free wordpress themes Premium Wordpress Themes
Entries RSS

By Category :

Live Traffic

Jumlah Pengunjung

free counters
Nov 20

Biryani Sayur-Sayuran (Vegetables Biryani)

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Ini kisah hari Ahad lepas. Salah satu tugas mingguan saya ialah menyediakan makanan yang spesial untuk kami sekeluarga makan. Tak kiralah samada untuk makan tengahari atau untuk makan malam. Eh..itu bukan tugas harian ke??!

Ok..yang ini saya kena set-up meja makan. Kena letak seprah, pinggan mangkuk lawa-lawa and so on…Kena letak bunga kat tengah meja. Macam mengada-ngada la pulak. Tapi nak buat macamana kan dah pekenan buat benda-benda camtu. Lepas tu masa tengah makan, soalan yang wajib ditanya dekat anak-anak ialah , “Sedap tak mak masak?”. Kalau mengangguk aje, maknya yang gila kuasa ni tak puas hati. Mesti nak tanya lagi sampai anak-anak jawab, “sedaaap…memang sedap.’. Barulah puas hati.

Ini adalah kali pertama saya masak biryani sayur-sayuran. Tak pernah terfikir pulak ada biryani yang letak segala sayur-sayuran bagai. Tak pernah try pun biryani macam ni. Anda pernah?

Alkisahnya saya terjumpa resepi ini  kat You-tube. Kalau rajin pergi google. Saya tertarik dengan teknik memasaknya dimana beras basmathi direbus dahulu dan kemudian dikukus bersama kuah biryani yang sudah dimasak dahulu. Dalam hati saya terdetik, mesti nasi tu jadi lembut dan gebu. 

Memang betul sangkaan saya. Kalau dulu saya masak 1 kilo beras basmathi untuk satu periuk tetapi dengan menggunakan teknik ini, setengah kilo pun sudah mencukupi. Nasinya jadi membuak dan cantik.

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Sayur-sayuran dimasak dahulu dengan rempah biryani dan kemudian akan dikukus sekali dengan beras basmathi yang sudah direbus terlebih dahulu.

Biryani Sayur-Sayuran (Vegetables Biryani)

Bahan-bahannya:

1/2 kilo beras basmathi

2 sudu besar minyak sapi

2 sudu besar minyak

2 batang kulit kayu manis

2 kuntum bunga lawang

4 biji buah pelaga

1 sudu teh jintan manis

1 bungkus rempah biryani

2 biji lobak merah 

2 biji ubi kentang

200-300 gram kobis bunga

4-5 iji cili hijau

(Lobak merah, ubi kentang, kobis bunga dan cili hijau dipotong besar-besar)

2 cekak daun ketumbar(Dipotong halus)

1/2 kilo bawang merah dijadikan bawang goreng (Kalau malas beli jer)

2 cawan tairu/youghurt

Sedikit kacang gajus yang sudah digoreng

Garam secukup rasa

Sedikit garam masala dan bunga cengkih (optional)

Cara membuatnya:

Panaskan minyak dan minyak sapi

Masukkan jintan manis

Kemudian masukkan kulit kayu manis, bunga lawang, buah pelaga.

Masukkan rempah biryani dan kacau sebentar

Selepas itu masukkan lobak merah, ubi kentang, kobis bunga,garam dan youghurt

Kacau sebati dan biarkan ianya masak setakat 70% atau  80% sahaja. Ketepikan

Didihkan air dan masukkan sedikit garam, garam masala dan bunga cengkih

Masukkan beras basmathi dan rebus sehingga 70%-80% masak. Angkat dan toskan

Ambil kukus dan letakkan separuh dari beras basmathi dan letakkan dibahagian bawah sekali 

Kemudian letakkan separuh dari kuah biryani (sayur-sayuran tadi) diikuti dengan bawang goreng dan daun ketumbar.

Lakukan langkah diatas sekali lagi dan taburkan kacang gajus dilapisan atas sekali

Kukus sehingga nasi betul-betul masak.

Masukkan kedalam mangkuk dan gaul rata 

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Buat macam ni ye…tak susah manapun. Janji sedap!

Nov 14

Gulai Telur Berempah

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

“Sedapnya kalau dapat makan gulai telur ,” saya berkata sendirian. Hujan dah semakin reda, perut pun dah semakin lapar. Tanda-tanda yang nyata supaya masuk dapur awal dari biasalah hari ni. Saya ambil telur, basuh bersih-bersih dan terus rebus. Tak nak masak banyak-banyak sebab takut tak habis. Sekarang ni hanya masak untuk makan malam saja. Pagi saya sediakan bekal untuk suami dan anak-anak. Lagi menyenangkan apabila suami dan anak-anak sepakat kata nak diet. Syukur Alhamdulillah. So pagi-pagi saya hanya buatkan bekal yang ringan-ringan aje. Samada saya masak pasta ataupun sandwich. Senang sikit kerja saya pagi-pagi.

Sambil menunggu telur yang direbus tadi masak, saya tumis sayur bayam. Potong halus-halus dan tumis dengan bawang putih dan saya letakkan sedikit sos tiram. Kalau makan tak ada sayur tak best la pulak. Dua lauk sahaja sudah memadai bagi kami sekeluarga…Alhamdulillah.

Teringat sewaktu dulu waktu dikampung, kalau kenduri khatam Quran selalunya masak gulai telur dimakan dengan pulut kuning.  Masa dulu bukannya senang nak dapatkan daging dan ayam. Jarang sekali dapat makan. Harapan nak makan ayam dan daging hanya pada hari raya sahajalah. Itu yang jadi berebut nak makan ayam dan daging sampai boleh bergaduh adik beradik.

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Saya dapat resepi ni dekat buku masakan  bertajuk Rampaisari Selatan yang ditulis oleh Asiah Samsudin. Buku ni dah lama dah saya simpan dan kalau tak silap saya ianya diterbitkan sekitar tahun 1993. Sebelum ini saya biasa jugak masak gulai telur berempah tetapi saya tak pernah pulak masukkan daun limau purut. Rupanya apabila dimasukkan daun limau purut ianya menjadi wangi dan lebih sedap. Saya tambahkan sedikit ikan bilis yang ditumbuk untuk menambahkan rasa dan saya gunakan susu menggantikan santan. Warna gulainya sangat cantik dan rasanya memang sedap .Saya memang cadangkan anda mencuba resepi ini.

Gulai Telur Berempah

Bahan-bahannya:

5 biji telur ayam (Direbus)

2 sudu besar cili kering yang sudah dikisar

1 batang serai (Diketuk)

2/3 helai daun limau purut

2 cawan santan/susu

Minyak untuk menumis

Bahan-bahan untuk dikisar

2 labu bawang besar (5 biji bawang merah)

3 ulas bawang putih 

1 gengam ikan bilis (Ditumbuk/dikisar)

2 sudu teh ketumbar

1 sudu teh jintan putih

1 sudu teh jintan manis 

Cara membuatnya:

Panaskan minyak dan tumis bahan kisar sehingga wangi dan garing.

Masukkan cili kering dan tumis sehingga cili garing

Masukkan santan/susu, serai dan daun limau purut

Kelar-kelarkan telur 

Apabila sudah mendidih  masukkan telur dan perasakan dengan garam.

Biarkan mendidih dengan api perlahan barulah diangkat.

 

 

 

Nov 12

Grilled Masala Salmon

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Suatu masa dulu , semasa anak-anak saya masih kecil,  saya membayangkan betapa bestnya bila anak-anak dah besar nanti, kami boleh makan bersama-sama. Boleh bersembang dimeja makan. Best kan.

Namun begitu semakin anak-anak membesar semakin sukar pula nak menjadikan makan bersama suatu kemestian. Masing-masing dengan hal sendiri. Ada yang nak makan cepat. Suami pulak balik lambat dan sebagainya. Nak senang cerita ambik sahaja nasi sepinggan dan makan  depan TV. Senang kata mereka, dengan alasan tak payah nak hidang atas meja. Jimat penggan mangkuk, jimat tenaga, jimat sabun, jimat air dan macam-macam lagi. 

Mula-mula saya ikutkan saja tetapi lama-kelamaan saya jadi rimas pulak kerana sadari dulu saya dah di train oleh arwah bapa saya supaya hanya makan dimeja sahaja. Arwah bapa saya sangat tegas dalam hal-hal macam ni. Makan tanpa seprah. makan tanpa letak air basuh tangan,  adalah sesuatu perkara yang boleh menjadikan beliau naik angin. Arwah bapa saya sungguh beradun dalam hal-hal sebegini. 

Now that we are finally here..emmm …susah jugak nak temukan kesemua sekali dimeja makan. Walaupun selama ini saya akan pastikan kami akan dinner semeja pada hujung minggu tetapi nampaknya bulan November dan Disember macam agak sukar pulak. Arissa yang selalu tak dapat balik sebab banyak kerja dan Asma yang dah mula bekerja part-time.

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Semalam  kami dinner bertiga jer. Saya, suami dan Alia. Makan lemon rice dengan grilled masala salmon . Sedap pulak bila digandingkan nasi lemon dengan grilled salmon. Resepi nasi lemon akan saya kongsi dalam buku masakan ketiga saya nanti. Sabar ye….Hari ni nak kongsi resepi grilled masala salmon dulu.

Grilled masala salmon ni saya perasakan dengan bahan-bahan yang simple aje. Saya tak nak letakkan rempah-ratus yang lain kerana takut nanti tenggelam pulak rasa lemon rice. Jadi saya hanya letakkan garam masala untuk menampilkan rasa ala-ala india.

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

 

Grilled Masala Salmon

Bahan-bahannya:

3 ketul ikan salmon

1 inci halia (Dicincang halus)

3 sudu besar kicap manis

2 sudu besar gula perang

2 sudu teh garam masala

Sedikit garam dan lada sulah

Sedikit daun kari

Sedikit minyak

Cara membuatnya:

Gaulkan ikan salmon dengan garam dan lada sulah

Didalam mangkok, campurkan kicap manis, gula perang dan garam masala dan gaul sebati.

Ambil ikan tadi dan perapkan dengan bahan tadi sebentar

Panaskan pan ataupun skillet dan letakkan sedikit minyak

Letakkan ikan salmon dan masak dalam jangkamasa 5-6 minit tiap sebelah.

Angkat dan letakkan ke dalam pinggan

Ambil sedikit minyak dan goreng daun kari sehingga ianya garing.

Angkat dan taburkan ke atas ikan salmon

Tips:

Kuantiti bahan-bahan boleh ikut agak-agak sahaja

Garam masala boleh digantikan dengan serbuk cili

 

Nov 06

Biskut Halia

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Dalam banyak-banyak biskut, biskut halia inilah yang paling anak bongsu saya, Arissa  suka. Kalau beli biskut ni dia tak nak share dengan sesiapa pun. Biskut ni kalau dibeli bukannya murah sangatpun. Mungkin sebab ia taklah sekomersil mana, agak sukar jugaklah nak jumpa biskut ini. Hari tu sewaktu di Jaya Grocer, suami saya dah pegang dah biskut ini, tengok-tengok..adoi, mahalnya. Tak jadi beli dan terus letak balik.

Tak ramai orang yang suka biskut ini dan apatah lagi kalau dihidangkan semasa hari raya, pasti nampak janggalnya. Biskut yang tak ada rupa ini memang tidak menepati ciri-ciri biskut hari raya. Lagi janggal bila didalamnya ada halia. Pelik kata mereka..halia tu kan ke untuk dihumbankan ke dalam kuali dan periuk aje ataupun dibuat teh halia.

” Saya tak sukalah biskut ini, pelik”

” Saya tak tanya pun”

Perbualan tamat di situ. Burung-burung berkicauan. Angin sepoi-sepoi bahasa. Semuanya kembali normal.

Ok..itu iklan…..

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Biskut halia ini amat sesuai bagi mereke yang sukakan flavor of ginger but don’t care for crunchiness . Biskut ini lembut dan gebu. Itulah sebabnya ianya dipanggil gingersnap cookies. Tapi kita lebih biasa dengan panggilan biskut halia so biskut halia it is.

Apabila halia dicampurkan dengan mentega dan pelbagai rempah -ratus ianya akan menghasilkan aroma dan rasa yang menarik. Yang penting kuantiti setiap rempah dan bahan-bahan lain mestilah seimbang. Begitu juga dengan kualiti butter yang digunakan. Mestilah yang berkualiti tinggi supaya ianya secocok dengan rasa segala rempah ratus dan halia. Itu syaratnya. 

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Biskut Halia

Bahan-bahannya:

220 gram mentega

2 cawan gula perang

1/2 cawan madu

4 cawan tepung gandum

2 biji telur

2 sudu teh baking soda

1 sudu besar serbuk kulit kayu manis

1 sudu teh serbuk buah pala

2 sudu teh garam

3 inci halia (Diparut halus)

Sedikit gula pasir

Cara membuatnya:

Pukul mentega dengan gula perang

Masukkan telur dan pukul lagi

Masukkan madu dan halia

Ayak tepung bersama serbuk kulit kayu manis, serbuk buah pala dan garam

Masukkan ke dalam adunan dan kacau menggunakan senduk kayu

Gaul sebati dan masukkan ke dalam peti sejuk selama lebih kurang 1 jam

Selepas 1 jam, panaskan ketuhar pada suhu 150-160- C

Bulat-bulatkan adunan dan golekkan dengan gula

Susun atas dulang dan bakar selama 15- 20 minit

 

Nov 01

Ayam Piri-Piri

ayampiri-piri1

Saya sedikit tersentak apabila tempohari Auntie Alice menyuarakan keinginannya untuk membeli buku masakan saya.

Auntie Alice ni dah pun berumur 75 tahun dan masih lagi aktif ber tai-chi setiap hari. Beliau berbangsa india dan lebih rajin lagi pergi tai-chi dari saya yang memanjang aje memonteng. Auntie Alice ni suka sangat masuk peraduan. Semua peraduan dia masuk tapi beliau tak tahu macamana nak isi borang bagai. Sayalah yang buatkan semuanya untuk beliau dan Auntie Alice sangat ‘thankful’.  Tapi tak cukup ‘lucky’ lagi agaknya. Beliau tak pernah memang satu apa pun. Nasib dia tak marah dengan saya…selamat!

Apa yang saya nak ceritakan ialah saya begitu kagum dengan sebahagian dari kawan-kawan tai-chi saya yang begitu supportive dengan hasil usaha saya. Lian yang beria-ria pergi ke Mydin semata-mata nak beli my cookbook dan Auntie Molly yang over excited dengan buku saya. Berbalik kepada Auntie Alice , saya begitu tersentuh apabila satu hari beliau berkata, ” Azian, I want to buy your cookbook because I like you so much.”  You’re so kind (yang ini saya tambah sendiri). Saya yang terpingga-pingga terus terdiam dan dalam kepala saya terfikir yang Auntie Alice ni nak cakap bahasa malaysia pun tak tau inikan pulak nak baca buku yang ditulis dalam bahasa malaysia.

Memikirkan tentang hal tersebut menjadikan saya begitu menghargai sesiapa sahaja yang datang ke dalam hidup saya. Saya percaya setiap hari, setiap minit dan setiap saat terbentang peluang untuk kita mendidik hati-hati kita. Tak kira sapa sahaja yang ada disekeliling kita, hargai dan milikilah apa yang patut dimiliki. Saya belajar tentang berlapang dada. Saya belajar tentang keikhlasan, jujur dan mensyukuri. Saya mahu saya dididik dan saya tahu yang saya sedang didik untuk menjadi yang terbaik. Tak semestinya nak jadi baik hanya berada dibatas ruang yang tertentu. Yang parah sekali jangan fikir diri bagus sedangkan ukuran terbaik tak ada siapa yang tahu. I don’t want to judge people… Auntie Alice sungguh membuka minda saya untuk saya menjadi saya yang lebih baik. Thanks Auntie Alice.

ayampiripiri1

Ok berbalik kepada gambar ayam diatas tu..mari kita tengok resepinya dulu. Kalau cukup bahan-bahan bolehlah dimasak untuk keluarga hujung minggu ni.

Ayam Piri-piri

Bahan-bahannya:

1 ekor ayam dipotong 6

2 sudu besar minyak zaitun

Sedikit garam dan lada sulah

Jus lemon dari 1 biji lemon

Bahan-bahan sos

1 biji bawang holland

2 ulas bawang putih

1 inci halia

Secekak daun ketumbar

1/2 sudu besar serbuk lada hitam

1 sudu teh serbuk cayenne

1/2 sudu besar serbuk cili

1 sudu besar serbuk paprika

1 sudu teh jintan manis

Garam secukup rasa

Cara membuatnya:

Kisar semua bahan-bahan sos, ketepikan

Lumurkan ayam dengan minyak zaitun, garam dan serbuk lada sulah

Panaskan skillet ataupun pan

Masak ayam dalam api yang kuat sehingga keperangan

Perlahankan api dan masukkan sos tadi

Masak sehingga sos pekat ataupun kering (ikut citarasa sendiri)

Akhir sekali masukkan jus lemon, gaul sebati dan angkat

Piri-piri, peri-peri ataupun kadangkala dipanggil sebagai pili-pili adalah merujuk kepada sejenis cili seakan cili padi yang terdapat di Afrika. Kalau kita makan di Nando’s kan ada ayam peri-peri, jadi itu sebenarnya adalah nama yang selalu digunakan di Malawi. Ayam piri-piri sebenarnya adalah ayam bakar yang menggunakan pelbagai rempah dan kalau yang aslinya ianya menggunakan cili yang dipanggil piri-piri, peri-peri ataupun pili-pili.

Anda boleh ubah kuantiti bahan rempah mengikut citarasa sendiri. Anda juga boleh perapkan ayam dengan bahan-bahan sos semalaman dan masak didalam skillet ataupun non-stick pan keesokannnya. Boleh juga tambah sos tabasco jika nak. 

Selamat Mencuba!