…jom kita buat

Kek Coklat Kukus

Bahan-bahannya:

1/2 cawan serbuk koko

1 cawan gula castor

125 gram mentega yang telah dicairkan

1 cawan air

1/2 cawan susu pekat

1 1/2 cawan tepung gandum

1 sudu kecil soda bicarbonate

1 sudu kecil baking powder

3 biji telur

Cara membuatnya:

Ayak tepung gandum bersama serbuk koko, soda bicarbonate dan baking powder

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Masukkan mentega yang telah dicairkan bersama gula castor dan air ke dalam periuk dan masak dengan api yang kecil sehingga kesemua gula cair. Sejukkan selama lebih kurang 15 minit.

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Masukkan susu pekat ke dalam periuk tadi dan kacau sebati

Pukul telur dan masukkan ke dalam adunan dan kacau sekali lagi

Akhir sekali masukkan campuran tepung sedikit demi sedikit ke dalam adunan

Kacau sebati

Panaskan kukus dan tuang adunan ke dalam bekas /loyang

Kukus selama 10/15 minit atau apabila dicucuk dengan lidi dan ianya keluar bersih

Oct 23

Ayam Masak Madu

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

 

Rasa macam ada benda pelik aje kat dalam kepala ni. Macam rasa semua neuron-neuron kat dalam kepala ni macam tak organize aje. Rasa macam nak buat banyak benda itu dan ini…over excited pun ada, macam tak yakin pun ada,kadang-kadang macam rasa sayu dan macam-macam lagi. Satu lagi benda pelik yang berlaku kat saya dua tiga hari ini ialah entah kenapa tangan saya ni asyik rosakkan barang aje.Semalam saya rosakkan remote air-cond dan hari ini saya rosakkan pulak remote TV. Macam ada power something-something aje kat dalam badan ni. Itu belum lagi yang terlupa itu dan ini. Terlupa nak buat translation job lagi satu hal. Dah last minute baru teringat, kelam-kabutlah jadinya.

Pagi ni pun masih lagi rasa macam tak stabil. Lepas hantar anak ke sekolah boleh menonong-nonong join traffic jam kat depan tu just nak beli benda yang tak berapa penting kat Petronas. Lepas tu singgah beli sayur dan terjumpa my friend Ah Lien dan kami pun bersembang macam tak nak balik-balik. Tak beli apa-apa pun sudahnya. Balik rumah dan lepas siapkan sarapan untuk Asma dan kawan dia Fatin teringat pulak nak buat kek kukus dan lepas sukat-sukat bahan-bahannya, rasa malas pulak. Naik ke bilik dan nak sambung kerja internet, baru je on laptop terdengar pulak bunyi lori sampah maka berlarilah saya kebawah sambil menjerit-jerit, “La..hari ni hari Selasa ke”. Sampai kat bawah rupa-rupanya bukannya lori sampah tapi lori angkat batu-bata kat rumah depan tu. dan  tiba-tiba baru teringat yang hari ni hari Rabu. Adoii…termengah-mengah eden hari ni.

Mungkin akhir-akhir ini banyak sangat benda yang hendak dibuat dan difikirkan. Anak-anak nak periksa, nak fikir lagi pasal kerja-kerja internet saya dan macam-macam lagi. Kebetulan time suami pergi kerja pun dah berubah. Hari gelap lagi dah bertolak pergi kerja. Kalau dulu kami boleh pergi breakfast dulu sebelum suami pergi kerja. Yes, mungkin sebab benda-benda kecil yang berubah membuatkan saya rasa macam ‘lost’…macam tak tau nak buat apa lepas itu dan lepas ini. Emmm….rasa mengantok la pulak!

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

 

Walau apa -pun berbalik kepada resepi hari ini iaitu Ayam Masak Madu. Resepi ini adalah resepi dari blog saya yang lama. Saya pun dah lama tak masak ayam masak madu ni so why not saya share dengan you guys. Kalau masak ayam sebegini mesti anak-anak suka sebab ianya tak pedas dan rasa madu tu bercampur dengan daun kari akan menghasilkan aroma yang wangi dan menaikkan rasa ayam tersebut. Boleh cuba bila-bila masa sebab bahan-bahan yang digunakan tak susah untuk mendapatkannya. Bahan-bahan yang biasa ada kat dapur aje.

 

Ayam Masak Madu

Bahan-bahannya:

1 ekor ayam ( dipotong 16 atau 18)

Minyak untuk menggoreng

2 bungkus kecil serbuk cili

10 tangkai cili kering (dikisar)

3 batang kulit kayu manis

2 kuntuk bunga lawang

2 ulas bawang putih(dihiris)

3 biji bawang merah (dihiris)

2 cm halia(dihiris)

daun kari (lebih kurang segengam-lebih banyak lagi bagus)

1/3 cawan madu (ikut suka)

2 atau 3 sudu besar sos tiram

Garam secukup rasa

 

Cara membuatnya:

Goreng ayam separuh masak, angkat dan ketepikan

Panaskan sedikit minyak untuk menumis

Tumis bawang putih,bawang merah, halia, kulit kayu manis dan bunga lawang sehingga garing

Masukkan daun kari dan apabila sudah keluar bau wangi masukkan cili kisar

Tumis sehingga cili garing dan kemudian masukkan sos tiram, serbuk cili ,garam dan madu

Masukkan ayam yang telah digoreng tadi dan biarkan seketika sehingga kuahnya sebati dengan ayam

Angkat dan bolehlah dihidangkan.

###

Anda boleh kurangkan cili kisar jika anda tak suka makan pedas

Lebih elok serbuk cili dicampurkan dengan air dahulu sebelum dimasukkan ke dalam kuali. Ini untuk mengelakkan dari kuahnya cepat hangus.

 

 

 

 

 

 

Oct 21

Kek Buah Rebus ( Boiled Fruit Cake)

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Resepi ni memang resepi yang dah lama saya simpan. Dari dulu lagi saya gunakan resepi ini bila buat kek buah dan hari ni barulah saya tahu yang boiled fruit cake kalau di terjemahkan ke dalam Bahasa Malaysia ialah Kek Buah Rebus. Memang dari dulu kalau buat kek buah beginilah caranya yang saya lakukan. Jarang sekali saya buat kek buah yang berkukus. Tapi walau apa cara sekalipun kek buah memang saya suka.

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Kek Buah mesti moist..itu memang syarat utama. Syarat tambahan pula ianya mesti kurang manis supaya rasa buahnya terserlah. Itulah sebabnya saya suka gunakan resepi ini kerana resepi ini hanya menggunakan campuran gula merah dan brown sugar. Kek buah jenis ini perlu diperam semalaman, barulah sedap dan moist jadinya. Senang dibuat, tak perlu gunakan mixer dan hanya kacau gunakan senduk kayu aje.

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Kek Buah Rebus ( Boiled Fruit Cake)

Bahan-bahannya:

500 gram campuran buah-buahan kering

 1 cawan gula merah + 1 cawan gula perang (atau 2 cawan gula perang)

225 gram mentega

2 sudu besar soda bicarbonate

2 cawan air

1 cawan tepung gandum

3 cawan tepung naik sendiri

4 biji telur

Cara membuatnya:

Ambil sedikit tepung gandum dan gaul-gaulkan dengan buah-buahan campuran

Masukkan buah-buahan tadi bersama mentega, gula merah,gula perang dan air ke dalam periuk

Masak perlahan-lahan sehingga ianya mendidih

Apabila mendidih, tutup api dan masukkan soda bicarbonate

Biarkan adunan diperap semalaman

Kemudian pukul telur  sehingga kembang dan masukkan ke dalam adunan 

Kacau hingga sebati 

Campur sebati tepung gandum dan tepung naik sendiri

Masukkan sedikit demi sedikit ke dalam adunan dan kacau sebati

Tuang adunan ke dalam loyang dan bakar pada suhu 180 C sehingga kek masak

Oct 17

Claypot Mee Sanggul

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Kadang-kadang kita tak perlukan resepi yang tepat  untuk memasak. Hanya tahu apakah bahan-bahan penting untuk sesuatu resepi itu dah mencukupi.  Kalau orang yang suka memasak, bila tengok orang masak dan rasa masakan itu boleh agak-agak dah apakah bahan-bahan yang digunakan. Kalau masak makanan hari-hari , janganlah stress sangat sampai terlalu bergantung pada resepi. Saya pernah tengok orang masak  lauk-pauk biasa-biasa aje tetapi begitu teliti sehinggakan panjang halia pun diukur.

Belajar memasak ini samalah macam belajar bawak kereta. Kalau tak langgar gate ke tong sampah ke tak sahlah (jangan sampai langgar orang sudahlah). Lepas tu barulah confident nak bawak kereta kan. Serupalah dengan memasak, kalau tak hangus, masin, masam,pelik …memang biasa la tu.

Kali ni saya masak claypot menggunakan mee sanggul. Selalunya saya menggunakan yee mee tetapi kali ini kena explore mee yang lain pulak. Anak-anak saya memang sukakan masakan yang  seangkatan begini . Rasa macam spaghetti kata mereka dan saya rasa makan mee sanggul ini lebih cepat kenyang. Mee sanggul senang didapati di kedai-kedai dan rupanya macam gambar kat bawah ini.

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Kalau rajin anda boleh rendam dulu mee sanggul ini didalam air yang suam-suam kuku panasnya dan kemudian toskan. Kalau nak masukkan terus ke dalam kuali atau periuk pun tak ada masalah cuma lambatlah sikit masaknya.

Tradisionalnya claypot mee ini dimasak didalam periuk tanah dan dimakan panas-panas. Dilengkapi dengan sayur-sayuran yang segar dan cendawan. Saya suka gunakan cendawan hitam yang kering. Bila ianya direndam ia akan mengeluarkan aroma yang saya suka. Untuk resepi ini saya memilih untuk menggunakan cendawan hitam yang kering.

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Claypot Mee Sanggul

Bahan-bahannya:

1 bungkus mee sanggul

1 ketul isi  ayam/daging/udang

1 cekak baby bak choy ataupun sayur-sayur yang lain

3 ulas bawang putih dicincang halus

4 atau 5 ketul cendawam hitam yang kering

2 sudu besar sos tiram

1 sudu besar kicap biasa

1 sudu kecil kicap pekat

1 biji telur untuk  satu portion

1 ketul stok ayam

1 sudu kecil tepung jagung yang dibancuh dengan sedikit air

Garam dan serbuk lada sulah secukupnya

Sedikit minyak untuk menumis

Cara membuatnya:

Rendam sekejap mee sanggul-toskan

Basuh cendawan dan rendam sehingga ianya kembang dan lembut

Panaskan minyak dan tumis bawang putih

Bila sudah keluar bau wangi masukkan isi ayam atau apa-apa rencah

Masak sehingga ianya bertukar warna

Masukkan air + air rendaman cendawan

Masukkan sos tiram, kicap biasa,kicap pekat,stok ayam, garam,serbuk lada sulah dan cendawan

Masak sehingga mendidih dan kemudian masukkan mee sanggul

Apabila mee sudah agak lembut, masukkan baby bak choy dan pecahkan telur

Angkat dan hidangkan

Boleh hias dengan hirisan daun sop dan daun bawang

Serve warm