free wordpress themes Premium Wordpress Themes
Entries RSS

By Category :

Live Traffic

Jumlah Pengunjung

free counters
Nov 16

Membebel – Perlukah?

Kalau ikutkan hati, ringan aje mulut ni nak menyusun ayat untuk membebel. Bila sekali suruh tak bergerak, dua kali suruh pun tak bergerak, kali yang ketiga bersambut, “ye,mak” tapi kerjanya tak berjalan-jalan lagi maknanya secara automatiknya memanglah mulut ni dah nak mula membebel.

Masa saya muda remaja dulu, dua perkara yang saya paling tak suka iaitu kene bebel dan kena banding. Huh  rasa macam nak siap baju masuk beg nak lari dari rumah aje. Kalau dulu-dulu, sikit-sikit merajuk nak lari dari rumah tapi tak pernah laripun sebab saja nak tunjuk ‘action’ aje. Sekarang ni bila saya dah jadi seorang ibu, perkara yang saya selalu ingatkan kepada diri saya ialah jangan buat perkara itu lagi kepada anak-anak saya. Saya tak nak anak-anak saya rasa apa yang saya rasa dulu. Tak nak hati anak saya terluka kerana kesannya bukan sedikit dan dan nak sembuh pun ambil masa yang lama.

Tetapi bila anak dah besar panjang, dalam sedar tak sedar saya membebel la jugak. Kadang-kadang tu tak sedar atau saya dah kehabisan idea macamana nak suruh anak-anak buat kerja rumah. Mana tidaknya bilik yang rupa tongkang pecah tak berkemas. Saya jugak yang kena kemas. Bila dah berkemas, elok pulak anak-anak melepak-lepak di bilik mereka. Suruh buang najis kucingpun , masing-masing menuding jari sesame sendiri. Orang ni kata kakaknya punya giliran, yang si adik pulak kata kakak punya giliran. Akhirnya yang terpaksa mencium bau busuk sapa lagi kalau tak saya.

Bila sama-sama tonton Masterchef Malaysia, masing-masing  kemain bersemangat tapi nak angkat pinggan ke dapur pun susah.

Orang kata berleter ni tandanya sayang. Betulla sayang sebab kita berleter ni pun kat orang yang kita sayang. Tak derla pulak saja-saja nak berleter kat orang yang kutip sampah kat depan rumah kita. Silap haribulan dihumbannya kembali sampah tu kat kita.

Tetapi tahukah anda bila kita berleter kepada anak-anak, tak ada apa-apa kesan kebaikan kepada mereka dan juga kita. Remaja benci apabila dileter. Perasan tak kalau anak remaja kita kena leter dan mereka buat jugak kerja tu, macamana rupa muka mereka. ? Tentulah masam mencuka dan silap haribulan boleh buat kerja sambil menghempas-hempas barang lagi.

Adakah mereka akan buat kerja itu dengan sempurna atau mengulangi kerja yang sama nanti tanpa dileter? Jawapan yang sebenarnya adalah tidak. Kalaupun mereka ada lakukan mungkin kerana mereka takut, tak ikhlas dan yang paling ditakuti mereka mula membenci kita. Dan perkara ini akan berulang-ulang sehinggalah mereka dewasa.

Latihlah anak anda supaya menjadi seorang yang bertanggogjawab ke atas tugasan yang dilakukan. Yang penting kita sebagai ibubapa , termasuklah saya sendiri kena berhenti dari membebel.

Saya cadangkan supaya kita menulis tugasan anak membuat kerja rumah dan tegas terhadap tugasan tersebut. Kalau mereka gagal melaksanakan tugasan tersebut, berilah hukuman yang setimpal seperti tak boleh pergi rumah kawan atau sebagainya. Tulis perkataan ‘X’ besar-besar jika mereka tidak melaksanakan tugas mereka.

Tak perlu membebel sebab kalau kita mula membebel, secara tidak sedar anak tidak dapat memberitahu kepada diri mereka sendiri tentang kesalahan yang mereka telah lakukan. Apa tidaknya, kalau dah membebel tak henti-henti, kucingpun boleh pening kepala.

Bila anak-anak semakin besar dan mereka keluar bekerja nanti, tak ada siapa yang akan mengingatkan mereka pukul berapa nak bangun dan pergi kerja dan sebagainya. Mereka akan tahu sendiri dimana kalau lambat pergi kerja , boleh kena buang kerja. Jadi mereka tahu untuk menyesuaikan diri dengan peraturan dan dapat bekerja dengan ikhlas.

Apabila ibubapa ‘treat’ anak-anak sebagai orang dewasa seperti yang mereka mahukan, saya rasa mereka akan lebih cepat matang dan anda akan terkejut  dengan kebolehan mereka nanti.

Tanpa bebelan dan jeritan,  anak-anak akan lebih senang melaksanakan tanggungjawab mereka di kemudian hari.

Oct 21

Memahami Erti Kemaafan- 5 Realiti Remaja Anda Perlu Tahu


Kebanyakan remaja tidak  betul-betul memahami tentang apakah ertinya kemaafan . Memohon maaf dan memaafkan seperti tidak penting didalam kitaran kehidupan mereka. Almakhlumlah, zaman remaja penuh dengan konflik, rasa cepat nak marah, cepat kecewa dan bermacam-macam lagi.

Anak remaja akan menghadapi pelbagai konflik apabila mereka terpaksa menyesuaikan diri dengan persekitaran yang baru.

Apabila anak remaja menjejakkan kaki ke sekolah menengah, mereka sudah mula menghadapi konflik dengan kawan-kawan dan persekitaran. Labih memudaratkan lagi jika kawan-kawan dan persekitaran yang baru tersebut adalah berlainan sekali dengan kehendak dan cara pergaulan anak remaja sebelum ini. Mungkin mereka rasa terasing ataupun rasa marah dan dendam kepada kawan-kawan mereka. Kadangkala mereka akan rasa tertekan kerana pada waktu yang sama mereka terpaksa menerima kesalahan kawan-kawan mereka hanya sekadar untuk tidak diganggu atau dibuli.

Banyak perkara yang boleh menjerumuskan anak remaja kita kepada perkara-perkara yang memerlukan mereka faham akan realiti kemaafan.Sebagai ibubapa, inilah masa yang sesuai untuk kita mendedahkan dan mengajar anak-anak tentang erti kemaafan. Pada peringkat ini, walaupun ia sukar untuk dilaksanakan tetapi ianya akan memberi impak yang besar terhadap kehidupan anak remaja kita dikemudian hari terutamanya bila mereka keluar dari rumah untuk belajar dan bekerja.

Di bawah ini adalah 5 realiti tentang erti kemaafan.

Realiti 1

Kita perlu menerangkan kepada anak remaja kita bahawa dengan memaafkan kesalahan orang lain bukanlah bererti kita melupakan kesalahan mereka sepenuhnya.  Walaupun ia adalah  sebaik-baik perbuatan tetapi realitinya agak sukar untuk dilaksanakan. Tak semua orang boleh melupakan kesalahan orang lain ( yang menulis ini juga begitu) lebih-lebih lagi jika ia menjatuhkan maruah dan mengundang kesedihan di jiwa  anak remaja kita. Apabila orang lain melakukan kesalahan, dan kita memaafkan mereka bermakna terdapat elemen percaya mempercayai antara satu sama lain.  Saya pernah terbaca bahawa antara tanda-tanda yang kita memaafkan seseorang adalah kita mendoakan mereka. Jadi Ingatkan kepada anak remaja bahawa persahabatan adalah satu amanah dan perlu berusaha untuk mendapatkannya.

Realiti 2

Kemaafan bukan bemakna kita tidak mengambil kira dan mengenepikan  tentang perasaan sendiri. Banyak terjadi senario dimana anak remaja memberi kemaafan atas dasar nak tunjuk ‘macho’ atau nak tunjuk ‘gentleman’. Mereka menindas diri mereka dengan mengatakan bahawa mereka dah maafkan. “Ala, tak ada hal ah..aku maaafkan engkau’, sering diluahkan apabila ada yang memohon maaf. Begitulah yang selalu terjadi.

Kerana menidakkan perasaan sendiri dan tidak ikhlas maka apabila orang yang sama menyakitkan hati mereka, keadaan akan menjadi semakin parah. Ini kerana kemaafan tesebut tidak menyelesaikan masalah yang sebelum ini malah menjadikan ianya semakin sukar. Kita sebagai ibubapa perlu memberitahu kepada mereka bahawa kemaafan adalah satu proses merawat emosi dan bukannya menindas emosi sendiri.

Realiti 3

Ramai yang berperasangka bahawa untuk mereka memaafkan seseorang, orang tersebut terlebih dahulu kena mohon maaf. Kalau tak, mintak maaf lah ya nak maafkan orang tu. Sebenarnya di dunia nyata keadaan itu bukanlah satu kemestian. Kita berkuasa dan mampu untuk memaafkan seseorang walaupun orang itu tidak mintak maaf pun. Kalau orang itu mohon maaf terlebih dulu, itu lebih baik tetapi tidak semestinya.

Realiti 4

Memohon maaf bukanlah bermakna anda lemah. Selalunya setiap kesalahan yang mereka lakukan, seboleh-bolehnya akan mereka pertahankan dan jalan terakhir yang mereka akan lakukan adalah menyalahkan orang lain atau membandingkan kesalahan yang mereka lakukan dengan kesalahan orang lain. Sebagai ibubapa kita perlu menerangkan kepada anak remaja kita bahawa maaf-memaafkan adalah salah satu cara untuk mengukuhkan ikatan persahabatan Kadangkala betapa menyampah dan sakit hati sekalipun, jika salah seorang meminta maaf, secara automatik, kedua-dua belah pihak boleh menjadi sahabat karib. Ini adalah kerana kemaafan itu dipenuhi dengan kejujuran dan sifat rendah diri berbanding dengan sifat yang penuh kebanggan dan ketidakjujuan.

Realiti 5

Kemaafan bukan merupakan penafian dan ia bukanlah bermakna yang kita bersetuju dengan kesalahan yang dilakukan. Ingatkan bahawa setiap kemaafan tidak bermakna mengiakan kesalahan orang lain. Yang salah tetap salah. Cumanya dengan memberi kemaafan dapat membawa hubungan persahabatan maju ke depan. Itu sahaja.

Oct 10

Ibubapa Sebagai Pengurus kepada Penasihat

Menjadi ibu bapa bukan tugas mudah. Tanggung jawab ibu bapa bukan sekadar memberi makan minum dan menyediakan tempat berteduh. Lebih dari itu, ibu bapa wajib menyediakan siasah anak-anak sejak dari kecil agar masa hadapan anak-anak terjamin bukan sahaja di masa hadapan malahan sehingga membawa ke alam akhirat.

Apapun, apa yang penting ialah ibu bapa perlu bijak memainkan peranan sesuai dengan tahap usia anak-anak.

Dalam 10-11 tahun pertama usia anak-anak, ibubapa banyak memainkan peranan sebagai seorang pengurus (manager). Pada tahap ini, tugas ibubapa banyak berkisar dalam menguruskan segala hal-hal anak-anak berkaitan makan pakai, tingkahlaku, pembelajaran awal dan sebagainya.

Ibubapa selaku pengurus selalunya mendapat sepenuh kepercayaan dari anak-anak di mana ibubapa jugalah yang membuat keputusan tentang penglibatan anak-anak di dalam aktiviti sekolah, siapa yang patut menjadi kawan anak-anak, malahan sehingga kepada hal-ehawal penampilan mereka.  Selalunya pada peringkat ini anak-anak memberi  sepenuh kepercayaan di atas segala pilihan dan keputusan dari ibubapa mereka.

Pada peringkat ini hukuman ataupun denda yang diberikan oleh ibubapa boleh diterima oleh mereka asalkan ianya berpatutan dan berpada-pada.

Apabila anak-anak memasuki alam remaja senario tersebut akan berubah sedikit demi sedikit. Anak-anak lebih gemar ibubapa menjadi selaku penasihat (consultant) sahaja.

Mereka memerlukan kebebasan untuk melakukan banyak pekara dan yang paling mereka mahukan adalah mereka bebas bertindak sebagai pembuat keputusan. Pada peringkat inilah, ibubapa diberi dua pilihan samada akan dipecat oleh anak-anak dari menjadi seorang pengurus atapun ibubapa dengan rela hati melepaskan jawatan tersebut.

Pada peringkat ini, anak-anak lebih gemar ibubapa bertindak selaku seorang penasihat yang melihat dan memantau aktiviti dan kehidupan anak-anak dari jauh. Bukanlah bermakna ibubapa dan anak-anak perlu tinggal berjauhan pula. Pada masa ini, segala tindakan ibubapa ibarat ‘menarik rambut di dalam tepung’ – perlu ada ketegasan tetapi di masa yang sama kena berlembut. Kala ini ibu bapa perlu banyak menggunakan budibicara dan dapat berkomunikasi dengan baik dengan anak remaja.

Jika tidak berhati-hati, anak-anak akan mula memberontak , menjadi keras hati, degil dan mulalah bibit-bibit pergaduhan antara anak dan ibubapa terjadi.

Kepercayaan anak-anak terhadap ibubapa yang dipupuk semenjak umur mereka kecil lagi banyak membantu dalam proses ini. Biarkan mereka membuat keputusan sendiri tetapi ibubapa sebagai perunding berhak mengutarakan pendapat mereka. Mereka akan lebih menghargai kita kerana didalam hati anak remaja , mereka memang memerlukan ibubapa sentiasa bersama mereka dalam setiap hal kehidupan

Cuma kedua-dua belah pihak perlu bijak berurusan antara satu sama lain. Dengan cara begini hubungan anak remaja dan ibubapa akan kekal ‘connected’ selama-lamanya.

Sep 28

Bagaimana nak gembira?

Saya terjumpa video ini bila saya melayari salah satu website berkenaan keibubapaan. Memang kelakar betul bila saya lihat seorang budak perempuan, Jessica yang comel melompat-lompat didepan cermin dengan gembiranya sambil menyebut I like my dad, I like my hair..dan banyak lagi.

Apa yang terlintas didalam fikiran saya ialah, Jessica pastinya seorang budak perempuan yang gembira (happy) dan mempunyai ibubapa dan adik beradik yang gembira, berkeyakinan dan dilimpahi dengan penuh kasihsayang.
Saya tak berapa pasti betapa benarnya sangkaan saya tetapi memang boleh nampak dari gerak geri dan apa yang dituturkan menunjukkan yang beliau begitu ikhlas menggambarkan kehidupannya yang sebenar. Budak seusia begitu tak main tipula. Apa yang dibuatnya menggambarkan peribadi yang dicetak oleh ibubapa beliau.

Mengikut salah satu penyelidikan yang dibuat di negara barat, ibubapa sekarang adalah ibubapa yang kurang gembira dari ibubapa dari zaman sebelumnya. Kenapa ye..bukankah ibubapa sekarang hidup di zaman yang serba canggih?

Salah satu sebabnya adalah tekanan. Kehidupan sekarang memang tak boleh lari dari tekanan. Depan belakang,kiri.kanan semuanya ada tekanan. Tak kiralah samada ibubapa yang bekerja, berniaga, yang tinggal dikota dan sebagainya.

Kebanyakan ibubapa merasakan tekanan hidup adalah perkara biasa dan merupakan sebahagian dari rencah dan perasa dalam mendidik anak-anak. Mereka tidak mahu menanganinya, dibiarkan begitu sahaja dengan harapan suatu masa nanti ia akan berakhir. Ini tidak sepatutnya berlaku kerana ditakuti tekanan tersebut akan membawa kepada perasaan takut dan kemurungan pula.

Segala tekanan akan membawa kepada sifat marah, sedih, dendam dan sebagainya. Segalanya akan terluah dalam perlakuan dan kehidupan setiap hari. Ibubapa akan menjadi kurang gembira dan siapa yang akan menerima tempiasnya..pastilah anak-anak.

Nicholas Christakis(pakar peubatan dan ahli sosiologi, Universiti Harvard) and James Fowler (saintis politik antarabangsa) menerangkan emosi yang gembira atau sedih akan berjangkit dari seorang ke seorang yang lain dan dari satu kelompok ke kelompok yang lain. Seseorang yang berasa gembira berkait rapat dengan emosi gembira kawannya dan kawan kepada kawannya dan begitulah seterusnya. Dikatakan yang emosi tersebut boleh merebak kepada 258 orang di sekeliling kita.

Emosi setiap dari kita samada gembira, sedih, marah, tak puas hati dan sebagainya akan merebak 6 orang yang berhampiran kita pada satu-satu masa dan ianya akan berterusan kepada 258 orang dalam satu hari.

Bayangkan jika kita sentiasa diselubungi oleh emosi yang tidak elok dan menyebarkan emosi tersebut kepada orang lain dan lebih sedih lagi jika anak-anak menerima tempiasnya. Jadi macamana anak-anak hendak gembira, kan.

Ibubapa yang kurang gembira akan melahirkan anak-anak yang kurang gembira juga dan begitulah sebaliknya. Jadilah ibubapa yang gembira tak kira sewaktu anak masih kecil, dewasa, remaja dan sebagainya. Gembira sewaktu susah dan juga sewaktu senang. Jangan gembirakan anak dengan memberi kemewahan, ditakuti rosak jiwanya. Alamatnya bila dah tak mewah, anak-anak memberontak dan bertambahlah lagi tekanan.

Aug 21

Remaja Berkomunikasi- Dulu dan Sekarang

Tak kiralah samada menghantar pesanan (text) ringkas, skyping, facebook, twitter, tumbler atau lain-lain sosial media..anak-anak saya memang ‘crazy’ dengan berbual(chatting). Samada suka atau tidak kesemua cara komunikasi dengan menggunakan sosial media adalah amat berbeza dengan zaman saya muda remaja dulu. Kalau dulu bergayut dengan kawan menggunakan telefon rumah dah kira alat yang amat ‘advance’ untuk saya bergossip tentang kawan-kawan lain.

Iyelah, dunia semakin maju, cara dan alat berkomunikasi pun sudah tentunya berbeza. Setiap satu ada risikonya dan berubah dari satu generasi ke satu generasi. Semakin anak kita meningkat dewasa, mereka memerlukan privasi dan kita sebagai ibubapa perlu menghormati kehendak mereka.

Tetapi sejauh manakah kita boleh melepaskan mereka dengan privasi mereka dan seketat manakah disiplin yang perlu kita letakkan dalam hal-hal sebegini. Teknologi berkomunikasi yang semakin berubah tentu ada risikonya tetapi kita sebagai ibubapa tidak perlu cepat melatah keran apa yang penting adalah komunikasi antara ibubapa dan anak-anak adalah kuat dan terkawal.

Menghantar Pesanan Ringkas (Texting)

Bagi kanak-kanak yang membesar didalam alam ‘wireless’, menghantar pesanan ringkas adalah kaedah bagaimana mereka berhubung dengan kawan-kawan mereka. Mereka boleh menghantar pesanan ringkas walaupun mereka berada didalam satu bangunan dengan kawan-kawan mereka ataupun berada didalam kereta yang sama.

Jadi tak hairanlah jika ada seorang remaja bernama Nielson menerima dan menghantar pesanan ringkas sebanyak 3,705 pesanan sebulan.

Dengan menghantar text, anak remaja dapat berbual dengan kawan-kawan mereka dan dalam ertikata lain, menghantar text adalah seperti bersembang-sembang. Sudah tidak ada kaedah menghantar surat atau kad dan menulis..’boleh saya berkenalan?’

Anak-anak saya ketawa bila saya bercerita yang saya dahulu menulis berkajang-kajang surat kepada kawan-kawan untuk bertanya khabar. Dah lah sebelum tu kena praktis menulis di kertas lain dan menyalin semula ke kertas yang lebih cantik dan kalau untuk boyfriend kenalah gunakan kertas yang berbau wangi, barulah romantik, kan.

Sekarang semuanya dah tak ada. Semuanya hanya menggunakan hujung jari. Kena-kena lagi kalau anak remaja yang ibubapa mereka mampu membelikan anak mereka blackberry. Lagilah hebat dan jauh perginya..ibarat dunia ini ana yang punya.

Kalau bab menghantar text melalui handphone ni, saya memang cepat naik hangin terutama sekali semasa saya bercakap dengan mereka dan tangan mereka sibuk mengtexting. Kadang-kadang bukannya penting sangat apayang nak disampaikan, sekadar nak tanya..awak wat per? Ish….ini satu lagi hal. Bila dah nak cepat sangat menekan-nekan huruf di handphone , maka terjadilah perkataan-perkataan yang terlalu ringkas dan berbunyi seperti bunyi angsa.

Kadang-kadang saya terfikir, apa akan jadi kepada generasi yang akan datang jika perbualan mereka hanya berdasarkan apa yang ditulis dan dibaca di skrin handphone. Akan kurangkah sopan dan budibahasa anak-anak kita nanti? Bagaimana mereka hendak menegur orang lain tanpa menggunakan text. Adakah nanti perbualan seperti..apa khabar, boleh saya bantu, wujud lagi?..

Lebih teruk lagi kalau nanti mereka akan berasa canggung untuk berbual dengan orang yang lebih tua dari mereka…pernah anda fikirkan?

Apa yang patut saya lakukan?

Emmm…kalau saya tak nak anak saya asyik menekan-nekan dan menghantar text, tak payahlah belikan mereka handphone kan. Habis cerita..selesai masalah tetapi kalau tak ada handphone susah pulak saya nak tahu dia kat mana. Kalau pergi tuisyen atau aktiviti sekolah, nanti risaulah pulak saya.

Apa yang saya lakukan, kadang-kadang bila anak saya sedang memegang handphone mereka saya ambil dan saya check message atau saja-saja nak tengok apa yang ada kat handphone dihadapan mereka. Kalau dia marah dan rampas kembali handphone tu, maknanya adalah sesuatu yang dirahsiakan. Kalau ada gambar dalam handphone saya akan bertanya siapakah mereka.

Lagi satu semasa mereka bercakap di telefon, lihatlah gerak-geri bahasa badan. Jika ia mencurigakan, cepat-cepatlah menyiasat dan janganlah pulak cepat-cepat menuduh.

Kawal jumlah prepaid yang diberikan kepada mereka setiap bulan . Jangan sekali gunakan cara pembayaran bil untuk handphone mereka, takut nanti bila hujung bulan ibubapa pula yang gigit jari.

Jika masalah anak anda dan handphone sudah menjadi masalah kepada anda sebagai ibubapa, anda perlu tegas dan menggariskan undang-undang tentang penggunaan handphone. Kalau ianya semakin teruk, rampas sahaja handphone. Give them a lesson..kan

Facebook

Saya sendiripun tak lepas dari ketagih dengan facebook. Lebih-lebih lagi saya banyak berurusan dengan internet.

Setiap kali bukak laptop, mesti nak bukak facebook dulu. Nak tengok status orang. Kalau sempat bergossip tu, bergossiplah kan. Jadi kalau anak-anak saya asyik membuka facebook, takkanlah saya nak marah beria-ria. Sedarkan dirilah jugak.

Banyak sebab anak remaja gemar menggunakan facebook. Ada yang suka main ‘game’, suka letak-letak gambar, chatting dan sebagainya.

Asalkan anak anda berumur lebih dari 13 tahun anda boleh mmebenarkan anak anda mempunyai akaun facebook tetapi dengan pengawasan dari ibubapa sendiri.

Facebook adalah salah satu cara untuk berkomunikasi dunia maya dan ditambah dengan aplikasi gambar dan sebagainya. Memang benar, dengan adanya facebook anak-anak akan lebih mengenali ramai kawan dan keluarga. Kalau dulu agak sukar anak-anak hendak mengucapkan ‘selamat harijadi’ kepada kaum keluraga yang jauh dan tidak berapa rapat tetapi sekarang mereka boleh melakukannya dengan mudah.

Kita perlu menginggatkan anak remaja kita teantang amanah menjaga ‘wall’ facebook kita dari perkatan yang tidak sopan. Bagi saya personaliti dan perangai seseorang akan terserlah dengan apa yang ditulis di wall mereka. Jangan ingat dengan apa yang terpapar di skrin komputer itu dapat menggaburi keperibadian anak-anak dan kita sendiri.

Sepanjang pemerhatian saya, ramai dari remaja di facebook tidak menjadikan ibubapa dan keluarga sebagai kawan difacebook dan jarang-jarang sekali yang hendak meletakkan gamabar ibubapa dan keluarga di facebook mereka. Mengapa ye?

Apa yang perlu saya lakukan?

Saya akan pastikan kesemua usename dan password facebook anak saya adalah autopilot di komputer saya. Kalau ada status yang saya tak gemar saya akan delete dan saya akan terangkan kenapa saya delete.

Saya selalu ingatkan anak saya hormat dengan sapaan dan gurauan dari orang yang lebih tua. Jangan sesekali menulis dalam bahasa yang biadap dengan mereka.

Saya akan pastikan anak saya membalas setiap comment dan yang penting sekali setiap ucapan harijadi yang mereka dapat. Kalau malas sangat klik saja’like’.Saya akan cuba sedaya upaya menjadi kawan kepada kawan-kawan mereka dan menyapa kawan mereka di wall anak saya.

Kadang-kadang saya dan suami akan post status yang ala-ala lawak bodoh supaya boleh berkomunikasi dengan kawan-kawan anak-anak saya.

Yang penting suruh anak remja anda privatekan facebook mereka. Jangan letak gambar yang mendedahkan aurat. Kadang-kadang risau jugak bila berkaitan dnegan meletakkan gambar difacebook. Kena pulak yang jenis suka berposing-posing. Kalau nak bercerita macam-macam boleh dilakukan oleh orang lain berkenaan gambar di facebook, Cuma kita kenalah berhati-hati.

Seorang Pakar IT ,Whitby dad Shael Risman dari Richmond Hill berkata yang kita memnag terdedah kepada bahaya dengan gambar-gambar dan maklumat peribadi yang di letakkkan di facebook. Walaupun ianya untuk tatapan kawan-kawan sahaja tetapi orang asing yang berkawan dengan kawan anak kita masih boleh melihat gambar dan akses kepada maklumat peribadi di facebook. Mungkin tibalah masanya terhasilnya satu software yang dapat mengurangkan kesan-kesan bahaya ini, kan.

Walau apa pun penglibatan anak remaja kita atau ketagihan mereka didalam penggunaan social media perlulah dikawal. Cara untuk mengawalnya terpulanglah kepada ibubapa sendiri. Ada yang suka meletakkan peraturan, ada yang menegah sama sekali dan ada yang tak nak ambik tahu.

Bagi saya pendekatan ‘terjun ke dalam dunia mereka’ adalah yang terbaik. Bermakna kita sebagai ibubapa perlu tahu tentang setiap social media yang anak remaja kita gunakan. Jika ibubapa tidak mempunyai akaun facebook bagaimana untuk memantau segala aktiviti dan komunikasi mereka.

Itulah sebabnya kalau anak saya ada akaun di tumbler, saya pun ada. Begitu juga dengan youtube dan lain-lain lagi. Barulah boleh ‘connected’ dengan mereka. Itulah salah satu tujuan sosial media,kan!!!

Jul 08

Menyemai Cinta Remaja

Cinta dan remaja memang tak dapat dipisahkan. Bagi kebanyakan remaja cinta bermaksud bercinta dengan jejaka atau gadis idaman hati sahaja. Bercinta dengan kekasih jiwa raga diibaratkan seperti makan tak kenyang dan mandi tak basah. Angaulah tu…

Tak boleh jugak menyalahkan mereka sepenuhnya , lebih-lebih lagi bila anak remaja disogok saban hari tentang hebatnya cinta yang kekal , abadi , bahagia dan macam-macam lagi. Hebatnya bercinta sehingga mengundang seribu kegembiraan kepada anak remaja dan yang menyedihkan apabila mereka melupakan keluarga terutama sekali ibubapa sendiri.

Wahai anak remaja ,

Cinta itu besar ruangnya dan indah pengertiannya. Cinta sepatutnya membawa kebahagiaan dan jatuh cinta itu bukannya sekali. Boleh dua, tiga atau beberapa kali sahaja. Cintalah apa-apa sekalipun asalkan cinta itu diredhai Allah, pastinya cinta itu nanti  lebih bersih dan menawan. Sebelum anda hendak bercinta dengan gadis atau jejaka lain, cintailah ibubapa anda dahulu. Berikan cinta itu kepada ibubapa dan keluarga dengan sebaik-baiknya kelak  cinta itulah yang akan membawa kebahagiaan kepada anda nanti.

Para ibu-bapa sekelian,

Anak-anak mendambakan cinta dan kasih sayang kita. Mereka mahu kita berada di dalam setiap urusan dan cerita kehidupan mereka. Mereka mahukan kepastian yang ibu-bapa membutuhkan cinta dan kasihsayang dari mereka.

Mari kita menyemai benih cinta, mengolah kelembutan hati, menyiram kasih sayang, menuai cinta dan memetik buah hati antara anda dan anak-anak anda.

Anda sudah bersedia?

Di dalam kehidupan keluarga tak semuanya berjalan dengan lancar sesuai seperti yang kita inginkan. Kadang-kadang masalah muncul dan memerlukann penyelesaian yang bijak dengan melibatkan sebahagian atau semua unsur di dalam keluarga. Masalah bukan untuk dihindari, tetapi untuk dihadapi dengan sikap yang arif.

Kadangkala kita sebagai ibubapa merasa seperti sudah mendidik anak-anak dengan sebaik-baiknya tetapi bila mereka sudah besar panjang, lain pula jadinya.

Saya banyak melihat remaja yang bermasalah datang dari keluarga yang baik dan bersopan santun. Ibubapa menjalankankan tugas mereka dengan sebaiknya dan tiba-tiba bila anak sudah remaja macam-macam hal yang dilakukan. Tak terfikir oleh akal yang waras ini bagaimana dan dari manakah puncanya

Saya juga pernah mendengar pengakuan dari seorang ustaz yang mengatakan kebanyakan remaja yang di tangkap berkhalwat adalah remaja perempuan yang memakai tudung dan remaja lelaki yang bersopan-santun. Takut kan? Kalau sudah sampai ke tahap  dimana kita sudah tidak ada kawalan lagi keatas mereka dimana bila dirumah pijak semut pun tak mati tetapi diluar rumah..Masyaallah!

Itulah pentingnya DOA. Kuasa doa dapat membantu kita dari menghadapi masalah keluarga. Minta dijauhkan  dari musibah begini.

(Dapatkan himpunan doa dan amalan didalam ebook:  Anda Busy Dan Anak Anda Crazy)

Kita sebagai ibubapa perlu menghidupkan diri anak-anak kita dengan nasihat dan selalu ingat mengingati tentang syurga dan neraka. Bukannya menegah dan mengawal tanpa memberitahu mereka apa yang tidak patut mereka lakukan.

Anak-anak yang dididik dengan didikan Islam sewaktu kecilnya juga tidak terkecuali dari menghadapi masaalah sebegini. Bukanlah saya mengatakan tentang kita perlu memberikan kelonggaran terhadap tuntutan Islam kepada anak-anak kita tetapi ia perlu berterusan terutamanya semasa anak-anak remaja sehinggalah mereka sudah berumah tangga dan menjadi seorang ibu atau ayah.

Cuma pendekatan yang berbeza diperlukan samada secara lansong atau tidak. Kalau anak buat salah bila dah berumahtangga perlu ditegur secara berhemah, bukan asyik nak salahkan menantu aje. Ditakuti nanti memberi kesan kepada masa depan cucu-cucu pula. Kita nak hidup bahagia dunia akhirat, kan?

Jiwa anak-anak juga perlu diperhatikan. Ini selalunya adalah kerja seorang ibu kerana naluri seorang ibu terhadap pergolakan jiwa anak memang wujud. Jiwa anak yang kering kontang akan membuatkan anak-anak lari dari kita sedikit demi sedikit. Balik rumah aje , berkurung dalam bilik sendirian. Bila ditanya tak hendak menjawab seperti semuanya tak kena. Itu tanda-tanda jiwa mereka kering ataupun mereka mempunyai kecelaruan jiwa mereka. Kena pulak bila anak remaja suka membanding “kekurangan” keluarga mereka dengan keluarga kawan-kawan sebaya.

Sudah masanya kita berubah demi keluarga. Pupuk cinta sesama sendiri.

May 31

Remaja ADHD

Bila berkata tentang Attention deficit hyperactivity disorder (ADHD) ibubapa sering menggambarkan kanak-kanak hiperaktif iaitu mereka yang mudah terangsang, lasak atau tidak mendengar cakap. Kanak-kanak  pengidap ADHD sering digambarkan sebagai anak yang terlebih aktif dan impulsif daripada anak-anak seusia mereka. Bagi kanak-kanak selalunya kita boleh lihat dari segi perlakuan dan tingkahlaku mereka terutama bagi kanak-kanak lelaki.

Antara tanda-tanda ADHD adalah:

  • Kerap menggerak tangan atau kaki atau menggeliang-geliut di tempat duduk
  • Selalu meninggalkan tempat duduk ketika di kelas
  • Tak boleh duduk diam, berlari ke sana ke mari atau suka memanjat
  • Kerap menghadapi masalah untuk bermain atau melakukan aktiviti riadah secara senyap
  • Banyak bercakap dan bergerak cergas seperti mesin
  • Suka mengelamun
  • Sering gagal memberi tumpuan yang teliti kepada butir-butir terperinci atau cuai serta membuat kesilapan semasa membuat kerja sekolah atau aktiviti-aktiviti lain
  • Selalu tidak mematuhi arahan dan gagal menyiapkan kerja sekolah, kerja harian atau tugas
  • Kerap mengalami masalah untuk mengatur tugas dan aktiviti-aktiviti
  • Kerap mengelak, tidak suka atau keberatan hendak melakukan sesuatu tugas yang memerlukan tumpuan yang lama (seperti kerja sekolah atau kerja rumah)
  • Selalu kehilangan barang (misalnya pensil, pemadam, buku atau tugasan sekolah, mainan dan sebagainya)
  • Tidak fokus dalam apa jua hal di mana tumpuan mudah bertukar dari satu aktiviti ke satu aktiviti lainPelupa walaupun tidak sepaatutnya jika mengikut usia dan keupayaan
  • Selalu memberi jawapan sebelum soalan lengkap diajukan
  • Kurang sabar dan terutama dalam hal-hal menunggu giliran
  • Sering mengganggu atau mencelah perbualan atau aktiviti orang lain
  • Sering membuat pertimbangan yang salah dan mudah mengalami kemalangan

Namun begitu perlu ditekankan bahawa ADHD bukan sahaja boleh berlaku kepada kanak-kanak.. Anggaran 30% – 70% kanak-kanak yang mengalami ADHD akan berterusan mengalami gejala-gejala ADHD sehinggalah mereka remaja.   ADHD berlaku apabila tiada keseimbangan di antara aktiviti kegitaan  neurotransmiter alam bahagian otak yang mengawal  mekanisma kawalan perhatian.(control attention).

Bagi remaja yang mengalami ADHD, perancangan kerjaya bukanlah perkara yang mudah untuk dilakukan. Ia memerlukan penelitian kerana remaja yang mengalami ADHD ini selalunya mempunyai  banyak idea dan aktiviti yang hendak dilakukan, tetapi segalanya dilakukan separuh jalan sahaja kerana mereka cepat bosan dan boleh hilang minat dalam sekelip mata sahaja.

Antara tanda-tanda ADHD Remaja :

  • Sukar untuk memberi tumpuan – Mereka mungkin selalu lambat hadir ke temu janji atau acara-acara  penting, tidak teratur, gelisah, dan sukar untuk bersosial.   Sering mengalami masalah dalam memilih tugas, pekerjaan dan mengikut ketepatan waktu serta sukar memberi tumpuan dalam pembacaan mereka.
  • Rasa Yang Tidak Puas - Secara keseluruhan, mereka mengalami  perasaan ketidakpuasan yang mengganggu mereka dimana mereka sering merasakan bahawa mereka tidak mencapai potensi mereka.
  • Sukar Untuk Kekal Dalam Pekerjaan Menurut kajian, hanya separuh orang dewasa dengan ADHD mampu mempertahankan pekerjaan. Ini adalah kerana minat mereka yang mudah hilang secara tiba-tiba.
  • Masalah emosi – Perubahan suasana hati, rendah diri, dan pengendalian emosi yang buruk. Remaja ADHD  mudah kehilangan emosi mereka atau terlibat dalam tindakan drastik. Selain berpotensi merosakkan karier, hal tersebut juga dapat merugikan hubungan perkawinan dan hubungan sosial .
  • KomplikasiRemaja  ADHD mudah mendapat depresi, mudah cemas atau gangguan obsesif kompulsif. Mereka juga lebih cenderung terjerumus pada kecanduan merokok atau narkotik.

Ibu bapa boleh membantu anak mereka dengan memainkan 2 peranan iaitu sebagai –

Bersikap sebagai Pendorong– Ibubapa perlu memerhatikan dan mengenalpasti apakah bakat dan minat  anak remaja anda dan kenalpasti bidang tersebut. Di peringkat ini, komunikasi amatlah penting dimana anda perlu berbincang tentang kekuatan dan kemahiran anak anda. Dahulukan kehendak dan kemampuan mereka dan terangkan kesesuaian dengan sikap dan personaliti mereka. Spesifikkan kelebihan dan kekurangan anak anda dan sering memberi kata-kata dorongan supaya mereka tidak rasa rendah diri. Berilah puji-pujian seperti Eh! Tak ramai orang yang tahu nak buat macam ni…ini dah bagus dah!

Bersikap sebagai pemudah – Ibu bapa boleh membantu dengan memudahkan kehidupan anak remaja ADHD dengan sering membantu memudahkan “kesulitan” mereka seperti menghantar mereka menghadiri kelas-kelas tambahan ataupun kem-kem sesuai minat mereka. Perhatikan apa yang anak remaja ADHD anda minati dan pupuk minat mereka. Mana tahu minat-minat sebegini dapat membantu anak di dalam pemilihan karfier di masa depan. Ibubapa juga perlu memudahkan hidup anak ADHD mereka dengan menyusun jadual waktu sesuai dan mudah diikuti agar perjalanan hidup anak-anak ADHD berada di landasan yang betul.