free wordpress themes Premium Wordpress Themes
Entries RSS

By Category :

Live Traffic

Jumlah Pengunjung

free counters
May 08

Bufet Ramadhan di Dorsett Kuala Lumpur Bersama Masakan Bonda

1

Satu perkataan yang boleh saya katakan tentang makanan kat sini ialah ‘asli’. Bertepatan betul lah dengan tema ‘Masakan Bonda’ nya. Sungguh terasa macam makan makanan yang di masak dulu-dulu, masakan yang di masak oleh mak saya dulu. Cukup sempurna rasanya. Itulah yang membuatkan saya rasa jatuh cinta dengan  lauk pauk yang dihidangkan di sini. Tambahan pulak ada lebih 100 jenis lauk pauk yang dihidangkan setiap hari dan pilihannya berbeza setiap hari. Selain dari itu ada banyak juga pilihan makanan lain seperti laksa, mee dan segala jenis pasta yang dimasak dengan pelbagai gaya dan rasa. Himpunan pencuci mulut juga memang sangat menarik. Jangan lupa mencuba kuah durian dengan pulutnya ye. Bagi mereka yang masih tercari-cari tempat untuk berbuka puasa Ramadan nanti, saya sarankan Dorsett Kuala Lumpur. Selain dari rasa makanannya yang berlainan dari tempat-tempat lain, pilihan makanan juga adalah pelbagai. Kawasan makan yang luas serta lokasinya yang sesuai untuk mereka yang bekerja di tengah tengah bandaraya .Sangat menarik kan. Itu belum cerita pasal harga lagi. Harganya memang sangat berbaloi. Bagi anda yang berminat boleh merujuk kepada gambar -gambar di bawah.

3

Segala lauk-pauk tersusun kemas dan menarik

4

Yang ni memang sekelip mata aje dah habis. Nanti kalau datang ‘ngap’ yang ni dulu ye.

6

Rendang dendengnya memang dapat lima bintang dari saya. Rasa pedas, manis dan masamnya seimbang.

dagingsalai

 Dagingnya lembut dan ada rasa  ’smoky’. Kuahnya pekat dan pedas.

biryani

Nasi Biryani ni memang rasanya berlainan dari tempat lain. Nasinya tak berminyak sangat. Bau rempahnya sedap dan kambing tu memang lembut. Dan lagi satu makan nasi ni dengan kuah dal sangat secocok. Saya makan dua pinggan nasi ni tau.

kuih

Kuih muih melayu memang mesti ada.

kek

Pilihan kek dan segala macam pencuci mulut

2

Bergambar bersama Chef Amar dan Bonda. The face of Dorsett KL’s Ramadhan Buffet.

 

Mar 13

Spaghetti Pesto Bayam Berudang

 

Senang jer nak buat. Masukkan kesemua bahan ke dalam food processor and bam! dah boleh makan spaghetti yang sedap. Cubalah.

 

 

 

Mar 10

Julia Child’s recipe: Reine de Saba

reinedesaba

Bonjour!

Yes. Hari ni nak share resepi kek Julia Child. Kek ni adalah antara kek Julia yang paling famous, reine de saba (Julia’s Child Almond and Chocolate Cake).

Kek yang kat atas tu dah  lama buat. Cuma hari ni jer baru nak upload kat sini. Kalau tak percaya datang la ke rumah. Memang habuk kek pun tak ada. Tapi bila diperhatikan balik kek kat atas tu rasa teringin pulak nak makan. Rasa macam nak buat dan dan ni. Emmmmm….macamana ni.

Saya dah banyak kali mencuba kek reine de saba ini. Tapi kali ini hasilnya memang saya puas hati.  Jika anda seorang yang sukakan coklat, kek ini adalah pilihan yang terbaik. Rasanya sangat berbeza kerana kat dalamnya ada almond. Bila almond dicampurkan dnegan coklat, rasanya lain macam tau. Tapi satu benda tentang kek ini ialah ianya bukanlah jenis kek yang gubu gebas. Ianya kek yang padat. Makan sikit jer pun dah puas.

Sekarang ni nak masuk bab berangan. Tau tak masa saya buat kek ni saya terfikir kot kot lah saya boleh tubuhkan satu kumpulan yang boleh di panggil ‘Cookbook Club”. Bolehlah sekali-sekala  berkumpul dan mencuba resepi-resepi dari buku masakan chef-chef ataupun dari blog-blog yang terkenal. Best kan? Setiap orang masak dua jenis masakan dan kemudian berkumpul untuk makan tengahari. Lepas tu, bolehlah dapat merasa pelbagai makanan yang sedap-sedap dan buat review masing-masing.  So Cookbook Club is both a great excuse to get together with food-loving friends and a lovely way to explore a cookbook. Ada sapa nak join tak? Kak Yan teringin betul ni.

Jadi bagi sesiapa yang nak mencuba buat kek ni boleh ikut je resepi di sini.

Sekali cuba mesti nak buat lagi dan lagi. Guna coklat yang berkualiti tinggi ye anda-anda semua. Barulah kek rasa sedap.

 

 

Mar 01

Nasi Goreng Sambal Belacan

nasigoreng mak

Ni namanya nasi goreng sambal belacan. Yang ni bukan macam yang di jual kat kedai-kedai tom yam . Yang ni memang ‘rare’.  Memang jarang boleh jumpa rasa nasi goreng macam ni. Ni lah nasi goreng sambal belacan cara orang dulu-dulu masak. Sedapnya tak terkira. Kalau sapa yang tengah diet tu jangan datang dekat-dekat. Baunya aje dah boleh kecundang diet tu.

Kat rumah ni memang selalu masak nasi goreng macam ni. Lagi-lagi kalau ada lebih sambal belacan. Dari mak, bapak sampai la ke anak-anak semuanya suka nasi goreng macam ni.

Hari tu saya upload gambar nasi goreng ni kat facebook dan instagram . Ramai pulak yang mencuba dan terus jatuh hati kat nasi goreng ni. Korang kalau tak percaya, cubalah. Tak susah mana pun nak masaknya.

Ni lah antara masakan arwah mak yang paling saya rindu. Walaupun saya rasa saya buat dah rasa sedap dah tapi arwah mak buat beribu-ribu kali sedapnya. Arwah mak dulu jarang masuk dapur sebab arwah mak dulu bekerja. Tapi sesekali masuk dan masak memang menjilat jari kaedahnya. Mak memang ada air tangan. Masak apa pun sedap. Masih terkenang nasi goreng kunyit mak, puding kacang merah..emmmm sedapnya.

Nak masak nasi goreng belacan ni senang aje. Janji ada sambal belacan yang power. Lagi sedap kalau guna nasi sejuk. Ok, macam ni caranya.

Ambik nasi sejuk dan gaul bersama sambal belacan, sedikit kicap dan garam, ketepikan. Kemudian panaskan minyak dan goreng bawang merah sampai wangi. Masukkan nasi tadi dan goreng nasi sampai betul-betul garing. Dah pun siap.

Antara petua nak lagi sedap. Gaul nasi dengan sambal belacan sama rata. Kalau boleh picit -picit sikit nasi tu biar dia mesra betul bersama sambal, kicap dan garam. Lagi satu biar la bawang tu banyak sikit dan goreng sampai bawang tu berwarna perang dan wangi.  Ok, selamat mencuba tuan-tuan dan puan-puan.

Feb 23

Strawberry Cup Cakes

strawberrycupcakes2

This month is not a good month for me. Bukannya tak bersyukur tapi bulan ini saya rasa ‘demotivated’. Rasa kurang semangat nak bekerja.   Target terbang entah ke mana.  Ada dua buah buku resepi yang belum di terbitkan. Penerbit dari kedua-dua nya memberi alasan yang tersendiri. Ada yang kata jualan buku semakin susut dan ada yang kata giliran nak terbitkan buku semakin panjang. Tau tak penatnya memerah otak nak hasilkan resepi. Penatnya nak fikir prop yang cantik untuk ambil gambar. Semuanya memerlukan keringat , masa dan wang. Patutnya setiap kali buku sudah di pruf atau dalam kata lain sudah siap untuk diterbitkan perlunya ada perjanjian berapa lama buku tersebut boleh diperam oleh penerbit. Jangan ingat menulis resepi itu senang. Kalau dah sampai setahun diperam, alamatnya nanti jadi pekasam la.

Entry kali ini saya nak share gambar cupcakes strawberry saya. Ceritanya saya dapat strawberry ni free . Ah Chuen ( penjual ikan dan sayur dekat rumah saya) bagi saya dua paket strawberry. Biasa lah dia. Tiap-tiap hari dia hantar sayur free. Kadang-kadang dia bagi jugak buah. Tu la Allah bagi rezeki dari pelbagai sudut. Kurang kat bahagian ini ada terlebih kat bahagian sana. Kita ingat orang bijak pandai akan appreciate kita sedangkan kawan sebelah kita yang biasa -biasa saja yang selalu apprecite kita. Tak rasa pun apa kebaikan yang diberi tetapi bagi pihak dia sangat besar. After all hidup ini memang adil.

strawberrycupcakes1

Saya gunakan resepi kek butter saya untuk membuat strawberry cup cakes ini. Untuk satu bancuhan kek butter boleh dapat 20 biji cupcakes saiz seperti gambar di atas. Saya paipkan buttercream diatasnya dan susun strawberry. Itu pun dah lawa kan.

Bahan-bahannya:

250 gram butter

250 gram gula castor

250 gram telur (4 biji saiz B)

250 gram tepung serbaguna

3/4 sudu teh baking powder

2 sudu besar (50 ml) sour cream/youghurt/susu

Sedikit esen vanilla

Cara membuatnya:

Panaskan oven dahulu

Pukul mentega dengan gula sehingga kembang

Masukkan telur satu per satu dan pukul lagi

Campurkan tepung dengan baking powder

Masukkan campuran tepung ke dalam adunan di selang selikan dengan sour cream/youghurt/susu (perlahankan kelajuan mixer)

Pastikan yang terakhir sekali adalah tepung

Akhir sekali ( step yang penting) kaup adunan menggunakan spatula. Kaup ke arah dalam dan keluar.

Proses ini penting untuk memasukkan udara ke dalam adunan

Masukkan aduan ke dalam bekas yang telah di glis dan hentak sedikit untuk setarakan gelembung udara di dalam kek

Bakar pada suhu 180 C selama 40/45 minit.

Selamat Mencuba!

Feb 21

Sotong Tumis Kicap

sotongtakbernama

Walaupun saya suka makan sotong but i hate cooking it. Salah satu sebabnya ialah ianya cepat jadi keras kalau terlebih masak, suka keluar air and so forth. Baunya pun boleh tahan jugak. Kalau terkena baju memang susah nak hilangkan.Nak masak sotong kena cari yang fresh kalau tak memang penat mengunyah aje. Tak ada rasa apa-apa.

Jadi walau banyak mana pun dan tinggi mana pun sukanya saya kepada sotong , I hardly  cook it at home. Senang cerita saya memang jarang beli sotong. Paling banyak pun sebulan sekali sahaja.  Lagi satu sebab yang ketara ialah saya selalu kekeringan idea nak masak sotong. Asyik -asyik nak masak sambal sotong aje. Rasa jemu pulak.

Jadi hari ini saya mencuba masak sotong yang paling simple dalam dunia. Paling sedap dan bahan-bahannya sikit aje. Kalau dalam bahasa Inggerisnya boleh dipanggil ‘Stir Fry Squid with a Soy Sauce’.

Sotong masak sebegini amat sesuai untuk anak-anak yang tak suka makan pedas. Anda tak perlu masukkan cili kering jika anak ada tak suka pedas. Lagi satu kalau nak bagi warna hitamnya berkilat masukkan gula semasa cili tengah garing. Kurangkan minyak kalau boleh dan campuran tepung jagung tu amat penting. Ianya akan memekatkan kuah dan sekali gus memberi kelainan terhadap rasanya. Cubalah. Ops, kalau nak masukkan sikit sos tiram pun tak ada hal.

Sotong masak sebegini memang sedap and I think I should be making more squid dishes at home. Saya akan kongsikan lebih banyak resepi-resepi sotong selepas ini, InsyaAllah.

Bahan-bahannya:

4/5 ketul sotong(dipotong dua/tiga jika saiznya besar)

3 ulas bawang putih(dicincang halus)

3 sudu besar kicap cair

2 sudu teh serbuk lada sulah

1 sudu teh cili kering kisar

1 sudu teh gula

2 sudu teh kicap pekat

2 biji cili merah(dihiris halus)

2 sudu teh tepung jagung dicampurkan dengan sedikit air

2 sudu besar minyak

Cara membuatnya:

Perap sotong bersama serbuk lada sulah dan kicap cair sebentar. Ketepikan.

Panaskan minyak dan tumis bawang putih sehingga wangi.

Masukkan cili kering. Masak sehingga garing.

Masukkan kicap pekat dan gula. Kacau sebati

Masukkan sotong bersama sama dengan air perapan tadi.

Masak selama 5-10 minit(bergantung kepada saiz sotong)

Masukkan cili merah dan campuran tepung jagung.

Kacau sehingga kuah pekat dan kemudian matikan api.

Jan 04

Semur Daging

semurdaging

Masak ni kadang-kadang bahannya sama jer tapi tekniknya pulak berbeza. Macam masak semur daging ni. Bahan-bahannya macam masak kicap daging aje tapi teknik memasaknya pulak yang berbeza. Itulah yang menjadi keistimewaan masakan ini.

Opps..rasanya tak terlambat untuk saya mengucapkan ‘Selamat Tahun Baru 2017′ kepada semua pembaca blog saya. Doa-doakanlah tahun baru ni saya lagi rajin update blog. Walaupun rasa lebih senang  nak upload segala masakan di FB dan instagram tapi rasa bersalah pulak kalau lama tak update blog ni. Entah kenapa pun tak tau la. Maybe  this space has a special place in my heart.

Berbalik kepada resepi kita hari ini iaitu semur daging . Sejarahnya perkataan ‘semur’ tu adalah dari perkataan ‘dutch’ yang lebih kurang menggambarkan stew daging. Semur daging yang berasal dari Indonesia ini secara keseluruhannya menggambarkan ciri-ciri stew daging yang lembut dan ada sedikit rasa manis. Mungkin ianya berbeza antara semur daging betawi ataupun semur daging jawa. Agaknyalah…Jom tengok resepi, esok boleh cuba.

Semur Daging

Bahan-bahannya:

800 g daging yang lembut(Dihiris lembut)

6 biji bawang merah yang sederhana besar(Dihiris halus)

1/2 cawan kicap manis

1/2 sudu makan kicap pekat

1/2 cawan minyak masak

1/2 sudu makan gula

Garam secukup rasa

Bahan-bahan untuk dikisar:

1 1/2 sudu teh lada hitam

1 sudu teh jintan manis

1 sudu teh jintan putih

3 kuntum bunga cengkih

1 kulit kayu manis

4 biji buah pelaga

6 ulas bawang putih

3 inci halia

Cara membuatnya:

Perap bahan kisar dengan daging selama sejam.

Panaskan minyak dan goreng bawang merah untuk dijadikan bawang goreng. Angkat dan ketepikan.

Tinggalkan dalam 3 sudu makan minyak dan goreng daging sehingga airnya betul-betul keluar.

Boleh tambah sedikit air jika daging belum empuk.

Masukkan kicap manis, kicap pekat, gula dan garam. Gaul rata.

Akhir sekali masukkan bawang goreng dan sedikit air.

Kuantiti air bergantung kepada kelikatan kuah yang anda suka.

(Resepi ini saya ambil dari buku Rampairasa Selatan tetapi sudah saya olah sedikit sana sini)