Selamat Jalan Mak!

Selamat Jalan Mak!

Selepas Kuliah Subuh di Masjid Al Mukminun USJ2 pagi tadi, hati ini macam ditarik-tarik untuk menjenguk tempat Arwah mak dimandi dan dikapankan. Hiba sungguh mengingatkan seminggu sudah berlalu mak meninggalkan kami.

Lelah saya menyimpan rindu pada seorang insan yang saya panggil mak ini.

Kalau dulu, sekiranya mak di rumah kakak, selang dua tiga hari pasti kami akan berborak di telefon. Bertanya khabar dan bercerita tentang kisah hidup diselang seli dengan  gelak tawa dan kadang kala diselit dengan gossip. Mak umpama kawan tempat meluahkan cerita- makan apa, buat apa dan macam-macam lagi. Sekarang mak dah tak ada, tiada orang sebanding mak yang sudi mendengar pahit getir dan susah senang perjalanan hidup ini.

Pada tanggal April 21 yang lalu, suami, Alia dan saya balik ke rumah kakak di kampong untuk mengambil mak untuk dibawa ke USJ 2. Mak diberitakan sudah uzur dan sudah beberapa hari tidak menjamah makanan.

Sesampai di sana, terkejut kami kerana tak pernah kami lihat mak seuzur itu. Padahal semasa kali kami terakhir berjumpa mak sewaktu kami mengadakan Hari Keluarga di Jeram, Selangor, lebih kurang sebulan sebelum itu, mak masih bersemangat.

Sehingga hari ini, masih terasa kuatnya  pelukan  mak semasa mak menahan sakit. Mak tak pernah mengeluh dan mengeluarkan air mata sepanjang masa mak sakit.

Mak pernah cakap yang beliau redha tentang kesakitan yang beliau hadapi semasa arwah di hospital Sg. Buluh. Tempoh seminggu di rumah sebelum mak dimasukkan ke hospital  mak memang banyak menangis.

Waktu mak dimandikan, mak menangis teresak-esak. Waktu mak disuapkan , waktu disapukan ubat ke perut , mak  menangis juga. Waktu anak-anak saya melayan makan minumnya dia menangis. Hatta sewaktu suami saya memeluk mendukungnya pun Mak menangis.

Entah kenapa mak begitu sayu dan sedih tak seperti selalu.

Mak suka dipegang dan dipeluk lantas hendak tidurpun mahu didodoi. Mak mintak dimasakkan itu dan ini.

Teringin hendak makan gulai lemak rebung, pajeri terung, jeruk petai, agar-agar merah, tepek tepung dengan ikan sardine, kuih pulut panggang.

Semuanya sempat disediakan namun  arwah mak hanya rasa dengan hujung jarinya saja. Tak ada selera katanya. Semakin hari mak semakin lemah. Dari boleh bangkit sendiri, arwah perlu didukung jika hendak ke bilik air.

Seminggu selepas berada di rumah, keluarga abang saya Nyah datang menziarah. Sukanya mak walaupun dalam kesakitan bersusah payah datang ke meja makan untuk bersama-sama minum petang.

Itupun hanya sempat menjamah tiga suap mee goreng. Selepas tu dia mintak izin untuk kembali baring.

Petang Selasa tu (April 30), doktor dipanggil ke rumah untuk melihat kondisi mak yang semakin teruk. Dr Nasir menasihatkan mak dibawa ke hospital dan menulis referral letter untuk dibawa ke hospital.

Pada Mei 1, Mak dimasukkan ke hospital Sg Buluh. Doktor suspek mak ada ovarian cancer. Dan prognosisnya, dek kerana usia mak yang sudah lanjut, adalah tidak baik. Sedari itu keadaan mak semakin teruk dari hari ke hari.

Setelah beberapa hari, doktor  menyarankan mak dibawa balik ke rumah. Sewaktu saya menemani mak di hospital (saya bergilir dengan kakak saya bermalam dengan mak), mak cakap dia mahu kembali ke rumah saya.

Maka mak kami bawa pulang ke rumah. Alhamdulillah, pihak Hospis Malaysia membantu dengan memberi pinjam katil hospital serta khidmat jururawat ke rumah. Ini benar-benar membantu kami membuatkan mak lebih selesa.

Mak orang baik, maka setelah mendapat perkhabaran atas keuzuran mak, ramai sanak saudara dan sahabat taulan yang datang menziarah.

Memang ramai sungguh. Kami pula bergilir-gilir (saya serta tiga orang kakak saya, Yong, Kak dan Kak Encik – serta cucu2 Mak) menjaga Mak around the clock.

Tanggal 17.5.2013 yang lepas adalah tarikh mak meninggalkan kami. Jam 2.50 pagi Jumaat, dalam alunan La Ila Ha Illallah yang dibisikkan ke telinganya, mak pergi buat selama-lamanya.

Sempat saya bisikkan ke telinganya; “Mak ikut Yan cakap Allah ye,” lantas mak menganggukkan kepala dan nafasnya semakin perlahan dan lalu akhirnya terhenti. Mak sudah pergi. Tersentap jantung ini. Allah, Allah, Allah.

Mak insan terpilih kerana dicabut nyawanya pada hari Jumaat penuh barokah. Memang itulah doa saya kepada Yang Maha Kuasa. Syukur rasanya kerana Allah memakhbulkan doa..diberiNya yang terbaik buat mak.

Al-Fatihah Mak…

Leave a Reply