free wordpress themes Premium Wordpress Themes
Entries RSS

By Category :

Live Traffic

Jumlah Pengunjung

free counters
Oct 10

Ibubapa Sebagai Pengurus kepada Penasihat

Menjadi ibu bapa bukan tugas mudah. Tanggung jawab ibu bapa bukan sekadar memberi makan minum dan menyediakan tempat berteduh. Lebih dari itu, ibu bapa wajib menyediakan siasah anak-anak sejak dari kecil agar masa hadapan anak-anak terjamin bukan sahaja di masa hadapan malahan sehingga membawa ke alam akhirat.

Apapun, apa yang penting ialah ibu bapa perlu bijak memainkan peranan sesuai dengan tahap usia anak-anak.

Dalam 10-11 tahun pertama usia anak-anak, ibubapa banyak memainkan peranan sebagai seorang pengurus (manager). Pada tahap ini, tugas ibubapa banyak berkisar dalam menguruskan segala hal-hal anak-anak berkaitan makan pakai, tingkahlaku, pembelajaran awal dan sebagainya.

Ibubapa selaku pengurus selalunya mendapat sepenuh kepercayaan dari anak-anak di mana ibubapa jugalah yang membuat keputusan tentang penglibatan anak-anak di dalam aktiviti sekolah, siapa yang patut menjadi kawan anak-anak, malahan sehingga kepada hal-ehawal penampilan mereka.  Selalunya pada peringkat ini anak-anak memberi  sepenuh kepercayaan di atas segala pilihan dan keputusan dari ibubapa mereka.

Pada peringkat ini hukuman ataupun denda yang diberikan oleh ibubapa boleh diterima oleh mereka asalkan ianya berpatutan dan berpada-pada.

Apabila anak-anak memasuki alam remaja senario tersebut akan berubah sedikit demi sedikit. Anak-anak lebih gemar ibubapa menjadi selaku penasihat (consultant) sahaja.

Mereka memerlukan kebebasan untuk melakukan banyak pekara dan yang paling mereka mahukan adalah mereka bebas bertindak sebagai pembuat keputusan. Pada peringkat inilah, ibubapa diberi dua pilihan samada akan dipecat oleh anak-anak dari menjadi seorang pengurus atapun ibubapa dengan rela hati melepaskan jawatan tersebut.

Pada peringkat ini, anak-anak lebih gemar ibubapa bertindak selaku seorang penasihat yang melihat dan memantau aktiviti dan kehidupan anak-anak dari jauh. Bukanlah bermakna ibubapa dan anak-anak perlu tinggal berjauhan pula. Pada masa ini, segala tindakan ibubapa ibarat ‘menarik rambut di dalam tepung’ – perlu ada ketegasan tetapi di masa yang sama kena berlembut. Kala ini ibu bapa perlu banyak menggunakan budibicara dan dapat berkomunikasi dengan baik dengan anak remaja.

Jika tidak berhati-hati, anak-anak akan mula memberontak , menjadi keras hati, degil dan mulalah bibit-bibit pergaduhan antara anak dan ibubapa terjadi.

Kepercayaan anak-anak terhadap ibubapa yang dipupuk semenjak umur mereka kecil lagi banyak membantu dalam proses ini. Biarkan mereka membuat keputusan sendiri tetapi ibubapa sebagai perunding berhak mengutarakan pendapat mereka. Mereka akan lebih menghargai kita kerana didalam hati anak remaja , mereka memang memerlukan ibubapa sentiasa bersama mereka dalam setiap hal kehidupan

Cuma kedua-dua belah pihak perlu bijak berurusan antara satu sama lain. Dengan cara begini hubungan anak remaja dan ibubapa akan kekal ‘connected’ selama-lamanya.

May 08

Jangan Kata Jangan

Barangkali  tidak ada perkataan yang lebih sering diucapkan ibu bapa kepada anak-anak mereka melebihi kata” jangan ”. Hari-hari, dalam pada kita mendidik, menasihat dan memaharahi anak, kata jangan itu memang selalu sangat diucapkan oleh para ibu bapa… Jangan main ajer, janganlah malas sangat ni, jangan balik lambat, jangan tengok TV, jangan, jangan, jangan dan jangan.

Seringkali kita menggunakan kata jangan apabila melihat anak-anak melakukan tindakan yang kurang kita sukai. Kita guna kata jangan (yang punya konotasi negatif) apabila anak-anak melakukan hal-hal negatif. Lalu negatif bertembung negatif selalunya hasilnya tetap negatif.

Banyak sudah saya dan suami membaca buku-buku yang menyarankan supaya bila menegur anak-anak pastikan kita menegur menggunakan kata-kata yang lebih positif. Sebagai contoh: tukarkan “Jangan balik lambat” kepada “Mak nak semua orang sampai rumah sebelum Maghrib.”

Lagi satu contoh: “Apasal la adik!!! Janganlah malas sangat nak belajar” kepada “Adik hari ini buat semua soalan yang Abah dah tandakan dalam buku rujukan Sains tu ya. Nanti dalam masa satu jam abah datang periksa.”

Saya rasa ada betulnya saranan ini. Tapi bukan mudah untuk mengubah habit yang ini betul tak? Dan seperti ibu bapa lain, kami juga mengalami masalah sama dan sering juga terlajak menggunakan kata jangan ini. Namun kami sedang perlahan-lahan cuba menukarkan kata-kata negatif ini kepada yang lebih positif.

Apapun saya ada juga terbaca bahawa perkataan jangan itu juga penting kerana ia sebenarnya membantu ibu bapa memberi larangan. Lalu apakah kita tidak boleh memberi larangan?

Saya tidak dapat membayangkan betapa hancurnya sebuah dunia sekiranya kita hidup tanpa ada larangan sama sekali. Begitu juga dalam institusi keluarga.

Tetapi mengambil contoh dari insan paling mulia iaitu dan bercermin pada sunnah Nabi Muhammad SAW, ibu bapa seharusnya jangan katakan jangan pada saat anak-anak sedang melakukan kesalahan.

Tunjukkanlah apa yang seharusnya dilakukan. Atau bersabarlah sampai ia menyelesaikan maksudnya, sebagaimana ketika seorang Badwi di zaman Nabi yang dengan biadap membuang air di dalam masjid.

Misal kata kalau kita tidak mahu anak bermain memanjat pokok, katakanlah, “Nak, apa kata kita main di sini ya. Lagi seronok.” Dan bukan “Jangan panjat pokok tu. Nanti abah pukul”  Singkat, padat, jelas dan positif.

Dan saat terbaik untuk menasihati anak-anak adalah ketika anak sedang duduk-duduk bersama kita. Dalam suasana neutral, larangan yang kita berikan pada anak akan menjadi lebih efektif.  Anak lebih mudah memahami dan mudah menerima segala arahan dan nasihat sebagai aturan rumah tangga yang perlu diikuti oleh semua. Mereka juga tidak akan menganggap larangan seperti ini sebagai serangan kepada dirinya.

Paling penting sekali ialah kita perlu berlapang dada dengan kerenah anak.  Anak adalah amanah Allah. Semoga Allah memberi ketenangan, kelembutan dan kejernihan niat. Semoga Allah lindungi iman kita dan anak-anak kita, sehingga tidaklah kita mati kecuali dalam keadaan redha kepada Allah dan Allah redha kepada kita.

Apr 20

6 Soalan Yang Remaja Tak Mahu Dengar!

Panasnya hari ni, cetus hati Munira sambil memasak di dapur. Tidak lama kemudian terdengar anaknya memberi salam. Alhamdulillah dah pulang pun anaknya dari sekolah. Pasti anaknya juga kepenatan kerana cuaca yang panas terik itu, fikir Munira.

Izzat anak lelaki bongsu beliau membuka pintu dan berjalan ke dapur sambil menggalas begnya yang berat. Tanpa membuang masa, Munira bertanya kepada Izzat, “Macamana hari ni?” sambil beliau tersenyum.

Malangnya, bukan sahaja soalannya tidak dijawab malahan dibalas dengan muka yang masam, lantas Izzat bergegas masuk ke bilik beliau dan menutup pintu dengan sekuat hati.

Munira mengurut dada kehairanan, kenapa pulak Izzat marah-marah ni. Bukannya dia marahpun apatah lagi menengking.

Sebenarnya senario tersebut tak ada mana salahnya. Menyapa anak kita bila balik dari sekolah adalah bagus. Berkomunikasi dengan anak-anak adalah kemestian untuk menjalin kemesraan antara ibubapa dan anak remaja. Namun di dalam sesetengah situasi ibubapa perlu mengkaji mood dan kehendak anak-anak. Bukanlah di sini kita hendak mengiakan dan menyokong perangai Izzat tadi – sikap seperti itu perlu diberi hukuman ya…

Tetapi kadangkala kita juga perlu peka suatu perkara yang kecil bagi kita dianggap suatu benda yang amat menyinggung perasaan anak remaja mereka. Bertarik tali dalam mendidik remaja ini amat perlu. Di sini, bukanlah pula bermakna kita mesti memahami mereka dalam setiap keadaan. Anak remaja juga perlu memahami kehendak dan keperluan ibubapa mereka. Biarlah kemenangan menjadi milik kedua-dua belah pihak.

Bercakap dengan anak remaja ibarat suatu misteri. Kadangkala bila kita bertanya sesuatu kepada mereka, sambutannya menjadi hambar. Tak dijawab atau mereka menarik muka masam dan paling teruk jika ianya akan mengundang perbalahan pula antara ibubapa dan anak remaja.

Kadang-kadang nak berkomunikasi dan bertanya anak-anak ini juga perlu berseni… dan soalan-soalan pula kenalah penuh hemah (sekali lagi ini bukan bermakna kita kena tunduk selalu dengan kerenah dan perangai anak ya).

Di sini ada beberapa soalan-soalan yang kalau boleh dielakkan bila bertanya kepada anak-anak:

1. Jangan tanya : Bagaimana keadaan hari ini?

Soalan seperti bagaimana sekolah hari ini? Bagaimana periksa? Dan yang seumpamany iaitu pertanyaan yang terlalu umum seringkali mendapat sambutan yang hambar dari anak remaja anda. Mungkin jawapannya  adalah umm.., oklah… ataupun entah.. dan selalunya dijawab dalam bunyi yang endah tak endah sahaja. Remaja merasakan soalan seperti ini adalah seperti soalan yang tidak jujur dan sudah basi. Dan selalunya… mereka hanya sekadar menjawab tanpa menunjukkan reaksi yang mereka ingin meneruskan perbualan dengan ibubapa mereka.

Sepatutnya..

Seboleh-bolehnya elakkan soalan yang memerlukan jawapan Ya atau Tidak. Sepatutnya ibubapa menyelitkan sedikit unsur prihatin dan lebih spesifik di dalam soalan tersebut serta masukkan unsur yang anda juga ingin tahu tentang hal-hal yang mereka minati.

Contohnya: “Seronok tak kelas memasak hari ini? Masak apa pulak tadi? Cikgu tu pakai apron pelik tu lagi tak?

2. Jangan tanya; “Ala kamu cakaplah kat dia jangan kacau kamu lagi?”

Soalan sebegini paling pantang terutama kalau anak anda punya masalah dengan kawan-kawan atau menjadi mangsa buli. Apapun gejala buli memang sinonim dengan remaja. Laporan mengatakan seorang dari setiap tiga orang remaja terlibat dalam gejala buli ini samada menjadi mangsa ataupun sebagai pembuli.  Remaja yang menjadi mangsa selalunya merahsiakan perkara sebegini daripada ibubapa mereka kerana takut dimalukan dan diapa-apakan oleh pembuli. Mereka merasakan yang diri mereka yang bersalah dan mengharapkan ibubapa mengambil berat dan membuat tindakan susulan untuk menyelesaikan masalah tersebut. Mengajukan pertanyaan dengan memulakan soalan dengan perkataan mengapa menunjukkan yang ibubapa tidak serius untuk menolong seolah-olah  menuding jari kepada anak tentang situasi yang terjadi adalah kerana kesalahan mereka.

Sepatutnya……

Soalan yang diajukan mestilak lebih detail supaya anda dan anak remaja anda boleh membuat perancangan untuk menyelesaikan masalah tersebut. Soalan anda perlu mengandungi  isyarat yang anda mempercayai mereka dan sanggup menolong anak remaja anda. Sebagai contoh: Bila kejadian ini berlaku? Siapa yang terlibat? Soalan-soalan sebegini akan menjadikan anak remaja anda merasakan yang mereka dilindungi dan seterusnya dapat menerima nasihat dan bersedia untuk membuat tindakan bersama-sama anda.

3 . Jangan tanya: “Apa punya fesyen baju kamu pakai ni?”

Seringkali bila kita bertanya sebegini, anak remaja pasti akan berasa hati dan tersinggung. Bila difikir-fikirkan balik memang patut pun mereka terasa hati sebab sah-sah soalan ini berbaur sindiran… kena pulak bila soalan dilontarkan dikhalayak ramai. Jangan lupa bahwa tatkala menginjak dewasa, hampir semua remaja mula mencari identiti diri melalui penampilan mereka dan fesyen baju yang dipakai. Ini perkara penting bagi mereka dan kalau kita bertanya dengan nada sinis pasti disambut dengan rasa tidak puas hati. Lantas mereka melabelkan kita ibu bapa old fashion dan kuno dan lebih teruk lagi mula memberontak.

Sepatutnya…

Sebagai ibubapa kita pasti mahu anak-anak berpakaian sopan dan tidak menjolok mata (walaupun ada juga yang suka kalau anak-anak mereka berakaian pelik dan seksi… itu cerita lain lah) dan kita pasti merasa gusar kalau cara berpakaian tampak pelik. Memang patut dan kita berhak menegur tapi mestilah kena caranya. Mungkin kita boleh menegur dengan cara berhemah seperti :Selesakah berpakaian macam ini? Kalau kita labuhkan skirt tu lagi nampak pelik tak? Tunjukkan juga bahawa kita menganggap mereka tetap penting dalam hidup kita .

4. Jangan tanya: “Kenapa nak sensitif tak tentu pasal ni?”

Kita kena ingat bahawa zaman remaja memang amat-amat mencabar… mana dengan perubahan hormon dan pelbagai cabaran dari segi sosial lagi. Jadinya kita perlulah sedar akan mood-mood tak baik yang bakal melanda dan beri peluang untuk mereka calm down. Dan paling penting sekali jangan sekali-kali menegur mereka di hadapan orang lain terutama rakan-rakan mereka. Malah bergurau pun kena berhati-hati kala ini sebab silap-silap dalam banyak hal ia akan menjadikan mereka marah pula.

Sepatutnya..

Anda boleh bertanya “Nampak muram aje Mama tengok. Ada apa-apa yang tak kena ke? Ada apa-apa yang boleh Mama bantu? Atau nak Mama buatkan segelas Milo ais?

Anda perlu peka dengan emosi anak remaja anda. Hormati ruang mereka. Dan jangan sekali-kali menyakitkan hati mereka dengan kata-kata sindiran ataupun gerak laku seumpama seperti membuat muka mengejek dan sebagainya. Ingat, anak remaja amat sensitif akan perkara-perkara sebegini.

5. Jangan tanya: “Kenapalah kamu buat macam tu?”

Peringkat remaja adalah satu peringkat di mana prefrontal cortex didalam otak yang bertanggungjawab dalam urusan membuat keputusan masih dalam proses pembentukan. Itulah sebabnya  remaja tidak begitu matang dalam membuat keputusan dan tidak tahu kesan di atas keputusan yang dibuat. Perasan tak apabila kita bertanya , kenapa kamu buat begini? Dan mereka kan melemparkan muka yang kosong seperti terkejut dan terganga, tak tahu nak buat apa.

Sepatutnya..

Adalah lebih baik jika ibubapa tidak menggunakan perkataan ‘kenapa’ kepada remaja. Lebih sesuai anda menggunakan perkataan ‘apa’ kerana ia akan meransang mereka untuk berfikir. Mereka akan memberi respon terhadap soalan tersebut dan berfikir dahulu sebelum membuat tindakan.

6. Jangan tanya: “Kenapa tak cakap ‘tidak’saja ?”

Penyesuaian diri remaja terhadap keadaan sekeliling banyak dipengaruhi oleh rakan sebaya. Kadang-kadang agak sukar anak remaja berkata ‘tidak’ jika rakan sebaya mengajak anak anda melakukan perkara yang beliau tidak suka. Di sinilah rakan sebaya boleh menjadi tekanan kepada anak remaja anda. Mereka sebenarnya memerlukan ibubapa untuk membantu mereka mengatur  mengurangkan tekanan sedemikian. Soalan seperti diatas menunjukkan yang ibubapa tidak mahu terlibat untuk menyelami serta menyelesaikan masaalah anak remaja anda.

Sepatutnya…

Pembuka soalannya mestilah menunjukkan keprihatinan anda terhadap mereka dan pada waktu yang sama memberi cadangan terhadap penyelesaian masaalah tersebut. Sebagai contoh: “Memanglah susah untuk berkata tidak kepada kawan , tetapi apa salahnya kalau mencuba, dah cuba tak? “ Bukankah ia teknik terbaik untuk menunjukkan yang anda prihatin terhadap anak remaja anda.


Apr 04

Remaja Introvert

Penting bagi kita ibu-bapa mengenali dan memahami apakah personaliti anak-anak kita terutamanya yang sedang meningkat remaja. Bila kita sudah kenal personaliti mereka barulah kita boleh mendekati mereka mengikut kaedah yang sesuai dengan personaliti mereka. Cara untuk mengajar, memberi nasihat dan meluahkan kasihsayang kepada mereka perlu mengikut kesesuaian personaliti mereka. Bak kata pepatah’ Tak Kenal Maka Tak Cinta”.

Introvert sebenarnya lebih kepada personaliti yang pemalu, suka duduk berseorangan, tak banyak bercakap dan suka memikirkan hal-hal peribadi. Kecenderungan untuk bersendirian bukanlah seperti mereka yang di dalam kemurungan. Mereka lebih suka berfikir, explore di dalam linkungan pemikiran dan perasaan mereka sendiri. Mereka mahir bersosial, berbual bersama orang yang mereka senangi dan selalunya perbualan berkisar tentang idea dan konsep, tidak mengenai perkara-perkara yang remeh temeh.

Remaja introvert adalah anugerah terbaik. Mereka adalah remaja yang adil dan lembut hatinya. Emosi mereka lebih kepada belas kasihan, empati akan perasaan orang lain dan berazam kepada perkara yang positif.

Ciri-ciri remaja introvert pula berorientasikan kepada kejadian akan datang. Kreatif dalam imaginasi secara verbal, fokus kepada data, lebih mudah mengingat kepada sesuatu jika berdasarkan model atau corak dan cepat membuat kesimpulan. Kaedah mengajar mereka juga agak berbeza kerana mereka lebih gemar belajar secara peribadi dan dengan caranya yang tersendiri.

Dunia ini sememangnya kurang dikuasai oleh golongan introvert. Ini adalah kerana mereka kurang menyerlah disebabkan sifat mereka yang tidak suka menjadi perhatian ramai. Saya sendiri seorang yang introvert. Saya tidak suka berada di tempat yang penuh sesak dengan orang ramai ataupun majlis-majlis rasmi. Saya hanya suka menghadiri majlis yang saya betul-betul kenal dengan ‘host’ ataupun di sekitar keluarga sahaja. Saya lebih suka duduk di hujung sudut jika saya menghadiri seminar ataupun berada di kelas pengajian. Saya pernah ditegur dalam satu seminar yang saya hadiri mengapa saya duduk di barisan belakang sedangkan diwaktu itu tempat duduk dibahagian depan masih banyak lagi yang kosong. Saya hanya mampu melemparkan senyuman sambil didalam hati berkata. ,”Apa salahnya duduk disini, I’m perfectly fine here and it’s ok to leave me alone”, dan itulah diri saya yang sebenarnya.

Tak perlu mengubah mereka yang introvert dan ianya tidak boleh dijadikan kayu pengukur terhadap kejayaan anak-anak kita. Tak ada salahnya dan tak ada kurangnya. Ramai orang-orang yang berjaya malah bintang-bintang Hollywood juga adalah introvert seperti Gwyneth Paltrow, Helen Hunt, Meg Ryan, Meryl Streep, Diane Keaton, Grace Kelly, Julia Robert, Michelle Pfeiffer, Ingrid Bergman, Candice Bergen, and Glenn Close. Jadi sekarang mari kita kaji.

1. Tidak suka diganggu semasa melakukan kerja dan boleh bekerja dalam jangkamasa yang panjang.

2. Kadangkala saya berlatih untuk bercakap dan selalunya berdasarkan nota-nota kecil yang saya tulis terlebih dahulu.

3. Saya lebih suka mendengar daripada bercakap.

4. Orang lain menganggap saya ini samada pendiam, penuh misteri, sombong ataupun seorang yang tenang.

5. Saya selalunya berfikir sebelum melakukan sesuatu ataupun sebelum saya bercakap.

6. Saya lebih suka meraikan sesuatu dalam suasana yang ‘simple’dengan beberapa orang sahaja daripada mengadakan majlis besar-besaran.

7. Saya berupaya melihat benda-benda remeh yang orang lain tak dapat lihat.

8. Jika ada orang yang bertengkar, saya pula yang akan lebih rasa tertekan.

9. Jika saya berjanji untuk membuat sesuatu benda , saya pasti akan kotakan.

10. Saya sering berasa cemas jika saya diberi tarikh akhir untuk menyiapkan sesuatu tugasan.

11. Saya tidak mampu menerima dan mengendalikan terlalu banyak perkara dalam satu-satu masa dan ini akan mengakibatkan saya mengabaikan kesemuanya dan berlalu begitu sahaja.

12. Saya lebih gemar meneliti sesuatu perkara sebelum saya membuat keputusan untuk menyertainya.

13. Saya cenderung untuk menjalinkan perhubungan yang panjang dengan seseorang.

14. Saya tidak suka mengganggu orang lain dan saya tak suka orang lain menggangu saya.

15. Jika saya dibebani dengan terlalu banyak informasi, saya memerlukan sedikit masa untuk menyelesaikannya.

16. Saya tidak suka kepada persekitaran yang mempunyai ransangan di luar jangkaan.

17. Kadangkala saya mempunyai deria yang sensitif terhadap bau, rasa, makanan, cuaca dan kebisingan.

18. Saya seorang yang kreatif dan imaginatif.

19. Saya rasa penat sangat apabila menghadiri majlis sosial walaupun saya bergembira berada di sana.

20. Saya lebih suka diperkenalkan daripada memperkenalkan orang lain.

21. Saya selalu berasa tidak selesa dengan persekitaran yang baru.

22. Saya cepat rimas jika saya dikelilingi oleh orang ramai terlalu lama ataupun berada didalam sesuatu aktiviti dalam jangkamasa yang panjang.

23. Saya memang menyampah untuk membalas panggilan telefon.

24. Saya suka orang berkunjung ke rumah tetapi cepat rimas kalau mereka berada terlalu lama.

25. Saya sering buntu bila berjumpa dengan orang yang baru saya kenal ataupun disuruh untuk berucap secara tiba-tiba.

26. Saya bercakap perlahan dan kadangkala tersekat-sekat terutama apabila saya perlu berfikir dan bercakap sekaligus.

27. Saya tidak menganggap kenalan sebagai kawan rapat.

28. Saya tidak boleh membentangkan idea saya selagi ianya belum sempurna.

29. Sesetengah orang mengejutkan saya kerana mengaggap saya lebih bijak dari diri saya yang sebenarnya.


Feb 16

Remaja Narsistik

Pernah tak anda berjumpa dengan insan yang 24 jam sehari perasan…tak habis-habis memuji kecantikan,kepandaian dan lain-lain lagi tentang diri sendiri sampai anda dah tak larat nak dengar…meluat. Pernah tak? Sikit tak ubah seperti remaja Narcissus Dewa Greek yang jatuh cinta dengan diri sendiri kerana terpegun dengan kekacakan sendiri.

Bagi mereka yang sentiasa mempunyai rasa besar hati yang melampau dan sering cuba untuk mempamerkan kelebihan dan kekuasaan mereka dengan cara yang melebih-lebih, besar kemungkinan mereka ini menghidap penyakit personaliti narsistik. Jangan tak tau memang ada nama bagi orang yang berpenyaki seperti ini.

Bagi anak-anak yang berperangai sedemikian dan sekiranya tidak dibendung dan dibimbing oleh ibu bapa sebaiknya, dikhuatiri mereka akan mengalami masalah personaliti narsistik tatkala menjelang remaja nanti.

Sehubungan dengan itu, ibubapa perlu sentiasa memantau perkembangan  perangai dan perilaku anak-anak terutama apabila mereka meningkat matang. Memanglah bagi kebanyakan dari kita, apa jua tingkah laku anak-anak kecil walaupun kadang-kadang sudah melampaui batas kesopanan, tampak comel belaka. Maklumlah anak-anak dan apalah yang mereka tahukan? Tapi kalau dibiarkan melarat, takut disangka perangai yang dibuat memang satu perbuatan normal pada anak-anak ini.

Apa dia personaliti narsistik?

Personaliti narsisitik didefinasikan sebagai tarikan yang terlalu kuat terhadap kelebihan diri sendiri. Bak kata lain terlalu bermegah dan taksub terhadap kesempurnaan diri sendiri.. Bunyinya macam biasa sahaja tetapi jika tinglahlaku ini sampai ke tahap seseorang itu tidak boleh membina perhubungan dengan manusia lain terutamanya perhubungan jangkamasa panjang, ia perlu diberi perhatian. Keasyikan mereka terhadap diri sendiri akan menghalang mereka menerima keperluan dan sentiment-sentimen orang lain.

Ciri-ciri narsistik:

  • Terlalu sensitif dengan penghinaan,kekalahan ,kritikan dan cenderung untuk bertindak secara aggresif terhadap keaadaan tersebut.
  • Leka dan selalu berfantasi berkaitan dengan kekuasaan,kekayaan, kejayaan dan cinta.
  • Merasakan mereka terlalu istimewa dan perlu mendapat layanan yang istimewa juga.
  • Tidak mempunyai keupayaan untuk memahami emosi orang lain dan tidak sama sekali mahu memahami keperluan, perasaan dan pendapat mereka.
  • Kedekut dan merasakan mereka lebih tinggi darjatnya dari orang lain.
  • Takbur dan sering memperbesar-besarkan diri dan pencapaian mereka.
  • Menyediakan matlamat-matlamat yang tidak realistik untuk diri mereka dan tidak ragu-ragu dalam mengambil langkah-langkah yang ekstrem untuk mencapai matlamat-matlamat  tersebut.
  • Sentiasa suka dikagumi dan inginkan diri mereka menjadi pusat tarikan orang ramai.
  • Kelihatan sangat angkuh dan sentiasa bersikap ego
  • Sentiasa berasa iri hati tentang orang lain tetapi dalam masa yang sama mereka merasakan orang lain yang iri hati kepada mereka.

Kebanyakan pakar mengatakan bahawa anak-anak terutamanya anak remaja yang mengalami personaliti narsistik ini berpunca dari ketidakseimbanagan perhubungan dan keakraban dengan ibu-bapa mereka. Karakter anak-anak yang sangat mudah terpengaruh memainkan peranan besar. Penyesuaian mereka terhadap sekeliling perlu dikawal supaya mereka mempunyai daya sensitiviti terhadap emosi orang lain dan suasana sekelilingnya.

Mereka memerlukan perhatian dan sokongan berterusan dari orang lain kerana mereka terlalu sukar untuk berkawan .Jika personaliti narsistik ini terlau menghantui anak remaja anda, berilah mereka pertolongan dengan menghadiri sesi kaunseling dengan  pakar-pakar yang berkaitan.
Melalui informasi ini diharap kita sebagai ibubapa mengambil langkah penting dalam memantau perangai dan tingkahlaku anak  kita terutamanya di zaman kanak-kanak lagi..