free wordpress themes Premium Wordpress Themes
Entries RSS

By Category :

Live Traffic

Jumlah Pengunjung

free counters
Sep 08

Daging Goreng Berempah

Sekarang ni kalau nak belajar masak pun semakin senang. Zaman tengok televisyen dan salin resepi tu memang dah lama berlalu. Saya pun kalau ada resepi yang pekenan kat televisyen, terus aje tekan butang “R”. Alamatnya penuh la segala macam rancangan memasak saya rakam. Bila anak-anak bising suruh padamkan mana yang tak perlu, degil pulak tu. Ni lah yang dikatakan penting diri sendiri kan.

Berbalik kepada cerita resepi ni kan. Ok lah sekarang ni orang muda-muda dah mula rajin mencuba pelbagai resepi. Senang jer nak dapat resepi sekarang ni. Boleh share kat Facebook ataupun Instagram. Tapi kan …yang paling best kalau kita belajar memasak hanya dengan melihat melalui video aje. Macam kat You tube tu.

Makanya saya dan Afiq berbekalkan seribu keberanian, semangat yang tinggi dan sedikit kepintaran, terhasillah video memasak kami dengan tema..’Masak senang-senang ajer’. Kami tak ada team produksi yang canggih-canggih. Kamilah yang basuh pinggan, kemas meja, make-up muka sendiri, semuanya buat sendiri. Anak-anak dan suami ada jugak membantu tapi boleh dikatakan kamilah segala-galanya. Penat tu memang penat tapi puas hati.

Jadinya, InsyaAllah tiap-tiap minggu kami akan kongsikan pelbagai resepi yang menarik dan senang dengan harapan ramai lagi orang yang akan suka memasak. Ala masak senang-senang aje.

 

 

Macamana ..Ok , tak?

Ni resepinya..

Daging Goreng Berempah 

Bahan-bahan:

500 g daging batang pinang

3 tangkai daun kari

3 tangkai kacang panjang, dipotong 2 cm panjang

2 sudu makan  cili kering kisar

2 inci halia, dihiris halus

1 labu bawang holland, dipotong 8

2 sudu makan serbuk kari daging

5 biji cili padi

½ cawan minyak

1 sudu teh garam

1 sudu teh gula

5 sudu makan kicap manis

Cara membuatnya:

Gaulkan daging bersama, serbuk kari. Perap seketika

Panaskan minyak dan masukkan kacang panjang. Masak selama 2 minit. Angkat dan ketepikan

Masukkan daun kari dan masak sehingga ianya berkilat. Angkat dan ketepikan.

Tinggalkan dalam 5 sudu makan minyak dan masukkan daging.

Masak sehingga airnya kering .

Masukkan bawang holland, halia, cili merah dan cili padi. Gaul sebati.

Masukkan kicap manis  dan masak sehingga minyaknya keluar dari daging.

Perasakan dengan garam dan gula.

Masukkan kacang panjang dan daun kari tadi. Kacau sebati.

Tutup api dan hidangkan.

 

 

Aug 26

Opor Ayam

 

oporayam2

Nak cuba ala-ala masakan Indonesia buk?

Tak banyak bezanya masakan Indonesia dan masakan kita. Masih di dalam konsep yang sama iaitu pedas, penuh rasa rempah ratus dan berwarna-warni. Saya memilih untuk mencuba resepi opor ayam kerana rasanya seakan -akan kombinasi rendang dan gulai lemak ayam. Rasa sebegitu memang menjadi kegemaran anak-anak saya dan saya juga.

oporayam1

Masakan indonesia suka menggunakan buah keras atau dipanggil kemiri. Ianya untuk menjadikan tekstur kuahnya lebih berlemak..more creamy, orang putih cakap. Saya suka masakan Indonesia yang menggunakan daun cekur…ummmm..sedapnya. Tapi resepi ni tak ada la pulak menggunakan daun cekur. Lepas ni nak cuba resepi Indonesia yang menggunakan daun cekurla.

Just nak bagi tau yang saya sangat lah rasa bersalah kerana sudah lama betul tak berkongsi resepi dengan anda semua. Banyak benda yang  membuatkan saya agak sibuk sedikit. Walaupun rasa gian nak menaip di blog ini membuak-buak tapi saya tak sempat jugak nak berbuat demikian.  Kadangkala tu kalah jugak dengan kesibukan harian ye. Walau apapun anda boleh ‘follow saya di facebook, instagram, twitter, snapchart dan di fanpage saya. ok..jom tengok resepi…

Opor Ayam

Bahan-bahannya:

1/2 ekor ayam (Dipotong kecil)

250 g santan pekat

5 helai daun limau purut(Dihiris halus)

3 helai daun bay (Kalau boleh guna daun salam)

1 keping asam keping

5 biji cengkih

2 kuntum bunga lawang

2 biji buah pelaga

4 sudu makan minyak masak

2 biji tomato(Dibelah empat)

Garam dan gula secukup rasa

Bahan Kisar

1 1/2 inci halia

3 biji bawang merah sederhana besar

5 ulas bawang putih

5 biji buah keras

1 inci lengkuas

Cara membuatnya:

Panaskan minyak dan masukkan cengkih, bunga lawang dan buah pelaga.

Kemudian masukkan bahan kisar dan masak sehingga wangi.

Masukkan ayam dan masak ayam sehingga ianya kecut.

Tuangkan santan ke dalam periuk bersama asam keping, daun bay dan masak sehingga kuahnya mendidih dan pekat.

Masukkan daun limau purut, tomato dan perasakan dengan garam dan gula

Jun 21

Rendang Hati Berkari

rendanghatiberkari1

Salam Ramadhan semua….Ada lagi separuh berbaki Ramadhan. Ada separuh bulan lagi nak makan malam bersama-sama keluarga. Duduk semeja, baca doa makan sama-sama, menjamah makanan sama-sama. Itulah salah satu perkara yang paling saya suka semasa bulan puasa. Dapat tengok muka ahli keluarga semasa makan malam. Boleh berborak lagi. Kan ke best kalau boleh memanjangkan tradisi ini ke bulan-bulan yang lainnya.

Biasanya kalau bulan puasa saya akan masak juadah yang digemari oleh anak-anak dan suami. Pilihan menu mungkin sedikit berbeza dari hari-hari lain. Juadah untuk makan malam selalunya lebih kering dan pedas. Yang pedas tu memang tak boleh lari la. Anak-anak dan suami tidak berapa suka juadah yang berkuah seperti kari, gulai lemak ataupun gulai asam rebus. Begitu juga dengan manisan. Hanya manisan yang terpilih sahaja yang saya hidangkan di bulan puasa ini. Kalau main ikut hati, alamatnya akan terjun ke dalam tong sampah  lah.

Anda bagaimana? Tentunya anda juga akan ambil kira selera dan citarasa anak. Tambahan pulak bagi anak-anak yang mula nak belajar berpuasa. Pastinya ibu akan sedaya upaya masak makanan kesukaan mereka.

Hari ni saya masak hati. Makanan kegemaran suami. Kalau hati tu masak apa sahaja pun beliau memang suka. Cuma saya lah kena pandai timing. Kalau selalu sangat nanti datang pulak sakit gautnya. Bagi anda yang sukakan hati, bolehlah cuba resepi ini…

Rendang Hati Berkari

Bahan-bahannya:

500 gram hati lembu (Dipotong nipis)

1 sudu teh jintan putih

1 sudu teh biji sawi

3 sudu makan rempah kari daging

1 sudu makan kerisik

Secekak kacang panjang(Dipotong serong)

2 biji cili merah (Dihiris halus)

2 sudu makan minyak masak

Garam dan gula secukup rasa

Bahan-bahan untuk dikisar

3 labu bawang merah

3 ulas bawang putih

1 inci halia

2 kuntun bunga lawang

Cara membuatnya:

Gaul sebati hati bersama bahan-bahan kisar dan rempah. Perap sebentar (Lebih elok selama 30 minit-1 jam)

Panaskan minyak dan masukkan jintan putih dan biji sawi (Pastikan ianya tak hangus)

Masukkan kesemua bahan-bahan yang diperap dan masak sehingga hati empuk.

Masukkan kcang panjang. Gaul sebati

Akhir sekali masukkan kerisik, cili merah dan perasakan dengan garam dan gula.

Jun 07

Buku ‘ Tolong! Saya Hanya Ada 60 Minit “


buku60minit1

Apa yang anda akan lakukan jika hanya ada 60 minit sahaja untuk masak makan malam keluarga? Ataupun anda hanya ada 60 minit untuk masak bagi tetamu yang hendak datang  makan malam ataupun makan tengahari?

Apabila keadaan terdesak seperti ini pastinya anda perlukan  bantuan tentang idea dan resepi yang menarik. Nak google sana sini pun pastinya mengambil masa. Jangan risau… Buku Tolong! Saya hanya ada 60 minit pasti dapat membantu anda.  Packed with best-loved recipes for quick & simple recipes, this book helps you get dinner on the table in 60 minutes or less!

60minit1

Beginilah rupanya satu hidangan di dalam buku 60 minit. Lengkap dengan pencuci mulutnya sekali. Nampak elegant dan menarik sekali. Bak kata orang sekarang..ada kerlass.

60minit2

Anda juga boleh menghidangkan menu Ala -Barat . Pasti ianya akan menjadi hidangan yang bermakna untuk anda sekeluarga.

60minit3

Saya ingin setiap keluarga mengambil kira tentang pentingnya duduk makan semeja bersama keluarga Disitulah nanti akan terbitnya kasih sayang sesama sendiri. Cubalah dan moga dipermudahkan…

60minit4

Masaklah mengikut citarasa keluarga anda. Yang sukakan pedas dan lauk ala kampung juga mempunyai banyak pilihan. Dapatkan buku ini sekarang!

Ada 1001 sebab  anda perlu memiliki buku ini. Selain ianya dapat membantu anda memasak menggunakan resepi-resepi yang mudah dan sedap, penampilan cara memasak dengan menggunakan teknik memasak ‘batch meal’ akan dapat menjadikan anda seorang yang cekap memasak di dapur. Himpunan resepi selama 20 hari bekerja juga dapat mengurangkan pening kepala surirumah bekerja yang ingin memasak hidangan makan malam. Milikilah buku ini dan anda akan dapat cari 1001 keistimewaan buku ini. Kalau tak dapat 1001 pun tak apa. Apalah yang ada pada nombor kan..hihi.

Dibawah ini ialah video memasak saya bersama Aloy Paradoks menggunakan dua resepi yang diambil dari buku Tolong! Saya hanya ada 60 minit. Bukan sahaja makanan-makanan itu nampak sedap, pemandangannya pun sangat cantik disamping penampilan kami yang selamba jer. Klik kat link ini dan bersiaplah untuk gelak.

Beli terus dari saya..Whatsapp 01115139882

videopts1

 

May 10

Salad Daging Ala Thai

thaibeefsalad1

 Walaupun ini adalah kali pertama mencuba resepi salad daging diatas tetapi ternyata  saya amat berpuas hati dengan keseimbangan rasanya. Rasa dan bau barbeque daging yang digandingkan dengan rasa masam,manis , rasa lemak dari kacang dan juga rasa pedas dari gigitan cili padi menjadikan menu ini salah satu menu kegemaran saya sekeluarga.

Banyak benda berlaku semenjak akhir-akhir ini. Jadual saya yang agak padat menjadikan saya memilih resepi yang mudah-mudah sahaja untuk dijadikan hidangan dimeja makan rumah saya. Bila hujung minggu teringin nak masak itu ini  tapi bila sibuk memanjang akhirnya barang yang dibeli tersimpan sahaja di dalam peti sejuk. Tu ada beberapa ketul mentega yang tak diguna lagi. Hajat hati nak buat biskut dan nak buat kek tapi nampaknya kena simpan dahulu. Jangan simpan sampai raya sudahlah kan.

Jadi pada sesiapa yang nak mencuba resepi salad daging ala thai ni..silakan.Yang ini memang sesuai untuk mereka yang mengambil kira kandungan kalori didalam menu mereka. Didalam setiap satu hidangan ianya hanya mengandungi 50 mg kalori . Bagus kan.

Salad Daging Ala Thai

Bahan-bahannya:

500 gram daging yang lembut(Dihiris nipis)

2 ulas bawang putih(Dihiris nipis)

2 biji bawang merah saiz sederhana(Dimayang halus)

1 biji cili merah(Dipotong halus)

5-6 biji cili padi(Dipotong halus)

2 sudu makan sos ikan

1 sudu makan gula melaka(Dihancurkan)

2 sudu makan minyak zaitun atau minyak masak

4 tangkai daun ketumbar(Dipotong pendek)

1 sudu makan kacang tanah yang sudah digoreng dan dikisar

1/3 cawan jus limau nipis

Garam dan serbuk lada sulah secukup rasa

Sedikit daun pudina(optional)

Cara membuatnya:

Panaskan minyak di dalam kuali non-stick . Masukkan daging dan masak selama 2-3 minit ikut citarasa sendiri. Angkat dan ketepikan.

Di dalam mangkok lain, campurkan  daun ketumbar, gula melaka, sos ikan,jus limau nipis,bawang putih, garam dan serbuk lada sulah. Kacau sehingga gula larut.

Masukkan daging yang masih panas tadi. Gaul sebati

Taburkan bawang merah, cili merah, cili padi dan kacang diatas daging.

Apr 26

Ayam Masak Kicap

ayammasakkicap

Saya suka ayam masak kicap yang pekat sebegini. Tambah lagi bila ada kacang pis dan ubi kentang. Memang ada banyak cara dan resepi untuk masak ayam masak kicap. Ada yang cair dan sebagainya. Saya juga selalu masak menggunakan pelbagai resepi tetapi yang ini adalah kegemaran keluarga saya. Bila kita berada didapur, kadang-kadang kita memasak ikut gerak hati . Apa yang ada didalam peti sejuk , itulah yang dijadikan bahan-bahan untuk memasak. Itulah sebab  orang kata orang yang memasak ni perlu kreatif , jadi taklah  selalu stress di dapur. Kalau masak lauk pauk ni tak perlu terlalu bergantung kepada resepi. Tau teknik dan bahan-bahan utama sudah mencukupi. Jangan nanti sebab tak ada sos tiram, tak nak gunakan resepi ini…ok..jom masak.

Bagi resepi ini kita perlu menggoreng ubi kentang dan ayam dahulu. Saya suka gaulkan ayam dengan garam dan serbuk lada sulah dan apabila hendak menggoreng barulah digolekkan ke dalam tepung gandum. Ini akan menjadikan ayam ‘juicy’ didalam dan garing diluar. Tak perlu goreng sampai begitu garing. Sekadar 3/4 masak sudah cun. Semasa menumis pula saya akan masukkan gula dahulu sebelum masukkan kicap. Ini akan menjadikan kuahnya kilat dan cantik. Jadi inilah asas memasak ayam masak kicap.

Ayam Masak Kicap

Bahan-bahannya:

1 ekor ayam (Dipotong ikut suka)

3 biji ubi kentang(Dipotong wedges)

Sedikit tepung gandum

1 cawan kacang pis

1 kulit kayu manis

2 kuntum bunga lawang

2 sudu makan cili kering kisar

3 sudu makan kicap biasa

1 sudu makan kicap pekat

1 sudu makan kicap cair

1 sudu makan sos tiram

Minyak untuk menggoreng

Garam dan serbuk lada sulah

Sedikit air

Bahan-bahan kisar

1 biji bawang merah besar

2 inci halia

2 ulas bawang putih

1/2 sudu teh jintan putih

1 sudu teh jintan manis

1 sudu teh lada hitam

Cara membuatnya:

Panaskan minyak dan goreng kentang. Angkat dan ketepikan

Gaulkan ayam bersama garam dan serbuk lada sulah dan kemudian golekkan ke dalam tepung

Goreng sehingga 3/4 masak. Angkat dan ketepikan

Tinggalkan dalam dua sudu makan lebihan minyak menggoreng dan masukkan kulit kayu manis dan bunga lawang.

Masukkan bahan-bahan yang dikisar . Masak sehingga terbit bau.

Masukkan cili kering dan  kacau sehingga terbit minyak

Masukkan gula. Kacau sebati

Masukkan kesemua kicap dan sos tiram . Gaul sebati

Masukkan ayam, ubi kentang dan kacang pis

Jika kuahnya agak pekat, masukkan sedikit air

Apabila kuah sedah mendidih, tutup api dan sedia untuk dihidangkan

 

 

Apr 19

Puding Jagung Kastard

jagungpuding

Atas sebab-sebab tertentu, saya suka sangat manisan yang ada jagung di dalamnya . Bubur jagung, muffin jagung dan apa saja kuih yang ada jagung, semua saya suka. Kalau beli apom balik pun saya suka yang bubuh banyak jagung. Barulah sedap. Puding jagung kastard ini tidak terkecuali malah ia terletak dalam carta teratas kuih tradisional kegemaran saya.

Orang kata nak buat kuih ini senang jer. Bahan-bahan yang digunakan pun selalunya ada dekat dapur, tak susah nak cari. Tapi bagi saya membuatnya agak mencabar iaitu  bila terpaksa mengacaunya agak lama diatas api. Paling tak best bila dia mula meletop-letop. Itulah fenomena yang menjadikan saya jarang ataupun secara ikhlasnya ..saya malas nak buat kuih ini.

Tapi dah dikatakan takdir. Suatu hari bila saya terjumpa resepi kuih ini disini. Saya rasa macam ada suara yang menyuruh saya mencuba resepi tersebut. Jadi saya pun mencuba resepi tersebut dan hasilnya memang saya suka sangat. Kuihnya cantik berkilat. Sedang elok dari segi rasa manis dan lemaknya . Malahan ia tidak memerlukan saya mengacaunya terlalu lama diatas api walaupun fenomena meletop-letop itu masih ada.

Jadi bagi sesiapa yang nak mencuba kuih puding kastard ini, dialu-alukan mencubanya. Tak payah tunggu bazar ramadhan baru nak beli yer…

pudingjagung4

Puding Kastard Jagung

Bahan-bahannya:

1 cawan tepung kastard

1 cawan gula

1 cawan santan

1 cawan jagung (Berkrim)

Secubit garam

2 cawan air

Cara membuatnya:

 Didihkan air di dalam periuk

Masukkan tepung kastard, gula, santan dan garam ke dalam pengisar ataupun food processor dan kisar sehingga sebati

Tuangkan ke dalam periuk dan kacau menggunakan api yang perlahan selama 2 minit

Masukkan jagung dan terus mengacau sehingga ianya pekat dan meletop-letop

Tuangkan adunan ke dalam bekas dan sejukkan sebelum memotong