free wordpress themes Premium Wordpress Themes
Entries RSS

By Category :

Live Traffic

Jumlah Pengunjung

free counters
Jan 31

Air Soda Limau Nipis

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Nampak gayanya cuaca semakin hari semakin terik. Cuaca yang sejuk dan nyaman sebelum ini dah mula nak beransur-ansur pergi. Alngkah bestnya kalau tengah panas-panas ni anda dihidangkan dengan segelas air soda limau nipis macam kat atas tu. Bukan sahaja sedap tetapi ia dapat menghilangkan haus. Bersempena dengan perayaan Tahun Baru Cina ini juga anda boleh menghidangkan air ini kepada tetamu-tetamu yang datang.

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Saya letakkan sedikit parutan kulit limau nipis. Lagi banyak lagi bagus dan cantik pulak bila memandangnya. Air soda  atau  ais krim soda adalah kemestian. Kalau tukar dengan air lain macam tak sedap sebab air soda ni saya rasa macam kurang sedikit gasnya. 

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Air Soda Limau Nipis

Bahan-bahannya:

2 cawan air soda ( boleh gunakan 1 bbotol yang kecil)

3 biji  jus limau nipis  dan diparut kulitnya

Air gula secukup rasa

3/4 ketul ais

 

Cara membuatnya:

Masukkan kesemua bahan -bahan kecuali kulit limau ke dalam blender

Kisar sehingga ais hancur

Tuangkan ke dalam gelas dan taburkan kulit limau nipis

 

 

Jan 29

Tart Nenas

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Bukan senang orang yang tak sabar macam saya ni nak buat tart nenas. Raya pun saya tak pernah buat. Tup,tup lagi 2 atau 3 hari nak raya cina timbul pulak rajin nak buat tart nenas. Buat jemnya sendiri pulak tu. No beli-beli one la. Hish, kenapa la pulak tiba-tiba saya nak buat tart nenas, sampaikan suami saya pun terkejut tengok biskut tart nenas ni tergolek-golek kat dalam tray bila beliau balik dari kerja.

Dalam rumah saya hanya suami saya sahaja yang sukakan tart nenas. Saya?..emmmm..so and so aje la. Bagi saya buat tart nenas ni susah. Nak kupas nenas dan lepas tu nak masak jemnya berjam-jam. Itu belum lagi nak membakar biskut lagi. Memang boleh tabik hormatlah pada mereka yang mampu buat tart nenas dalam kuantiti yang banyak. Patutlah harganya pun mahal. Jadi lepas ni kalau nak beli tart nenas jangan banyak komplen pasal harga. Kalau nak beli, beli aje.

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Sedapnya tart nenas banyak bergantung kepada jemnya. Kalau jemnya sedap dan diisi banyak dan kena pulak pastrinya lembut dan gebu, makan sebiji tak akan cukup. Mesti nak makan dan makan lagi.

Kali ini saya mencuba resepi tart nenas dari blog Nasi Lemak Lover. Saya sukakan pastrinya. Rasa lemak dan manis dari susu pekat menjadikan pastrinya bak ramai orang kata ‘melt-in-your-mouth’. Cumanya kali ini saya terlebih masak tart nenas ni. Terlebih garing sikit..biasalah sambil masak tu saya tengok ‘running man’.

Oklah, tahniah kepada saya yang rajin buat tart nenas dan ‘Happy Chinese New Year’ kepada kawan-kawan dan terutama sekali kepada pembaca blog saya yang berbangsa cina.

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Tart Nenas

Bahan-bahannya:

Untuk jem/intinya:

3 biji nenas

250 gram gula

 

Untuk pastrinya:

350 gram mentega

100 gram susu pekat

510 gram tepung gandun

2 biji kuning telur

1 biji kuning telur dan sedikit susu segar untuk egg wash

 

Cara membuatnya:

Kisar isi nenas

Kalau boleh gunakan sedikit sahaja air untuk mengisar

Masukkan kesemua isi nenas tadi ke dalam periuk dan masukkan gula

Masak sehingga ianya berubah warna dan menjadi kering iaitu selama 1-1 1/2 jam

Sejukkan dan kemudian bulat-bulatkan

Untuk pastrinya:

Putar mentega bersama susu pekat

Masukkan kuning telur satu persatu

Masukkan tepung dan gaul sehingga sebati

Bulat-bulatkan pastri dan masukkan jem ditengah-tengahnya

Boleh hias  bahagian luarnya dengan menggunakan pisau ataupun pengepit

Sapukan kuning telur dipermukaan atasnya

Bakar pada suhu 165C selama 20-25 minit

 

 

Jan 27

Sup Leek Dan Ubi Kentang

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Dari dulu sampai sekarang saya suka masak sup sebegini. Selain dari rupanya yang cantik dan gayanya yang ada kelas, memasaknya sangatlah senang. Campaklah apa sahaja, kisar dan kalau tak menjadi tak tahulah apa nak cakap. Dari anak saya kecil, sup sebeginilah yang saya suapkan ke mulut mereka. Jarang sekali saya beri anak-anak saya makan nestum atau  makanan-makanan yang sewaktu dengannya. Bezanya kalau anak-anak yang kecil saya campurkan nasi dan menggunakan sedikit sahaja mentega.

Dalam pemikiran saya menghidangkan sup sebegini untuk keluarga terutama anak-anak adalah pilihan yang terbaik . Khasiat sayur-sayuran yang terdapat didalam sup ini akan memberi banyak faedah kepada tubuh badan mereka. Kadang-kadang dalam kepala saya ni terbit jugak macam-macam ‘statement’ yang tak berapa logik, mengalahkan doktor aje. Saya selalu anggap kalau anak-anak saya makan sup sebegini, khasiat sayur-sayuran dan bahan-bahan yang ada didalam sup itu akan secara automatik masuk kedalam saluran darah dan terus memberi macam-macam khasiat kepada mereka. Kalau makan sup yang didalamnya ada bayam boleh terus jadi pandai macam popeye tu….kan, boleh?

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Sup leek dan ubi kentang ini saya ambil resepinya dari buku resepi Marcus Wareing. Walaupun saya selalu buat sup macam ini menggunakan resepi sendiri tetapi kali ini saya ingin mencuba resepi beliau. Bahan-bahan yang digunakan  lebih kurang sama sahaja  dengan resepi sendiri tetapi teknik membuat mengikut cara beliau  agak ‘simple’ dan  beliau meletakkan banyak mentega pada akhir proses memasaknya dan ini menjadikan sup lebih berkrim dan cantik berkilat.

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Sup Leek Dan Ubi Kentang

Bahan-bahannya :

5 batang leek

2 biji ubi kentang usa/rosette saiz besar

150 gram mentega

1 biji bawang holland (dipotong dadu)

3 ulas bawang putih(dihiris halus)

750 ml stok ayam (kalau tak ada campurkan air dengan stok ayam)

3-4 sudu besar whipping krim 

Garam dan lada sulah secukup rasa

Sedikit daun kucai untuk hiasan

 

Cara membuatnya:

Ambil bahagian putih dan hijau sahaja dari daun leek

Basuh dan potong dalam 1 inci setiap satu

Kupas kulit kentang dan hiris nipis

Ambil 100 gram mentega dan panaskan didalam periuk

Masukkan bawang holland dan bawang putih dan masak setakat kuning sahaja.Jangan sampai bertukar warna

Masukkan ubi kentang dan air stok ayam dan perasakan dengan garam dan lada sulah.

Tutup periuk dan biarkan selama 8-10minit sehingga ubi kentang dan leek lembut

Tutup api dan masukkan lebihan mentega dan krim

Kisar kesemua sup 

Tapis (optional) dan masak diatas api sebentar untuk memekatkan lagi sup

Hias dengan hirisan daun kucai dan krim

 

 

 

Jan 24

Mee Sup My Style

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Sesampai saja saya dirumah selepas membeli barang-barang dapur di Mydin semalam , saya terus membasuh segengam ikan bilis dan merebusnya didalam periuk yang besar.  ”Kalau ada ikan tamban lagi best ni”, bisik hati kecil saya. Dari dulu sampai sekarang saya memang sukakan mee sup yang ala-ala ‘chinese style’. Walaupun rupanya tiada tetapi baunya dan rasanya….saya saja yang tahu. Alamak, meleleh pulak air liur mengingatkan mee sup saya yang dah habis.

Sejak dari kecil lagi saya dah suka mee sup style macam ini. Apatah lagi arwah bapa saya selalu membawa saya makan di kedai cina hailam di pekan Kampar. Restoran Lee Kuan namanya dan memang tempat makan favourite kami sekeluarga.

 

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Tengok! Betulkan saya rebus ikan bilis. Inilah bahan utama kalau nak masak mee atau pun apa-apa sahaja ‘noodle’ macam ‘chinese style’. Bau ikan bilis dicampurkan dengan bawang putih, lada sulah dan sedikit minyak bijan memang semerbak. Tak perlu bahan-bahan yang canggih-canggih. Kalau nak masukkan bahan-bahan lain terpulanglah. Saya suka letak banyak fishball dan fish cake kerana ianya akan memberi sedikit perasa kepada kuah. Untuk menjadikan hidangan ini sempurna, sayur mestilah ada. Saya letakkan sayur salad cina sebab masa tu hanya sayur itu aje yang ada didalam peti ais saya. Bak choy juga boleh digunakan selain taugeh. Tapi pastikan anda menggunakan sayur yang manis..jangan pulak letak sawi yang pahit.

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Saya letakkan juga sedikit isi ayam dan sedikit cendawan tetapi saya sudah rebus dahulu isi ayam tersebut ditempat lain dan barulah saya masukkan ke dalam periuk. Saya tidak mahu nanti ada keluar minyak dan bau ayam. 

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Mee Sup My Style

Bahan-bahannya:

1 gengam ikan bilis/ ikan tamban

3 ulas bawang putih diketuk sehinggga hancur

Fishball dan Fishcake (ikut suka)

1 bungkus mee kuning (dibasuh dan dicelur sedikit)

Sedikit minyak

Air secukupnya

Sedikit minyak bijan

Garam secukup rasa

Daun sop dan daun bawang untuk hiasan

Lada Sulah secukup rasa

 

Cara membuatnya:

Rebus ikan bilis sehingga mendidih (lagi lama lagi bagus)

Keluarkan ikan bilis

Panaskan sedikit minyak didalam pan yang lain dan tumis bawang putih

Curahkan bawang putih ke dalam periuk tadi (jangan tutup apinya)

Masukkan garam,minyak bijan, lada sulah, fishball dan fishcake atau kalau suka boleh masukkan sedikit  perasa

Apabila fishball dan fishcake sudah lembut, tutup api dan masukkan ke dalam mangkuk bersama mee, hiaskan dengan hirisan daun sop dan daun bawang dan kemudian bolehlah dimakan..

Makan panas-panas bersama cili padi potong barulah kaw,kaw

 

 

 

Jan 23

Popia Ikan

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Lama sungguh rasanya saya tak buat popia ikan ini. Last sekali saya buat masa anak-anak saya tak sekolah lagi. Tu dia , punyalah lama tak buat.  Walaupun memasaknya senang tetapi disebabkan ada kerja yang remeh temeh dan memerlukan masa memang saya kurang suka.

Resepi ini memang saya buat sendiri. Nak dikatakan serunding pun bukan sebabnya saya lebih gemar menikmati isi ikan yang lembab dan masih lagi terasa rasa ikannya. Jadi saya masak inti ikan itu sekadar kering begitu-begitu sahaja. Saya letakkan sedikit halba untuk memberikan bau wangi dan sekaligus menghilangkan bau hanyir ikan.

Popia ikan ini boleh difrozenkan berbulan-bulan lamanya. Goreng sekejap sahaja didalam minyak yang panas, angkat dan toskan. Kemudian alaskan popia ikan setiap satu supaya ianya tidak melekat.

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

 

Sekali anda mencuba resepi ini pastinya anda lebih gemar buat sendiri popia ikan ini. Anda boleh pilih jenis ikan lain yang anda suka dan boleh menambah bahan-bahan lain. Makanan snek sebegini memang sesuai untuk anak-anak yang tidak gemar makan ikan. You control the flavor  and ingredients entirely, it’s great. 

 

Popia Ikan

 

Bahan-bahannya:

500 gram ikan kembong ( dibersihkan dan direbus )

1 labu bawang merah dimayang halus

1 sudu besar halba 

Sedikit garam

250 gram santan

1 bungkus kulit popia bersaiz kecil

Minyak untuk menggoreng

 

Cara membuatnya:

Ambil isi ikan dan masukkan kedalam periuk ataupun kuali

Masukkan bawang merah, santan, halba dan garam dan masak sehingga santan kering

Rasa dan sejukkan

Masukkan inti ke dalam kulit popia dan gulung

Matikan dihujungnya dengan campuran sedikit tepung dan air

Goreng popia dengan menggunakan api yang sederhana

 

 

 

Jan 20

Tom Kha Gai

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Ia dipanggil Tom Gha Khai. Sejenis makanan tradisional Thailand dan lebih dikenali sebagai sup pedas dan  panas. Dengan hirisan lengkuas dan daun ketumbar yang banyak bersama daun limau purut dan sos ikan terasa seperti makan tom yam tetapi apabila ditambah dengan santan bersama serai, terasa seperti gulai lemak pulak.

Kombinasi kedua-duanya memang secocok dan sepadan dan ini adalah antara masakan yang akan selalu saya buat. Membuatnya tidak ubah seperti membuat singgang. kesemua bahan dipotong sahaja dan dalam masa yang sekejap, ianya sudah siap dihidang. Bayangkan bau tom yam yang sedap dicampur dengan lemak santan. Ok tak nak cakap panjang lagi, lepas ni silalah cuba resepi ni.

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Tom Kha Gai menggunakan cendawan dan ayam sebagai bahan utama. Rahsia nak masak tom kha gai  supaya sedap ialah bahan-bahan yang digunakan mestilah seimbang terutamanya lengkuas,daun limau purut dan daun ketumbar. Kesemua bahan-bahan ini mempunyai  sedikit bau dan rasa yang agak kuat . Ianya perlu digunakan banyak sedikit, barulah keluar bau dan rasanya. Kalau tak macam makan gulai lemak yang tawar dan tak ada rasa.

Jadi semasa memasak tu selalulah rasa supaya kesemua bahan itu seimbang dan masakan tersebut sempurna. Kalau nak lebih pedas, boleh tambah lagi cili padi. Oh….saya sudah jatuh hati dengan masakan Thai la pulak!

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Tom Kha Gai

Resepi diambil dari sini ( ditukar mengikut kesesuaian sendiri)

 

 

Bahan-bahannya:

1 cawan santan pekat

1 cawan stok ayam ( kalau tak ada gunakan 1 cawan air dicampurkan dengan 2 ketul stok ayam )

4 atau 5 hirisan lengkuas

2 atau 3 daun limau purut (dikoyak kepada dua bahagian)

2 batang serai dipotong serong

3 ketul isi ayam dipotong dadu

1/2 cawan cendawan segar

2 sudu besar sos ikan

2 sudu besar jus perahan limau

4 atau lebih cili padi ( diketuk sedikit)

Secekak daun ketumbar (dipotong panjang-panjang)

 

Cara membuatnya:

Masukkan stok ayam dan santan ke dalam periuk

Masukkan lengkuas, daun limau purut dan serai dan masak sehingga hendak mendidih

Sentiasa mengacau kuahnya takut nanti kuahnya naik minyak

Masukkan isi ayam dan cendawan dan masak sehingga mendidih

Kemudian bolehlah dimasukkan sos ikan, jus limau dan cili padi

Masak sehingga ayam lembut dan perasakan dengan garam

Rasa kuahnya dan boleh tambah sos ikan dan jus limau jika tak cukup

Akhir sekali masukkan daun ketumbar dan tutup api.

Makan dengan nasi panas.

 

 

Jan 16

Ikan Stim Teochew

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Setelah mundar mandir didapur tak tahu nak masak apa dengan ikan siakap dua ekor ini. Maka terfikirlah didalam kepala ini betapa sedapnya kalau dapat meratah ikan ini. Kena pulak dari rupa paras luarnya nampak ‘fresh’. Tentu isi dalamnya berwarna putih dan manis.

Memang betul jangkaan saya, bila ikan dah siap dimasak, isinya yang lembut dan segar memang tak terkata sedapnya. Kalau diikutkan hati nak ratah habis dua ekor ikan ini sekali hadap. Bukannya siapa nampak, tapi tak sampai hati pulak. Anak-anak dan suami nak makan lauk apa pulak nanti…

Syarat utama untuk memasak ikan stim adalah ikan itu sendiri mestilah ‘fresh’. Kalau dapat masak ikan yang baru keluar dari laut, macamana pulak lah rasanya…mesti lagi sedap dari yang ini. Saya tak pernah lagi rasa ikan yang baru keluar dari laut. Anda pernah?

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Ikan yang segar tidak memerlukan banyak bahan-bahan untuk distimkan. Hanya memerlukan bahan-bahan asas untuk memberi perasa yang kena dengan ikan. Ianya boleh diubah-ubah mengikut bahan-bahan yang ada dirumah.  Sebagai contoh, kalau tidak ada daun ketumbar boleh gunakan daun sup dan daun bawang. Kalau tak ada teocheow, boleh gunakan kicap cair sahaja.

Pendek kata , untuk memasak ikan stim tidaklah perlu terlalu mengikut resepi. Hanya menggunakan halia sahaja pun, ikan stim boleh jadi sedap. Yang penting cara anda menstim ikan ..jangan terlebih masak dan ikan stim perlu dihidangkan semasa ianya masih panas.

Saya menggunakan sedikit sahaja teochew untuk menggantikan garam. Ikan siakap dikelar dan saya masukkan hirisan halia didalamnya. Sebelum itu ikan tersebut saya lumurkan dengan lada sulah dan akhir sekali saya taburkan lebihan halia dan hirisan lemon diatasnya.

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Ikan siakap sebesar saiz diatas memerlukan masa 10-15 minit untuk distim. Ini bergantung juga betapa besarnya api yang digunakan.  Makin besar api makin banyak lah stimnya maka cepatlah masak ikan tersebut. Selepas ikan sudah masak , angkat ikan dan buang lemon dan air ikan. Didalam kuali yang lain, panaskan sedikit minyak dan tuangkan ke atas ikan. Ini untuk menjadikan ikan nampak berkilat dan cantik. Dengan menggunakan kuali yang sama, gunakan sedikit sahaja minyak dan tumis bawang putih dan sos . Apabila sosnya sudah berbuih, tuangkan ke atas ikan dan kemudian tabur banyak-banyak daun ketumbar dan cili merah beserta sedikit perahan lemon.

Ikan Stim Teochew

Bahan-bahannya:

2 ekor ikan siakap

1/2 sudu teh teochew

Sedikit lada sulah

3 inci halia dipotong memanjang halus

Secekak daun ketumbar

1 biji lemon

1 sudu besar minyak

Untuk Sosnya:

5 sudu besar kicap cair

1 sudu besar minyak bijan

Sedikit air

1 sudu kecil gula

Sedikit sos tiram (optional)

Sedikit lada sulah

1ulas bawang putih dicincang halus

Cara membuatnya:

Bersihkan ikan dan keringkan ikan tersebut

Kelar-kelarkan ikan dan lumurkan dengan lada sulah

Selitkan hirisan halia dicelahnya dan taburkan yang selebihnya keatas ikan bersama hirisan lemon

Stimkan ikan antara 10-15 minit

Angkat ikan dan buang hirisan lemon dan air ikan

Panaskan minyak dan tuang keatas ikan

Satukan kesemua bahan-bahan sos

Dalam kuali yang sama, tumis bawang putih dan sos

Apabila sos mendidih , tuangkan keatas ikan

Hias dengan daun ketumbar dan hirisan cili merah dan perah sedikit lemon keatasnya.