free wordpress themes Premium Wordpress Themes
Entries RSS

By Category :

Live Traffic

Jumlah Pengunjung

free counters
Apr 26

Ayam Masak Kicap

ayammasakkicap

Saya suka ayam masak kicap yang pekat sebegini. Tambah lagi bila ada kacang pis dan ubi kentang. Memang ada banyak cara dan resepi untuk masak ayam masak kicap. Ada yang cair dan sebagainya. Saya juga selalu masak menggunakan pelbagai resepi tetapi yang ini adalah kegemaran keluarga saya. Bila kita berada didapur, kadang-kadang kita memasak ikut gerak hati . Apa yang ada didalam peti sejuk , itulah yang dijadikan bahan-bahan untuk memasak. Itulah sebab  orang kata orang yang memasak ni perlu kreatif , jadi taklah  selalu stress di dapur. Kalau masak lauk pauk ni tak perlu terlalu bergantung kepada resepi. Tau teknik dan bahan-bahan utama sudah mencukupi. Jangan nanti sebab tak ada sos tiram, tak nak gunakan resepi ini…ok..jom masak.

Bagi resepi ini kita perlu menggoreng ubi kentang dan ayam dahulu. Saya suka gaulkan ayam dengan garam dan serbuk lada sulah dan apabila hendak menggoreng barulah digolekkan ke dalam tepung gandum. Ini akan menjadikan ayam ‘juicy’ didalam dan garing diluar. Tak perlu goreng sampai begitu garing. Sekadar 3/4 masak sudah cun. Semasa menumis pula saya akan masukkan gula dahulu sebelum masukkan kicap. Ini akan menjadikan kuahnya kilat dan cantik. Jadi inilah asas memasak ayam masak kicap.

Ayam Masak Kicap

Bahan-bahannya:

1 ekor ayam (Dipotong ikut suka)

3 biji ubi kentang(Dipotong wedges)

Sedikit tepung gandum

1 cawan kacang pis

1 kulit kayu manis

2 kuntum bunga lawang

2 sudu makan cili kering kisar

3 sudu makan kicap biasa

1 sudu makan kicap pekat

1 sudu makan kicap cair

1 sudu makan sos tiram

Minyak untuk menggoreng

Garam dan serbuk lada sulah

Sedikit air

Bahan-bahan kisar

1 biji bawang merah besar

2 inci halia

2 ulas bawang putih

1/2 sudu teh jintan putih

1 sudu teh jintan manis

1 sudu teh lada hitam

Cara membuatnya:

Panaskan minyak dan goreng kentang. Angkat dan ketepikan

Gaulkan ayam bersama garam dan serbuk lada sulah dan kemudian golekkan ke dalam tepung

Goreng sehingga 3/4 masak. Angkat dan ketepikan

Tinggalkan dalam dua sudu makan lebihan minyak menggoreng dan masukkan kulit kayu manis dan bunga lawang.

Masukkan bahan-bahan yang dikisar . Masak sehingga terbit bau.

Masukkan cili kering dan  kacau sehingga terbit minyak

Masukkan gula. Kacau sebati

Masukkan kesemua kicap dan sos tiram . Gaul sebati

Masukkan ayam, ubi kentang dan kacang pis

Jika kuahnya agak pekat, masukkan sedikit air

Apabila kuah sedah mendidih, tutup api dan sedia untuk dihidangkan

 

 

Apr 19

Puding Jagung Kastard

jagungpuding

Atas sebab-sebab tertentu, saya suka sangat manisan yang ada jagung di dalamnya . Bubur jagung, muffin jagung dan apa saja kuih yang ada jagung, semua saya suka. Kalau beli apom balik pun saya suka yang bubuh banyak jagung. Barulah sedap. Puding jagung kastard ini tidak terkecuali malah ia terletak dalam carta teratas kuih tradisional kegemaran saya.

Orang kata nak buat kuih ini senang jer. Bahan-bahan yang digunakan pun selalunya ada dekat dapur, tak susah nak cari. Tapi bagi saya membuatnya agak mencabar iaitu  bila terpaksa mengacaunya agak lama diatas api. Paling tak best bila dia mula meletop-letop. Itulah fenomena yang menjadikan saya jarang ataupun secara ikhlasnya ..saya malas nak buat kuih ini.

Tapi dah dikatakan takdir. Suatu hari bila saya terjumpa resepi kuih ini disini. Saya rasa macam ada suara yang menyuruh saya mencuba resepi tersebut. Jadi saya pun mencuba resepi tersebut dan hasilnya memang saya suka sangat. Kuihnya cantik berkilat. Sedang elok dari segi rasa manis dan lemaknya . Malahan ia tidak memerlukan saya mengacaunya terlalu lama diatas api walaupun fenomena meletop-letop itu masih ada.

Jadi bagi sesiapa yang nak mencuba kuih puding kastard ini, dialu-alukan mencubanya. Tak payah tunggu bazar ramadhan baru nak beli yer…

pudingjagung4

Puding Kastard Jagung

Bahan-bahannya:

1 cawan tepung kastard

1 cawan gula

1 cawan santan

1 cawan jagung (Berkrim)

Secubit garam

2 cawan air

Cara membuatnya:

 Didihkan air di dalam periuk

Masukkan tepung kastard, gula, santan dan garam ke dalam pengisar ataupun food processor dan kisar sehingga sebati

Tuangkan ke dalam periuk dan kacau menggunakan api yang perlahan selama 2 minit

Masukkan jagung dan terus mengacau sehingga ianya pekat dan meletop-letop

Tuangkan adunan ke dalam bekas dan sejukkan sebelum memotong

 

Apr 13

Kuih Keria

20160325_163854-01

Dulu saya panggil kuih ni kuih gelang. Dulu anak-anak panggil kuih ni kuih donut.

Kuih ini memang salah satu kuih kegemaran saya. Sebenarnya saya memang suka kuih yang menggunakan ubi keledek. Kuih bom, kuih cek mek molek, kuih cucur badak…emmmm…sedap! Pengat ubi keledek pun saya suka. Tapi lagi best makan kuih ni kalau dibuat sendiri. Boleh bubuh ubi keledek banyak-banyak dan kurangkan tepung. Walaupun kuih ni agak simple tapi nak dapat yang gebu dan sedang elok agak susah. Kadang-kadang keras dan rasa tepung ajer yang lebih.

Belajar buat kuih keria ni semenjak dari muda remaja lagi . Dah banyak kali sangat buat kuih ni tetapi dah banyak kali jugakla tak menjadi. Part yang selalu tak menjadi ialah bila masa nak menyira kuih keria.

Kalau masa arwah mak ada, part menyira kuih ni memang beliau yang akan buat. Kadang-kadang dia mengarah ajer dari jauh dan sayalah yang duduk depan kuali. Masih terngiang-ngiang lagi kata beliau, “Kena masak gula tu sedang elok, kalau masak lama sangat nanti gulanya berketul-ketul dan tak melekat dekat kuih”. Walaupun dah banyak kali diajar tapi banyak kali jugaklah gagal. Apa kena pun tak taulah. …

Saya suka resepi yang saya gunakan ini. Tetapi seperti biasa, buat kuih ni tak boleh ikut resepi 100 %. Kadang-kadang kandungan air dalam ubi keledek tu terlebih atau terkurang. Makanya kuantiti tepung pun kena berubahlah sikit. Senang cerita kena main agak-agak jugak lah.

Kuih Keria

Bahan-bahannya:

450 gram ubi keledek oren

120 gram tepung gandum

1/2 sudu makan tepung ubi

1 sudu teh garam

Minyak untuk menggoreng

Untuk menyira kuih keria

100 gram gula

3 sudu besar air

Cara membuatnya:

Rebus keledek sehingga empuk. Toskan dan lenyek semasa ianya masih panas

Apabila sudah sejuk, campurkan bahan-bahan lain dan gaul sebati.

Boleh tambah sedikit tepung jika adunannya lembik.

Bulat-bulatkan adunan dalam saiz yang sama dan kemudian dileperkan. Kemudian buat lubang di tengah tengahnya.

Panaskan minyak dan goreng dengan api perlahan sehingga keperangan. Angkat dan ketepikan

Masukkan gula dan air ke dalam kuali

Masak dengan api perlahan sehingga air gula pekat dan berbuih.
Masukkan kuih keria yang telah disejukkan. Kacau  rata .
Terus mengacau sehingga gulanya berkerak dan melekat di kuih keria. Tutup api dan angkat

Apr 06

Pai Ikan

fishpie1

Saya buat pai ikan ini malam tadi. Kebetulan ada isi ikan dori di dalam peti sejuk. Memang dah lama nak cuba buat pai ikan tetapi oleh kerana terlampau sibuk dengan tugas menjadi supir , niat tu terkubur ajerlah kat situ.  Semalam kawan-kawan Alia nak bermalam dirumah dengan motif utama dan belajar sama-sama. Jadi saya pun mencuba resepi ini dan ianya memang sedap. Kena lagi kalau makan panas-panas.

Saya menggunakan isi ikan dori dan ditambah sedikit dengan isi ikan salmon supaya ianya nampak berkeping-keping. Isi ikan dori agak lembut dan pai akan jadi lebih berair. Anda boleh tambahkan pelbagai sayur-sayuran diantara lapisan ikan dan ubi kentang. Saya hanya menggunakan sayur  yang ada didalam peti sejuk saya ajer. Anda boleh tambahkan lobak merah, kacang pis dan juga bayam. Masa ni lah nak bagi anak-anak makan sayur.

Sedapnya pai ikan ini terletak kepada sos putih. Itulah klasiknya pai ikan ini. Membuat sos putih tak susah mana , ikut sahaja resepi di bawah. Dan jangan lupa tabur keju banyak-banyak..barulah ummph.Selamat mencuba!

p/s- Maaf kena pakai font yang lebih besar sebab mata ni dah semakin kabur…

fishpie2

Pai Ikan

Bahan-bahannya:

250 gram isi ikan dori (Didadukan)

150 gram isi ikan salmon(Didadukan)

3 biji telur rebus(Dibelah 6)

3 tangkai daun bawang(Dipotong pendek)

1 tangkai celery (Dipotong halus)

5 keping keju cheddar

Sos Putih

Bahan-bahannya:

3 sudu makan mentega

3 sudu makan tepung gandum

2 cawan susu segar

1/2 sudu teh serbuk lada sulah

1/2 sudu teh garam

Kentang Putar

3 biji kentang russet(Direbus sehingga lembut dan dibuang kulitnya)

2 sudu makan mentega

3/4 cawan susu segar

1/2 sudu teh serbuk lada sulah

1/2 sudu teh garam

Cara membuatnya:

Resepi ini terbahagi kepada tiga bahagian. Jangan risau….

Mula-mula kita buat sos putih ye…

Cairkan mentega dan masukkan tepung.

Kacau selama satu minit dan masukkan susu sedikit demi sedikit

Kacau sehingga ianya menjadi pekat. Ketepikan

Panaskan ketuhar pada suhu 200 C

Susun kesemua isi ikan ke dalam bekas dan tuangkan sos putih diatasnya

Taburkan celery dan daun bawang

Susun telur rebus diatasnya

Lenyek ubi kentang sehingga lumat dan masukkan kesemua bahan-bahan lain. Kacau sebati

Tuang kentang putar diatasnya dan akhir sekali letakkan keju cheddar.

Bakar selama 20-25 minit atau sehingga bahagian atasnya keperangan