free wordpress themes Premium Wordpress Themes
Entries RSS

By Category :

Live Traffic

Jumlah Pengunjung

free counters
Dec 30

Selamat Tahun Baru 2014

mak

Lagi beberapa hari sahaja lagi kita akan menyambut tahun baru 2014. Saya dengan rasa berbesar hati ingin mengucapkan ‘Selamat Tahun Baru’ dan ribuan terima kasih kepada pelawat dan pambaca blog azianhasan.com.

Sepanjang tahun 2013, saya harap segala resepi dan coretan blog saya akan dapat memberi keceriaan dan manfaat kepada kita bersama. InsyaAllah bagi tahun 2014, blog azianhasan.com akan bertukar wajah dan saya akan kongsikan lebih banyak resepi yang menarik dengan anda semua. Jangan kemana-mana tau..tunggu!

 

Dec 24

Ayam Belanda Panggang (Roasted Turkey)

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Ini adalah kali kedua saya memanggang ayam belanda. Masih lagi terasa sedapnya meratah isinya yang ‘juicy’ dan kulit luarnya yang ranggup. Bezanya dengan makan ayam? Entah tidak tahu handak menggambarkan dengan tepat tetapi isinya lebih kenyal dan uhhhh…memang puas memakannya. Well, nak makan ayam belanda ni kenalah beli semasa hujung tahun, masa krismas. Itulah masa yang ada dijual dan kali ini saya tidak akan melepaskan peluang beli ayam belanda ni.

Harga seekor ayam belanda lebih kurang dalam RM 90 ke RM 120. Tengoklah jugak beli kat mana…kalau kat Cold Storage tu mungkn harganya mahal sedikit. Saya panggang ayam belanda ni sama sahaja kaedahnya dan resepinya untuk memanggang ayam biasa, Jadi bagi sesiapa yang bertanya akan resepi untuk memanggang ayam, bolehlah guna resepi ini. Resepi yang saya suka dan saya reka sendiri. Ok…jom kotorkan tangan!

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Lihatlah tangan anak sulung saya tengah melumurkan bahan perapan kat ayam belanda tu. Kalau kerja ni bagi aje kat dia. Seronok katanya. Ayam belanda sebesar ini adalah dalam 3 kilo lebih sikit. Kalau diikutkan dalam 1/2 kilo , masa untuk memanggangnya dalam 20-25 minit . Jadi untuk memanggang seekor ayam belanda mengambil masa dalam 3 jam ke 3 jam setengah lebih kurang. Yang penting anda perlu cairkan(thaw) segala ais yang ada pada ayam tersebut, sebaik-baiknya dalam tempoh 24 jam sebelum ayam itu dimasak. Rendam didalam air dan tukar air tersebut setiap 30 minit.

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Ayam Belanda Panggang (Roasted Turkey)

Bahan-bahannya

1 ekor ayam belanda

1 ketul mentega

1 biji bawang holland 

1 biji lemon

Secekak daun ketumbar dipotong halus

Minyak zaitun

Garam

Lada sulah

Serbuk lada Hitam/ lada hitam yang ditumbuk

Sedikit daun rosemary (optional)

 

Cara membuatnya:

Bersihkan ayam belanda dan keringkan dengan menggunakan tuala dapur

Panaskan ketuhar pada suhu 200 C

Untuk membuat bahan perapan – lembutkan mentega pada suhu bilik dan gaulkan dengan garam, lada sulah, daun ketumbar dan sedikit parutan kulit lemon

Gaul sebati dan ketepikan

Lumurkan bahagan luar dan dalam ayam belanda dengan garam dan serbuk lada hitam

Dengan teliti longgarkan kulitnya dan sumbatkan bahan perapan tadi ke dalamnya. Masukkan sedikit demi sedikit ke bawah kulit ayam dan tolak menggunakan jari. Sebaik-baiknya masukkan 80 % dari bahan perapan tersebut ke bahagan bawah kulit ayam belanda. Yang selebihnya, lumurkan pada keseluruhan ayam belanda. Masukkan bawang holland dan lemon (tak perlu dikupas kulitnya) ke bahagian dalam ayam dan sisipkan dengan lidi . Akhir sekali tuangkan minyak zaitun ke atas ayam seberapa banyak yang anda suka dan taburkan rosemary keatasnya.

Masukkan ayam kedalam ketuhar dan bakar. Setiap 45 minit atau 1 jam, anda perlu ‘baste’ ayam tersebut. Buka pintu ketuhar dan dengan menggunakan sudu, ambil jus ayam dan curahkan ke atas ayam terutamanya dibahagian dada. Ini untuk menjadikan ayam tersebut masak dengan sama rata.

Cucuk ayam dengan chopstick ataupun lidi yang panjang dan jika ianya keluar licin, bermakna ianya sudah masak. Sekiranya ayam sudah berwarna keperangan dan masih belum masak, ambil aluminium foil dan tutup ayam tersebut. Apabila ayam belanda sudah masak, ianya perlu direhatkan sekurang-kurang selama 30 minit sebelum dimakan. Ini akan menjadikan ayam tersebut lebih sedap dan ‘juicy’.

 

 

Dec 22

Bergedil Daging

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Malas adalah perkataan yang paling sesuai dianugerahkan kepada saya minggu ini. Menziarahi kematian dua orang insan yang amat saya kenali dalam minggu ini sahaja menjadikan seperti semua anggota badan saya lemah. Saya dapat merasakan bagaimana perit, sedih dan pilunya kehilangan orang yang tersayang menjadikan saya teringat kembali saat-saat saya kehilangan mak kesayangan saya . Mengingati saat saya kehilangan arwah mak lebih kurang tujuh bulan yang lalu menjadikan dada saya sempit dan sesak setiap masa, setiap hari dan ianya semakin menjadi-jadi. Tak terkira rasa rindunya dekat arwah mak. Namun hidup perlu diteruskan dan hanya sabar dan redha sebagai bisikan penguat semangat dan semoga arwah mak lebih bahagia di alam sana.

Mungkin juga saya memerlukan sedikit ‘ time off’ dari segala rutin seharian saya. Ambil cuti sendiri dan luluskan sendirilah jawabnya. Menonton rancangan kesukaan saya sambil minum kopi susu banyak-banyak dan cicah biskut cream-crackers, ubah sikit-sikit susunan perabot didalam rumah, baca buku kegemaran sudah mencukupi asalkan ianya jauh dari mencari resepi dan memasak. Kadang-kadang tu nak jugak merasa cuti memasak, makan diluar…best!

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Tapi bila anak ‘request’ nak makan itu dan ini maka cair jugaklah hati ini. Cuti memasak cuma dapat bertahan beberapa hari sahaja, selepas itu berkungfu baliklah didapur. Akhir-akhir ini anak kedua saya sangat sukakan bergedil . Semenjak beliau tinggal di kolej, barulah beliau mencuba makan bergedil. Kalau dulu disuruh makan tidak mahu. Bergedil dah jadi salah satu makanan kegemaran beliau dan disebabkan dah dua bulan bercuti teringin pulak nak makan bergedil, katanya.

Sebenarnya saya juga sukakan bergedil cuma malas nak membuatnya. Nak mengupas kulit kentang , menggoreng dan melenyek-lenyek isi kentang amat melecehkan. Teringat semasa hari perkahwinan saya dahulu, mak saudara saya buat bergedil yang ada telur rebus didalamnya. Apabila dipotong, ianya begitu cantik. Entah bilalah saya akan buat bergedil sebegitu….masa anak saya kahwin nanti la kot, InsyaAllah.

Bergedil Daging

Bahan-bahannya:

5 atau 6 biji ubi kentang kuning bersaiz sederhana

250 gram daging cincang

1 labu bawang holland dipotong dadu

2 ulas bawang putih dicincang halus

Sedikit daun celery dipotong halus

Segengam bawang goreng

2 biji telur

1 sudu besar lada sulah

Garam secukup rasa

Minyak untuk menggoreng

Cara membuatnya:

Potong ubi kentang nipis-nipis dan goreng sehingga empuk.

Tumbuk ubi kentang sehingga hancur.

Panaskan sedikit minyak dan tumis bawang holland dan bawang putih sehingga wangi.

Masukkan daun celery dan gaul rata.

Masukkan kesemua bahan ke dalam ubi kentang tadi bersama lada sulah, bawang goreng, garam dan telur.

Gaul rata dan ambil sedikit adunan,bulat bulatkan dan leperkan sedikit.

Panaskan minyak.

Pukul 1 biji telur dan celupkan adunan tadi ke dalam telur.

Goreng dengan api sederhana besar sehingga masak dan berwarna kekuningan dikedua-dua bahagian

 

Dec 18

Cetusan Dekorasi Makan Malam Sambutan Harijadi Suami

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Anak-anak mencadangkan supaya kami makan diluar sahaja tahun ini bagi menyambut harijadi suami saya tetapi saya berkeras untuk masak sendiri . Seronoknya apabila masak sendiri dirumah ini ialah saya boleh menghias meja makan dan boleh berulang-ulang kali makan, tak gitu?

Kaedahnya apabila hendak masak dirumah ini, apa yang memeningkan kepala ialah apabila hendak menentukan menu makanan dan ianya mestilah makanan yang disukali oleh suami  saya kan. Tetapi tak susah rasanya sebab list makanan yang tidak disukai oleh beliau adalah terlalu pendek.

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Kali ini saya menggunakankan campuran pinggan mangkuk yang lama dan yang baru tetapi masih tidak lari dari warna yang lembut. Saya menjadikan buku-buku kegemaran suami saya sebagai ‘ main prop’ dimana ia diletakkan berselerakan diatas meja. Tidak semestinya tiada jambangan bunga, kita tidak boleh menghias meja.  

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Saya menggunakan kain net untuk mengikat sudu dan garpu. Ianya akan melembutkan suasana hiasan meja. Menjadikan ianya lebih manis. Nice and sweet ..lebih kurang begitulah.

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Untuk manaikkan lagi seri hiasan, saya letakkan pancaran perak yang tidaklah memancar sangat sebab ianya bukannya asli. Diletakkan diatas timbunan buku-buku supaya prop yang utama tidak akan tenggelam oleh silauan perak itu tadi.

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Yes! yang tergolek kat atas pinggan itu adalah menu utama yang dinanti-nantikan oleh suami saya…Ayam Turkey.

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Ayam turkey sudah sedia untuk dimakan. Puas makannya…I tell you. …Jangan takut nak masak ayam ni sebab cara memasaknya sama aje dengan masak ayam panggang cuma ianya lama sikit. Nanti saya akan kongsikan resepinya ye….

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Hanya gunakan kentang kuning boleh menghasilkan hidangan yang sebegini cantik dan sedap .Potato rissole namanya.

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Kuah ataupun kebiasaannya orang memanggil ‘gravy’. Masak ayam turkay tidak memerlukan ‘side dish’ yang banyak kerana tumpuannya adalah ayam itu sendiri tetapi gravy kena sedap dan banyak.

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Sup cendawan berkrim Julia Child yang seriously saya sangat suka. Boleh dapatkan resepinya disini.

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Victoria Cake dari resepi Delia Smith. Kek kegemaran suami saya.

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Saya pasti dan percaya bahawa makanan mempunyai kuasa mistik dan ajaib untuk melahirkan dan mengeratkan kasihsayang…what say you?

Dec 16

Sup Cendawam Berkrim Julia Child

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Tidak pernah terfikir oleh saya untuk mencuba resepi Julia Child. Membaca resepinya didalam buku beliau ‘Julia Child’s Mastering the Art of French Cooking’ memang menggerunkan. Penjelasan yang terlalu teliti seperti  menggambarkan Julia adalah seorang yang amat cerewet dan berhati-hati dengan cara memasak dan amat teliti dengan bahan-bahan yang digunakan. Resepi yang simple seperti sup cendawan ini sahaja mengambil ruang sebanyak dua mukasurat di dalam buku resepi beliau. 

“Hish, susah betullah nak faham resepi ni”!, detik hati saya. Saya ambil pen dan kertas dan saya lakarkan cara membuatnya mengikut pemahaman saya dan akhirnya saya menulis resepi beliau mengikut apa yang saya faham. Sebenarnya taklah sesusah mana cuma agak keliru sahaja tetapi mencuba resepi beliau memang amat berbaloi. Dalam masa kurang dari 1 jam saya dapat menghidangkan sup cendawam berkrim ini dengan nama asalnya…“Potage Velouté Aux Champignons” (Cream of Mushroom Soup).

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Sup Cendawam Berkrim Julia Child

Bahan-bahannya:

1/4 cawan bawang holland yang dicincang halus

8 sudu besar mentega

3 sudu besar tepung gandum

2 tangkai daun ketumbar

1/2 daun bay

1/8 sudu teh thyme (saya gunakan yang kering)

6 cawan stok ayam ( Jika anda tidak ada stok ayam yang dibuat sendiri, masukkan sahaja 2 ketul stok ayam kimball bersama 6 cawan air)

Garam dan Lada sulah

1 pound cendawan segar (Saya gunakan 1 bungkus cendawan shitake)

1 sudu kecil jus lemon

1/2 @3/4 cawan whipping cream

Cara membuatnya:

Bersihkan cendawan dan asingkan batang dan bahagian atasnya. Potong bahagian batangnya memanjang

Masukkan stok ayam ke dalam periuk bersama daun ketumbar,  daun bay dan thyme dan masak diatas api.

Dengan menggunakan pan/bekas lain, ambil 3 sudu besar mentega (daripada 8 sudu besar mentega) cairkan dan masukkan bawang holland tadi . Gunakan api yang perlahan dan masak setakat bawang agak layu sahaja (belum bertukar warna menjadi perang).

Masukkan tepung dan kacau dalam api yang sederhana selama 3 minit. Jangan sampai ianya menjadi perang. Masukkan adunan ini ke dalam periuk tadi dan kacau.

Masukkan juga 1/8 sudu teh garam dan batang cendawan. Masak sehingga ianya mendidih dan kemudian perlahankan api dan reneh selama 20-30 minit.

Selepas itu, tapis kesemua bahan dan tekan-tekan supaya semua jus dan perasa dari bahan-bahan tersebut keluar( jangan kisar ye, nanti tak sedap). Buang segala hampas tersebut dan masukkan semula sup ke dalam periuk tadi.

Sementara itu dengan menggunakan pan, cairkan 2 sudu besar mentega dan masak cendawan dan masukkan 1/4 sudu teh garam dan 1 sudu teh jus lemon. Kacau sebati dan masak selama 5 minit.

Tuangkan kesemua bahan ke dalam periuk yang berisi sup tadi dan renehkan sup selama 10 minit. Selepas itu angkat dan ketepikan.

Akhir sekali pukul 2 biji kuning telur (whisk) sehingga agak kembang dan masukkan whipping cream. Kacau sebati.

Dengan perlahan-lahan masukkan 2 cawan sup yang masih panas tadi dan tuang secara perlahan-lahan. Sementara itu  teruskan mengacau sehingga kesemuanya sebati.

Letakkan semula periuk ke atas api yang sederhana dan tuang campuran telur tadi. Renehkan selama 3/4 minit lagi sehingga telur betul-betul masak dan supnya agak likat.  Perasakan sup tersebut

Tutup api dan masukkan 3 sudu besar mentega dan kacau.

Hiaskan dengan whipping cream jika anda suka.

Dah pun siap…..fuh! …boleh ke faham apa yang saya tulis ni. Ikut aje satu persatu dan kalau tak faham boleh tanya saya di fanpage saya, di sini.

 

 

 

Dec 15

Peha Ayam Barbeque

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Hari Khamis yang lepas saya masak peha ayam barbeque ini untuk dimakan bersama mee-hoon goreng putih. Suami saya mencadangkan supaya perut kami semua diisi dahulu sebelum kami keluar menonton wayang ‘The Hobbit: Desolation Of Smaug’. 

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Peha ayam yang diperap dengan apple cider dan beberapa bahan lain menjadikan peha ayam ini bukan sahaja sedap tetapi ianya lembut dan ‘ juicy’. Tak pernah lagi saya mencuba menggunakan apple cider sebagai bahan perapan dan saya sangat seronok dan puas hati dengan resepi ini. Pada awalnya saya agak peha ayam ini mestilah rasanya manis kerana ia tidak menggunakan sebarang cili seperti yang selalu saya buat. Risau pulak kalau tak sesuai dengan tekak tetapi bila dah siap rasa manis dari madu dan gula perang diseimbangkan dengan halia, bawang putih dan apple cider. Emmm….My kind of dish gitu!

Separuh nyawa saya nak mencuci loyangnya…..tengok tu kuahnya melekat-lekat dekat loyang dan itu tidak bagus… kan? Jadi kalau anda nak mencuba resepi ini, gunakan loyang yang boleh dipakai buang (foil) supaya selepas digunakan boleh terus dibuang ke dalam tong sampah, senang.

Saya bakar peha ayam ni didalam ketuhar sahaja tetapi terlebih dahulu saya masakkan dahulu peha ayam ini diatas dapur dahulu supaya ianya tidak terlalu lama didalam ketuhar. Anda juga boleh menggunakan cara yang sama jika hendak panggang peha ayam ini menggunakan arang. Lebih senang dan cepat.

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Peha Ayam Barbeque

Bahan-bahannya:

6 ketul peha ayam

1/4 cawan apple cider

1/4 cawan madu

1/4 cawan gula perang

2 sudu besar sos tiram

2 cm halia dicincang halus

3 ulas bawang putih dicincang halus

1 sudu besar lada hitam ditumbuk halus

Garam secukup rasa

Cara membuatnya:

Campurkan kesemua bahan-bahan diatas dan perap selama lebih kurang 8 jam. Masukkan ke dalam peti sejuk

Panaskan ketuhar dengan suhu 180C

Masukkan kesemua bahan-bahan ke dalam pan /periuk dan masak dengan api yang perlahan selama 10 minit

Tuangkan ke dalam loyang dan jika anda menggunakan pan yang tahan panas, masukkan terus pan tersebut ke dalam ketuhar.

Masak dalam 15-20 minit atau sehingga ayam masak

Pastikan ayam tidak terlebih masak kerana kepanasan dan saiz peha ayam tidak sama. Cucuk peha ayam dengan lidi kalau ianya licin dan tak ada keluar darah bermakna ianya sudah masak. Anda juga boleh melihat jika daging dan tulangnya dah bercerai bermakna ianya sudah masak.

Dec 12

Chili Dogs

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Rasanya minggu ini macam dah muak tengok cerita orang kahwin dekat televisyen. Hebat-hebat jugak orang Malaysia ni buat kenduri kahwin, siap makan juta-juta lagi. Entahlah sekali pandang macam sama aje semuanya…bunga gayut-gayut, baju ketat-ketat…aduh, malas nak cakap banyak la. Mungkin itu adalah cara mereka mencari bahagia. Apapun semoga semua kita baik-baik sahaja.

Hari ni saya masak chili dogs untuk ‘brunch’…almakhlumlah anak-anak bangkit dan tidur dah tak sama masa dengan saya.  Kadang-kadang rasa meja makan tu dah jadi meja ‘buffet’ aje. Lauk tengahari, pagi, kuih-muih semuanya dihidangkan sekali harung. Siapa yang nak makan, ambik sahaja dan siapa yang ‘last’ sekali makan, silalah kemas meja tersebut.

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Chili dogs  sebegini memang cepat aje habisnya. Kalau dekat rumah saya ni, seorang  makan 2 atau 3 ketul. Jadi kiralah berapa ketul chili dogs saya kena buat. Saya jugak tak malu mengaku yang saya sangat sukan chili dogs ini, boleh berebut-rebut dengan anak-anak lagi.

Makan chili dogs ini memang menyomotkan. Kuahnya yang banyak memang senang tertumpah dan ditambah lagi dengan hirisan bawang kuning, mustard dan daun ketumbar.Kadang-kadang diletakkan jeruk (pickle) dan keju didalamnya. Kuahnya yang dipanggil chili menjadikan ianya berbeza dengan hot dog. itulah kelebihan chili dogs…

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Chili Dogs

Bahan-bahannya:

6 ketul sosej direbus sehingga lembut-ketepikan

6 keping roti panjang – dibelah dua memanjang

250 gram daging cincang

2 sudu besar minyak

2 biji bawang holland dipotong dadu ( 1 biji digunakan untuk ditabur diatas sosej)

1 biji tomato dipotong dadu

3 ulas bawang putih dicincang halus

2 sudu besar serbuk cili

1 sudu besar paprika

1 sudu besar daun ketumbar

1/2 cawan jus ribena

1 tin (220 gram) tomato puri

1/2 cawan air

Sedikit mentega dan mayonis

Garam dan gula secukup rasa

Cara membuatnya:

Panaskan minyak dan tumis bawang holland dan bawang putih sehingga wangi

Masukkan daging cincang dan masak sebentar

Masukkan serbuk cili, serbuk paprika, tomato puri, buah tomato,air, jus ribena, garam dan gula

Masak sehingga kuah pekat dan akhir sekali masukkan daun ketumbar

Selepas itu ambil roti dan sapukan mentega dan mayonis, letakkan sosej, kuah dan kalau suka boleh letakkan mustard dan keju dan akhir sekali taburkan bawang holland.