free wordpress themes Premium Wordpress Themes
Entries RSS

By Category :

Live Traffic

Jumlah Pengunjung

free counters
Mar 31

Ikan Masak Sup Sos Tiram

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Bila  malas tetapi tekak ini teringin nak makan ikan stim….saya masak ikan masak sup sos tiram macam ini…..

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Bukannya susah sangat membuatnya. Cuma kalau dapat ikan yang lagi umph macam ikan siakap yang diambil isinya, lagilah kelas. Yang penting, ikan tersebut jangan digoreng terlalu lama dan terlebih garing. Kalau boleh gorenglah ikan tersebut menggunakan non-stick pan dan gunakan sedikit sahaja minyak. 

Kuahnya nampak cair sahaja tetapi rasanya agak menyegarkan, kena pulak bila dimakan bersama daun ketumbar. Bau kuahnya yang harum memang boleh menarik selera. 

Ikan Masak Sup Sos Tiram

Bahan-bahannya:

3 atau 4 ketul ikan  ( saya gunakan ikan nyok-nyok)

2 sudu besar sos tiram

3 inci halia muda dihiris nipis

2 ulas bawang putih dicincang halus

4 atau 5 ketul cendawan tiram (dibersihkan, rendam sehingga lembut dan dibelah empat)

1 sudu kecil sos ikan

1 sudu kecil minyak bijan

Daun ketumbar

Minyak 

Garam secukup rasa

Sedikit air

Cara membuatnya:

Goreng ikan, toskan dan set aside.

Panaskan sedikit minyak dan tumis bawang putih  sehingga wangi.

Masukkan sedikit air, sos tiram, halia muda dan cendawan tiram.

Biarkan ianya mendidih dan kemudian masukkan sos ikan, minyak bijan dan garam.

Masukkan garam, tutup api dan masukkan ikan dan akhir sekali masukkan daun ketumbar.

Mar 26

Laksa Johor

laksajohor1

Bukannya tak pernah buat Laksa Johor tetapi resipi kali ini rasa agak senang pulak memasaknya. Resepi yang diberi oleh Aunty Molly tempohari dah beberapa kali saya belek. Senangnya nak buat laksa johor, tak payah nak menumis  bagai. Betul ke resepi ini? Bahan-bahan yang digunakan juga  agak simple.

Ceritanya bermula apabila saya mendengar Aunty Molly hendak membuat laksa johor untuk keluarganya . Tergerak dihati saya bertanya, bagaimana nak masak laksa johor ni. Iyelah nak tahu jugak apa bezanya memasak laksa johor ikut style chinese kan. Beliau yang begitu excited terus menulis resepi tersebut untuk saya. Eh, Aunty Molly pulak yang terlebih excited. Sebenarnya Aunty Molly ni suka sangat bagi petua tentang masakan kepada saya. Setiap pagi apabila kami balik dari tai-chi, ada sahaja petua dan idea resepi yang beliau ajar. Seronoknya berkawan dengan orang macam ini. Best!

laksajohor2

Namun begitu beliau amat cerewet dengan bahan-bahan yang digunakan. Contohnya beliau kata , “Azian, gunakan ikan tenggiri saja ye, kalau ikan lain tak sedap tau”, “jangan guna kunyit serbuk, pakai kunyit hidup sahaja”  dan banyak lagilah pesanan-pesanan penaja kepada saya.

Yang menariknya resepi beliau menggunakan campuran serbuk kari ikan Adabi dan Baba’s. Bila saya bertanya mengapa, beliau mengatakan, different curry, different flavours and both combination is perfect for the laksa johor. Tapi betulla…bila serbuk kari adabi dan baba’s dicampur, sedap rasanya.

Ikan tenggiri distim telebih dahulu. Isinya boleh dikisar separuh dan dipecah-pecahkan lagi separuh. Yang pentingnya lapisan atas iaitu seperti kulit ikan itu perlulah dibuang kerana ianya akan terapung didalam kuah laksa johor nanti jika tidak dibuang. Air ikan yang distim perlu dimasukkan sekali kedalam kuah laksa.

Warna laksa johor ini mungkin agak kekuningan sedikit. Mungkin kerana tidak diletakkan cili kering. Lain kali saya akan letakkan sedikit cili kering kisar supaya rasa pedas sedikit. Selain dari itu saya puas hati sangat dengan resepi ini. Terima Kasih Aunty Molly. 

laksajohor3

Laksa Johor

Bahan-bahannya:

1 bungkus spaghetti

1/2 ekor ikan tenggiri ( lebih banyak ikan lagi sedap)

2 sudu besar serbuk kari ikan adabi

2 sudu besar serbuk kari ikan baba’s

2-3 sudu besar kerisik

8-10 biji bawang merah kecil

2 batang serai

2 cm lengkuas

2 cm kunyit hidup

1 keping asam gelugor

700 gram santan ( saya guna 3 bungkus santan yang kecil)

Garam secukup rasa

Bahan hias

Taugeh

Timun

Bawang merah besar

Daun selasih

Daun kesum

Sambal belacan

Limau kasturi

Cara membuatnya:

Rebus spaghetti sehingga lembut. Angkat dan toskan

Stim ikan tenggiri dan keluarkan isinya. Kisar separuh dengan menggunakan air lebihan stim tadi, lagi separuh pecah-pecahkan sahaja.

Kisar bawang, langkuas, serai dan kunyit

Campurkan bahan-bahan kisar bersama serbuk kari ikan

Panaskan kuali dan masukkan bahan-bahan kisar tadi

Kacau sebentar dan kemudian masukkan santan 

Masukkan kesemua isi ikan dan asam keping

Kacau sehingga kuahnya agak pekat dan kemudian masukkan kerisik

Boleh tambah sedikit air ikut kesesuaian

Masak kuah lama sedikit sehingga minyaknya naik keatas. Lebih lama dimasak, lebih tahan lama.

Sambal Belacan

5-6 bij cili merah 

Sedikit cili padi

30 gram belacan yang telah dibakar

Garam dan gula secukup rasa

Perahan limau

Kisar kesemua bahan (kalau ditumbuk lagi bagus)

 

# Bahan-bahan hias dipotong halus dan nipis. Tengok aje yang dekat dalam gambar tu tapi hirislah halus lagi ye. Masa tu saya lapar sangat, tak sabar nak makan.

Mar 24

Isi Ayam Masak Halia

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Mencari juadah yang cepat dimasak sempena cuti sekolah ini? Almakhlumlah cuti sekolah, ibu-ibu mesti hendak memasak sesuatu yang ‘special’ untuk anak-anak dirumah. Bagi ibu-ibu yang bekerja  pula pasti perlu memasak juadah tambahan untuk anak-anak pulak. Pagi-pagi perlu bergegas ke tempat kerja ataupun apabila balik dari kerja pula terpaksa pula kelam-kabut memasak . Ibu-ibu begini perlukan resepi yang mudah dan sedap. Dapat jugak kurangkan huru-hara diwaktu pagi ataupun diwaktu pulang dari kerja. Resepi isi ayam masak halia ini amat sesuai untuk mereka dan untuk anak-anak yang tidak suka makan pedas. 

Untuk memudahkan kerja-kerja memasak didapur,  saya sarankan anda ‘stock up’ isi ayam didalam peti sejuk anda. Kalau ada isi ayam dirumah, bila masa ‘emergency’ tu bolehla masak isi ayam  sebegini ataupun boleh dimasak paprik atau sebagainya. Isi ayam frozen dan isi ayam yang fresh adalah berbeza dari segi rasa dan harga. Isi ayam yang fresh lebih ‘juicy’ dan lembut. Jika anda gunakan isi ayam yang frozen, jangan masak terlalu lama kerana ditakuti ayamnya akan menjadi keras.

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Isi ayam masak halia ini boleh dimasak mengikut kesesuaian bahan yang ada dirumah anda. Anda boleh tambahkan sayur celery atapun carrot untuk mencantikkan lagi juadah ini.

Isi Ayam Masak Halia

 

Bahan-bahannya:

250 gram isi ayam

3 inci halia muda dipotong serong memanjang

1 biji putih telur

2 sudu kecil tepung jagung

1 sudu teh garam

1 -2 biji cili merah dipotong

Sedikit daun  bawang dihiris halus

1 sudu teh gula perang

1 1/2 sudu teh cuka 

1 sudu teh minyak bijan

Sedikit minyak dan lada sulah

 

Cara membuatnya:

Potong ayam nipis-nipis memanjang

Campurkan putih telur,garam dan tepung jagung. 

Masukkan isi ayam kedalam campuran diatas dan gaul rata

Panaskan minyak dan masukkan kesemua ayam

Masak selama 30 saat ke 1 minit sahaja.

Angkat ayam dan toskan

Buang lebihan minyak tadi 

Didalam kuali yang sama, panaskan sedikit minyak dan tumis halia sehingga wangi

Masukkan cili merah, daun bawang dan isi ayam tadi 

Masukkan sedikit garam, cuka, gula perang, lada sulah dan minyak bijan

Masak selama 1 minit dan kemudian bolahlah diangkat dan dihiaskan dengan taburan daun sup dan daun bawang

 

Mar 22

Tefal ActiFry FZ7072 Memasak Makanan Lazat dan Berkhasiat

 

tefal4

Tefal, pembuat peralatan masak dan perkakasan rumah utama dunia, memperkenalkan Tefal ActiFry FZ7072 iaitu satu periuk yang menawarkan kaedah memasak yang sihat dan moden di samping menggunakan teknologi memasak yang praktikal. Periuk dari Perancis ini mendapat sanjungan ramai dan merupakan No.1 di Eropah dan Kanada, memastikan penggunanya dapat memasak dengan lebih mudah dan sihat serta mengekalkan rasa sesuatu makanan itu tatkala tidak menjejaskan kandungan khasiat dalamnya. Pengguna-pengguna yang menjalani rutin kehidupan harian yang sibuk dan tidak berkesempatan untuk memasak di rumah, akan mendapati bahawa Tefal ActiFry FZ7072 adalah penyelesaian terbaik untuk mereka. Golongan bekerja kini berpeluang untuk menikmati makanan sihat dan menyelerakan tanpa perlu menahan nafsu makan mereka terhadap juadah yang lazat.

tefal5

Berbanding dengan cara menggoreng yang konvensional, Tefal ActiFry FZ7072 merupakan penyelesaian semulajadi dan sihat kerana ia tidak memerlukan penggunaan minyak yang banyak. Periuk ini datangnya bersama sudu pengukur pintar Actifry (14ml) yang mana membenarkan pengguna-penggunanya untuk mengawal kuantiti minyak yang digunakan dalam sesuatu masakan. Untuk memasak satu kilogram makanan, hanya sesudu minyak sudah memadai dan ia menghasilkan lemak serendah 3 peratus. Maka dengan adanya Tefal ActiFry FZ7072, anda sekeluarga akan dapat menikmati juadah makanan yang lazat lagi sihat. 

“Selain memastikan diet berkhasiat dan seimbang untuk mengelakkan kegemukan, kita juga perlu mencari masa untuk memasak makanan yang sihat. Kesibukan rutin harian kita semua juga menyebabkan kita tidak berkesempatan untuk menyediakan makanan yang sihat untuk sekeluarga dan akhirnya terpaksa membeli makanan dari luar ataupun berkunjung ke restoran makanan segera berhampiran, dan dengan erti lain kita menjamu makanan yang kurang kandungan khasiatnya,” kata Kelvin Mow, Pengarah Urusan, GROUPE SEB (Singapura & Malaysia). “ Di Tefal, kami sentiasa percaya bahawa terdapat cara yang lebih mudah untuk memasak makanan yang sihat untuk ahli keluarga tersayang. Teknologi terbaru kami iaitu Tefal ActiFry FZ7072 adalah merupakan revolusi kulinari yang dicipta untuk memenuhi permintaan anda. Teknologi inovatif ini ialah penyelesaian untuk mengekalkan diet sihat dan seimbang tanpa perlu mengorbankan untuk menjamu makanan yang sedap.”

tefal3

Tidak seperti penggoreng elektrikal yang biasa, Tefal telah merekabentuk ActiFry FZ7072 untuk memasak apa jua makanan segar tatkala mengekalkan kandungan nutrisinya. Dengan menampilkan sistem peredaran udara panas denyut terpaten Tefal, ia menghasilkan aliran udara panas yang seimbang sewaktu memasak, maka Tefal Actifry berupaya meningkatkan rasa semulajadi makanan yang dimasak itu tanpa menjejaskan kandungan vitamin dan khasiatnya.  Suhu memasak yang digunakan oleh periuk itu adalah terkawal pada 170°C, dan menjadikan ia sesuai digunakan untuk menggoreng sebarang jenis makanan.

Sebagai tambahan kepada teknologi maju terpaten Tefal, periuk ini juga datangnya bersama satu pengayuh kacau automatik untuk tujuan pembuangan minyak secara optimal dan penggiliran memasak konsisten sekaligus membolehkan pendekatan memasak 100 peratus bebas tangan. Tefal ActiFry FZ7072 membuktikan keserbagunaannya dengan membenarkan penggunanya untuk memasak resipi berasaskan kering dan berkuah daripada makanan segar  dan beku tanpa sebarang halangan. Bahan periuk dalaman Tefal ActiFry FZ7072 adalah diperbuat daripada salutan seramik tidak melekat yang membenarkan bahan makanan digaul bersama pengayuh kacau automatik tanpa terperangkap kepada periuk.

Untuk memudahkan pemasakan makanan yang bertekstur lembut, Tefal ActiFry FZ7072 mempunyai satu rak snacking yang membantu mencedok makanan keluar dari periuk dan pada masa sama membolehkan minyak berlebihan untuk dikeringkan daripada hidangan, maka ia menjadikan makanan itu ranggup.  Periuk ini mempunyai pemasa digital 60-minit yang siap dipasang dan ia berfungsi untuk mengeluarkan bunyi beep apabila waktu memasak itu berakhir, sekaligus mengelak makanan daripada dimasak melebihi had masa dan hangus.  Tambahan pula, penutup lutsinar Tefal ActiFry FZ7072 membolehkan penggunanya membuat tinjauan dengan mudah proses memasaknya dan mengelak lembapan dan minyak daripada meresap keluar. Semua bahagian boleh ditanggalkan dan selamat dicuci. Tefal ActiFry FZ7072 akan datang bersama senaskhah buku resipi yang membawakan resipi sedap, berkhasiat dan sihat yang tentunya memenuhi cita rasa setiap penggemar makanan.

 

Tefal ActiFry FZ7072 + Snacking ini boleh didapati di pasaraya utama dan kedai elektrik mulai Mac 2014 pada harga runcit RM999.

 

 

Mar 21

Ikan Bakar Dalam Daun Pisang

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Makan ikan bakar simple-simple macam ni memang menyelerakan. Tak perlu ada kuah atau lauk-pauk yang lain. Makan bersama nasi putih dan acar timun sahaja sudah cukup. Ikan dibakar bersama sambalnya sekali ataupun ikan yang dibakar kosong dan dicicah dengan air asam  memang kegemaran saya.  

Waktu dulu-dulu semasa saya belum berkahwin lagi, kalau ada tetamu istimewa yang datang kerumah ,kami akan menghidangkan ikan bakar yang dibakar menggunakan arang. Selalunya kami gunakan ikan sungai yang fresh. Masa tu bolehlah kan sebab kawasan kat rumah besar dan boleh cari kayu merata-rata situ aje. Punyalah nikmatnya makan ikan bakar yang dibakar sendiri. Kena pulak kalau dapat bakar ikan terubuk. Rasa lemak dan manis ikan yang dibakar sebegitu memang sedap diratah begitu sahaja. 

Tapi kalau bab membakar ni, selalunya saya fail terutama sekali kalau bab nak menyalakan api. Selalunya memang kepakaran kakak sayalah. Saya selalunya tumpang sibuk-sibuk aje. Oh rindunya pada zaman itu….rindu sangat pada arwah mak dan bapak……

Sekarang ni saya bakar ikan gunakan non-stick pan aje. Tentulah tak sama rasa dan nikmatnya macam makan  ikan yang dibakar menggunakan arang. Kalau beli kat kedai pulak selalunya dibakar menggunakan minyak yang banyak. 

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Ratakan ikan dengan sambalnya dan balut dengan daun pisang. Boleh gunakan apa sahaja jenis ikan . Cuma jika saiznya besar, masa untuk membakarnya kena lebih la sikit.

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Ini ikan yang sudah siap dibakar. Kalau nak senang, bolehlah masak sambalnya lebih sedikit dan disimpan didalam peti sejuk. Boleh digunakan bila-bila masa yang anda suka. Jadi jom tengok resepinya..

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Ikan Bakar Dalam Daun Pisang

Bahan-bahannya:

4/5 ekor ikan kembong

2 biji bawang merah besar

4 ulas bawang putih

5 biji cili padi

3 biji cili merah

1 batang serai

1 sudu teh serbuk lada sulah

Garam secukup rasa

Sedikit minyak untuk menumis

1 helai daun pandan

Sedikit  air asam jawa

Cara membuatnya:

Kisar bawang merah, bawang putih, cili padi, cili merah dan serai

Panaskan minyak dan tumis kesemua bahan yang dikisar tadi

Masak sehingga timbul bau harumnya dan masukkan daun pandan yang sudah disimpul dan air asam jawa

Perasakan dengan garam dan lada sulah

Tutup api dan ketepikan

Letakkan ikan kedalam daun pisang dan ratakan sambal pada ikan tersebut

Bakar pada api yang sederhana pada kedua-dua belah

Apabila ikan sudah masak dan kuahnya sudah pekat bolehlah diangkat dan dihidangkan.

 

Mar 19

Lala Tumis Serai Bercili

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Lala adalah makanan kesukaan anak sulung saya, Alia. Memandangkan hanya Alia seorang sahaja yang sukakan lala jadinya sangat jarang sekali saya masak lala. Isi lala yang halus dan lembut amat secocok dimasak secara ‘stir fry’  bersama sos sebegini. Saya letakkan telur supaya sos dan lala melekat diantara satu sama lain.

Apabila memasak lala pastikan jangan terlebih masak. Kekalkan kesegaran dan rasa manis lala tersebut . Bagi mereka yang suka meratah lala, sos sebegini amat sedap. Tidak terlalu pedas dan tidak menenggelamkan rasa lala itu sendiri. It’s perfect to go with a cold drink.

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Lala Tumis Serai Bercili

Bahan-bahannya:

500 gram lala

3 batang serai 

3 inci halia

3 ulas bawang putih

2/3 sudu cili kisar

1 sudu besar sos tiram

1 helai daun kunyit (saiz kecil)

2 biji telur

Gula dan garam secukup rasa

1 sudu besar minyak

Cara membuatnya:

Bersihkan lala dan toskan

Hiris serai serong nipis

Hiris bawang putih, daun kunyit dan halia halus-halus

Panaskan minyak

Tumis bawang putih,serai dan halia sehingga wangi

Masukkan cili kisar dan masak sehingga cili garing

Masukkan lala, sos tiram, garam dan gula

Pukul telur

Masukkan telur dan gaul rata dan akhir sekali masukkan daun kunyit

Masak sebentar sahaja 

Mar 18

Villa sentosa Kampung Morten Melaka

villasentosa1

Sejujurnya saya ini amat mengemari barangan antik. Kalau kena gayanya ke mana saya pergi, barangan antik seperti pinggan mangkuk dan periuk belanga serta perabot-perabot lama memenag menarik perhatian saya. Nak jadi kan makin minat ni pulak kerana tuan suami juga berkongsi minat yang sama.  Di rumah saya adalah serba sedikit barangan serta perabot tinggalan kedua-dua arwah emak dan emak mertua saya. Dan sesungguhnya barangan-barangan lama ini memang tahan lama buatannya. Namun kini tidak banyak boleh didapati dan kalau ada dijual pun harganya memang boleh naik juling mata kita.

Hujung minggu lalu, entah apa rezekinya kami sekeluarga dapat meluangkan masa melawat Villa Sentosa di Kampung Morten di tengah-tengah Bandar Melaka. Terpegun saya meninjau a living museum yang satu ini. Mari ikut saya ya:

DSC00613

Haji Ibrahim Haji Hashim menyambut kami sekeluarga. Beliau menerangkan tentang salasilah keluarga beliau dan rekabentuk rumah tersebut.  Villa Sentosa adalah satu rumah yang mesti dikunjungi oleh sesiapa yang berkunjung ke Melaka. Ini adalah kerana ia mempunyai keunikannya yang tersendiri  dan barangan antik yang terdapat didalam rumahnya memang  tersangat menarik. Rasa macam nak pengsan tengok pinggan-mangkuk dan peralatan memasaknya.

Jenis rumah ini ialah rumah limas melaka yang terdiri dari beberapa bahagian iaitu anjung,serambi, rumah ibu, kelek anak, pelantar, rumah dapur dan dapur. Hanya bahagian dapur sahaja diubahsuai dan ditambah kerana bahagian dapur yang lama telah dimakan oleh anai-anai.

DSC00627

Saya sangat suka  bahagian pelantar dimana ia membolehkan angin segar masuk ke dalam rumah. Tak perlu pasang aircond.

DSC00690

Pandangan dari serambi. Tenang aje kan…

DSC00624

Satu kali pengsan sebab tengok set-up meja menggunakan pinggan mangkuk dulu-dulu yang cun melecun.

DSC00626

Pandangan dari sisi yang lain pula. Still pengsan…

DSC00558

Rasanya ada lima atau enam almari sebegini yang didalamnya diletakkan pinggan mangkuk lama. Saya suka semua…..rasa macam nak bawak balik.

DSC00587

Peralatan membuat kek dan bahulu zaman dulu-dulu.

DSC00551

Kukur kelapa. Ingat lagi masa kecil inilah kerjanya kalau nak mengacau mak  didapur…berangan naik kuda.

DSC00670

Peralatan untuk majlis kahwin. Kalau dijual sekarang agaknya berapa ribulah agaknya kan.

DSC00602

Pelamin antik. Dikatakan Duli Yang Maha Mulia Yang dipertuaan Agong dan Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Agong ke 11, DYMM Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Alhaj dan DYMM Raja Permaisuri Agong Tuanku Siti Aishah pun pernah bersanding ditas pelamin ni. Errr…saya pun bersanding jugak atas pelamin yang sama tapi tak nak letak gambar, malulah.

DSC00679

Bilik pengantin dan kerusi itu digunakan untuk majlis makan beradab. Pengantin dulu-dulu memang tak pernah tengok muka masing-masing , tak kenal. Jadi itulah sebabnya diadakan majlis tersebut..break the ice gitu..

DSC00608

Tempayan yang digunakan untuk membasuh kaki apabila ingin masuk ke dalam atau keluar dari rumah. Rasanya ada banyak lagi gambar dan cerita yang hendak saya share kan disini tetapi biarlah anda sendiri mendengarnya dari pemilik Villa Sentosa. Anda kena rasai pengalaman itu sendiri supaya anda dapat rasakan betapi besarnya hati pemilik rumah tersebut menyambut tetamu yang datang. Jangan lupa singgah di Villa Sentosa Kampung Morten jika berkunjung ke Melaka ya.