free wordpress themes Premium Wordpress Themes
Entries RSS

By Category :

Live Traffic

Jumlah Pengunjung

free counters
Feb 16

Santai Sunday: Buat Bersebab

Sering kali kalau tiba hujung minggu, saya dan suami akan ke pasar pagi berhampiran rumah untuk membeli stok bahan basah mingguan kami. Selalunya kami pergi dalam pukul 9 atau 10 pagi. Dalam pada itu kami sempat juga mencelah, menyelinap dan pergi minum kopi di salah sebuah kedai kopitiam di Taipan, USJ.

Saya ni kalau pergi ke mana-mana kedai makan, restoran ke.. saya mesti memberi komen positif dan negatif (pengkritik tak bertauliah) dan orang yang terpaksa mendengarnya , siapa lagi kalau bukan suami saya.

Dalam pada kami menikmati kopi ais dan roti bakar, mata saya melilau melihat keadaan kopitiam tersebut. Pelanggan memang ramai silih berganti dan para pekerja tidak duduk diam melayan mereka. Leka seketika. Terdetik di hati bahawa suasana ibarat restoran mamak yang juga sering kali meriah.

Memanglah sekarang ini ‘kopitiam’ sudah menjadi pilihan nombor satu untuk orang ramai lepak-melepak dengan gaya yang agak ‘kelas’ gitu. Tetapi bila saya berada di dalam kopitiam Ahad lalu, saya dapat rasakan kedai tersebut mengaplikasikan konsep ‘kedai mamak’. Cumanya, kini kopitiam telah dipersembahkan dengan satu suasana yang lebih ‘up-to-date’.

Saya perhatikan beberapa kerja-kerja penyediaan makanan dilakukan secara terbuka di sebalik kaunter yang terletak di tengah-tengah kedai – seperti juga restoran mamak. Pekerja-pekerjanya membakar roti, membuat air dan membasuh pinggan di sebalik kaunter dan semua aktiviti dapat dilihat oleh para pelanggan.

Mereka dilatih membuat kerja-kerja ‘in style’ dan menjaga kebersihan supaya pelanggan tidak akan ragu-ragu dengan tahap kebersihannya. Tambah menarik, diletak pula penapis (filter) air yang besar di dinding kedai supaya pelanggan boleh nampak dan tahu bahawa air yang digunakan adalah bersih.

Pekerjanya yang agak ramai menghasilkan suasana yang meriah.

Selain itu, susun atur meja dan kerusi dibuat sebegitu rupa sehinggakan orang ramai yang lalu lalang di luar akan terasa bahawa kopitiam tersebut sentiasa dipenuhi pelanggan.

Sambil menghirup kopi ais, kami juga kini lebih faham apa yang dilakukan oleh pihak pengurusan kopitiam tersebut ada sebabnya baik dari segi susun atur kedai sehinggalah kepada saiz dan bentuk pinggan mangkuk yang digunakan. Semuanya ada gunanya.. ada sebabnya.

Santai Sunday berkata:

“Di dalam dunia semua perniagaan, terutamanya didalam bisnes makanan segala tindakan dan pilihan yang kita buat walau sekecil mana sekalipun mestilah mempunyai sebab. Kita mestilah fokus dan mengetahui bahawa tindakan kita itu mempunyai sebab yang membolehkan kita mendapat keuntungan dari perniagaan kita. Kadangkala sebab yang sedikit akan memberi kesan yang besar terhadap bisnes kita.

Cuba kita fikirkan kenapa di kedai mamak, kebanyakan kerja -kerja penyediaan makanan seperti menebar roti canai, menggoreng mee dan sebagainya dilakukan di bahagian depan kedai dan bukan di dapur?

Banyak sebabnya…diantaranya adalah untuk menghasilkan suasana kelam-kabut dengan jerit-menjerit, bunyi sudip dan kuali dan pelbagai bunyi bising yang akan memeriahkan kedai dan secara tidak langsung menarik lebih ramai pelanggan. Kalau tak ada suasana tu, tak adalah umpphnya.

Begitu jugalah bagi kita yang baru hendak memulakan perniagaan. Fikirkan apakah sebab diatas pilihan kita seperti warna, kualiti barang yang digunakan dan banyak lagi. Jangan asyik mengikut pilihan hati (syok sendiri) tanpa mengambil kira akan sebab disebaliknya.”

Feb 04

Fokus! Rahsia Untuk Berjaya

Salam semua,

Jika anda seorang yang tidak tahu duduk diam…. berbisnes sana sini serta tidak tahu erti penat dan putus asa, berani dan sanggup menghadapi risiko, itu  tandanya anda boleh dikategorikan sebagai seorang yang mempunyai minat yang mendalam didalam bidang perniagaan. Kemungkinan besar anda akan menjadi seorang yang berjaya didalam bidang keusahawanan. Syabas kepada anda!

Namun begitu sekadar mempunyai ciri-ciri tersebut tidak akan menjamin kejayaan  seperti yang diharapkan.  Mungkin anda hanya mampu menjadi seorang peniaga dan jauh lagi untuk mencapai tahap seorang usahawan. Banyak faktor-faktor yang perlu anda ketahui dan pelajari untuk membantu anda untuk mencapai hasrat dan cita-cita dan anda  perlu bijak memilih yang mana sesuai dan yang mana satu yang lebih penting untuk diri dan bisnes anda.

Berdasarkan pemerhatian dan pengalaman saya,  ramai dari mereka yang minat dan cenderung untuk  berniaga akhirnya gagal didalam usaha mereka  ataupun bisnes yang dijalankan  tidak kemana. Ini kerana mereka kurang fokus terhadap bisnes mereka. Awas! anda telahpun dijangkiti penyakit  kurang fokus.

Contoh penyakit kurang fokus:

Jika anda seorang guru, anak murid yang mengalami penyakit kurang fokus ini sukar untuk cemerlang didalam pelajaran mereka . Ini mungkin kerana mereka tidak tahu duduk diam, terlompat sana, terlompat sini ataupun mereka yang duduk dengan sopan dan santunnya tetapi fikiran menerewang entah kemana.Mereka pergi ke sekolah setiap hari, sanggup bangun awal pagi dan membawa beg yang berat ke sekolah.  Namun mereka sukar untuk cemerlang keranakurang fokus terhadap pembelajaran mereka.

Bukanlah tujuan saya untuk menyamakan kita(bakal usahawan ) dengan kanak-kanak sekolah tetapi kebenarannya ada. Perkara sebegini sering terjadi kepada mereka yang baru hendak mengorak langkah didalam dunia bisnes.  Mereka terlalu bersemangat dan aggresif didalam perniagaan yang baru diceburi tetapi lama kelamaan momentumnya semakin perlahan dan kadangkala terus hilang. Tidak terkecuali juga bagi anda yang akan dan sedang menjalankan bisnes dari rumah…..bulan ini jual nasi lemak, bulan depan jual kek, bulan depan jual gelang kristal dan begitulah seterusnya. Akhirnya anda hanya dikenali sebagai penjual  barang itu, barang ini…betul tak!

Penyakit sebagini berlaku kerana terlalu dihujani oleh terlalu banyak maklumat(information overload) didalam dunia bisnes. Banyak disogok oleh kisah-kisah manis usahawan yang berjaya, lantas anda terlalu ‘excited’ dan tanpa membuat penyelidikan anda terus sahaja mencari modal dan membuka perniagaan seperti mereka.  Anda perlu tahu setiap kemanisan bagi kajayaan mereka pasti ada pahit maungnya. Inilah realiti.

Oleh itu, sebelum anda log masuk(log-in) username sebagai seorang usahawan pastikan password anda adalah fokus. Jika produk yang anda jual berpotensi, berkualiti tinggi( ini tiada kompromi ye.), harga berpatutan,fokuslah kepada bisnes tersebut.  Biarlah beribu cerita manis anda dengar tentang jenis bisnes lain, arrrrgh! pedulikan….fokus kepada perniagaan anda. Tiba kepada satu tahap anda akan merasai kemanisannya.  Fokusdan fokus…..setelah bekerja kuat, tambahkan ibadat, kuatkan bersedekah….PASTI ALLAH akan bantu!